Isnin, Januari 28, 2008

CERITA IBUNYA...

5hb Februari 2008


“Ahmad Zafran seorang anak yang baik. Saya benar-benar terasa kehilangannya…” begitu kata ibu allahyarham Ahmad Zafran yang saya kunjungi di rumahnya petang semalam.

Sambil mengesat air matanya dia bercerita lagi. “Dia tak ada menunjukkan apa-apa perubahan atau tanda-tanda ganjil sebelum meninggal dunia. Malah pada sebelah malamnya dia membaca al quran.”

Menurut ibunya lagi, pagi itu anaknya tidak keluar dari biliknya hingga tengahhari. Hati ibunya masih tidak mengesyaki apa-apa kerana sesekali ada juga arwah tidur selepas sembahyang subuh. Tetapi setelah pulang dari pasar kelibat anaknya masih tidak kelihatan maka ibunya menyuruh anak saudaranya masuk ke bilik. Kebetulan keluarga kakaknya balik ke kampung bercuti. Seluruh keluarga menjagi gempar apabila mendapati dia terbujur kaku, tubuhnya sejuk dan sudah tidak bernafas lagi.

“Dia meninggal dunia dalam tidur. Dia pergi tak menyusahkan sesiapa…”kata ibunya sambil menangis.

“Setiap kali melihat komputernya saya menangis. Terbayang-bayang dia mengadap komputer sedang menulis…” saya turut berasa sebak bila ibunya mengucapkan kata kata itu.

“Kalau ada apa-apa salah silap dia tolonglah maafkan. Kalau dia ada berhutang beritahu saya…”

Lalu saya katakan arwah tidak berhutang apa-apa dengan saya dan tidak pula menyakitkan hati.

“Kami tak lupa pertolongan latip pada malam kereta kami rosak itu. Anak saya selalu menyebut-menyebutnya.”

Dari perbualan kami itu saya dapat merasakan, pada malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 itu Ahmad Zafran berasa agak kecewa kerana dia tidak terpilih menerima apa-apa anugerah. Dia datang dengan membawa ibu dan abangnya. Lebih menyedihkan hatinya apabila keretanya rosak dan jam telah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Mungkin kerana itu bantuan saya itu menjadi kenangan kepadanya.

“Mungkin pada masa akan datang karyanya terpilih…”pujuk saya.

“Apalah maknanya lagi kerana dia sudah tidak ada…”ujarnya.

Menurutnya lagi, dia berasa amat terharu kerana ramai orang-orang PTS datang ke rumahnya termasuk Puan Ainon Mohd.

“Royalti buku daripada PTS nanti saya akan buatkan kenduri arwah dan buatkan haji untuk Ahmad Zafran,” kata ibunya.

Kata ibunya lagi allahyarham Ahmad Zafran seorang yang pemurah. “Bila dapat duit dari bukunya, dia tak lupa beri kepada anak-anak saudaranya terutama pada hari raya.”

“Baru-baru ini dia ada beritahu ada seorang kawannya yang berjanji hendak memasukkan duit ke dalam akaun banknya…” cerita ibu arwah lagi.

Saya terus mendengar dia bercerita. “Kata arwah, dia ada membantu seorang penulis baru sehingga dapat menyiapkan sebuah novel dan diterbitkan oleh PTS. Atas bantuannya memberi tunjuk ajar cara menulis itu maka penulis itu berjanji hendak memberi sedikit hadiah sagu hati kepadanya. Maka arwah pun nampak gembira lalu memberi nombor akuan banknya. Tetapi bila pergi ke bank akuannya kosong sahaja.”

Kalau penulis berkenaan membaca entri ini, saya berharap sangat tunaikanlah apa yang anda telah janjikan kepada Ahmad Zafran. Berikanlah duit itu kepada ibunya. Ibunya tidak minta buat begitu tetapi saya yang cadangkan. Sebab apabila kita sudah cakap atau sebut maka sudah menjadi nazar dan nazar itu wajid dibayar. Kalau tak dapat banyak, sedikit pun sudah memadai kerana anda sudah berjanji hendak memberinya sebagai hadiah atas tunjuk ajarnya sehingga novel anda dapat disiapkan.

Saya yakin kalau Puan Ainon dan warga PTS tahu perkara ini mereka juga akan marah kerana anda mungkir janji dengan buah hati Sifu.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MasyaAllah....Semoga Allah mengampunkan hambanya yang melupai janjinya.

Jika terlupa maka ingatlah apa yang dijanjikan apabila tersedar.

Jika kerbau berpegang kepada tali...maka manusia berpegang kepada janji.

Semoga kita tidak tergolong di dalam golongan yang hanya menabur janji tetapi alpa untuk menunaikannya. Amin

Latiptalib berkata...

Rafidah,

Sebagai manusia biasa kadangkala saya juga pernah terlupa pada janji tetapi bila teringat atau ada yang mengingatkannya saya berusaha untuk menunaikannya.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Siapakah agaknya penulis yang berjanji... supaya dapat saya peringatkan akan janjinya itu?

Latiptalib berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.