Isnin, September 24, 2007

PERTANYAAN PEMBACA


Pertanyaan pertama:

Pak Latip

Dalam buku "Salahudin Penakluk Jerusalem", kenapa guna nama "Salahuddin bin Ayubi" sedangkan nama ayah Salahuddin bukannya Ayubi. Setahu saya, nama beliau yang sebenar ialah yusuf (seperti yang ditulis dalam buku pak latip) kemudian gelaran beliau ialah Salahuddin Al-Ayyubi.

Setakat yang saya pernah tahu - nama ayahnya Najmuddin Ayyub. Jadi, kurang tepat kalau kita terus namakan beliau 'salahuddin bin ayubi'. Pendapat pak latip bagaimana? Saya harap perkara asas ini dapat dibaiki. Rujuk kepada mereka yang mahir bahasa arab. Ini boleh mengelirukan.

Maaf, atas teguran ini. Sekadar mohon penjelasan.

Dari

Nisah Haji Haron.




Pertanyaan kedua:

Pak Latip

Aku terbaca dalam blog Faisal Tehrani begini

"Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Salahuddin al Ayyubi terhadap sisa umat Islam dinasti Fatimiyyah. Gambaran-gambaran keadilan Salahuddin inilah yang tiba ke tangan kita hari ini, satu akaun bersifat sastera yang telah disensasikan dengan melupakan sifat bengis Salahuddin dan tiadanya belas kasihan terhadap umat Islam dinasti Fatimiyyah yang beliau kalahkan."

Pertanyaan saya benarkah Salahudin itu kejam?. Kenapa Pak Latip tidak masukkan kisah itu dalam novel Pak Latip?.

Peminat Faisal.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam, Pak Latip,

Saya tertanya-tanya juga sebenarnya tentang persoalan yang diutarakan oleh Peminat Faisal.

Saya kira ini tentu ada perkaitannya dengan peperangan antara golongan sunni dan syiah.

Lebih-lebih lagi apabila di dalam novel Salahudin Penakluk Jurusalem, Pak Latip ada gambarkan bagaimana golongan syiah yang tidak berlaku setia.

Pak Latip ada apa-apa komen?

Latiptalib berkata...

Soalan pertama:

Pak Latip

Dalam buku "Salahudin", kenapa guna nama 'Salahuddin bin Ayubi'
sedangkan nama ayah Salahuddin bukannya Ayubi setahu saya, nama beliau yang sebenar ialah yusuf (seperti yang ditulis dalam buku pak latip) kemudian gelaran beliau ialah Salahuddin Al-Ayyubi.
Setakat yang saya pernah tahu - nama ayahnya Najmuddin Ayyub. Jadi, kurang tepat kalau kita terus namakan beliau 'salahuddin bin ayubi'. Pendapat pak latip bagaimana? Saya harap perkara asas ini dapat dibaiki. Rujuk kepada mereka yang mahir bahasa arab. Ini boleh mengelirukan. Maaf, atas teguran ini. sekadar mohon penjelasan.

Nisah Haron.

Jawapan:

Terima kasih Puan Nisah Haron kerana sudi bertanya. Dan saya akan cuba menjelaskannya.

Sebelum novel Salahudin Penakluk Jerusalem terbit, kami (iaitu saya, Cik Norasyikin Editor PTS Fortune dan Puan Ainon) sering berbincang pelbagai perkara termasuk nama Salahudin bin Ayubi.

Walaupun dalam manuskrip asal namanya Salahudin Al Ayubi tetapi kami menjadikannya Salahudin bin Ayubi dengan maksud dapat mendekatkan lagi nama itu kepada pembaca Melayu kerana ‘bin” itu sinonim dengan nama orang Melayu.

Bin Ayyubi bermakna anak Ayyubi. Rasanya tidak mengelirukan pembaca kerana sememangnya Salahudin itu anak Ayyubi.

Mengenai nama Ayyubi itu “Salahuddin menggelari dirinya Al Ayubi kerana ayahnya bernama Ayyub”. Rujuk buku Salahuddin Al Ayubi : DR Mahmud Syalabi: Mukadimah halaman viii.

Memang benar nama asal Salahudin ialah Yusof dan ayahnya Najmuddin Ayyub. Pada masa kecil sehingga menyertai tentera berkuda sultan Aleppo dan dihantar ke Mesir nama beliau masih Yusof Ibnu Ayyub (Salahuddin Al Ayubi ms. 42)

etelah berada di Mesir dan setelah berjaya menjadi pemerintah di Mesir Yusof Ibnu Ayyub pergi ke Baghdad bagi mendapat pengiktirafan dari Khalifah Bani Abbasiyah. Barulah beliau digelar Sultan Salahudin al Ayubi.

Kami dengan sengaja membuang “al” bagi diganti dengan “bin” maka jadilah Sultan Salahudin bin Ayyubi atau Salahudin bin Ayyubi.

Di kalangan orang barat Salahuddin dikenali sebagai Saladin maka kami berharap di kalangan orang Melayu dikenali dengan nama Salahudin bin Ayyubi.

Kalau kami kekalkan nama sebenarnya Yusof bin Ayyub, mungkin menjadi lebih janggal kerana nama Salahudin lebih dikenali ramai.

Ketika saya merujuk mengenai sembahyang sunat tarawih saya terjumpa tulisan berikut oleh Ust. H. Ahmad Sarwat, Lc.

“Di antara yang paling kuat adalah yang dilakukan oleh para shahabat nabi SAW secara ijma', setidaknya untuk ukuran penduduk Madinah. Mereka melakukannya dengan 20 rakaat di masa khalifah Umar bin Al-Khattab. Para ulama yang mendukung pendapat ini mengatakan bahwa mustahil para shahabat nabi itu bersepakat untuk mengarang-ngarang sendiri angka 20 rakaat. Pastilah mereka meniru dari nabi SAW…

Dalam ayat itu terdapat nama Umar bin Al Khattab. Sedangkan nama Umar al Khattab itu juga adalah nama gelaran.

Kerana itu diyakini pembaca tidak keliru dengan nama Salahudin bin Ayyubi. Kerana itu apabila diulangcetak kali kedua namanya masih dikekalkan Salahudin bin Ayyubi.

Wallahuaklam

Latiptalib berkata...

Pertanyaan kedua:

Pak Latip

Aku terbaca dalam blog Faisal Tehrani yang Salahudin itu seorang yang kejam kerana membunuh ramai pemerintah Dinasti Fatimiyah Di Mesir. Kenapa Pak Latip tidak masukkan kisah itu?. Kenapa masukkan yang baik sahaja?

Peminat Faisal.

Dalam entrinya Faisal Tehrani tidak menyalahkan penulis novel Salahudin Penakluk Jerusalem. Dia Cuma menyebut nama Ibnu Jubayr yang kononnya sengaja menyembunyikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Salahudin al Ayyubi terhadap sisa umat Islam dinasti Fatimiyyah di Mesir.

Saya tidak setuju dengan ayat “pembunuhan beramai-ramai itu” yang boleh membawa maksud Salahudin al Ayyubi membunuh para tawanan atau orang awam. Sedangkan sikap beliau bukan begitu.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Pada keesokan harinya mayat-mayat orang Islam bertimbun setinggi paras lutut di sepanjang jalan di Jerusalem.

Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem , malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.

Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan Salahudin ialah kepada musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari England. Ketika peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu Sultan Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter. Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya ditandatangani perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga orang-orang Eropah berasa takjub bagaimana agama Islam boleh melahirkan seorang pahlawan yang baik seperti Salahudin Al Ayubi.

Nah, kalau mereka yang bukan Islam pun memuji-muji kebaikan Salahudin al Ayyubi kenapa kita umat Islam sendiri memburuk-burukkannya?. Paling bimbang kalau itu Cuma fitnah. Sanggupkah kita bersubahat apatahlagi turut menfitnah pahlawan Islam yang terbilang itu?. Di akhirat kelak di hadapan Allah SWT apa jawapan kita kalau diketemukan dengan Salahudin al Ayubi?.

Berbalik kepada novel Salahudin al Ayubi. Adalah tidak benar dakwaan Peminat Faisal yang mengatakan saya tidak memasukkan kisah Salahudin al Ayubi memerangi para penyokong dinasti Fatimiyyah.

Dalam bab 2 yang berjudul “Darah mengalir di Sungai Nil” diceritakan bagaimana Syawur perdana Menteri Sultan Al Addid yang bercita-cita menjadi khalifah Mesir telah berlaku kianat cuba menjatuhkan khalifah al Addid malah sanggup bersubahat dengan tentera Salib bagi menawan Mesir. Kemudian Syawur dan orang-orangnya cuba membunuh Salahudin al Ayubi.

Syawur dan para pengikutnya inilah yang diperangi oleh Salahudin al Ayubi. Mereka terbunuh dalam pertempuran. Sesiapapun tidak dapat memaafkan kesalahan Syawur dan para pengikutnya itu. Zalimkah Salahudin Al Ayubi kerana memerangi penghianat itu?.

Berperang sesama umat Islam kerana perbezaan fahaman bukan berlaku pada zaman Salahudin Al Ayubi sahaja malah mula berlaku pada zaman khalifah ar Rasyidin apabila Saidina Abu Bakar memerangi mereka yang enggan membayar zakat. Mereka yang diperangi itu masih Islam Cuma enggan membayar zakat.

Kemudian pada zaman pemerintahan Saidina Ali pula berlaku perang Jamal antara pengikut Saidina Ali dengan pengikut Saidatina Aisyah bekas isteri Rasulullah saw.

Dalam peperangan itu Saidina Ali mendapat kemenangan dan korban yang terbunuh didalamnya sebanyak tiga belas ribu jiwa.

Wallahuaklam.

Tanpa Nama berkata...

Pak Latif
Saladin anti syiah. Betul ke?
Apa pandangan Pak Latif tentang syiah?

Latiptalib berkata...

Adeal ada bertanya mengenai Syiah. Anonymous juga bertanya perkara yang sama. INsyaAllah saya akan jawab.

Latiptalib berkata...

Sebelum menulis novel Salahudin Penakluk Jerusalem saya baca buku-buku mengenai Salahudin Al Ayubi. Dari pembacaan itu saya tidak nampak yang Salahudin al Ayubi itu anti Syiah. Malah tujuan utama dia datang ke Mesir bagi membantu Dinasti Fatimiyah yang berfahaman Syiah menentang tentera Salib yang sedang menyerang Iskandariyah.

Sultan Salahudin al Ayubi juga mendapat kepercayaan daripada Khalifah al Addid (khalifah terakhir Dinasti Fatimiyah di Mesir) sehingga dilantik menjadi ketua tentera dan seterusnya dilantik menjadi Perdana Menteri. Setelah Khalifah al Addid meninggal dunia maka Salahudin al Ayubi dilantik menjadi sultan.

Tetapi perlantikannya tidak disokong oleh mereka yang menjadi pembesar dan menteri-menteri Khalifah Al Addid. Kebetulan kesemua mereka berfahaman Syiah. Kerana mereka tidak memberikan kerjasama maka Sultan Salahudin al Ayubi memecat mereka dan diganti dengan muka-muka baru. Akibatnya berlakulah penentangan secara terang-terangan. Penentangan itu diketuai oleh Najah yang menjadi ketua pengawal Khalifah al Addid.

Najah berjaya mengumpulkan orang-orangnya berjumlah 50,000 orang lalu berlaku pertempuran dengan tentera Salahudin al Ayubi di mana akhirnya Najah kalah.

Memang benar Sultan Salahudin al Ayubi berjaya menghapuskan pengaruh Syiah di Mesir tetapi berpunca dari sebab-sebab politik bukan kerana dia anti Syiah. Itu pandangann saya.

Orang Syiah itu adalah Islam. Tuhan mereka sama iaitu Allah SWT. Nabi mereka sama iaitu Muhamad SAW. Sembahyang lima waktu mereka rakaatnya sama. Puasa mereka juga sama. Yang berbeza Cuma fahaman sahaja.