Selasa, Julai 20, 2004

TRAGEDI

Setiap kali saya ke Seremban apabila terpandang pintu gerbang Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor (SMADKPM) Ampangan, saya teringat peristiwa di mana lapan pelajar sekolah tersebut dituduh membunuh pelajar tingkatan empat, Muhammad Farid.
Kini, lapan pesalah juvana tersebut sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Seremban dan saya tidak berani menyentuhnya di sudut perundangan. Biarlah mahkamah yang menentukannya.
Namun apa yang menyentuh hati ialah cerita anak saya bekas pelajar sekolah agama. (Bukan SMADKPM). Menurutnya, semasa baru masuk tingkatan empat, dia juga kena buli oleh pelajar tingkatan lima. Kejadian buli membuli di kalangan pelajar sekolah agama memang ada berlaku tetapi kebanyaknya tidak sampai ke pengetahuan guru kerana tidak ada pelajar yang berani membuat aduan disebabkan takut tindak balas pelajar senior.
Berbalik kepada cerita anak saya, mula-mula dia cuba menahan sabar. Namun sampai di satu ketika dia tidak dapat menahan rasa marah lalu mencabar pelajar tersebut lalu terjadi pergaduhan satu lawan satu.
Kata anak saya lagi, apabila lawannya hampir kalah, pelajar-pelajar tingkatan lima yang berada di situ masuk campur dan cuba membelasah anak saya. Mujurlah kawan-kawan anak saya yang sama dalam tingkatan empat berada di situ lalu turut masuk campur. Dan hampir terjadi pergaduhan beramai-ramai antara pelajar tingkatan lima dengan pelajar tingkatan empat.
Saya sungguh terkejut mendengarnya. Lalu saya pun membayangkan. Kalaulah anak saya dibelasah beramai-ramai oleh pelajar tingkatan lima sudah tentu dia cedera parah atau mungkin dia akan menerima nasib seperti Muhammad Farid.
Kalaulah itu berlaku tentulah saya berasa amat sedih dan kecewa kerana saya menyangka sekolah agama adalah tempat yang paling selamat untuk pelajar. Tragedi yang menimpa ke atas Muhammad Farid sepatutnya menyedarkan pengetua dan guru-guru sekolah agama bahawa di sekolah mereka juga berlaku kejadian buli di kalangan pelajar.
Semoga apa yang berlaku ke atas Muhammad Farid tidak berulang lagi. Namun apa yang pasti tragedi tersebut telah banyak menumpahkan air mata keluarga pelajar yang terlibat.
Ibu bapa Muhammad Farid sudah tentu sedih dengan kehilangan anak kesayangan mereka. Namun ibu bapa lapan pelajar yang sedang dibicarakan juga berendam air mata kerana memikirkan masa depan anak masing-masing.
Bagaimana kalau kita berada di tempat mereka?. Tentu berasa amat kesal kerana anak yang dihantar belajar di sekolah agama akhirnya dibicarakan atas tuduhan membunuh. Nauzubillah.


2 ulasan:

mba2u berkata...

saya ada menghantar anak saudara saya ke sekolah berasrama yang paling ternama & berprestij. Sebulan sekali saya dtg melawat beliau kerana ibu-bapa dia (adik saya) tinggal jauh dan tida berkemampuan. Saya perhatikan keadaan fizikalnya dah berubah dan setiap kali masa saya dtg dia dok membasuh kain baju yg bertimbun. Bila disiasat rupa2nya itu adalah merupakan tugas wajib dia selama setahun dlm form 1, iaitu mencucu. menjemur & menggosok pakaian senior.

Latiptalib berkata...

saya juga dengar macam-macam cerita yang tak ada di sekolah lain ada di sekolah agama. bukan nak burukkan sekolah agama malah anak-anak saya hingga SPM sekolah agama. cuma kerana mereka pelajar sekolah agama maka guru-guru anggap semua pelajar baik belaka. tragedi itu ada hikmahnya kerana pihak kementerian telah memantau semua sekolah berasrama termasuk sekolah agama.