Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”- Ahli Sejarah Byzantine
NOVEL TERKINI OGOS 2008
Dalam pertempuran dengan askar Jepun, Askar Melayu menunjukkan keberanian dan semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota Askar Melayu, termasuk 7 pegawai Melayu dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara pegawai Askar Melayu yang terkorban itu adalah Leftenan Adnan bin Saidi. Dia bersama 42 orang anggotanya berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, Memaparkan kisah keberanian dan keperwiraan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.
NOVEL TERKINI JULAI 2008
Abu Bakar as-Siddiq, sahabat sejati Nabi Muhammad saw yang dilantik menjadi khalifah Islam pertama selepas beliau wafat pada tahun 632 H. Jasa khalifah Abu Bakar as-Siddiq yang paling besar adalah mengumpulkan semula ayat-ayat al-Quran apabila ramai penghafal terbunuh dalam peperangan menentang mereka yang murtad dan nabi-nabi palsu. Novel ini menceritakan kisah suka duka Khalifah Ar Rasyidin yang pertama itu dari sejak lahir hingga meninggal dunia.
HIKAYAT AMIR HAMZAH (1) 2008
Hikayat Amir Hamzah mengisahkan peristiwa yang berlaku pada abad ke-7 sebelum kedatangan Islam hingga membawa kepada kedatangan Islam. Ia menceritakan kegagahan dan keperwiraan seorang pejuang Islam bernama Amir Hamzah. Pahlawan yang dimaksudkan dalam cerita ini ialah Saidina Hamzah, pahlawan Islam yang gugur syahid dalam Perang Uhud menentang tentera Quraisy.
HIKAYAT AMIR HAMZAH (2) 2008
Amir Hamzah luka ditetak Bahaman dan dia dilarikan oleh kuda Asqar Dewa ke tempat seorang pengembala kambing. Malik Bahaman dibunuh Umar bin Hamzah. Asma Peri dan Quaraisy Peri dibawa Amir Hamzah pergi berjumpa Puteri Mihran Negara. Umar bin Hamzah pergi ke negeri Farkhari. Di sana dia digoda dan dibunuh oleh saudara perempuan Zubin. Hikayat ini bermula apabila Amir Hamzah yang menetap di Mekah membenarkan Raja Syadad kembali ke negerinya. Apabila menghampiri Mekah, Raja Syadad berbisik dalam hati, “sekiranya tidak disebabkan Raja Nusyirwan mengutuskan surat menyuruhnya ke Mekah, aku tidak akan dimalukan Hamzah Arab itu. Raja Nusyirwan punca segala-galanya dan aku patut membalas dendam kepadanya.”
HIKAYAT AMIR HAMZAH (3) 2008
Quraisy Peri melihat ke udara, dia ternampak ayahandanya, Amir Hamzah memakai pakaian keemasan yang cantik -cantik, berhadapan dengan semua sahabatnya dan beberapa orang anak bidadari mengelilinginya. Demikianlah kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepada dia dan semua yang syahid itu. Selepas itu Quraisy Peri dan Asma Peri serta semua jin yang bersama mengiringi memeluk agama Islam.
RANDAU RUAI 2008
Novel ini memenangi Sayembara Novel Sarawak 2003-2005.
NOVEL SEJARAH ISLAM 2007
Khalid al Walid merupakan hero penyelamat dalam perang Muktah sehingga layak mendapat anugerah tertinggi panglima tentera dengan gelaran pahlawan Pedang Allah. Dia tidak pernah kalah dalam setiap peperangan yang disertainya.
NOVEL SEJARAH ISLAM 2007
Salahudin merupakan pahlawan Islam yang terbilang kerana berjaya menakluk Jerusalem dan mengikat perjanjian damai dengan tentera Salib. Novel ini menceritakan secara terperinci strategi peperangan yang digunakan oleh Salahudin dan pasukan tenteranya sehingga berjaya menawan pihak musuh dalam setiap peperangan.
NOVEL SEJARAH ISLAM 2007
Tariq bin Ziyad asalnya seorang hamba. Disebabkan memiliki sifat-sifat yang terpuji,dia dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya dan seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12,000 tentera Islam ke Sepanyol. Tariq menganggap kedatangan mereka ke Sepanyol hanya untuk syahid ataupun mengalahkan musuh. Dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang. 'Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid.' Kata-kata keramat Tariq berjaya meniupkan kembali semangat jihad di kalangan tentera Islam.
NOVEL SEJARAH ISLAM 2007
Ikramah- anak kepada Abu Jahal. Beliau lahir daripada keluarga bangsawan Quraisy. Sejak kecil lagi, beliau dididik untuk menjadi seorang pahlawan dan apabila besar Ikramah menjadi panglima muda yang gagah berani, penunggang kuda yang handal dan banyak pengalaman berperang. Dia bersama ayahnya Abu Jahal sangat benci kepada Islam dan turut menyertai peperangan menentang Nabi Muhammad. Ikramah termasuk salah seorang panglima perang pasukan Quraisy yang handal dan gagah berani serta banyak pengalaman. Akhirnya dia menjadi pahlawan Islam yang gagah berani dan gugur syahid dalam Perang Yarmuk.
NOVEL SEJARAH MELAYU 2007
Kerajaan Melayu Melaka yang sudah berkuasa selama 110 tahun di ambang kejatuhan akibat perpecahan dari dalam. Apabila pemerintah berlaku zalim, para pembesar berebut kuasa maka adu domba dan fitnah bagaikan api yang membakar ketuanan Melayu. Akhirnya pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka dilenyapkan oleh Portugis. Ekoran daripada itu, bangsa Melayu dijajah selama 446 tahun.
NOVEL SEJARAH MELAYU 2007
Si Bongkok Tanjung Puteri menentang Inggeris dan mereka yang dimusuhinya, berlatar belakangkan negeri Johor yang dahulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri. Tokoh realiti ini pernah menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri Johor suatu ketika dahulu. Si Bongkok Tanjung Puteri sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan tanah airnya. Namun seperkasa manapun fizikal dan semangatnya menentang kuasa penjajah, dianggap sebagai penderhaka yang namanya tidak tercatat dalam lipatan sejarah.
NOVEL REMAJA 2006
Pertemuan dan perpisahan sudah disuratkan. Bukankah jodoh, ajal maut di tangan Tuhan?. Begitu Syafiq diasuh ibunya, wali keramat yang sungguh sabar dan redha agar dia berjiwa besar, mengharungi terjahan ribut di bawah langit mendung awan pilu. Harga diri bukan dagangan, dapat dijual beli. Syafiq berkelana mencari ayah kandung dan akhirnya bertemu di rantauan, dalam kemewahan yang melimpah, Syafiq tidak terkilau oleh pangkat dan mata benda. Dengan jiwa besar, rebut yang kasar menjadi lunak. Dia pulang ke desa, mendepani orang keliling bangkit lebih perkasa, mencuci bersih tohmah nista.
Karya-karya Saya
ABDUL LATIP BIN TALIB
Abdul Latip bin Talib dilahirkan di Kampung Ulu Seperi Rembau Negeri Sembilan pada 2hb Jun 1954, pernah bekerja sebagai pegawai ladang FELCRA selama 20 tahun dan kini merupakan penulis sepenuh masa. Beliau menulis dalam pelbagai genre seperti sajak, cerpen, rencana, drama tv dan novel. Sehingga kini telah menghasilkan 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kini menumpukan penulisan novel sejarah dengan PTS. Antara karya yang telah diterbitkan Salahudin Penakluk Jerusalem 2007, Khalid Memburu Syahid 2007, Ikramah Penentang Jadi Pembela 2007, Tariq Menang atau Syahid 2007, Si Bongkok Tanjung Puteri 2007, Setelah Roboh Kota Melaka 2007, Abu Bakar Sahabat Sejati 2008, Sultan Muhamad al fateh 2008, Leftenan Adnan Wira bangsa 2008, Hikayat Amir Hamzah jilid 1, 2 dan 3 2008.Ketekalan beliau menghasilkan karya telah melayakkan beberapa buah karya beliau merangkul pelbagai anugerah. Antaranya Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Sayembara Cerpen Perpaduan, Hadiah Sastera Utusan dan Sayembara Cerpen dan Puisi Negeri Sembilan. Novel Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Randau Ruai memenangi Sayembara Menulis Novel Sarawak 2005 dan terbaru novel sejarah Perang Jementah dan datuk Moyang Saleh memenangi hadiah sayembara menulis novel sejarah Johor 2007.Abdul Latip yang kini menetap di Jelebu Negeri Sembilan pernah menerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dalam genre cerpen dan esei. Dan sekali lagi pada tahun 2007 dalam genre novel remaja.Beliau dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2007.
2 ulasan:
lama tak update blog...ingatkan dah tulis blog lain
Assalamu'alaikum ayah. Apa khabar?
Catat Ulasan