Jumaat, April 22, 2005

DHARMAWIJAYA


Setelah mendapat berita dari Nisah Haron dan Mahaya Yassin yang mengatakan Dharmawijaya atau nama sebenarnya Kamaruzaman Ab. Kadir telah kembali ke rahmatullah maka saya pun bersiap untuk menziarahinya. Tetapi saya tidak perlu tergesa-gesa kerana dimaklumkan jenazah akan dikebumikan selepas solat Asyar.

Semasa dalam perjalanan dengan kereta saya masih memikirkan bagaimana hendak mencari rumah nombor 31, Taman Rasyidah Utama, kerana saya tidak pernah berkunjung ke rumah tersebut. Walaupun kami satu negeri tetapi jarang bertemu mungkin kerana beliau sebuk dengan tugasnya sebagai pensyarah.

Ketika saya sampai ke rumahnya, jenazah sedang dimandikan dan saya berkesempatan menyaksikannya. Saya agak terkejut bila melihat keadaannya yang begitu kurus. SN A.Samad Said turut berada di situ. Saya menyapanya lalu kami berbual. Katanya, hampir 6 bulan tidak bertemu Dharmawijaya dan saya juga mengatakan sudah lama tidak bertemu dengannya.

“ Dah lupa siapa ye?. Duduk kat mana?” tanya Pak Samad.

Rupanya SN A.Samad Said tak kenal…siapalah saya...hehe.

Saya dan Pak Samad sempat bertanya kabar kepada isteri Dharmawijaya. Katanya, Pak Dharma sakit dan dimasukkan ke Hospital Besar Seremban selama 2 minggu. Saya dan Pak Samad geleng kepala kerana rasa kesal tidak tahu Allahyarham sakit dan tidak dapat melawatnya semasa di hospital.

Munurut isterinya lagi, Pak Dharma mengalami barah paru-paru dan keadaannya sudah serius kerana telah merebak dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Katanya, Pak Dharma merahsiakan kesakitannya kepada kawan-kawan malah ketika bercakap dengan Puan Azaz Aziz (Editor Kanan Utusan) beliau tidak memaklumkan sedang sakit.

Dharmawijaya lahir di kampung Talang Kuala Pilah. Kerana itu beliau dapat memahami jiwa dan perasaan petani. Dia tahu perit getir kehidupan mereka dan merakamkannya dalam puisi-puisi antaranya “ Kampung Talang” (Lihat antologi “Di Penjuru Matamu”).

Menurut seorang pengkritik Indonesia J.U Nasution, Dharmawijaya merupakan seorang penyair yang dapat memperhalusi bait-bait puisi. Beliau dapat menggunakan bahasa yang baik sehingga menimbulkan suatu pengucapan bahasa puisi yang lebih segar dan lunak serta lebih mampu membentuk imej yang bisa menimbulkan keharuan perasaan.

Antara sajak-sajak beliau yang popular ialah “Kampung Talang” dan “Sumpah Tanahair. Beliau juga menghasilkan antologi puisi perseorangan berjudul WARNA MAYA.

Isterinya bercerita, ketika sakit suaminya selalu mengadu banyak tugasnya yang belum selesai. Malah sebelum menghembuskan nafas terakhir Pak Dharma meminta isterinya memberikan pen dan kertas dan beliau cuba menuliskan sesuatu.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Paroi Jaya dan disemadikan di tanah perkuburan Sheikh Ahmad Said.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atasnya. Al fatihah.





0 ulasan: