Jumaat, September 17, 2004

Mencungkil Bakat...

Mencungkil bakat sastera di daerah terpencil
(UTUSAN MALAYSIA 16.9.2004)

DALAM usaha merakyatkan sastera, sewajarnya ia bergerak secara giat di peringkat bawahan, sama ada majlis bertaraf daerah, atau kampungan.
Kewajaran usaha ini dapat diperkatakan, memandangkan hasil karya selalu memperkatakan perihal kehidupan manusia, khususnya masyarakat yang sering terpinggir seperti dalam karya Salina, Ranjau Sepanjang Jalan atau Orang Kota Baru.
Lantaran itu usaha Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu mengadakan Perkampungan Penulis Daerah Jelebu di Kuala Klawang baru-baru ini merupakan usaha kecil tetapi memberikan signifikan besar.
Tentunya untuk melihat kegiatan sastera bertaraf negeri atau kebangsaan diadakan di daerah yang agak terpencil suatu yang tidak perlu diimpikan.
Seramai lebih 40 orang yang berkampung selama sehari di Hotel Sri Klawang bukanlah kelompok yang sudah mencipta nama dalam penulisan, barangkali sekadar ingin mencuba atau berjinak.
Namun apa yang penting peluang yang diberikan dan sedikit bimbingan oleh penceramah jemputan diharap dapat memberikan rangsangan.
Editor dari Utusan Publications & Distributors, Norazah Abdul Aziz yang membincangkan perihal Manuskrip kepada Editor, khususnya manuskrip novel.
Beliau menjelaskan, seorang penulis yang baik perlu mempertimbangkan bahawa karyanya merupakan dokumen kekal dan boleh dibertanggungjawabkan.
Pada masa yang sama jelasnya, penulis tersebut perlu melakukan penyuntingan sendiri sebelum menyerahkan manuskripnya kepada editor sesuatu penerbitan.
``Yang penting adalah seseorang itu mesti ikhlas untuk menjadi penulis kerana karya yang diterbitkan adalah dokumen kekal.
``Penulis juga perlu membina hubungan dengan birokrat sastera, penerbit, editor atau penjaga ruangan sastera di mana-mana penerbitan,'' katanya.
Para peserta juga berpeluang mendengar ceramah penulisan sajak oleh Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar atau lebih dikenali dengan Irwan Abu Bakar dan pelopor pemuka dalam sastera internet.
Pensyarah kejuruteraan di Universiti Malaya itu turut mengajak khalayak memanfaatkan kemudahan dalam teknologi maklumat dan komunikasi untuk berkarya.
Ujarnya, internet menyediakan ruangan yang lebih besar dan khalayak yang tidak terbatas kepada karya-karya yang dimuatkan dalam penerbitan siber.
Sementara itu Siti Jasmina Ibrahim memberikan bimbingan kepada peserta yang kelihatan mentah dalam selok-belok penulisan mengenai kepengarangan cerpen.
Beliau memberitahu, perkara asas yang perlu diketahui oleh seorang calon penulis adalah tema, plot, watak, latar dan tempat, sudut pandangan, gaya bahasa dan suasana cerita.
Ujarnya, seorang penulis yang baik perlu lari dari gaya, isi cerita dan pemikiran yang klise, keluar dari bulatan kebiasaan dan tidak takut menentang arus.
``Yang penting adalah idea. Sebuah kisah yang bijak apabila ia difahami, segar dan mampu bersuara lebih dari satu lapisan. Ada unsur ouvre (kekaguman),'' jelas beliau.
Bagi memeriahkan perkampungan penulis itu, pada sebelah malam telah diadakan Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran Buku Karya Ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) yang dirasmikan oleh
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Razak Mansor.
Hadirin pada malam tersebut berpeluang menyaksikan persembahan tradisi rakyat daerah Jelebu iaitu nyanyian Tumbuk Kalang bagi mengiringi persembahan lagu-lagu rakyat oleh kumpulan Majlis Daerah Jelebu.
Turut mengadakan persembahan pada malam tersebut ialah kumpulan pelajar Kolej Kediaman Kedua Universiti Malaya yang mempersembahkan bacaan puisi dan sketsa.
Tidak ketinggalan peserta Negeri Sembilan ke Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Farah Nabillah Noor Anuar dan penyair siber, An Bakri.
Majlis penutup disempurnakan oleh ADUn Klawang, Jalaluddin Alias. Hadir sama ialah Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan, Siri Neng Buah.

0 ulasan: