Rabu, Disember 29, 2004

TSUNAMI YANG DAHSYAT

TSUNAMI berupa gempa bumi yang terkuat dalam tempoh 40 tahun. Gegarannya 9.0 pada skala Richter berlaku di kawasan seluas 250 kilometer ke barat daya Sumatera mencetuskan ombak setinggi 10 meter, menyebabkan bumi bergegar pada paksinya dan peta kawasan tersebut berubah.
Akibat bencana alam yang paling dahsyat itu lebih 8,523 orang dilaporkan maut di India termasuk kira-kira 4,000 orang di Pulau-Pulau andaman.Sekitar 4,500 orang terbunuh di negeri Tamil Nadu. Di Indonesia pula, sebanyak 27,174 orang disahkan maut akibat gempa bumi tersebut di mana ombak-ombak besar telah `menelan' kampung-kampung yang berada tepi pantai. Di Thailand lebih 700 pelancong asing dipercayai terkorban. Di negara kita sekurang-kurangnya 43 orang terkorban di Pulau Pinang. Dan berita terbaru mengatakan jumlah yang maut akibat TSUNAMI lebih 55,000 orang sebahagian besarnya kanak-kanak, wanita dan orang tua
Bencana itu berlaku pada pagi hari Ahad 26.12.2004. Gegarannya sampai ke negara kita termasuk di sekitar Lembah Kelang. Kebetulan pagi itu saya, isteri, anak dan anak sedara menginap di Hotel Singgahsana Petaling Jaya kerana pada 25 haribulan menghadiri majlis penyampaian hadiah eSastera.com atau HESCOM2004. Pada malamnya kami menginap di hotel tersebut.
Selepas bersarapan pagi kami masuk ke bilik hotel. Saya dan isteri berdiri di tepi tingkap melihat panorama waktu pagi. Tiba-tiba saya merasakan bilik itu bergoyang seolah dibuai. Isteri saya turut berasa hairan kerana gegaran itu menyebabkan dia berasa pening kepala. Saya mengajak isteri keluar dan pergi ke bilik sebelah di mana anak kami menginap. Mereka juga berasa hairan kerana bilik mereka juga bergoyang sehingga cermin muka yang tersangkut pada dinding bilik itu terbuai.
Apabila gegaran itu berhenti kami berasa tenang dan menganggap itu Cuma sesuatu fenomena yang pelik sahaja. Kami hanya mengetahui berlakunya gempa bumi apabila sampai di rumah pada sebelah malamnya apabila mendengar berita di tv.
Dari pengalaman tersebut tidak hairanlah apabila berlakunya gempa bumi ramai yang menjadi mangsa. Ia berlaku secara tiba-tiba dan dalam masa 1 hingga 2 minit tidak ada yang sempat dilakukan untuk menyelamatkan diri tambahan pula tidak ada amaran awal.
Cubalah bayangkan kita berada dalam rumah, tiba-tiba rumah itu bergegar dan runtuh. Dalam masa 2 minit tentulah tidak sempat menyelamatkan diri tambahan pula kalau berada dalam bangunan yang bertingkat.
Sesungguhnya pengalaman merasai gegaran gempa bumi TSUNAMI di Hotel Singgahsana itu pasti tidak akan saya lupakan.

1 ulasan:

Latiptalib berkata...

sdr ain, terima kasih. kalaulah gempa bumi itu lebih kuat dan lama tentu bangunan tu runtuh. alhamdullillah kami selamat.