Sabtu, November 10, 2007

HIKAYAT AMIR HAMZAH


Hikayat Amir Hamzah ini pada mulanya ditulis oleh seorang penulis Parsi dengan judul Qissa’i Emir Hamza. Kemudian diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul Sirat Hamzah.

Manuskrip ini dibawa oleh pendakwah dari India ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Ia disalin dengan tulisan tangan oleh penulis istana raja Melaka yang mengambil masa selama 15 tahun bagi menyiapkannya.

Selain bahasa Melayu, manuskrip ini juga ditulis dalam bahasa Jawa, Bali, Acheh, Turki dan Hindi.

Hikayat Amir Hamzah diterbitkan dalam tulisan rumi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1987. Penyelenggara naskhah ini A.Samad Ahmad masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama.

Pada tahun 2005 semasa mengikuti bengkel penulisan, Puan Ainon Mohd mengatakan PTS sedang mencari penulis yang sanggup memodenkan bahasa Hikayat Amir Hamzah. Saya terus menyatakan kesanggupan walaupun saya belum pernah membaca naskhah tersebut. Dan pada hari itu juga saya ke kedai buku mencarinya lalu terjumpa Hikayat Amir Hamzah edisi kedua penyelenggara A.Samad Ahmad terbitan DBP 1987.

Pertama kali membacanya memang agak sukar memahaminya kerana naskhah tersebut masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama. Namun saya terus juga berusaha memodenkan bahasanya sehingga selesai.

Seorang kawan yang membaca manuskrip yang telah dimodenkan bahasanya itu mengatakan kisah Amir Hamzah ini melencung dari sejarah Islam yang sebenar. Lalu dia mengatakan rasa bimbangnya kalau menimbulkan kontraversi.

Namun saya tidak takut kerana Hikayat Amir Hamzah ini telah dibaca oleh orang Melayu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Semasa Portugis menyerang Melaka sultan menyuruh dibacakan Hikayat Amir Hamzah bagi menaikkan semangat pahlawan Melaka. Manuskrip ini juga dibawa oleh pendakwah Islam yang datang ke Melaka. Tambahan pula setelah 20 tahun naskhah ini diterbitkan oleh DBP tidak timbul pula kontraversi.

Watak utama dalam cerita ini ialah Saidina Hamzah, pahlawan Islam yang gugur syahid dalam perang Uhud. Sesuai dengan bentuk hikayat ceritanya telah ditokok tambah. Amir Hamzah digambarkan begitu hebat contohnya seperti berikut:

Disebabkan kuatnya tempikan Amir Hamzah boleh kedengaran hingga 18 penjuru bumi jauhnya. Segala harimau yang mendengar tempikan itu terkejut lari. Segala unta dan kuda menjatuhkan diri. Panah yang ada di tangan musuhnya jatuh ke tanah.

Kisah Amir Hamzah ini diceritakan bermula sebelum kedatangan Islam.

Hikayat Amir Hamzah dalam bahasa Melayu moden ini akan diterbitkan oleh PTS Fortuna tidak lama lagi. Kerana naskhah itu tebal maka akan diterbitkan dalam tiga jilid.

Yang pertama akan terbit tidak lama lagi.

13 ulasan:

Wan Nor Azriq berkata...

Akum Pak Latip,

Nama saya Wan Nor Azriq. Saya sedang mencari Hikayat Hang Tuah di pasaran, tetapi belum lagi jumpa. Pak Latip tahukah di mana saya boleh mendapatkannya?

Terima kasih.

Latiptalib berkata...

Wan Nor Azriq

Saya juga sedang mencari Hikayat Hang Tuah tapi masih belum jumpa.
Kalau saya terjumpa nanti beritahu saudara.

Tanpa Nama berkata...

A'kum Pak Latip
Cemburu betul aku dengan kehebatan Pak Latip. Satu demi satu buku terbit dengan PTS. Pak Latip pandai bodek Puan Ainon kot. kekeke.

Hamba Allah.

Tanpa Nama berkata...

Pak Latip maaf nak buat pembetulan,semasa Portugis menyerang Melaka, pahlawan Melaka baca Hikayat Muhamad Hanafiah bukan Hikayat Amir Hamzah.

Sekian.

Hang Jebat.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Barang siapa akan dia suka hendak membodek akan Puan Ainon, maka hendaklah akan dia menulis banyak buku-buku yang evergreen...

Puan Ainon.

Latiptalib berkata...

Sifu Puan Ainon

Terima kasih kerana memberi jawapan kepada Hamba Allah.

Hang Jebat

Dalam buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) karya Tun Seri Lanang, Tun Muhammad Unta mengadap Sultan Ahmad memohon dibacakan Hikayat Muhamad Hanafiah tetapi Sultan Ahmad memberikan Hikayat Amir Hamzah.

Timbul pertanyaan kenapa baginda memilih Hikayat Amir Hamzah?.

Dalam kisah Hikayat Amir Hamzah ada diceritakan Amir Hamzah berperang dengan orang Peringgi (Portugis). Musuh yang sama sedang dihadapi oleh pahlawan Melaka. Kerana itu baginda memilih Hikayat Amir Hamzah.

Tetapi ada pula yang mengatakan mereka membaca keduanya kerana Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhamad Hanafiah digolongkan sebagai "Hikayat Perang".

Hikayat Muhamad Ali Hanafiah telah diterbitkan oleh PTS dimodenkan bahasanya oleh Muhamad Ikhram.

MYA MARJA berkata...

Assalamualaikum,

Tahniah kelahiran karya ini! Sekurang-kurangnya memudahkan orang seperti saya yang cukup pening membaca teks lama.

blackpurple @ jowopinter berkata...

Assalamualaikum Pak latip.

Tahniah. Nanti semakin banyaklah karya-karya hebat klasik di pasaran disampaikan semula dalam bahasa moden, lebih mudah difahami generasi muda.

Kalau tak silap saya pernah mengikuti Hikayat Amir Hamzah ini [kalau Amir Hamzah yang serupalah], di rancangan bangsawan radio Singapura semasa sama masih kecil dulu.

Tanpa Nama berkata...

Salam.

Baru tadi saya ternampak Hikayat Hang Tuah di Popular Ampang Point. Berkulit tebal warna coklat. Lama dahulu ada juga ternampak di MPH Mid Valley bersama siri-siri klasik yang lain.

Tanpa Nama berkata...

Benarkah Hang Nadim itu anak Hang Tuah? Setahu saya Hang Nadim anak Hang Jebat. Adakah ini Hang Nadim yang sama dalam kisah 'Singapura dilanggar Todak'?

Sangkakala berkata...

salam Pak Latip,

saya telah membaca Salahudin Ayubi tulisan Pak Latip. Tahniah di atas usaha Pak Latip itu. Cuma saya ingin bertanya apakah sumber-sumber novel tersebut? saya berminat untuk membuat kajian mengenai Salahuddin tetapi amat kurang sumber dari penulis Islam. Banyak sumber ditulis oleh penulis barat yang agak berat sebelah

mimbarubey berkata...

Kenapa ramai yg mengambil jalan singkat meringkaskan jalan cerita yang asli. Ambil jalan mudah untuk terbitkan buku yang dimodenkan memburukan dan mematikan gaya bahasa lama. Kenapa kita tak pelajari gaya bahasa lama. Usahkan kita menggunakan bahasa lama sebagai pertuturan ttp dengan mudah memodenkan bahasa lama yang mempunyai seni yang tersendiri. Saya meminta para penulis sastera lama jangan lansung mematikan gaya bahasa lama.. kalau boleh kekalkan sedikit pun dah kira ok memperthanakan bahasa lama. Walaupun susah tetapi itulah jati bahasa melayu lama yang kurang dipelajari. Berikanlah ruang bahasa melayu untuk bernasfas dan galakan remaja mencintai gaya bahasa lama.

Sy tidak memperkecilkan semua penulis sastera lama kepada moden tetapi saya ingin bertanya dimana nilai atau seni gaya bahasa lama kita letak sekarang ini. Kita seolah malu kepada gaya bahasa lama. Bagi saya gaya bahasa lama adalah satu masterpiece yang bernilai tinggi. Semua penulis tahu nilai ini tetapi secara tidak sedar meminggirkannya. Lenyap sesuatu bangsa bukan kerana pengaruh luar tetapi tiada kesedaran dari dlm diri.


Sekian
tq

Aimaniac berkata...

Alhamdulillah