Isnin, November 19, 2007

SEJARAH MELAYU / TUN SRI LANANG

Tun Sri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615.

Menurut Winstedt, Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang mulai bulan Februari 1614 dan siap pada Januari 1615.

Maknanya Sejarah Melayu ditulis 103 tahun setelah Melaka ditakluk Portugis. Tambahan pula semasa menulis Sejarah Melayu Tun Sri Lanang berada dalam tawanan Acheh. Dan meninggal di Acheh.

Kerana itu tidak mustahil terdapat tokok tambah atau penulisannya terpaksa mengikut kehendak sultan Acheh.

Walau bagaimanapun Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang itu merupakan satu-satunya buku rujukan kita bagi menulis semula sejarah Melayu moden. Itulah buku sejarah yang ditulis oleh anak bangsa kita yang seharusnya kita banggakan.

Jangan pula kerana ada yang berbeza fakta dengan sejarah yang ditulis oleh barat maka kita terus menolaknya.

Harus juga diingat, Sejarah Melayu itu bukan karangan atau rekaan Tun Sri Lanang tetapi dia mengumpulkan kisah –kisah sejarah itu dari cerita lisan orang tua-tua termasuk, ayah, ibu dan datuknya.

Ini berdasarkan kata-kata Syaikh Nuruddin al Raniri dalam kitabnya Bustanul Salatin ada menyebutkan:

"Kata Bendahara Paduka Raja yang mengarang kitabmisrat Sulalatus Salatin, ia mendengar daripada bapanya, ia mendengar dari pada neneknya dan datuknya,..

Mengenai persoalan benarkah Parameswara dan Raja Iskandar Shah itu orang yang sama?

Memang orang yang sama. Semasa menjadi pelarian dia memakai nama samaran (Parameswara) kerana sedang diburu oleh musuh-musuhnya. Setelah berasa dirinya selamat maka baru ditukar namanya semula kepada nama yang sebenar (Raja Iskandar Shah).

Sejarah yang mengatakan Parameswara berasal dari Palembang lalu membuka temasik dan akhirnya membuka Melaka itu ditulis oleh penulis sejarah Barat berdasarkan cerita lisan dari Sumatera.

Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang berdasarkan cerita Lisan dari orang-orang Melayu.

Kenapa Inggeris yang menulis sejarah tanah air kita tidak menjadikan Sejarah Melayu sebagai rujukannya?.

Kenapa terdapat perbezaan fakta antara Hikayat Hang Tuah dengan Sejarah Melayu?.

Hikayat Hang Tuah ditulis bukan pada masa Hang Tuah masih hidup. Sejarah Melayu pula ditulis bukan pada zaman kesultanan Melayu Melaka.

Penulisnya mengumpulkan cerita itu dari cerita lisan orang-orang tua. Kerana itu tidak mustahil terdapat tokok tambah dan perbezaan fakta.

Dalam Islam juga terdapat perbezaan Mazhab. Ada sunni dan ada syiah.
Malah dalam pentafsiran jumlah ayat-ayat al Quran juga terdapat perbezaan pendapat.

Ada yang mengatakan ayat al Quran itu berjumlah 6,666 ayat tetapi ada pula yang mengatakan 6,217, malah Ibnu Katsir pula mengatakan 6,220 ayat, Hamzah ulama Kufah 6,236 ayat dan Abu Ja’far 6,210 ayat.

Dari segi tafsiran maknanya juga terdapat perbezaan pendapat.

Adakah kita keliru? lalu menganggap ayat al Quran itu telah ditambah atau dikurang?. Jawapannya tidak kerana itu tafsiran manusia yang bersifat lemah.

Kita tetap bangga kerana al Quran itu kitab suci kita. Kita juga bangga dengan adanya buku Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang kerana itulah satu-satunya buku sejarah yang merakamkan sejarah bangsa kita.

1 ulasan:

djambu puadovich berkata...

assalamualaikum encik abd latip,
sy nak tumpang tanya, di mana saya boleh dapatkan buku sejarah melayu ini? ada dijual secara online tak?