Selasa, Oktober 09, 2007

KARYAWAN TAMU


Pagi tadi bertempat di Sekolah Kebangsaan Simpang Durian, Jelebu diadakan Program Karyawan Tamu dan saya dijemput sebagai penceramahnya.

Mereka yang hadir terdiri daripada murid tahun 6 yang telah mengambil peperiksaan UPSR. Turut hadir guru-guru sekolah tersebut.

“Program selepas UPSR ini bertujuan berkenalan dengan penulis disampimg menanamkan minat membaca serta cintakan buku di kalangan pelajar,” demikian kata-kata Encik Bahrun bin Mat Amin Guru Besar sekolah tersebut.

Saya mengambil kesempatan untuk mempromosikan novel-novel sejarah Islam dan novel-novel Sejarah Tanah Melayu.

Alhamdulillah, mereka nampak teruja hendak membacanya.

Pihak sekolah membelinya untuk perpustakaan. Guru-guru membelinya sebagai bacaan tambahan. Pelajar-pelajar juga berminat membacanya.

Alhamdulillah, pelajar-pelajar di sekolah rendah luar bandar juga minat membaca novel-novel pahlawan Islam.

Semoga bermanfaat kepada mereka.

4 ulasan:

ainon mohd berkata...

Pagi tadi saya ke UiTM. Cik Firdaus, editor PTS ISLAMIKA ikut dalam kereta saya.

Dia bercerita, satu hari dia naik bas pulang ke Ipoh. Kebetulan duduk di sebelah seorang lelaki yang sedang membaca "KHALID".

Dia ambil kesempatan berkenalan dan memberitahu dia bekerja dengan syarikat yang menerbitkan buku itu, tetapi lelaki itu tidak percaya!

Dia bersungguh-sungguh membritahu dia memang bekerja di PTS.

Kemudian lelaki itu memberitahu dia sudah membaca "TARIQ".

Sungguh luar biasa...

Siapa kata orang tidak suka membaca buku sejarah?

Tanpa Nama berkata...

Memang benar ramai tidak suka membaca buku sejarah sebab terlalu banyak fakta hingga menjemukan bila membacanya.
Tetapi kalau sejarah difilemkan ianya amat menarik dan pernah dibuat oleh barat.
Penulis2 barat juga amat kreatif mereka amat bijak mengambil sejarah untuk dibukukan. Tetapi kenapa di negara kita tidak ada penulis yang mampu menulisnya?.
Kalau adapun adalah terjemahan dari bahasa asing.

Latiptalib berkata...

Sifu Puan Ainon,

Sebagai penerbit Puan lebih arif mengenai sambutan pembaca terhadap novel sejarah yang diterbitkan oleh PTS.

Sebagai pengarang saya bersyukur kerana novel sejarah Islam diulangcetak tidak sampai setahun diterbitkjan dan dilesen oleh Jakarta untuk diterbitkan di Indonesia.

Semalam dalam program Karyawan Tamu di sebuah sekolah di Jelebu, seorang guru di sekolah tersebut menghadiahkan novel Setelah Roboh Kota Melaka kepada anaknya.

Guru itu (Tuan Haji Amirudin) mengatakan maklum balas dari anaknya, novel itu "best" dan membacanya hingga tamat.

Guru pusat sumber ramai yang membeli novel sejarah ini.

Alhamdulillah.

Latiptalib berkata...

anonymous,

Memang tidak dinafikan membaca teks buku sejarah memang berat malah menjemukan. Tetapi apabila diolah dalam bentuk novel maka sedap dibaca. Cubalah baca dulu novel-novel tersebut. Atau paling mudah baca ulasan oleh mereka yang sudah membacanya.

Memang benar ramai yang menyangka novel sejarah Islam yang saya tulis itu adalah terjemahan dari novel bahasa Arab atau Inggeris.

Itu menunjukkan novel tersebut hebat sehingga mereka tidak percaya ditulis oleh penulis Melayu...hehe.