PUISI BONDA KANDUNG
Semalam (26.7.2005) berlansung majlis Bicara Karya Sastera Puisi Bonda Kandung oleh Prof. Rahman Shaari, bertempat di Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Seremban. Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Perbadanan Perpustakan Awam Negeri, Sembilan, Pusat Sumber Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).
Antologi Puisi Bonda Kandung memuatkan puisi dan cerpen pemenang sayembara Menulis Sajak dan Cerpen 2003. Puisi Negeri Beradat Ini mendapat tempat pertama dalam sayembara tersebut.
Berikut saya perturunkan ulasan puisi tersebut yang telah dibicarakan oleh Prof. Rahman Shaari.
NEGERI BERADAT INI
OLEH
ABD LATIP TALIB
Negeri beradat ini
Tanah tumpah darahku
Akar sejarahnya bermula
Dari Batu Sangkar Paya Kumbuh Bukit Tinggi
Asal negeri nenek moyangku.
Negeri beradat ini
Adalah jejak indah Raja Melewar
Tanah ini dipilih kerana tuahnya
Lalu dibangun menjadi negeri
Yang jauh dijemput datang
Yang dekat diajak bersemenda
Luak dan suku diajak muafakat
Lalu tertegak keratan Istana Seri Menanti.
Negeri beradat ini
Ada waris pusaka suku Biduanda
Ada buapak Datuk Lembaga
Ada Undang Luak Yang Empat
Berpayung di bawah duli Tuanku
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Negeri beradat ini
Rakyat diajar hidup muafakat
Yang lemah dibela
Yang kuat jadi pelindung
Hati gajah sama diratah
Ke bukit sama berpenat
Ke lurah sama berpegang tangan
Ke baruh sama menuai padi
Ke darat sama memasang jerat.
Negeri bertuah ini
Pernah terukir sejarah merah
Penghulu luak bersengketa
Darah rakyat tumpah merata
Akibat adu domba penjajah
Akhirnya mereka berkuasa.
Negeri beradat ini
Pernah terukir sejarah gemilang
Di sini lahir anak-anak terbilang
Pencetus semangat kebangsaan
Pejuang bahasa dan budaya
Menjadi tonggak negeri tercinta
Negeri beradat ini
Kamilah anak gemilang
Penyambung warisan bangsa
Penyubur hidup beragama
Di sini kasih dicurah.
ULASAN PROF.RAHMAN SHAARI
Sajak Abd Latip Talib yang berjudul Negeri Beradat Ini memperkuat kepercayaan saya bahawa adat tidak mudah luput daripada fikiran masyarakat yang mendukungnya. Saya sedar bahawa kebanyakan anak muda tidak menghiraukan adat kerana terdorong oleh suasana baru namun inti adat tetap melekat pada akal bawah sedar mereka. Bagi sebahagian besar orang Negeri Sembilan mereka tetap akan merasakan archetype daripada masyarakat mereka. Ini aialah kesan yang saya peroleh hasil persahabatan dan pengajian saya yang berkaitan dengan Adat Perpatih. Melalui sajak yang sedang disentuh ini, Abd Latip Talib mernyebutkan sejarah bermulanya Adat Perpatih di Negeri Sembilan, katanya:
Akar sejarahnya bermula
Dari Batu Sangkar Paya Kumbuh Bukit Tinggi
Asal negeri nenek moyangku.
Penyebutan maklumat sejarah adalah penting untuk peringatan generasi seterusnya. Sajak ini memuatkan beberapa makluimat dengan maksud mengekalkan penghargaan terhadap jasa nenek moyang dan pemimpin masa lampau.
Perhatikan penyair menyebutkan sumbangan Raja Melewar
Negeri beradat ini
Adalah jejak indah Raja Melewar
Tanah ini dilipih kerana tuahnya
Lalu dibangun menjadi negeri
Yang jauh dijemput datang
Yang dekat diajak bersemenda
Luak dan suku diajak muafakat
Lalu tertegak keratan Istana Seri Menanti.
Pemilihan kata Jejak Indah agak aneh dalam kaitan (kontek) di atas. Namun yang dapat ditanggapi dengan nyata ialah bahawa Raja Melewar berjasa dalam mendirikan negeri beradat. Rangkap yang berikutnya menyebutkan suku, buapak dan undang, serta kuasa yang lebih tinggi, iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Perbilangan yang sedia ada disajakkan dalam rangkap keempat. Baris ke bukit sama didaki yang sedia ada ditulis semula menjadi ke bukit sama berpenat Jika demikian, maka rangkap keempat sajak ini memuatkan konstruksi semula perbilangan yang menyatakan sistem kekeluargaan Adat Perpatih. Saya turunkan empat baris daripada yang asli.
Ke bukit sama didaki
Ke laut sama direnangi
Hati gajah sama dilapagh
Hati kuman sama dicecah
Dalam sajak ini perbilangan tersebut berbunyi:
Hati gajah sama diratah
Ke bukit sama berpenat
Ke lurah sama berpegang tangan
Ke baruh sama menuai padi
Ke darat sama memasang jerat
Dalam bahagian tersebut tersimpul semangat bekerjasama atau muafakat, yang menjadi teras perpaduan. Seterusnya iaitu dalam rangkap kelima, penyair berkisah tentang peristiwa persengketaan. Persengketaan dalam masyarakat adalah biasa. Penyair tidak menyimpulkan bala ataupun hikmah hasil persengketaan itu, sebaliknya terus kepada soal pertumbuhan semangat kebangsaan yang termuat dalam rangkap keenam. Rangkap ke tujuh pula menyatakan bahawa orang di negeri beradat kuat memegang agama.
0 ulasan:
Catat Ulasan