Khamis, Ogos 05, 2004

Bila Sampai Ajal

Saya sempat menziarahi seorang kawan meninggal dunia.
Dia baru berusia 47 tahun meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak yang sudah besar. Menurut ceritanya kawan saya itu terjatuh dalam bilik air di rumahnya lalu menghembuskan nafas terakhir.
Begitu mudahnya dia meninggal dunia. Bisik hati saya. Pemergiannya tidak menyusahkan sesiapa. Sakitnya tidak lama. Anak-anak sudah besar dan isteri juga tentu tidak susah kerana akan menerima pelbagai bayaran dari usaha yang dilakukan oleh suaminya ketika hidup.
Kerana agak lewat mendapat berita tersebut menyebabkan saya lambat sampai dan menyangka tentulah jenazahnya sudah selamat dikebumikan. Tambahan pula ketika saya sampai sudah hampir Maghrib.
Tetapi saya hairan kerana jenazah kawan saya itu masih terbujur di ruang tamu. Lalu saya bertanya kepada salah seorang ahli keluarganya kenapa masih belum dikebumikan. Dia seperti serba salah hendak menjawabnya.
“ Jenazah sudah selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan," jawabnya seperti cuba menyembunyikan sesuatu.
“ Apa lagi masalahnya?” tanya saya.
“ Kuburnya masih belum siap!” jawabnya.
Setahu saya di kampung kerja menggali kubur dilakukan secara sukarela atau bergotong royong. Biasanya apabila ada yang meninggal dunia maka adalah mereka yang sukarela menggali kubur.
Saya bertanya pada orang lain apa masalahnya. “ Saya pun pelik kerana lubang kubur pertama digali terdapat batu
besar di bawahnya. Lubang kedua pula terdapat kerikil keras yang tidak mampu digali. Dan sekarang masuk lubang kubur yang ketiga,” jawabnya sambil berbisik.
Biasanya dalam masyarakat melayu, apabila ada yang meninggal dunia terjadi perkara yang agak pelik seperti tanah kubur tidak boleh digali atau sebagainya maka bermacam cerita yang kurang enak akan timbul dan pastinya boleh mengaibkan keluarga.
Selesai Solat Maghrib, jenazah kawan saya dibawa ke tanah perkuburan. Sememangnya kawasan tanah perkuburan itu berbatu dan nasib kawan saya kurang baik kerana penggali kubur terpilih kawasan yang berbatu. Namun Allah swt yang maha mengetahui.
Yang pasti kita juga akan meninggal dunia dan kita tak tahu bila dan bagaimana pula ceritanya. Namun elok kita berdoa semoga meninggal dunia secara baik dan meninggalkan cerita yang baik. Amin.


1 ulasan:

Latiptalib berkata...

sdr ain, betul tu. sebaiknya kita berbaik sangka kpd yang dah tak ada. kita jadikan teladan mana yang baik.
oh ya kabarnya sdr nak pulang ke semenanjung...hahaha.