Debaran Demi Debaran
Setelah tiga kali tarikhnya tertunda dan setelah beberapa kali mesyuarat secara rasmi dan tidak rasmi diadakan akhirnya Perkampungan Penulis Daerah Jelebu berlansung dengan meriahnya pada 7 dan 8 Ogos yang lalu.
Inilah kali kedua saya terlibat secara lansung sebagai salah seorang tenaga penggerak untuk menjayakan program seperti ini. Kali pertama pada tahun lepas (2003). Saya rasa kali ini lebih mencabar kerana debaran demi debaran saya rasakan sejak dari mula sehinggalah program tersebut selesai.
Debaran pertama saya rasai apabila cadangan tempat berlansungnya program telah ditukar dari Jeram Gading Resort ke Hotel Sri Klawang. Masalahnya pada tarikh tersebut Hotel Sri Klawang sudah ditempah penuh dan mereka tidak dapat menerima tempahan baru.
Untuk menyelesaikan masalah tersebut terpaksalah ditunda tarikhnya dari 18hb Julai ke 25hb Julai. Namun debaran masih belum hilang kerana tarikhnya terpaksa ditunda ke 8hb Ogos kerana 25 Julai akan diadakan Sayembara Sajak Hari Kemerdekaan peringkat Negeri Sembilan dan ramai peserta dan penceramah terlibat dengan program tersebut.
Debaran masih belum hilang apabila Penceramah penulisan berita dan rencana menarik diri kerana tidak dapat bercuti pada tarikh tersebut. Dan dua hari sebelum tarikh tersebut Puan Mahaya pula menyatakan rasa dukacitanya kerana tidak dapat hadir kerana ada urusan keluarga di Kuala Lumpur.
Debaran semakin kencang apabila Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) diberi tanggung jawab untuk Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran Buku ahli PEN pada 7hb dan Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu diberi tanggung jawab untuk menjayakan bengkel penulisan pada 8hb.
Alhamdulillah masalah dapat diatasi apabila Puan Mahaya dan Shah Kamarudin memberikan kerjasama bukan sahaja di segi buah fikiran tapi juga kewangan untuk menjayakan program tersebut.
Pada 7hb adalah kemuncak debaran saya. Pertanyaan yang selalu bermain dalam fikiran saya, apakah majlis akan berjalan lancar atau sebaliknya?. Bagaimana kalau hujan lebat sedangkan acara dibuat dikawasan luar bukan dalam dewan. Bagaimana kalau tidak ramai yang datang?. Dan lebih berdebar bila memikirkan bagaimana kalau YB tidak dapat hadir?.
Jam 5 petang pelajar-pelajar dari UM sampai dan ini agak melegakan hati saya. Kemudian Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar dan rombongannya pula sampai. Tidak lama kemudian Puan Nor Azah Abd Aziz pula sampai dan saya sudah boleh tersenyum apabila mendapat tahu Siti Jasmina Ibrahim yang menggantikan tempat Puan Mahaya Yasin, sudah berada di Jelebu.
Entah kenapa pada jam 6 petang hati saya tergerak untuk menelefon YB Dato’ Razak Mansor untuk mengingatkan bahawa dia dijemput untuk merasmikannya. Dan hati saya gembira apabila jam 8.30 malam YB dan isterinya sampai.
“ Kalau Latip tak telefon memang saya tak datang sebab terlupa,” kata YB kepada saya.
Semasa YB berucap sekali lagi saya berdebar sebab YB tidak menyebut sumbangan duit untuk PEN yang kami mohon sedangkan kami memang mengharapkan bantuannya.
Alhamduillilah. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada YB kerana bersetuju memberi sumbangan berjumlah Rm 2,000.00 untuk PEN menjayakan aktivitinya.
0 ulasan:
Catat Ulasan