Jumaat, Februari 04, 2005

EMEL DARI NOR AINI

A'kum sdr......
1.Membaca pengalaman sdr membuatkan mata saya berkaca, hanya tunggu untuk menitis sahaja. Terharu dan berkobar-kobar semangat saya untuk turut menjejaki langkah sdr dalam bidang penulisan ini.
Kata pepatah melayu "Hanya Jauhari Saja mengenal manikamnya." Kini saya sedar akan pepatah tersebut. pembaca kini mempunyai selera tersendiri, seumpama selera makan.
Sebetulnya; penulisan saya baru berakar dan pucuknya juga baru sahaja bertunas. Ilmu penulisan saya hanyalah senipis kulit bawang. bolehkah sdr menjadi guru saya dalam ruangan ini?
seandainya sdr sudi, saya teramat girang dan bersyukur.....'seperti itik mendapat air' . Ah...., perlukah saya nyatakan ucapan ini? Maaf kerana keterlaluan dan beremosi sejenak.


JAWAPAN SAYA

Alhamdulillah, sekiranya tulisan saya memberi manfaat kepada sdr Noraini. Saya bersetuju dengan pendapat sdr bahawa setiap pembaca mempunyai citarasa yang tersendiri apabila menghayati sesebuah karya. Penulis juga mempunyai cara yang tersendiri. Inilah uniknya dunia penulisan.

Saya berasa satu penghormatan sekiranya sdr sudi menjadikan saya sebagai rakan tempat berbincang di bidang penulisan. Saya takut nak gunakan perkataan guru kerana ilmu saya tak seberapa.

Semasa mula-mula menceburkan diri di bidang penulisan, saya juga mendapat rakan dan guru yang sanggup memberi sokongan moral. Mereka memberikan bimbingan secara lansung dan secara tidak lansung. Nama nama mereka saya tidak lupakan sampai sekarang. Semoga nama saya juga tidak sdr lupakan…haha.

2. Penulis novel sekarang kebanyakannya hanya tahu menulis novel berunsur cinta dan adat/ nilai kebaratan. hanya segelintir kecil sahaja penulis novel yang menulis unsur kemasyakatan budaya di perkampungan, orang-orang kurang berkemampuan dan pengajaran ke arah ugama islam. Sebagai orang lama dalam dunia penulisan ini, apa komen dan pendapat sdr? Boleh sdr kongsikan pandangan sdr itu dengan saya?

JAWAPAN SAYA


Dalam bidang penulisan novel di negara kita ada dua istilah yang sering digunakan iaitu novel popular dan novel sastera. Maksud novel popular itu, kandungannya lebih kepada hiburan semata-mata. Manakala novel sastera pula sebaliknya.

Dalam hal ini terserah kepada pilihan masing-masing. Kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut acuan pemikiran kita. Namun saya setuju kalau sdr menumpukan penulisan novel ke arah mendidik masyarakat dengan nilai keagamaan. Tugas penulis juga sebagai pendakwah.

3. Ketika sdr menulis, apakah bahan-bahan rujukan untuk sdr menghasilkan sesebuah novel? Adakah ianya berdasarkan pengalaman semata-mata atau pun sdr ada idola tersendiri. Kalau ada, bolehkah sdr sebut siapakah idola ataupun role model sdr itu sehingga sdr boleh menjadi seorang penulis dikalangan penulis ternama.

JAWAPAN SAYA
Bahan-bahan rujukan adalah penting ketika menulis. Dengan adanya bahan rujukan seseorang penulis itu lebih mudah menjalankan kerjanya.

kalau menulis cerpen berunsur Islam biasanya saya merujuk kepada kitab hadis atau tafsir al quran. Tetapi kalau cerpen biasa saya hanya berdasarkan kepada pemikiran serta pengalaman sendiri sahaja.

Saya sebenarnya tidak ada idola tertentu dalam bidang penulisan. Cuma semasa remaja saya suka membaca novel Hamka. Saya juga suka membaca karya-karya yang ditulis oleh penulis-penulis di negara kita. Tetapi sejak saya berkenalan dengan SN Dato’ Abdullah Hussain saya lebih berminat membaca hasil karyanya. Termasuk karya terjemahan. Biasanya apabila kita kenal penulis itu baru kita lebih berminat membaca karyanya. .hahaha

4. Saya begitu bangga kerana dapat berbicara dgn sdr meskipun menerusi e-mail. Masa menjaga anak yang berusia 10 bulan di rumah dan menguruskan rumah tangga menambahkan lagi cabaran saya untuk terus mara dalam menghasilkan sebuah novel. kerana minat yang mendalam dalam penulisan saya cuba bangkit meskipun sesekali saya tersungkur di dada waktu. Alhamdulillah tanpa sokongan dari suami saya sudah pasti impian tinggal impian semata-mata. Kini saya semakin bersemangat setelah e-mail saya kepada sdr tempoh hari sudah terbalas.Terima kasih sdr.
JAWAPAN SAYA

Saya mengucapkan syabas kepada sdr Nor Aini kerana punya semangat sdr yang begitu tinggi untuk menjadi seorang penulis. Dan saya yakin cita-cita sdr itu akan berjaya dengan syarat ada kesungguhan

Saya yakin sdr ada bakat, minat damn kesungguhan. Dalam bidang penulisan 3 perkara ini penting. Kalau ada bakat tetapi tidak ada minat maka tidak menjadi. Ada bakat dan minat tetapi tidak ada kesungguhan juga tidak menjadi..

Sdr juga bertuah kerana mempunyai seorang suami yang memahami minat sdr di bidang penulisan. Sokongan dari suami/isteri amat penting. Saya sendiri mendapoat sokongan dari isteri. Dia memberi masa kepada saya untuk menulis.

Ada penulis wanita sebelum berkahwin aktif menulis tetapi bila sudah punya suami dan anak karyanya semakin berkurangan. Dan akhirnya bersara dari bidang penulisan. Tetapi sdr lebih hebat. Walau sudah punya suami dan anak namun tidak menghalang untuk menulis.

Sekian terima kasih.

0 ulasan: