Selasa, September 18, 2007

TERKENANG MASA LALU


Setiap kali menjelang Ramadan aku selalu terkenang masa lalu di mana aku pernah tinggal di rumah anak-anak Yatim Ulu Gadung, Negeri Sembilan.

Dahulu keadaan di rumah anak-anak yatim itu tidak mewah seperti sekarang. Pada waktu malam kami membaca buku atau mengulangkaji pelajaran di bawah lampu gasolin. Kami mandi masih menggunakan air perigi.

Setiap kali menjelang Ramadan aku dan rakan-rakan sebaya berbuka puasa dengan nasi berlaukkan ikan atau sayuran sahaja. Juadah berbuka puasa sama seperti juadah pada hari-hari biasa. Namun kami tetap gembira menjalani ibadah puasa.

Pada malamnya kami bersembahyang Terawih diimamkan oleh Tuan Haji Mohd Yatim yang mengelolakan rumah anak-anak yatim itu. Dia yang menanggung makan minum kami disamping derma dari penduduk kampung.

Aku selalu terkenang masa lalu. Banyak kenangan indah semasa berada di rumah anak-anak yatim.

Paling indah, syahdu dan rindu pada saat kami hendak berbuka puasa. Aku dan rakan-rakan duduk bersila di depan kami ada sepinggan nasi bersekali dengan lauknya dan secawan air. Apabila masuk waktu berbuka kami menadah tangan beramai-ramai membaca doa berbuka puasa lalu kami menikmati makanan yang ada dengan begitu berselira sekali.

Apabila menjelang syawal, bukan pakaian baru atau duit raya yang mengembirakan kami, tetapi berharap ada penduduk kampong atau sesiapa yang sudi datang mengambil kami berhari raya di rumah mereka.

Untuk apa aku kenangkan masa lalu?. Untuk apa aku ceritakan kisah silamku?. Memalukan?.

Oh tidak. Semoga kenangan masa lalu itu membuat aku bersyukur dengan apa yang ada. Semoga dengan mengingati masa lalu itu membuat aku tidak alpa. Semoga Kenangan masa lalu itu menyubur imaginasiku...

8 ulasan:

mohamad kholid berkata...

kenangan lalu sungguh pun kekadang sayu tetapi tetap indah...

Panaharjuna berkata...

Masyaallah..,benarkah Pak Latip dahulu tinggal di sana?, dekat sangat dengan rumah arwah nenek saya, Pesah binti Alip dan datuk saya, Abd Rahman? Barangkali Pak Latip kenal emak saya sebab emak saya belajar sekolah di sekolah agama disana?, namanya Sawiyah binti Abd Rahman?.

Latiptalib berkata...

Mohamadkholid,

Setiap orang pasti mempunyai kenangan masa lalu yang sedih tetapi begitu indah untuk di kenang.

Panaharjuna,

Saya memang pernah tinggal di sana.Pernah beberapa kali mendaki gunung datuk dan mandi di jeram petai.

Saya tinggal di sana sekitar tahun 60an. Banyak nama2 yang saya dah lupa. Tapi nama Sawiyah binti Abdul Rahman macam pernah kenal.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Tuan Hj. Mohd Yatim menjaga anak-anak yatim. Alangkah mulianya.

Latiptalib berkata...

Sifu Puan Ainon juga menjaga anak-anak yatim di Janda Baik. Pernah memberi tempat tinggal di rumah sendiri kepada semua anak-anak yatim itu setelah kediaman mereka terbakar. Alangkah mulianya. Jasa puan pasti dikenang oleh mereka sampai bila-bila.

Saya pernah merasa apa yang mereka rasa. Kerana itu saya sebak apabila membaca entri puan mengenai anak-anak yatim itu.

Alhamdulillah, nasib anak-anak yatim di rumah anak-anak yatim pada hari ini jauh lebih baik dari zaman saya dahulu kerana sudah ramai mereka yang kaya dengan relahati memberi bantuan.

cikMilah berkata...

Salam Ramadhan Pak Latip, entri kali ini benar-benar menusuk hati. Saya terpanggil untuk pertama kali nya memberi komen. Kita sukar untuk melupakan sesuatu yang memberi kemanisan pada hati. Walaupun ia kenangan pahit, tapi jika ia sukar luput - itulah kemanisan sebenarnya. Bukan manis nya kisah, tapi manis pada pengajaran dan kenangan yang amat mahal.

Abang Long berkata...

Salam ramadhan wahai kekanda Abdulatip. Semakin terkelu lidah bila membaca entri kekanda kali ini. Yang pasti, kenangan lalu tetap menggamit memori. InsyaAllah, adinda akan mengirimkan emel 'permintaan khas' buat kekanda.

Latiptalib berkata...

Cikmilah, terima kasih sudi berkunjung ke blog saya. Betul kata Cikmilah, bukan manisnya kisah yang dikenang tapi kemanisan dan pengajaran dari kisah2 yang kita pernah lalui.

Adinda Feroz,

Selamat berpuasa semoga sudah sihat dan ceria menjalani ibadat puasa. Nak hantar emel dan ada permintaan khas?. Kekanda tunggu...