Khamis, September 13, 2007

KHALID MEMBURU SYAHID


Assalamualaikum,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan taniah kepada En. Abdul Latip
Bin Talib kerana berjaya menghasilkan novel novel sejarah Islam yang
Menarik dan mudah dibaca. Diharap usaha ini diteruskan lagi kerana banyak kisah tokoh tokoh Islam lain yang patut ditulis.

Gaya penyampaian En Abdul Latip amat berkesan, anak-anak saya dah mula gemar membaca, Alhamdulillah.

Walau bagaimana pun, terdapat beberapa fakta yang bercanggah yang saya temui. Saya tak pasti pihak mana yang betul atau pun salah. Mungkin kedua-duanya betul? Hanya tuhan yang mengetahuinya.

Dalam novel "Khalid Memburu Syahid" m.s 38 - 41, dinyatakan bahawa
Harith bin Umair merupakan utusan Nabi. Beliau dibunuh oleh Syurahbil bin Amru, penguasa Basrah yang dilantik oleh Maharaja Rom.

Tetapi merujuk kepada buku yang ditulis oleh Dr. Mustafa as-Syibaie,
berjudul "Sirah Nabi Muhammad S.A.W., Pengajaran dan Pedoman (Pustaka Salam), m.s. 183, beliau menyatakan bahawa al-Harith bin Abi Syamir al-Ghassani, merupakan raja Ghassan yang membunuh Syuja' bin Wahb al-Asadi, utusan Nabi s.a.w. Menurut Dr. Mustafa lagi, tiada utusan Nabi s.a.w. yang dibunuh selain Syuja'.

Sekian.

Hani Fuziah Abdul Rahman
FTMSK, UiTM Shah Alam
40450 Shah Alam, Selangor.



Puan Hani,

Berikut adalah buku-buku rujukan saya semasa menulis Khalid Memburu Syahid

1. 28 Tokoh Islam yang terkemuka – Oleh Haji Mohd Said al Hadi- Penerbit Jabatan Agama Johor 1977.

2. Kehidupan Nabi Muhamad saw – Abu Hasan An Nadawi alih bahasa oleh Yunus Al Muhdhor- Penerbit Asy Syifa Darul Fikir Kuala Lumpur 1992

3. Fiqhus Sirah – Muhamad al Ghazali alih bahasa oleh Abu Laila Mudamad Tohor - penerbit Klang Book Center Klang 1977.

4. Kehandalan Para Panglima Perang Islam- Ibnu Shafa- Penerbit Pustaka Syuhada Kuala Lumpur 2002.

Kalau saya terjumpa buku “Sirah Nabi Muhamad SAW oleh Dr. Mustafa as-Syibaie pasti saya jadikan rujukan.

Perkara yang kita bincangkan ini ada kaitannya dengan perang Mu’tah yang berlaku pada tahun 8 hijrah antara tentera Islam dengan tentera Rom

Kisah bermula apabila Nabi Muhamad saw menghantar utusan kepada Maharaja Rom tetapi apabila sampai di Mu’tah utusan itu disekat oleh penguasa Basrah yang dilantik oleh maharaja Rom, lalu utusan itu dibunuh.

Persoalannya ialah siapakah nama utusan itu dan nama penguasa Rome yang membunuhnya?.

Dalam buku rujukan pertama saya “28 Tokoh Islam Yang Terkemuka” -Pada muka surat 164 ada tercatat “ Rasulullah SAW mengutus utusannya Al Harith bin Umair Al Azdi, sampai di Bandar Muktah utusan itu bertemu dengan Syurahbil bin Amru al Ghasani lalu ditangkap dan dibunuhnya al Harith.

Dalam buku Fiquh Sirah pula pada muka surat 611 ada tercatat “Kaum muslimin marah apabila mendengar berita tentang terbunuhnya utusan rasulullah saw Ibnu Umair. (Al Harith bin Umair).

Dalam buku Kehidupan Nabi Muhamad SAW pula pada muka surat 289 tercatat “ Ada seorang utusan nabi yang bernama Harith bin Umair al Azdi dia diutus kepada Syurahbil bin Amru Al Ghasani.”

Dalam buku Kehandalan Para Panglima Perang Islam pula pada muka surat 4 “Sebab utama Rasulullah saw menghantar pasukan tentera ke Mu’tah kerana menuntut bela atas kematian Al Harith bin Umair yang dibunuh oleh Syurahbil bin Amru.”

Kesimpulannya, sememangnya ada seorang utusan Nabi Muhamad SAW yang dibunuh oleh wakil maharaja Rom di Mu’tah. Dan peristiwa itu membawa kepada berlakunya perang Mu’tah.

Dalam buku yang ditulis oleh Dr. Mustafa as-Syibaie, berjudul "Sirah Nabi Muhammad S.A.W., Pengajaran dan Pedoman (Pustaka Salam), m.s. 183, beliau menyatakan bahawa al-Harith bin Abi Syamir al-Ghassani, merupakan raja Ghassan yang membunuh Syuja' bin Wahb al-Asadi, utusan Nabi s.a.w. Menurut Dr. Mustafa lagi, tiada utusan Nabi s.a.w. yang dibunuh selain Syuja'.

Memang terdapat percanggahan fakta antara buku yang ditulis oleh Dr Mustafa as Syibaie dengan buku-buku rujukan saya.

Bagi menjawab persoalan ini kita merujuk kepada hadis kerana semua peristiwa itu berlaku semasa Nabi Muhamad saw masih hidup.

Menurut sejarah, ada dua utusan Nabi Muhamad saw yang dibunuh iaitu Al Harith bin Umair dan Ka’ab bin Amir al Ghafari.

Nama Al Harith bin Umair terdapat dalam 4 buah buku rujukan saya iaitu “28 Tokoh Islam Yang Terkemuka” “Kehidupan Nabi Muhamad SAW” dan “Kehandalan Para Panglima Perang Islam” dan "Fiqus Sirah" .

Nama Syurahbil bin Amru juga terdapat dalam keempat buku tersebut.

Fakta dalam buku “28 Tokoh Islam Yang Terkemuka” lebih diyakini kerana disokong dengan hadis-hadis.

Kerana itu saya yakin fakta dalam novel Khalid Memburu Syahid adalah benar.

Sekian terima kasih

2 ulasan:

Latiptalib berkata...

Puan Hani,

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih di atas kesudian Puan Hani memaklumkan kepada saya berkaitan dengan kesalahan fakta yang terdapat dalam novel sejarah Islam Khalid Memburu Syahid.

Sebagai penulis buku itu saya sememangnya mengalu-alukan komen atau apa-apa sahaja teguran dari pembaca.

Untuk menjawab pertanyaan Puan Hani itu saya kena semak semula buku-buku rujukan dan saya tidak dapat menjawabnya secara spontan.

Saya pasti akan menjawabnya. InsyaAllah.

terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah, terima kasih di atas jawapan yang diberikan