Jumaat, Oktober 15, 2004

RAMADAN DATANG LAGI...

RAMADAN DATANG LAGI…

Hari ini 15. 10. 2004 bersamaan hari Jumaat 1 Ramadan 1425 Hijrah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut kedatangan Ramadan. Bagi diri saya ini Ramadan kali yang ke 50 dengan harapan semoga dipanjangkan umur, disihatkan tubuh badan dan akal fikiran, banyak amal ibadat dan mendapat rezeki yang berkat.

Saya teringat zaman kanak-kanak dulu, di tempat kelahiran saya di Rembau hari terakhir bulan Sya’ban dinamakan “ Hari Mogang”, iaitu hari untuk menyambut kedatangan Ramadan. Pada hari itu semua penduduk kampung membakar lemang dan memasak rendang daging. Kemudian kami berkumpul satu keluarga untuk menikmati lemang panas di cicah dengan rendang. Oh alangkah berseleranya. Betapa manisnya kenangan itu.

Tetapi hari ini “ Hari Mogang” tidak lagi meriah seperti dulu. Walaupun masih ada yang membakar lemang dan memasak rendang namun suasananya jauh berubah. Mungkin ada kaitannya dengan peredaran zaman. Dulu lemang dan rendang hanya dapat dimakan pada “Hari Mogang” dan hari-hari raya sahaja. Tetapi hari ini lemang dan rendang boleh dimakan pada bila-bila masa. Di pasar tani lemang dan rendang banyak dijual. Malah di tepi jalan raya juga ada yang menjual lemang. Kerana itu barangkali lemang dan renbang bukan lagi makanan istimewa. Tidak hairanlah pada “Hari Mogang” dan menyambut hari raya ramai yang tidak lagi membakar lemang sebaliknya diganti dengan ketupat sahaja.

Saya sendiri hari Mogang kali ini tidak membakar lemang. Sebabnya hanya saya dan isteri sahaja yang ada di rumah anak-anak tidak pulang kerana sebuk dengan pelajaran dan pekerjaan mereka. Kebetulan pula semalam (khamis) ada pasar tani di tempat saya maka saya berpendapat lebih mudah membeli lemang dan rendang sahaja.

Membakar lemang bukan kerja yang mudah. Kita kena sediakan buluh (sekarang buluh semakin sukar didapati), daun pisang, kelapa masak dan beras pulut. Proses membakar lemang pula mengambil masa antara 4 ke 6 jam. Kalau bara api terlampau marak lemang menjadi hangus. Kalau api terlalu kurang lemang akan jadi mentah.

Selepas makan lemang dan rendang saya dan isteri ke masjid untuk solat berjemaah. Kemudian kami solat Tarawih. Sabda Rasullulh saw yang bermaksud,, barangsiapa solat terawih pada malam pertama di bulan Ramadan Allah swt akan menampunkan segala dosanya seolah dia baru dilahirkan oleh ibunya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mengasihani terhadap hambaNYA. Amin.


1 ulasan:

Latiptalib berkata...

sdr ain, adat orang merantau gitu la. macam mana suasana ramadan di sabah?. kabarnya meriah. selamat beriftar.