Gambar di salin dari Universiti Terbuka PTS.
19 hb Februari 2008
Hikayat Amir Hamzah ini pada mulanya ditulis oleh seorang penulis Parsi dengan judul Qissa’i Emir Hamza. Kemudian diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul Sirat Hamzah.
Manuskrip ini dibawa oleh pendakwah dari India ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Ia disalin dengan tulisan tangan oleh penulis istana raja Melaka yang mengambil masa selama 15 tahun bagi menyiapkannya. Selain bahasa Melayu, manuskrip ini juga ditulis dalam bahasa Jawa, Bali, Acheh, Turki dan Hindi.
Hikayat Amir Hamzah diterbitkan dalam tulisan rumi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1987. Penyelenggara naskhah ini A.Samad Ahmad masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama.
Pada tahun 2005 semasa mengikuti bengkel penulisan, Puan Ainon Mohd mengatakan PTS sedang mencari penulis yang sanggup memodenkan bahasa Hikayat Amir Hamzah. Saya terus menyatakan kesanggupan walaupun saya belum pernah membaca naskhah tersebut. Dan pada hari itu juga saya ke kedai buku mencarinya lalu terjumpa Hikayat Amir Hamzah edisi kedua penyelenggara A.Samad Ahmad terbitan DBP 1987.
Pertama kali membacanya memang agak sukar memahaminya kerana naskhah tersebut masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama. Namun saya terus juga berusaha memodenkan bahasanya sehingga selesai. Kerja ini juga dibantu oleh Encik Muhamad Ikhram dari DBP.
Hikayat Amir Hamzah ini diterbitkan dalam tiga jilid. Pembaca boleh membacanya seperti membaca novel kerana bahasanya telah dimodenka.
Hikayat Amir Hamzah ini telah dibaca oleh orang Melayu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Semasa Portugis menyerang Melaka sultan menyuruh dibacakan Hikayat Amir Hamzah bagi menaikkan semangat pahlawan Melaka.
Watak utama dalam cerita ini ialah Saidina Hamzah, pahlawan Islam yang gugur syahid dalam perang Uhud. Sesuai dengan bentuk hikayat ceritanya telah ditokok tambah. Amir Hamzah digambarkan begitu hebat contohnya seperti berikut:
Disebabkan kuatnya tempikan Amir Hamzah boleh kedengaran hingga 18 penjuru bumi jauhnya. Segala harimau yang mendengar tempikan itu terkejut lari. Segala unta dan kuda menjatuhkan diri. Panah yang ada di tangan musuhnya jatuh ke tanah. Kisah Amir Hamzah ini diceritakan bermula sebelum kedatangan Islam sehingga kelahiran Nabi Muhamad saw.
Hikayat Amir Hamzah ini diterbitkan dalam tiga jilid. Pembaca boleh membacanya seperti membaca novel kerana bahasanya telah dimodenkan.
Hikayat Amir Hamzah merupakan karya terbaik dalam khazanah fiksyen Islami Klasik. Membaca karya agung klasik ini dapat mengkaji keluasan dan keluarbiasaan imej-imej imaginasi penulis fiksyen zaman dahulu berbanding dengan imaginasi penulis zaman kontemporari. (Memetik kata-kata Sifu Puan Ainon).