Isnin, April 11, 2005

NASIB SEORANG EKSEKUTIF


Dalam perjalanan balik dari johor bahru, saya singgah di kawasan rehat yang menyediakan pelbagai kemudahan. Saya nampak seorang lelaki berjalan sambil kepalanya tunduk dan langkahnya seperti orang keletihan. Saya masih cam wajah lelaki itu. Dulu dia seorang eksekutif dan saya pernah berkerja di bawahnya.
Ketika dia berkuasa, sebut saja nama dia kakitangan di bawah kecut perut. Apabila dengar berita dia hendak datang melawat semua kakitangan kelam kabut. Malah apabila diadakan majlis perjumpaan dengan diapun saya sendiri berasa tak sedap hati.
Ini kerana apabila dia datang melawat seolah sengaja hendak mencari kesalahan atau kelemahan kakitangan. Apabila dia berucap yang keluar dari mulutnya hanya kata-kata yang menakutkan dan menyakitkan hati. ucapan;
Lebih baik awak berhenti kerja
Awak ingat gaji yang awak terima tu duit bapak awak
adalah kata-kata basahan yang sering terhambur dari mulutnya.
Kerana itu apabila ada peluang untuk bersara awal maka ramai yang memohon terutama pegawai-pegawai yang tak pandai membodek dia. Tetapi bagi yang pandai mengampu atau membodek seperti apabila dia datang melawat maka picit-picit belakangnya, urut kaki dan tangannya, sediakan pelbagai perkara yang menyukakan hatinya mereka berasa selamat.

Namun bak kata orang, langit tak sentiasa cerah. Roda kehidupan sentiasa berputar. Hari ini seseorang itu boleh berada di atas tetapi esok kemungkinan dia akan jatuh ke bawah.
Dia digantung kerja dan di hadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Satu hari saya pernah jumpa dia di pasar tani kuala pilah. Mungkin dia juga masih kenal saya. Sewaktu saya hendak menegurnya dia pura-pura sebuk bercakap melalui hansetnya.
Dan baru-baru ini saya jumpa dia sekali lagi. Tetapi keadaannya sudah berubah. Dia tidak lagi mendabik dada. Langkah kakinya nampak lemah sahaja, rambutnya dah banyak yang gugur dan paling ketara keangkuhannya sudah tidak ada.

0 ulasan: