Sabtu, Februari 05, 2005

KONGSI PENGALAMAN MENULIS DENGAN PAK LAH

SASTERAWAN NEGARA DATO' ABDULLAH HUSSAIN

Kali pertama saya bertemu Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain pada majlis penyampaian " Hadiah Sastera Berunsur Islam 1V " dalam tahun 1992 di Pusat Islam Kuala Lumpur. Beliau hadir bukan sebagai pemenang tetapi untuk meraikan para pemenang. Pak Lah berdiri di pintu masuk dan saya sempat bersalaman dengannya.

Kali kedua kami bertemu serta dapat berkenalan dengan lebih rapat ketika kami sam-sama menyertai rombongan GAPENA ke Sumatera Barat Minangkabau dalam tahun 1994.

Kebetulan dalam perjalanan dari Dumai ke Bukit Tinggi kami duduk satu bangku dalam bas. Ini memberi kesempatan kepada kami untuk berbual panjang. Dan saya berasa bertuah kerana pengarang yang saya kagumi sejak di alam persekolahan itu seorang yang tidak kedekut mencurah ilmu serta pengalaman di bidang penulisan.

Perkara utama yang menjadi topik perbualan kami pada masa itu mengenai novel " Imam " yang memenangi tempat pertama hadiah Nasional Novel Sako 1 yang dianjurkan oleh Utusan Melayu- Publik Bank.

Menurut SN Dato’ Abdullah, beliau mengambil masa lebih 3 tahun untuk menyiapkan novel setebal 900 halaman itu. Walaupun tujuan beliau menulis novel itu bukan untuk sayembara tetapi penyertaannya untuk hadiah novel nasional itu cuma di saat akhir dengan tujuan supaya manuskrip tersebut dibaca dan dinilai oleh penel sayembara dengan andaian jika menang manuskrip tersebut mudah diterbitkan. Beliau menjangka tidak ada penerbit yang sanggup menerbitkan manuskrip yang begitu panjang kecuali jika memenangi sayembara.

Bila ditanya bagaimana perasaannya setelah memenangi hadiah novel yang begitu besar di negara kita?. “ Penghargaan itulah saja yang bernilai sementara pendapatannya tidaklah selumayan mana kerana setelah bekerja keras selama lebih tiga tahun pendapatan yang diperolihi cuma RM30,000.00 atau RM700.00 sebulan,” katanya sambil tersenyum.

Namun kabarnya, SN Dato’ Abdullah Hussain antara penulis yang paling banyak mendapat bayaran royalti dari novel tersebut.

" Tujuan saya menulis bukan untuk mengumpul harta atau ingin menjadi kaya raya," katanya.

Menurutnya, beliau pernah bekerja di negara Brunei, Singapura dan Indonesia, ketika itu banyak peluang jika ingin menjadi kaya raya tetapi beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya untuk mengaut harta kekayaan.

Menurut Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain, apa yang paling menggembirakan hatinya ialah setiap kali melahirkan karya beliau merasa bahagia seperti bahagia seorang ayah menerima kelahiran cahaya mata.

"Kerana itu pengarang nampak awet muda kerana selalu merasa bahagia setiap kali melahirkan karya," katanya.

Ketika ditanya bagaimana proses melahirkan karya, beliau menyatakan kebiasaannya sebelum memulakan kerja penulisan beliau akan memeram dulu bahan-bahan penulisannya dalam kepala kemudian barulah dicurahklan di atas kertas.

Beliau mengambil contoh bagaimana kelahiran seorang bayi yang mana melalui beberapa tahap sebelum dilahirkan. Jika belum cukup bulan bayi yang dilahirkan itu dianggap " premature".

Sebelum bayi dilahirkan, si ibu kena buat persiapan seperti penjagaannya, kesihatannya, memakan makan yang berzat,menyediakan kain lampin, tempat tidur bayi dan sebagainya. Jika kelahirannya tidak dengan persediaaan sudah tentu bayi itu akan terencat mental dan fizikalnya, begitu kata SN Dato’ Abdullah Hussain.

Saya merasa kagum dengan semangat Dato’ Abdullah Hussain. Walaupun usainya sudah menjangkau lebih 70 tahun tetapi semangatnya masih kental dan tenaganya masih kuat.

Beliau sanggup menyertai 49 penulis kerabat GAPENA mengembara ke Sumatera Barat melalui jalan darat yang banyak cabaran dan berliku-liku itu. Di Kota Padang beliau turut hadir di hari "Sumpah Pemuda" bertemu dan berdialog dengan tokoh budaya dan sastera Sumatera Barat dan tidak pernah ketinggalan dalam lawatan ke tempat- tempat bersejarah.

Menurut SN Dato’ Abdullah, beliau sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Beliau tidak merokok, selalu bersikap sederhana dalam semua perkara, waktu tidur yang cukup dan mengambil sedikit sahaja makanan setiap kali makan.

"Penyakit berpunca dari perut. Jika membatasi kemahuan perut pasti sihatlah badan kita,” begitu petua SN Dato’ Abdullah.

Ketika kami berada di Bukit Tinggi yang pemandangannya amat indah dan udaranya sejuk itu, sekali lagu saya mendampingi Dato’ Abdullah untuk bertanyakan pengalamannya di bidang penulisan.

Menurut SN Dato’ Abdullah, beliau mula menulis ketika berusia 18 tahun dan kini sudah lebih 50 tahun beliau menjadi penulis.Beliau telah membuktikan ketokohannya di bidang sastera, bila Novel yang berjudul "Imam" telah berjaya memenangi hadiah bernilai RM30.000.00. Kemudian beliau di anugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

Mengenai nama-nama watak dalam novel "Imam", menurut Pak Lah , beliau sengaja memilih judul Imam Mihat kerana dalam masyarakat Melayu dan Islam, imam merupakan orang yang paling berpengaruh malah sangat dihormati. Imam boleh memimpin masyarakat manakala Mihat pula nama orang melayu tulin.

Imam Mihat cuba menyedarkan masyarakat supaya menghargai diri sendiri kerana di sisi Allah swt mereka yang mulia ialah yang lebih takwanya. Sebaliknya mereka yang menderhaka kepada Allah akan menerima balasan.

Kerana imam Mihat di lahirkan oleh pengarangnya melalui pengalaman peribadi dan citarasa yang telah dicanai begitu lama maka tidak hairanlah nivel tersebut dianggapa antara novel melayu yang terbaik.

Beliau juga menasihatkan penulis-penulis muda jangan terlalu ghairah untuk menjadi terkenal dengan mengambil jalan pintas seperti menciplak karya orang lain dan jangan cepat lupa diri bila dipuji kerana itu boleh merugikan masa depan penulis itu sendiri.

Selepas balik dari lawatan ke Sumatera kami pernah berutus surat bertanya kabar. Dan saya masih menyimpan surat beliau yang bertulisan tangan. Dan semasa saya bertugas di Serawak, Pak Lah pernah juga mengirimkan Warta Gapena.

Tetapi kini kami jarang bertemu. Semoga Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain sihat dan bahagia di samping keluarga.

0 ulasan: