Rabu, November 10, 2004

Dia Pergi Menjelang Raya


HARI ini 27 Ramadan. Suasana hari raya telah mula dirasakan. Radio dan tv sering menyiarkan lagu hari raya. Suri rumah mula sebuk membuat persiapan. Ada yang menjahit pakaian untuk dipakai pada hari raya. Mereka yang sebuk bekerja pula sudah membeli atau membuat tempahan baju raya masing-masing. Ramai pula yang sebuk membuat kuih muih untuk dihidangkan kepada para tetamu. Tetapi ramai juga yang membeli kuih raya atau lebih popular “kuih tunjuk’ sahaja.
Pagi semalam ketika isteri dan anak perempuan saya (dia sedang bercuti) sedang sebuk menjahit pakaian kami dan saya pula baru selesai mengelap cermin tingkap rumah kami mendapat berita sedih kerana kakak ipar (kakak isteri) saya meninggal dunia. Innalillahi wainna ilaihirajiun.
Dia berusia 60 tahun. Suaminya telah lama meninggal dunia tetapi anak-anaknya sudah besar dan ramai yang sudah berumah tangga. Kakak ipar saya itu sudah lama mengidap penyakit asma. Pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali tetapi akhirnya dia berasa serik lalu enggan ke hospital kerajaan dan lebih suka ke klinik swasta sahaja.
Kakak ipar ini agak peramah dengan saya. Semasa dia sihat selalu datang ke rumah dan saya suka mengusiknya dengan kata-kata. Semalam isteri mengajak saya menziarahinya kerana sudah agak lama juga kami tidak berjumpa. Pertemuan kali terakhir sebelum puasa dan dia nampak uzur kerana penyakit asma yang dideritanya sekian lama. Dan kami bercadang ingin menziarahinya hari ini. Rupanya kami Cuma dapat melihat jenazahnya sahaja. Kerana itu isteri saya berasa agak terkilan kerana kalau kami tidak tangguhkan pasti sempat bertemu sebelum dia meninggal dunia.
Menurut anak perempuannya, pagi tadi dia nampak lebih sehat dari biasa. Dia telah bercadang hendak membuat kenduri tahlil untuk arwah suaminya. Tetapi selepas dia mandi keadaannya berubah. Dia kelihatan lemah lalu dibaringkan dan sebelum meninggal dunia sempat mengucap dua kalimah syahadah.
Jenazahnya selamat dikembumikan selepas solat asyar. Isteri saya turut memandikan kakaknya dan saya pula turut menyembahyangkan jenazahnya. Semoga dia mendapat rahmatNYA. Al Fatihah.

0 ulasan: