Kenduri Durian
Beberapa hari lalu, Anbakri mengusik saya memalui sms, katanya nak makan durian jelebu. Pada mulanya saya takut nak berjanji sebab musim durian di jelebu kali ini tak berapa menjadi.
walau bagaimanapun saya pasang niat dalam hati, durian yang dapat saya kumpulkan pada hari sabtu akan saya hadiahkan semuanya kepada tetamu-tetamu dari kuala Lumpur yang akan bertandang ke Jelebu sempena malam pelancaran buku dan bengkel penulisan.
Dan memang telah menjadi rezeki, menjelang pukul 12 tengah hari saya dapat kumpulkan 28 buah durian yang baik isinya lalu saya bawa semuanya ke Hotel Sri Klawang untuk dinikmati oleh tetamu yang datang.
Sebelum kesampaian Drirwan dan rombongannya, anak saya bersama tiga rakannya dari UKM yang juga turut sama menyertai malam puisi dan bengkel telah masuk ke bilik saya lalu memakan buah durian tersebut. Rakan-rakan Nor Faizin dari Perak, Terengganu dan Johor turut memuji sedapnya durian jelebu. Mereka makan sampai kenyang. Pun begitu cuma mampu habiskan 3 buah sahaja.
Setelah mereka selesai makan dan setelah keluar dari bilik maka Drirwan, Anbakri, Dahrie, Muhammad Zakir dan Kablam pula sampai lalu saya ajak makan durian. Saya yang berasa seronok dan rasa puas bila nampak mereka berselera memakannya lalu mengopek buah durian sebuah demi sebuah hingga akhirnya mereka kata, cukup…cukup..cukup dah tak larat dah.
Kemudian saya ajak pula Nor Azah Azih bersama suaminya, Tok Penghulu Shah, Lokman Hakim wartawan Utusan Malaysia dan Shukri, suami Nisah Haron. Mereka juga nampak berselera memakannya.
Walaupun ramai yang memakannya tapi masih berbaki 10 buah. Dan esoknya anak saya dan kawan-kawannya makan lagi. Masih ada 8 buah. Lalu saya bekalkan kepada Drirwan sebanyak 5 buah untuk dibawa pulang. Manakala 3 buah lagi saya berikan kepada Nor Azah Aziz.
Kalau lebat turunnya hujan
Pasti dalam air perigi
Kalau lebat buah durian
Tahun depan kenduri lagi.
1 ulasan:
kalau sdr ain datang ke jelebu pada musim buah-buahan dapatlah makan durian.
ke jelebak ke jelebu
menuai padi setiap hari
kalau makan durian jelebu
sedap sampai menjilat jari.
Catat Ulasan