Isnin, September 06, 2004

Nasib Seorang Pejuang

Ketika ini Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudahpun berada di Munich, Jerman bagi menjalani rawatan tulang belakang di sebuah klinik di negara itu.
Beliau berlepas dengan pesawat penerbangan Malaysia (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepang.
Turut mengiringi beliau ialah isteri, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, dua orang anak, Nurul Iman dan Muhammad Ihsan, pembantu peribadi, Azmin Ali dan doktor peribadi, DR Hafifi Rahman.
Beliau dijangka berada di Munich selama kira-kira satu bulan untuk menjalani rawatan sakit tulang belakang yang diidapinya sejak lebih setahun lalu. Ada yang mengatakan sekiranya beliau lambat mendapat rawatan ada kemungkinan boleh lumpuh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hampir enam tahun menjalani hukuman penjara dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan apabila rayuannya dibenarkan bagi mengetepikan sabitan kesalahan meliwat.
Keputusan itu bermakna Anwar telah bebas daripada hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2000 atas kesalahan tersebut.
Sebelum ini, Anwar, 57, telah pun menjalani hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April 1999 selepas mendapati bersalah atas empat tuduhan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
Dia sepatutnya dipenjara enam tahun, tetapi tempoh hukuman itu dikurangkan setelah berkelakuan baik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai ramai penyokong kerana itu tidak hairanlah apabila beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan di hadapkan ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan maka ramai yang bersimpati.
Kerana itu sepanjang tempoh penahanan beliau dalam lokap dan penjara banyak demontrasi jalanan dilakukan oleh para penyokong beliau dan ramai diantara mereka yang ditangkap polis dihadapkan ke mahkamah malah ada yang di tahan di bawah ISA.
Ada seorang kawan saya yang berjawatan tinggi sanggup berhenti kerja kerana ingin melibatkan diri secara aktif dalam perjuangan menegakkan keadilan. Beliau sanggup meninggalkan keluarga untuk berceramah ke merata tempat atau menghadiri aktiviti kumpulan mereka. Malah sanggup melihat isteri dan anak-anaknya hidup dalam serba kesusahan apabila diberhentikan kerja. Namun demi sebuah perjuangan perkara itu terpaksa ditempuhinya juga.
Kini Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun dibebaskan. Besar kemungkinan beliau akan kembali aktif dalam politik selepas kembali ke tanah air nanti. Malah beliau juga telah menyatakan sanggup berkerjasama dengan pihak kerajaan untuk perjuangan menegakkan keadilan.
Saya teringat kisah Nabi Yusof yang dipenjarakan selama tujuh tahun apabila keluar dilantik menjadi Perdana Menteri Mesir.
Saya juga teringat kisah Datuk Harun Idris dan Datuk Mokhtar Hashim, tokoh politik yang terkenal di suatu ketika dulu, apabila keluar dari penjara beliau cuba kembali aktif dalam politik namun tidak berjaya dan akhirnya dilupakan.
Apakah Datuk Seri Anwar bernasib baik seperti Nabi Yusof apabila keluar dari penjara menjadi Perdana Menteri atau menerima nasib yang sama seperti Datuk Harun Idris Datuk Mokhtar Hashim?.
Bagaimana pula nasib kawan saya yang hingga kini masih menganggur?. Mungkin inilah yang dikatakan “ Nasib seorang pejuang.”

2 ulasan:

Unknown berkata...

Itulah sunnah orang berjuang.

Bagai yang sering disebut Datuk Seri Anwar Ibrahim,
kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai...

Latiptalib berkata...

betul kata sdr tapi tak ramai yang sanggup jadi pejuang sebab banyak dugaannya. sebab tu ramai yang patah di tengah jalan.