Selasa, Februari 01, 2005

KONGSI PENGALAMAN MENULIS



Saya mula menulis secara aktif pada tahun 1990. Cerpen pertama berjudul TUK NGAH tersiar di ruangan sastera Utusan Zaman (Sekarang Mingguan Jawi) pada 11 November 1990. Punyalah bahagianya hati saya pada hari itu sehingga akhbar tersebut saya beli sebanyak 5 naskah.

Setelah cerpen saya berjaya menembusi ruangan sastera akhbar tersebut saya semakin yakin dan aktif menulis dan selalu juga mendapat tempat di akhbar jawi itu. Setahun kemudian iaitu pada tahun 1991 novel pertama saya berjaya diterbitkan.

Pengalaman pertama kali melihat cerpen tersiar di ruangan sastera akhbar Utusan Jawi dan pengalaman melihat novel sulung diterbitkan itulah yang paling tidak dapat dilupakan.

Begitulah pengalaman saya sejak bergiat di bidang penulisan yang penuh dengan dugaan dan memerlukan banyak kesabaran ini. Seperti penulis yang lain, ada detik-detik yang melukakan perasaan dan ada pula detik-detik yang amat membahagiakan. Kesemua pengalaman suka duka tersebut akan saya simpan dalam diari ingatan semoga ada manfaatnya dalam mengharungi dunia penulisan yang saya minati ini.

Sebenarnya saya telah lama menyimpan cita-cita untuk menulis novel. Kalau tidak mampu menulis novel yang berat dan tebal, dapat menghasilkan novel kanak-kanak pun jadilah. Begitu hasrat hati saya. dan hasrat tersebut tersimpan beberapa lama sehingga menjelang tahun 1991.

Pada tahun itu juga berlaku satu lagi detik yang paling membahagiakan hati saya apabila cerpen “ BEGITU KEHENDAK TUHAN” memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Yayasan Pelajaran Islam. Itulah sayembara kali pertama saya menangi.

Kerana itu tahun 1990 dan 1991 merupakan detik yang memberansangkan saya untuk terus menghasilkan karya dengan bersungguh-sungguh. Antara mereka yang telah memberi bimbingan serta galakan kepada saya diperingkat awal menulis ialah Pak Matlob, guru pertama saya di bidang penulisan, dan Ghazali Ngah Azia penulis yang mula-mula saya kenali ketika mula menceburkian diri di bidang penulisan.

Saya mengenali Pak Matlob ketika beliau memimpin ruangan taman sains di Utusan Pelajar. Kerana minat membaca karya ahli kelab sains ruangan tersebut saya mengenali beberapa nama antaranya Ghazali Ngah Azia, Ismail Sarbini, Shaidan Mohd Noh (sekadar menyebut beberapa nama).

Walaupun minat menulis bermula di alam persekolahan namun menulis secara aktif hanya pada pada tahun 1990.Minat menulis itu timbul semula di dada saya bila Prof. Rahman Shaari menyelenggarakan antologi puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertajuk “ JIKA KAU RINDU”. Pihak DBP mengubungi saya supaya memberi kebenaran memuatkan tiga buah sajak hasil karya saya dalam antologi tersebut.

Kemudian saudara Ghazali Ngah Azia pula menghubungi saya melalui surat meminta persetujuan untuk memuatkan beberapa buah cerita sains yang pernah tersiar dalam Utusan Pelajar yang saya tulis ketika berada dalam tingkatan lima, untuk dimuatkan dalam antologi cerpen bersama yang beliau selengarakan. Reaksi saya kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan. Tambahan pula memang saya berasa satu penghormatan bila ada pihak lain yang sudi membukukan karya saya. Maka timbul semangat untuk menulis secara aktif. Lalu saya beranikan diri mengirimkan karya ke surat kabar.

Seperti yang saya katakan di awal tadi saya telah lama ingin menghasilkan novel, peluang itu terbuka bila sdr Ghazali Ngah Azia menghubungi saya melalui surat menyuruh saya menulis cerita kanak-kanak setebal kira-kira 100 halaman. Tetapi kata saya, tidak tahu bagaimana hendak memulakan menulis novel.

“ Saudara pernah menulis cerita kanak-kanak. Contohnya cerita terbang bersama kawan yang mengesahkan rintihan seekor burung yang terkurung dalam sangkar. Cuba panjangkan cerita itu hingga jadi sebuah novel,” Kata Ghazali Ngah Azia dalam suratnya.

Atas cadangan serta galakan itu maka saya pun memulakan penulisan novel yang pertama. Tetapi timbul beberapa masalah mengenai watak dan cara hendak memanjangkan cerita.

Ghazali Ngah Azia mencadangkan supaya saya menulis watak mereka yang paling rapat dalam kehidupan saya. Lalu saya jadikan anak-anak saya sebagai watak dalam cerita. Nama-nama watak dalam novel pertama saya seperti Nor Faizin, Shukri dan Shakirin adalah nama anak-anak saya.


Untuk memanjangkan cerita dari satu bab ke satu bab saya mendapat tunjuk ajar dari Saudara Mokhtar Haji Razali bekas Editor Utusan Publications.

Menurut saudara Mokhtar menulis buku cerita kanak-kanak tidak seperti menulis novel bacaan orang dewasa. Ayatnya mesti rengkas padat dan mudah difahami oleh kanak-kanak yang membacanya. Beliau memberikan saya beberapa buah buku untuk dijadikan contoh.

“ Lijat buku ini,” kata beliau sambil membuKa bab pertama buku cerita kanak-kanak itu. “ Bab pertamna merupa daya tarikan kepada kanak-kanak untuk terus membacanya. Jika kita berjaya menarik perhatian maka mereka akan terus membaca bab berikutnya. Oleh kerana itu bab pertama cukup kalau kita ceritaKan latar belakang, watak watak dan persoalan cerita sahaja. Tidak perlu panjang panjang. dua ataU tiga muka surat pun sudah memadai,”

“ Sebelum penutup bab pertama kita tuliskan persoalan pokok ceritanya bertujuan menimbulkan perasaan ingin tahu kepada kanak-kanak yang membacanya. Di akhir bab kedua pula kita timbulkan lagi persoalan yang boleh menimbulkan persoalan yang baru. Kemudian di bab ketiga pula baru ditemukan jawapan kepada persoalan cerita di bab kedua tadi. Tetapi persoalan pokok cerita masih belum selesai. Begitulah pada bab seterusnya…”

Saya mendengar tunjuk ajarnya itu dengan penuh minat. Tambahan pula sebelum itu saya tidak pernah menghadiri mana-mana bengkel atau kursus penulisan. Bila ada orang yang sudi beri tunjuk ajar sudah tentu peluang itu tidak saya lepaskan. Sekarang sdr Mokhtar tidak ada lagi di Utusan. Tempatnya diganti oleh Puan Nor Azaz Aziz.

Di Dewan Bahasa dan Pustaka pula dapat tunjuk ajar dari Encik Ali Majod dan Talib Samad yang ketika itu masih bertugas dengan DBP. Bila ada kursus atau bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) atau Dewan Bahasa Dan Pustaka atau sebagainya saya menghadirinya.

Pernah hadir dalam bengkel yang dibimbing oleh arwah Dr Othman Puteh, SN Dato’ Abdullah Hussain, SN Othman Kelantan, Mohd Salleh Rahamad, Puan Nor Azaz Aziz, Puan Sri Diah, Prof Wan Abu Bakar, Puan Mahaya Yassin, Puan Nisah Haron dan Cik Siti Jasmina Ibrahim.

Ya , saya akan terus belajar serta menimba pengalaman dari “guru-guru” sepanjang hayat….

0 ulasan: