Isnin, Januari 28, 2008

SUDAH TERBIT

5hb Februari 2008




Setelah begitu lama menunggu barulah novel ini terbit dan berada di pasaran. Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003 yang dianjurkan oleh DBP cawangan Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri dan GAPENA. Saya tertarik untuk menyertainya kerana pernah bertugas di Sarawak dan ingin merakamkan pengalaman semasa bekerja sebagai pemaju tanah di Bumi Kenyalang itu.



PETIKAN DARI RANDAU RUAI

Selesai makan, Tuai Pasong masuk ke bilik lalu mengeluarkan sebuah peti kayu yang disorokkan di bawah katil. Kemudian dia membuka peti tersebut. Di dalamnya ada beberapa bilah senjata. Tuai Pasong menggenggam erat senjatanya.
Kemudian dia duduk di ruai. Dalam sinaran bulan purnama Tuai Pasong melihat ke arah hutan Lembah Ranum yang letaknya bertentangan rumah panjang itu. Hutan itu adalah dunianya sejak kecil. Di situlah mereka mencari rezeki untuk isteri dan anak masing-masing. Kalau hutan itu diteroka alamat semua binatang di dalamnya akan pupus. Kalau babi, rusa, kancil atau binatang lain sudah tidak ada lagi dalam hutan itu, maka sumber makanan mereka turut hilang. Mereka tidak dapat berburu lagi di hutan itu.
Di tengah kawasan hutan itu ada sebatang sungai yang jernih airnya. Sungai itu mengalir hingga ke perkampungan Nanga Setia. Sejak dahulu sungai itu menjadi nadi kehidupan penduduk kampung. Di situlah mereka menangkap ikan. Kalau hutan itu sudah diratakan akan tercemar air sungai itu. Bila hujan turun maka tanah lumpur akan dihanyutkan ke dalam sungai. Akibatnya air sungai itu akan tercemar. Ikan-ikan di dalamnya akan mati. Mereka tidak dapat lagi menangkap ikan di sungai tersebut.
“Aku tak akan biarkan itu berlaku!” jerit hati Tuai Pasong.
“Aku tak akan benarkan kawasan hutan itu dimusnahkan. Aku tak akan biarkan air sungai itu tercemar. Aku tak rela hak aku dirampas.”
“Hari dah jauh malam. Marilah kita tidur,” lembut suara Bulan menyapa suaminya.
“Tidurlah dulu. Sekejap lagi aku datang,” balas Tuai Pasong.
“Saya tak akan tidur kalau awak tak ikut sama.”
“Aku belum mengantuk.”
“Aku juga.”
Di kejauhan, kedengaran salakan anjing memanjang dan sayup. “Kau dengar bunyi itu?” tanya Tuai Pasong.
“Seekor anjing yang kesepian,” jawab isterinya. “Mungkin anjing itu sedang menunggu pasangannya atau merasa tidak dipedulikan. Kalaulah saya seekor anjing saya juga akan menyalak seperti itu.”
Tuai Pasong tersenyum mendengar sindiran isterinya.
Dia tahu Bulan sering kesunyian. Tambahan pula hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah itu. Bila dia keluar isterinya tinggal seorang diri. Sejak akhir-akhir ini dia pula selalu sibuk. Kerana itu tidak hairanlah isterinya berasa kesepian dan seperti di abaikan.
“Kita dah sama-sama tua. Cuma menunggu hari mati saja. Apa lagi yang awak nak kejar? Sepatutnya awak dah berehat saja di rumah. Serahkan jawatan Tuai itu kepada orang lain,” kata Bulan dengan nada suara yang lembut.
Tuai Pasong hanya diam. Dia rasa tidak perlu menjawab kata-kata itu. Isterinya hanya mengulang ungkapan yang sama. Sudah berpuluh kali kata-kata itu keluar dari mulut Bulan yang dinikahinya lebih 40 tahun yang lalu.
“Anjing itu sudah berhenti menyalak. Mungkin dah jumpa pasangannya. Atau mungkin juga mereka dah sama-sama tidur. Anjing itu lebih memahami perasaan pasangannya,” sindir isterinya lagi.
“Aku juga dah mengantuk. Marilah kita tidur,” akhirnya Tuai Pasong mengalah juga.
.

10 ulasan:

NURAZZAH8 berkata...

Salam Pak LAtip,
TAHNIAH! InsyaAllah saya akan cuba cari di kedai nanti, tapi skrg ni sibuk betul dgn kerja etc..
Saya nak minta tolong Pak Latip baca blog Abang Long. Harap dapat tolong beliau, mungkin boleh tanya Sifu PTS, Puan Ainon kot2 ada kerja kosong di PTS.

Latiptalib berkata...

Salam Nurazzah8,
Saya telah membaca entri terbaru Abang Long dalam blognya. Sungguh terharu dan simpati dengan dugaan yang sedang dihadapinya. Saya cadangkan dia beralih mencari rezeki dengan menjadi pengedar buku atau penjual buku. Tambahan pula Abang Long mempunyai hubungan yang baik dengan Alaf21 dan menjadi anggota kelab promosi novel-novel alaf21.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Hmm...

Buku yang baik kualitinya perlukan pakejing yang baik.

Jabatan grafik DBP perlu belajar menghasilkan cover buku yang memikat hati bakal pembeli...

Latiptalib berkata...

Sifu Puan Ainon,

Sebagai pengarang novel ini saya tetap suka dan sayang. Ibarat anak ada yang wajahnya terlalu cantik dan ada pula yang agak kurang menarik tapi ayahnya tetap sayang kerana ada tuahnya.

Semoga novel ini juga mendapat sambutan yang baik daripada pembaca seperti novel2 saya yang diterbitkan oleh PTS.

Tanpa Nama berkata...

Salam hormat Pak Latif.
Lama tak menjenguk blog Pak latif. semoga Pak latif sihat sentiasa. Saya akan membeli Randau Ruai sebaik saja sampai di tanah air tahun ini.

Latiptalib berkata...

Merakemas terbang di kayangan semoga sihat dan ceria :)

Berilah alamat boleh saya kirim novel Randau Ruai.

Umi Kalthum Ngah berkata...

Assalamualaikum warahamtullah,

Encik Latip,

Tahniah! Kagum melihat kegigihan Encik Latip menulis tanpa jemu-jemu...

Saya berharap dapat menjadi seperti Encik Latip satu hari nanti...

Moga Allah murahkan rezeki, panjangkan umur, dan memberi Encik Latip kesejahteraan serta kelapangan waktu menghasilkan karya-karya lagi...Amin.

Wasalam

Latiptalib berkata...

Umi Kalthum Ngah,

Waalaikumsalam Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Tahniah! Kagum melihat kegigihan Encik Latip menulis tanpa jemu-jemu...)

Sekarang saya sudah bekerja sebagai penulis kenalah menulis setiap hari. Doakan saya terus diberi kekuatan untuk meneruskan tanggung jawab ini.

(Saya berharap dapat menjadi seperti Encik Latip satu hari nanti...)

Kenapa satu hari nanti?. Kenapa tidak sekarang?. UMi Kalthum Ngah juga seorang penulis. Marilah kita sama2 menghasilkan karya.

(Moga Allah murahkan rezeki, panjangkan umur, dan memberi Encik Latip kesejahteraan serta kelapangan waktu menghasilkan karya-karya lagi...Amin.)

Terima kasih atas doa-doa yang baik untuk saya. Doa dari sahabat mudah dikabulkan. InsyaAllah.

Saya juga mendoakan Umi semoga murah rezeki, panjang umur, sihat badan dan terus gigih menghasilkan karya. Amin.

Tanpa Nama berkata...

Saya tak faham komen Pn. Ainon.

Kan cover tu dah menarik sangat untuk standard DBP, malah lebih menarik daripada cover PTS yang kebanyakannya sudah identik PTS.

Tengok dari jauh, orang dah tahu siapa penerbit buku tersebut.

Latiptalib berkata...

anonymous,

Ramai yang kata buku-buku saya dengan PTS memang bagus. Gambar kulitnya pun menarik. Pakejingnya baik. Paling saya bersyukur tidak sampai setahun terbit ada yang diulang cetak sampai 3 kali.