SATU KISAH YANG INDAH
Semalam 16hb (Ahad) sekali lagi saya berpeluang menghadiri bengkel penulisan yang dianjurkan oleh penerbit PTS.
Menurut pembimbing bengkel tersebut, Puan Ainon Mohd, penulis yang hendak menerbitkan buku atau novelnya mestilah menghadiri bengkel atau kursus yang dianjurkan oleh PTS.
Menurut Puan Ainon lagi, PTS mempunyai mazhab sendiri dalam bidang penerbitan yang mana penulis dikehendaki menjadikan kisah dalam surah Yusuf sebagai panduan dalam menghasilkan karya.
Syarat yang dikehendaki oleh Puan Ainon itu amat baik kerana hanya Al Quran sahaja sebaik panduan bukan sahaja dalam kehidupan tetapi juga dalam bidang penulisan.
Allah berfirman dalam surah Yusuf ayat 3, kami ceritakan kepada kamu sebuah kisah yang indah melalui wahyu kami dalam Al Quran. Sesungguhnya engkau sebelum ini termasuk orang yang lalai.
Membaca surah Yusuf ( dengan memahami maknanya) kita akan dapati banyak pengajaran yang boleh diterapkan ke dalam penulisan.
Dalam surah Yusuf diterangkan bagaimana sifat iri hati dan dendam kesumat itu amat bahaya kerana boleh merenggangkan hubungan keluarga sehingga abang sanggup menganianya adiknya sendiri. (Nabi Yusuf).
Sebagai bapa pula (ayah Nabi Yusuf) bersabar dengan tingkah laku anak-anak akhirnya mereka ditemukan semula dalam suasana bahagia.
Namun membalas dendam tidak dibolehkan bilamana Nabi Yusuf berkuasa menjadi Perdana Menteri dia tidak membalas dendam terhadap adik beradiknya.
Dalam surah Yusuf juga terdapat 74% ayat berbentuk dialog yang paling indah. Sebagai contoh Allah tidak menerangkan bagaimana cantiknya Nabi Yusuf sehingga Zulaikha terpikat tetapi digambarkan dalam dialog sekumpulan wanita yang sedang mengupas buah-buahan apabila terpandang Nabi Yusuf mereka bertanya Apakah lelaki itu manusia atau malaikat? sehingga terluka jari-jari mereka terhiris pisau.
Bagi para suami pula tidak boleh berkata kasar atau memaki hamun apatahlagi menuduh isteri dengan pelbagai tuduhan. Contohnya apabila Gabenor Aziz suami Zulaikha mendapat bukti isterinya yang bersalah hanya berkata Sesungguhnya engkau sudah melampaui batas.
Demikian beberapa contoh menarik yang terdapat dalam surah Yusuf.
Kerana itu usaha Puan Ainon Mohd melalui PTS untuk menerbitkan novel Islam dengan menjadikan surah Yusuf sebagai panduan amat menarik dan sewajarnya diberi sambutan oleh para penulis.
Sesungguhnya hanya Al Quran sahaja sebaik-baik panduan.
0 ulasan:
Catat Ulasan