Khamis, Mac 17, 2005

WASIAT HASAN AL-BANNA

1. Apabila kamu mendengar azan, segeralah bangun sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan kamu sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atau berzikir. Janganlah sama sekali membuang masa dalam perkara sia-sia.

3. Berusahalah sedaya-upaya untuk bertutur dengan Bahasa Arab Fushohah kerana ia merupakan satu satu syiar islam.

4. Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara pun kerana pertengkaran kosong tidak membawa kepada sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Jangan banyak bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh dan serius dalam setiap perkara.

7. Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar.

8. Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatang kebaikan.

9. Berkenalanlah dengan setiap rakan yang saudara tidak di minta berbuat demikian kerana asas-asas dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakanmu untuk memanfaatkan waktunya dan jika saudara berurusan, maka singkatkanlah masa perlaksanaannya.

Isnin, Mac 07, 2005

HIKMAH

HIKMAH

MALANG TAK BERBAU

Benarlah kata orang, “ Malang tak berbau”. Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa kita menduganya. Kerana itu seharusnya kita bersedia menghadapinya.

Selain dari membaca doa selamat serta berusaha mengelakkan berlakunya kemalangan maka perlindungan insuran juga perlu kita adakan. Janganlah pula kita persoalkan apa hukumnya “ duit insuran” kerana ada skim perlindungan yang sesuai dengan Islam contohnya TAKAFUL.

Selain insuran nyawa ada pula perlindungan untuk rumah kediaman. Mungkin ada yang berpendapat, rumah yang terletak di kawasan perkampungan tidak perlu diinsurankan. Tetapi apa yang berlaku kepada rumah saya baru-baru ini patut menjadi pengajaran betapa rumah kampung juga perlu perlindungan insuran.

Ketika kami sedang menonton tv, hujan lebat turun diikuti dengan angin kencang. Tiba-tiba lampu di rumah kami terpadam diikuti dengan bunyi dentuman yang amat kuat. Pada mulanya saya menyangka dentuman petir menyebabkan suis besar jatuh. Tetapi kemudiannya barulah tahu rumah kami dihempap pokok. Akibat kemalangan itu air hujan mencurah masuk ke bilik tidur dan bilik bacaan di tingkat atas.

Namun kami tetap bersyukur kerana bumbung rumah dan pendawaian letrik saja yang rosak. Kami selamat. Alhamdulillah.

Selasa, Mac 01, 2005

PENULIS MUDA JELEBU


Jelebu sebuah daerah yang terletak agak terpencil di Negeri Sembilan turut melahirkan beberapa penulis wanita antara yang telah menempa nama di bidang penulisan ialah Siti Jasmina Ibrahim dan Norazah Aziz. Dan kini muncul dua orang lagi penulis muda yang mula menempa nama di alam penulisan mereka ialah Sarina Mohd Som dan Sharifah Salha bin Syed Ahmad.

Syarifah Salha Syed Ahmad lahir pada 19. April. 1981 di kampung Chenor Kuala Klawang dan kini penuntut tahun akhir Universiti al-Azhar, Mesir, Fakulti Syariah Islamiah.
Mula aktif menulis pada tahun 2003. Telah mempunyai antologi cerpen bersama Penulis Malaysia Timur Tengah. Cerpen Sharifah Salha bertajuk “Peristiwa Kala Hujan Turun” pernah tersiar di Berita Minggu pada 28 November 2004.
Sharifah Salha juga menyertai esastera.com dan baru-baru ini menyiarkan dua buah cerpen berjudul “RITA, KUPU-KUPU MALAM” dan “ DIBAWAH RUNTUHAN ITU”.


Sarina Mohd Som lahir di Simpang Durian, Jelebu kini bertugas sebagai Wartawan di Karangkraf. Beliau mula menulis sejak di tingkatan lima dan selalu mengikuti kursus atau bengkel penulisan yang dianjurkan oleh PEN.

Sarina Mohd Som berminat menulis novel dan kini sedang menulis novel berjudul “ BICARA HATI” bersama dengan A.Latip Talib.
Dengan kemunculan dua penulis muda wanita dari Jelebu ini pastinya akan memeriahkan lagi dunia sastera tanah air kita.