Sabtu, Februari 16, 2008

PESAN BUAT YB

25hb Februari 2008

Penamaan calon sudah selesai
Pilihanraya menjelang tiba
YB sibuk ke sana sini
Bertemu pengundi
Menabur janji menagih simpati
Untuk mendapatkan undi
Mungkin selepas pilihanraya
YB sibuk kita susah nak jumpa.

Pesan buat YB
Setelah menang pilihanraya
jangan lupakan janji
Sesekali tengoklah kami
Dengar rintih perih rakyat
Tunai amanah penuh kejujuran
Negeri beradat ini masih hauskan pembangunan

Pesan buat YB
Jangan kerap ke luar Negara
Lebih baik pergi ke tanah suci
Kalau nak berlibur di sini saja
Jimat belanja
Rakyat tak buruk sangka.

Pesan buat YB
Belajar hidup sederhana
Kurangkan lemak dan gula
Belilah hasil tanaman kami
Bebas kimia dan asid
Agar YB hidup sihat
Terhindar sakit jantung dan darah tinggi.

Pesan buat YB
Berpada dengan rumah dan kereta mewah
Agar terhindar rasuah
Jangan makan tanpa batasan
Agar tak tersungkur kekenyangan.

Pesan buat YB
Sesekali datanglah ke surau dan masjid kami
Kita sembahyang berjemaah
Agar bertambah iman dan amalan
Selalulah mengadap cermin
Agar mampu menilai wajah.

Pesan buat YB
Tak lama lagi hari mengundi
Kami akan keluar beramai-ramai
Menunaikan hak kami.

Jelebu 2008.

11 ulasan:

Umi Kalthum Ngah berkata...

Assalamualaikum warahmatullah,

Bagus sekali pesanan ini, Encik Abdul Latip!

Harap-harap adalah bakal YB yang membaca, menghadamkannya dan mengatur agenda tepat dengan saranan-saranan yang disenaraikan...

Wasalam,

Tanpa Nama berkata...

pak latip, saya ada url lagu asli tanjung puteri instrumental.. apa emel pak talib? nnt saya emelkan coding lagu ni..

Puan Ainon Mohd. berkata...

YB muda pandai membaca blog, dan mempunyai blog masing-masing.

Yang tua-tua, entahlah....

mohamad kholid berkata...

buat YB, usulkan perkara yang berat sikit di parlimen tu - kalau nak hapus yuran - jganlah yg RM4.50 tetapi yuran IPTA yang beratus satu jam kredit tu...

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum warahmatullah,Tuan Haji Abdul Latip,

Eden bercadang nak masukkan sajak ini sekali dalam blog den tapi dah ado kek sini , re-publish.

Salam
HATA
http://gravesdigger.blogdrive.com

zino berkata...

paklatip..
cantik sajak ni boleh saya tolong promosikan tak? hehe

cikMilah berkata...

Salam PakLatip,
Cantik sangat, kena masanya. PakLatip ngundi di Jelebu,ya...
kawasan saya tak sepanas dulu...Kubang Pasu, Kedah ( dulu calon Parlimen jadi PM!)Tapi saya tetap mengundi, calon saya menang atau tidak, belakang kira!
Pendapat saya; kalau pilihanraya boleh mengubah pucuk pimpinan negara, takkan ada pihihanraya di Malaysia!

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
blackpurple @ jowopinter berkata...

Salam Pak Latip.

Tersenyum-senyum saya membacanya.

NURAZZAH8 berkata...

Pak Latip, ngundi jangan tak ngundi... kalau YB yg lama tu dtg sekali jek masa nak pilihanraya selepas dah menang tak nampak2 batang hidung..,, kali ni undi yang lain pulak.
Saya...mengundi kat sebelah rumah jek... undi saya?? alamak rahsia lah... hehehe....
teingat masa saya kecik2 dulu kalau nak musim pilihanraya nih (walaupun masa tu tak faham pun apa mengundi2 nih!!!) selalu dengan lagu Mengundi yang dinyanyikan oleh Zainal Alam ..
Marilah mari
Pergi mengundi
....
lalalala.. dah tak ingat lirik hehehe

Mujahidah SMNS berkata...

assalamualaikum.pak cik.memang ada makna terirat betul kat puisi ni.moga ada yb yang membacanya..