Sabtu, Februari 16, 2008

YA ALLAH KUATKAN SEMANGATKU

16hb Februari 2008

Sudah dua kali saya terasa disindir oleh tokoh sastera yang kerap dilantik menjadi hakim sayembara itu. Dia berkata (sambil memandang ke arah saya) antara cirri-ciri novel yang baik ialah penulisannya mempunyai makna yang berlapis-lapis, bukan satu lapis sahaja. Dan katanya lagi, penulisan yang baik bukan menceritakan kisah yang telah berlaku tetapi mencipta kisah-kisah baru.

“Novel beginilah sekarang yang paling disukai ramai,” katanya.

Saya akui tidak pandai menulis novel yang maknanya berlapis-lapis. Novel sejarah yang saya tulis itu cukup mudah difahami kerana maknanya selapis sahaja.

“Jangan tulis apa yang telah berlaku tetapi tulislah kisah yang baru.”

Kata-katanya itu terasa masih berkumandang di pendengaran saya. Memang benar novel sejarah yang saya tulis itu menceritakan apa yang telah berlaku. Bukan kisah baru rekaan sendiri….

Itulah antara ciri-ciri penulisan teknik surah Yusuf yang diajar oleh Puan Ainon Mohd, pengerusi PTS. Ceritanya mudah difahami, mudah dibaca dan tidak terikat dengan teori-teori yang dicipta oleh manusia.

Sesungguhnya karya yang tidak mengikut acuan tradisi atau tidak terikat dengan teknik-teknik ciptaan manusia bukan bermakna karya itu tidak baik. Mungkin tidak baik pada penilaian mereka yang terlalu taksub dengan teori ciptaan penulis barat. Namun tetap disukai pembaca.

Saya teringat satu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah saw. Pada suatu hari orang-orang Quraisy mengadakan pertandingan syair dan pidato. Maka tampillah tokoh-tokoh pidato dari kalangan Bani Tamim yang semenangnya terkenal sebagai ahli bersyair dan berpidato.
Mereka mendapat pujian daripada pengadil.

Kemudian tiba pula giliran penyair dan pemidato dari kalangan orang-orang Islam yang menjadikan ayat-ayat al Quran sebagai sumber rujukannya. Ternyata karya mereka lebih unggul dan diminat oleh orang ramai walaupun tidak memenangi pertandingan itu.

Dan untuk menghiburkan hati mereka Rasulullah saw sendiri yang memberikan hadiahnya.

16 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam kesejahteraan untuk Pak Latip sekeluarga.

Kita menulis adalah berdasarkan minat dan bakat yang Allah kurniakan.

Itulah yang dinamakan manusia sentiasa ada sahaja yang dirasakan kekurangan samada pada diri atau pada orang lain.

Kita menghasilkan sesuatu karya adalah untuk menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Mungkin ayat yang maknanya berlapis-lapis digemari tetapi adakah semua pembaca menggemarinya? Ada juga yang hanya menggemari selapis sahaja maknanya. Jelasnya kita tidak boleh memuaskan hati semua.

Setiap individu berlainan pendapat. Esok atau lusa apabila orang lain pula yang menjadi juri mungkin yang dianggap tokoh sastera lain pula pendapatnya.

Walaupun kita menulis sesuatu perkara yang sudah berlaku tidak bermakna ianya sesuatu yang merugikan kerana setiap penulis berlainan cara@gaya penceritaannya untuk disampaikan maklumat itu kepada pembaca.

Jelasnya...kita tidak boleh memuaskan hati semua orang.

Walauapapun semoga Pak Latip tidak putus semangat dan semoga obor untuk menghasilkan karya yang bermutu terus menyala. Cabaran yang ada perlu dijadikan pembakar semangat untuk terus memandaikan bangsa.

Umi Kalthum Ngah berkata...

Assalamualaikum warahmatullah

Encik Latip,

Orang boleh mengatakan pelbagai perkara..namun kita melakukan sesuatu itu adalah semata-mata mahukan redha Allah..

Antara redha manusia dan redha Allah..yang manakah yang lebih kekal dan menjaminkan kesejahteraan abadi?

Jadi, tidak mengapa Encik Latip, teruskan sahaja berkarya mengikut landasan kebenaran..

Wallahualam.

Umi Kalthum Ngah

PS. Saya sudah tahu tarikh lahir Encik Latip!

Latiptalib berkata...

Salam sejahtera juga untuk Rafidah dan keluarga.

Benar kata Rafidah kita menulis kerana kita minat dan kita berkarya mengikut kebolehan kita. Sekiranya seorang penulis itu berkebolehan menulis karya yang berlapis-lapis maknanya maka teruskanlah cara itu.

InsyaAllah, saya terus berkarya mengikut kebolehan yang ada pada saya.

Terima kasih dengan kata-kata semangat yang Rafidah berikan.

Latiptalib berkata...

Umi Kalthum Ngah,

Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

Antara redha Allah dengan redha manusia tentu kita inginkan keredaan Allah swt.

Terima kasih dengan kata-kata yang memberi semangat.

Tarikh lahir saya 2hb Jun 1954.

54 tahun sudah usia saya. Saya selalu terfikir, berapa tahun lagikah Allah swt memberi peluang kepada saya untuk berkarya?.

Bila mengingati itu saya semakin tekun menulis hehehe.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Apabila membaca entri Tuan ini, saya berasa pilu.

Tetapi, tidak mengapalah, keempat-empatnovel Tuan itu sudah dilesen oleh Jakarta.

Saya yakin, novel-novel yang akan datang pun akan dilesen juga oleh Jakarta.

Biarlah... novel-novel Tuan tidak diiktiraf oleh penganut teori-teori ciptaan manusia Barat, namun pembaca di Malaysia dan Indonesia suka membacanya.

Moga-moga Allah membantu jualan novel-novel itu sehingga ia laris di pasaran tahun-demi-tahun. Amin!

Latiptalib berkata...

Assalamualaikum Sifu Puan Ainon.

Terima kasih dengan kata-kata semangat yang puan berikan. Insya-Allah saya akan terus menulis novel sejarah Islam.

Sekarang sedang menyiapkan Abu Bakar As Siddiq Wira Islam. Kemudian Umar al Khattab Singa Padang Pasir. Dan seterusnya...

Ya Allah berilah kekuatan untuk menulisnya. Bantulah kami supaya jualan buku-buku kami laris di pasaran dan memberi manfaat kepada pembacanya. Amin.

Tanpa Nama berkata...

Pak Latip ROCK!
- Rasyid

Tanpa Nama berkata...

Pak Latip,

Bila menjadi penulis fiksyen di bawah PTS muka dan telinga mesti mahu sedikit tebal. Biasa sangatlah mendengar 'sindiran-sindiran' pedas para 'sasterawan'.

Teringat kata-kata Sidney Sheldon; "I don't write for critics, I write for readers."

Tanpa Nama berkata...

assalammualaikum...pak latip

saya telah membaca,tiga buku pahlawan islam, ternyata ia teramaattt lah bagus..ia memanggil saya utk mengikuti 3 lagi...semoga Allah merahmati anda ...insyaAllah

hairul UM,lembah pantai

Latiptalib berkata...

Saudara Rasyid pun ROCK juga :)

Saudara Firdaus, InsyaAllah semakin tebal muka dan telinga saya ini...

Saudara Hairul,
Terima kasih kerana sudah khatam membaca novel sejarah Islam. Saya akan tulis lagi. InsyaAllah.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Pak Latip,
Hati saya tersentuh membaca entri pak latip, usah pedulikn semua sindiran tu, teruskan berkarya, remaja lebih mudah fahami novael2 yang Pak Latip semula itu, itu lebih penting. Jagn putus semangat.
Juga terima kasih atas kiriman buku2 Pak Latip. Insyaallah saya akan promote buku2 tu pada kawan2 dan kenalan saya. Hebat bakat yang ada pada Pak Latip. Lagi satu, cantik ilustrasi buku2 Pak Latip, tahniah!
O ya , ada orang kata: Kita tak hidup dengan pujian orang, dan kita juga tak mati dengan sumpah, sindiran orang. Semoga Pak Latip tabah dan teruskan berkarya.
Dari Sharifah Intan. Tropical Inn J.Baru.

Mmp.....saya disini merisik menantu.....dah hantar tanda pun...insyaallah tak lama lagi anak sulung saya nak saya tunangkan.Syukur ..Alhamdulillah

ulasbuku berkata...

Hanya kerana mengIslamkan teknik itu sebagai Teknik Surah Yusuf tidak bermakna, teknik itu terbaik dan itulah yang segala-galanya.

Sya terpaksa bersetuju dengan hakim sayembara itu. Saya tidak enjoy langsung membaca karya En. Latip melalui 'Setelah Roboh Kota Melaka'. Rentak ceritanya monotonous sahaja dan dipenuhi dialog yang layu.

Malah terdapat cerita yang melucukan seperti bagaimana Kerajaan Melaka boleh mempunyai sehingga dua orang Temenggung, dan salah seorang daripadanya menjual kain pula.

Saya terpaksa merawat hati yang luka setelah membelanjakan duit untuk membeli buku yang nilai mukanya berharga RM 28.00, dengan berkata, "Mujurlah aku member Popular dan beroleh diskaun 10%."

ABDUL LATIP berkata...

Saudara MXYPLTK,

Terima kasih atas komen saudara setelah membaca novel saya SETELAH ROBOH KOTA MELAKA.

Setiap pembaca berhak membuat penilaian tersendiri dan sebagai penulis saya tidak boleh marah atau berkecil hati sekiranya ada pembaca yang mengatakan tidak bagus.

Malah novel yang paling laris jualannya pun ada pembaca yang kata dia tidak suka setelah membacanya. Apatah lagi novel yang diadaptasi dari kisah sejarah.

Mengenai teknik surah Yusuf yang diperkenalkan oleh PTS dan Sifu Puan Ainon itu bertujuan baik kerana hendak mencontohi apa yang terkandung dalam al Quran. Dan teknik itu lebih memudahkan saya menghasilkan karya.

Kalau penulis lain boleh meniru teknik yang dicipta oleh penulis barat, apa salahynya kami meniru teknik surah Yusuf yang merupakan wahyu Ilahi.

Walau bagaimanapun saya lebih banyak mendapat kata-kata pujian daripada pembaca setelah mereka membaca novel-novel sejarah yang saya hasilkan.

Untuk makluman saudara juga novel SETELAH ROBOH KOTA MELAKA akan diulangcetak. Ini menunjukkan novel itu juga mendapat sambutan daripada pembaca.

Sesungguhnya komen saudara menaikkan lagi semangat saya untuk terus menghasilkan novel-novel sejarah. Tambahan pula penerbit PTS Fortune memberi peluang kepada saya bagi menghasilkannya.

Terima kasih sekali lagi atas komen saudara.

MEezwan berkata...

Salam Pak Latip,
Saya dah baca semua novel sejarah Pak Latip..Kebanyakannya saya suka dengan ceritanya..Yang penting bagi saya apa yang saya dapat dari cerita tu..Pengajarannya.. yang lain saya x kisah sangat.
Di harap Pak Latip terus berkarya..Tidak sabar menunggu cerita sejarah Islam yang lain..

ABDUL LATIP berkata...

Saudara Meezwan,

Terima kasih atas komen saudara.

Pada tahun ini akan terbit beberapa buah novel sejarah Islam lagi. Antaranya SULTAN MUHAMAD AL FATEH PENAKLUK KONSTANTINOPEL. HULAGU KHAN RUNTUHNYA KOTA BAGHDAD. ABU BAKAR AS SIDDIQ WIRA ISLAM dan UMAR AL KHATTAB SINGA PADANG PASIR.

Saya berusaha untuk meninggkatkan lagi mutu dan cara penulisan novel-novel tersebut.

Insya-Allah.

Zamry berkata...

Salam alaik,Izin saya panggil pak latip sahaja, lebih mesra gitu :)

Pak Latip teruskan usaha, hasilkan banyak lagi novel sejarah Islam kerana dengan novel inilah anak muda yang sebelum ini kurang minat dengan Sejarah Islam mula mendekati dan mengenang Sejarah Islam...

Ingatlah, ganjaran ALLAH itu lebih berharga daripada segalanya...

Ikhlaskan hati untuk ILLAHI