Memaparkan catatan dengan label Pusara Si Bongkok Tanjung Puteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pusara Si Bongkok Tanjung Puteri. Papar semua catatan

Selasa, Mac 04, 2008

Entri-entri Berkaitan Si Bongkok Tanjung Puteri

Semalam saya dihubungi oleh Dr Talib Samat, pensyarah di UPSI mengatakan beliau telah membaca novel Si Bongkok Tanjung Puteri. Amat tertarik dengan kisah pahlawan tersebut.

Menurutnya lagi, beliau bercadang membawa para pelajarnya dalam 2 buah bas bagi mengunjungi pusara pahlawan Melayu itu.

"Kami akan bersihkan kubur Si Bongkok dan menanam batu nisannya," beritahu Dr Talib Samat.

"Kami nak ajak Latip ikut sana. Kami juga bercadang membawa wartawan dan kru Majalah tv3," kata Dr Talib Samat lagi.

"Kalau kau setuju kita buat pelancaran novel Si Bongkok Tanjung Puteri di sana," katanya lagi.

Tentulah saya setuju. Semoga usaha yang murni ini akan terlaksana.

-o-

Mesej Amiene Rev kepada Pak Latip: Berdasarkan petikan entri di atas, saya sudah labelkan semua entri berkaitan dengan Si Bongkok Tanjung Puteri untuk memudahkan pengunjung mencari bahan-bahan untuk kajian dan penyelidikan berkaitan dengan Si Bongkok Tanjung Puteri dan Pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Label -label yang telah dibuat adalah seperti berikut.:

Label #01: Si Bongkok Tanjung Puteri (Klik Di Sini)
Diskripsi Label:
Koleksi lengkap entri-entri berkaitan dengan Si Bongkok Tanjung Puteri.

Label #02: Pusara Si Bongkok Tanjung Puteri (Klik Di Sini)
Diskripsi Label: Koleksi entri-entri berkaitan dengan kubur (kata kunci berkaitan ialah kubur atau pusara), lokasi dan aktiviti ziarah ke pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Jumaat, Oktober 12, 2007

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI


ULASAN WEB SUTERA

http://pasalbuku.blogspot.com/

Pertama sekali, saya berpendapat kita patut meraikan kehadiran novel-novel sejarah sebegini dalam persada sastera tanah air kita.

Novel sejarah memang amat kurang dalam pasaran, terutamanya untuk bacaan golongan dewasa dan professional. Jadi novel Si Bongkok Tanjung Puteri seharusnya dialu-alukan oleh kita semua.

Paling ketara novel ini berlainan ialah kerana dialog-dialognya yang banyak, kurang penerangan sampingan bagi setiap plot. Tambahan pula setiap plot dan sub-plot disusun pendek tetapi padat.Walaupaun amat kurang penerangan tambahan bagi suasana dan setiap persekitaran yang wujud dalam plot, namun melalui dialog-dialog yang dipaparkan kita dapat melihat dan merasai sesuatu lokasi tersebut.

Saya berkata begitu kerana dialog yang disediakan oleh saudara Abdul Latip Talib mantap dan mempunyai unsur penerangan tersendiri.

Kepada khalayak yang tidak cenderung untuk membaca buku-buku sejarah berbentuk ilmiah, novel sejarah seperti Si Bongkok Tanjung Puteri merupakan alternatif terbaik bagi menjejaki perjuangan bangsa dalam memerangi penjajah.

Tidak dinafikan bahawa penjajah Inggeris memainkan peranan penting bagi lebih mengeruhkan pergolakan politik dalam pentadbiran kerajaan Johor ketika itu. Niat jahat pihak Inggeris, seperti yang digambarkan dalam novel ini, ibarat menangguk di air keruh. Bukannya menyelesaikan perselisihan, malah mencurahkan minyak ke bara api.

Saya kasihan dengan nasib Panglima Putih yang disebabkan peranan Inggeris, sanggup membunuh abangnya Si Bongkok. Pastinya perjuangan Si Bongkok ikhlas bagi membebaskan bangsanya dari dibelenggu Inggeris.

Cumanya komen ikhlas saya ialah kalau dapat dikurangkan harganya. Kalau harga dapat dikurangkan, mengikut hemat saya, novel ini akan lebih memujuk untuk dibeli oleh pembaca, terutamanya khalayak yang kurang meminati novel sejarah.

Bukankah khalayak tersebut yang terbesar yang semestinya difokuskan oleh pihak PTS dalam merangka strategi penjualan?

Walau apapun, tahniah dari saya untuk penulis!

----------------------------------------------------

Norfazila Binti Nordin
Petaling Jaya
Selangor

Saya masih mencari buku Encik Latip yang bertajuk ' Si Bongkok Tanjung Puteri' . Insyaallah menurut pekerja MPH buku tersebut akan ada stoknya selepas raya nanti .

Kalau tidak ada halangan , besar kemungkinan saya akan mengambil kisah ini sebagai kajian tesis saya . Mungkin saya boleh meminta bantuan Encik Latip nanti sekiranya Encik Latip tidak keberatan .

Sekian , wassalam .

--------------------------------------------------------

Alhamdulillah,

Semenjak novel sejarah pahlawan Melayu Si Bongkok Tanjung Puteri diterbitkan kira-kira sebulan yang lalu sambutan daripada pembaca amat menggalakan. Ramai juga yang membuat pesanan awal berserta autograf daripada saya. Paling ramai pembelinya dari Johor.

Encik Radzlan penduduk Belungkur yang menunjukkan saya di mana pusara Si Bongkok Tanjung Puteri memaklumkan, sejak berita mengenai pahlawan itu tersiar dalam Berita Minggu dan semenjak novel mengenai pahlawan terbilang itu diterbitkan sudah ada pihak yang berkuasa di Johor datang melawat pusara tersebut dan mereka berjanji akan memberi perhatian terhadap pusara pahlawan terbilang itu.

Ahad, September 30, 2007

ULASAN PEMBACA


Salinan dari:
http://dingin.blogspot.com/

Ketika saya disekolah rendah, saya sering diberitahu oleh cikgu, Bugis itu Lanun. Kawan2 juga memberitahu begitu. Cuma cikgu mengalas kritikan itu dengan mengatakan Bugis bangsa pelayaran yang bijak.Tiba di sekolah menengah itu juga yang saya dengar.

Saya waktu itu sebetulnya cukup hairan, bagaimana label 'lanun' itu melekat pada bangsa Bugis. Saya cuba mencari faktanya dan terjumpa hanya satu ayat di dalam buku teks sejarah, satu ayat yang mengatakan lanun Bugis aktif di sekitar Johor. Lanun2 daripada bangsa lain juga aktif, tetapi mengapa Bugis juga yang terus di label lanun.

Keadaan keliru itu terus saja berlangsung lama. Saya keliru kerana saya ini Bugis. :-p. Pasti sesuatu yang berkaitan bangsa kita itu akan sedikit mencubit rasa ingin tahu, mengapa? Mujur saya menjumpai salasilah keturunan saya yang panjangnya satu setengah meter.

Selepas mengkaji sehingga kelapisan 13, datuk saya. Tidak ada tanda-tanda yang mengarah kepada aktiviti perlanunan. Semuanya terlihat berkecuali. :-p. Saya merasa sedikit lega. hehehe

Namun persoalan tu tetap berlegar sehinga saya membaca novel 'Si Bongkok Tanjung Puteri'. Novel ini dilabel sebagai novel sejarah. Biarpun ada pertikaian berkenaan kewujudan si Bongkok. Saya difahmakan kubur si Bongkok ini benar2 wujud. Malah penulis buku ini sudah pergi menziarahinya.

Pada mula cerita, penulis bagi saya berjaya membawa saya kembali ke zaman si bongkok. Secara peribadi, saya cukup gemar dengan ayat 'pohon-pohon kelapa yang mencuar tinggi...." Mengapa? Saya sendiri tidak pasti. Tetapi ia memberi saya rasa mudah untuk menghayati dan menghidupkan suasana itu di minda saya. Mungkin sebab saya suka minum air kelapa :-P.

Selepas itu cerita mula bergerak dalam kadar yang saya selesa. Tidak terlalu laju dan tidak pula perlahan. Sederhana. Ayat-ayatnya mudah biarpun pada mulanya saya menjangkakan ia sebuah novel yang sarat dengan bahasa berbunga sastera. bunga sasteranya tetap ada, cuma tdak merimbun. Ini mungkin kerana, saya difahamkan penulis pernah diminta menulis skrip drama bagi kisah 'si bongkok tanjung Puteri' jadi saya fikir novel ini olahan terus daripada skrip itu.

Dialog dalam novel ini merangkumi 70% keseluruhan novel. Namun itu yang membuat novel ini lebih hidup, bagi saya sekurang-kurangnya. :)Kisahnya, kisah klasik, berkenaan seorang anak bangsa yang yang tidak mahu tanah airnya di jajah. Biarpun dia tidak sempurna kerana dia bongkok dan terus digelar Si Bongkok, tetapi Si Bongkok mempunyai ilmu persilatan yang tinggi.

Si Bongkok bersama adiknya Puteh berusaha membantu Sultan Ali dalam menuntut tahktanya daripada Temenggung (Pemerintah yang di sokong Inggeris). Dalam usahanya itu, beliau perlu menghadapi dua rintangan utama iaitu penjajah Inggeris dan Temenggung sendiri. Temenggung membariskan pendekar-pendekar yang handal bagi membantunya mengekalkan kuasa di samping mendapat bantuan penjajah.

Dalam pada masa yang sama dia bersama rakan-rakannya juga cuba menjejaki lawannya yang ketiga, iaitu lanun yang membunuh tok guru dan ibubapanya. Bagi seorang pahlawan seperti si Bongkok, itu perkara enteng, sehingga pada satu hari, dia menghadapi lawannya yang keempat, lawan yang paling cuba dielakkan. Dan inilah sebenarnya lawan yang sulit untuk ditentang.

Siapa lawan keempat Si Bongkok ini? Baca sendiri. :-p Bagaimana kesudahannya? Lagi sekali, Baca sendiri :-P. Baru enak. Hehehhe.

Apa yang saya tuliskan di atas hanya intipati utama yang ringkas, dalam novel ini juga ada di selitkan unsur-unsur telenovela seperti cinta yang tidak kalah romantikya, kekeluargaan yang menyentuh jiwa dan saspen yang timbul daripada kelicikan pihak musuh dalam merancana jerat.

Usai membaca buku ini, saya mengerti satu perkara berkenaan label lanun pada bangsa Bugis. Buku ini memberi saya satu pengalaman linguistik. Kerana, nama-nama seperti Daeng Alik dan Daeng Patani terus berlegar-legar di otak. Ia terlalu 'menegas' dalam novel ini. Kontras kerana ia nama yang berbeza sekali daripada nama-nama yang pernah kita dengar. Sehingga personaliti mereka juga ujud dalam otak saya.

Jadi itu saya membuat kesimpulan, kerana nama itu kontras, maka ia mudah diingati. Bukan sahaja nama itu mudah diingati malah, peranan wataknya juga mudah dikenang2. Watak lanun, dan seterusnya bangsa Bugis itu terus dilabel lanun.

Saya difahamkan, drama 'si bongkok tanjung Puteri' sudah di tayangkan di televsyen lama dahulu (Saya belum menonton dramanya dan ini agak malang) . Malah lagu 'Si Bongkok tanjung Puteri' juga amat terkenal. Melaluai hal itu, saya fikir imej lanun Bugis kemudian tertanam di minda kebnyakkan mereka yang menonton ataupun melalui cerita lisan. Kerana hanya sebab kecil tadi.

Nama-nama itu memberi pengalaman linguistik yang sukar dilupakan. Ia menjawab persoalan saya bagaimana Bugis menjadi bangsa lanun. Tidak setuju dengan saya? Baca sendiri bagi merasainya . :-)Ini blog penulisnya, beliau merupakan penulis yang tersohor. Siapa? Klik sendiri. Hehehe

Isnin, Ogos 20, 2007

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI


Abdul Latip bin Talib,
PTS Fortuna
Harga: RM 32.00 / RM 35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 983-192-188-7
Barcode: 978-983-192-188-3
Jumlah Halaman: 576 halaman
Tarikh Terbit: 22 August 2007
Skor : [ dari 5 ]

----------------------------------------------------------
Berita Minggu 19/8/2007

Jejak: Si Bongkok pahlawan Johor
Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Kebencian terhadap penjajah punca pendekar yang didakwa lanun bersama pengikut bangkit menentang British.Ada beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.

Seterusnya melewati masa, nama dan kisah perjuangan tokoh berkenaan semakin dilupakan generasi kini dan mungkin pada masa akan datang. Jika pun ada, rentetan kehidupan pahlawan itu sekadar tersebar menerusi lisan dan ingatan orang lama sehingga ramai keliru memikirkan sama ada kisah itu benar-benar wujud atau sekadar legenda.

Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib, memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.

“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu. Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di Johor.

“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.

Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.

Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.

Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.

Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak.

Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.

Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.

Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.

Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.

Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang. Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.

Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.

Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau.

Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka. Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana.

Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu.

Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan. Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok.

Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.

Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.

Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.

Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.

Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar. Akhirnya, di tepi pantai Tanjung Belungkur, dua beradik itu bersemuka buat kali terakhir.

Pertelingkahan terus tercetus dengan masing-masing menegakkan prinsip yang tersemat di hati.Panglima Putih terus membela Temenggung Abdul Rahman dan Si Bongkok terus mempertahankan hak kedaulatan Tengku Ali dan maruah tanah air daripada campur tangan British.Pertengkaran hebat itu akhirnya berlarutan kepada pergaduhan.

Kedua-dua pahlawan gagah perkasa itu bertempur hebat dan tangkas tetapi Panglima Putih tetap gagal membolosi keris ke jasad Si Bongkok lantaran kekebalan pahlawan itu.Selepas melihat adiknya beriya-iya mahu membunuhnya walaupun beliau adalah abang kandung panglima diraja itu, Si Bongkok akhirnya pasrah.

Beliau tidak sanggup membunuh adiknya sendiri atau melihat adiknya yang sudah dipengaruhi British, membunuhnya dirinya.Ketika itulah, Si Bongkok membongkar rahsia kelemahan ilmu kebalnya. Beliau menikam dirinya sendiri dan di tepi pantai Tanjung Belungkur, berakhirlah riwayat dan perjuangan Si Bongkok demi membela tanah airnya yang tercinta. Pahlawan itu mati di atas pangkuan adiknya.

Lirik lagu Tanjung Puteri

Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus )Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri

Inggeris label pemuda cacat sebagai pengganas

“SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.

“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.

Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.

Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.

Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.

Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping papan yang sudah reput.

“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.

Abdul Latip berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.

Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang menentang penjajah.

Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok akan dikenang melewati masa.

“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam sejarah.

“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,” katanya.

Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.

“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.

CATATAN:

Ekoran tersiarnya rencana ini saya menerima beberapa kiriman SMS antaranya daripada saudara A. Hamid Jemain, seorang penulis dari Johor mengatakan;

“Saya berasa amat terharu kerana kisah Si Bongkok Tanjung Puteri ini ditulis oleh penulis luar bukan penulis Johor.”

Saya membalasnya dengan mengatakan; “Saudara usahakan melalui persatuan supaya pusara Si Bongkok dipulihara.”

Dia menjawab; “InsyaAllah saya akan usahakan.”

Ahad, Ogos 12, 2007

NOVEL BARU TERBIT


Abdul Latip bin Talib,
PTS Fortuna
Harga: RM 32.00 / RM 35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 983-192-188-7
Barcode: 978-983-192-188-3
Jumlah Halaman: 576 halaman
Tarikh Terbit: 10 August 2007
Skor : [ dari 5 ]

Novel Si Bongkok Tanjung Puteri baru saja terbit. Mengisahkan perjuangan seorang pahlawan Melayu yang menentang campur tangan British di Tanjung Puteri dan mereka yang bersubahat dengannya. Kerana tindakan Si Bongkok yang menyerang kapal-kapal dagang Inggeris dan membunuh mereka yang dimusuhinya menyebabkan Si Bongkok Tanjung Puteri dianggap sebagai penderhaka dan lanun yang sangat merbahaya.
Setelah dia meninggal dunia maka mayatnya dikuburkan oleh penduduk kampung Belungkur di kaki bukit Tanjung Puteri. Dan kubur itu terus terbiar sehingga kini.

Kubur Si Bongkok Tanjung Puteri cuma bernisankan sekeping papan yang telah reput. Menurut Encik Shaharum Husain dalam bukunya Memoir Shaharum Husain yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia tahun 1996, beliau pernah ke sini pada tahun 1960 bagi membuat penyelidikan terhadap orang tua dan tokoh tempatan bagi menghasilkan Drama Si Bongkok Tanjung Puteri.

Perigi ini terdapat di kaki bukit Tanjung Puteri. Airnya jernih, sejuk dan perigi ini masih digunakan.

Selasa, Julai 31, 2007

BERMALAM DI RENGIT


REPLIKA UDANG GALAH MERCU TANDA RENGIT.


Pekan yang paling dekat dengan Belungkur ialah Rengit yang jauhnya 30km. Desaru lebih kurang sama saja jauhnya. Selain itu ada Sabana dan pelbagai lagi tempat peranginan yang menarik. Kami bermalam di Sungai Rengit kerana selain tempat penginapan yang murah (RM50- RM86) di sini juga terkenal dengan udang galah. Tidak jauh dari hotel penginapan kami ada medan ikan bakar.
Di Rengit kami dapat menonton siaran televisyen Indonesia. Banyak juga rancangan yang menarik. Tetapi kerana letih berkereta selama 8 jam (termasuk makan dan solat) dari Jelebu ke Belungkur menjadikan kami memilih untuk tidur awal.
Bermalam di pantai Rengit membuat kami tidur nyenyak. Pendingin udara dimatikan kerana angin laut bertiup masuk melalui tinggkap yang terbuka. Dari bilik penginapan nampak cahaya bergemerlapan dari kapal-kapal di tengah lautan.
Keesokan harinya semasa bersarapan pagi di sebuah restoran sempat berbual dengan seorang lelaki berusia 60an. Namanya Haji Bajuri.
“Encik datang ke sini melawat sedara?” dia bertanya ramah.
“Saja berjalan-jalan,” jawab saya dan perbualan kami semakin rancak.
“Tuan pernah dengar nama Si Bongkok Tanjung Puteri?” tanya saya.
“Encik datang nak tengok kubur dia?” dia bertanya pula
“Iya,” jawab saya.
“Sudah tengok atau belum?” .
“Belum sebab kami sampai petang semalam lalu bermalam di sini. Pagi ini baru ke Belungkur.”
“Biasanya orang yang datang dari jauh tentu ada hajat.”
“Hajat saya Cuma hendak menziarahi pusara dia.”
“Tapi kebanyakan yang datang nak minta nombor.”
“Si Bongkok Tanjung Puteri itu memang benar wujud atau Cuma rekaan?” tanya saya.
“Kuburnya ada di Belungkur,” jawab Haji Bajuri.
Pada mulanya saya menyangka penduduk Belungkur sahaja yang tahu di situ kubur Si Bongkok Tanjung Puteri. Tetapi penduduk daerah lain seperti Rengit, Mersing, Kukub dan daerah sekitarnya juga tahu di sana kuburnya.
Menurut Haji Bajuri, Si Bongkok Tanjung Puteri di anggap menderhaka kerana menentang Temenggong yang berkuasa.
“Si Bongkok Tanjung Puteri itu memang lahir di Tanjung Puteri?” tanya saya,
“Itu saya tak pasti.” Jawab Haji Bajuri.
“Siapa nama ayah dan ibu Si Bongkok?”
“Itupun saya tak tahu.”
Sebenarnya itulah antara hambatan semasa saya mengumpulkan maklumat mengenai Si Bongkok Tanjung Puteri. Selain mendapatkannya melalui internet, rencana surat khabar dan majalah, saya juga banyak mengumpulkan maklumat mengenai Si Bongkok Tanjung Puteri melalui cerita lisan. Kebetulan saya mempunyai keluarga di Singapura dan Johor Bahru.

Isnin, Julai 30, 2007

PUSARA SI BONGKOK TANJUNG PUTERI


Kami meredah semak dan denai sebelum sampai ke pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Sedih melihat pusara Si Bongkok Tanjung Puteri terbiar. Mungkin tidak lama lagi akan hilang kalau tidak ada usaha untuk menjaganya.

Puan Asmah Binti Ahmad penduduk Belungkur yang sempat saya temui.

Encik Khalid Saidun 49 tahun penduduk Belungkur yang membenarkan saya mengambil gambarnya.

Encik Ramzdan yang membawa saya ke kubur Si Bongkok Tanjung Puteri.

Saya baca tulisannya, Bismillah..Alhamdulillah, segala puji untuk Allah. Inilah kubur Si Bongkok Tanjung Puteri...banyak tulisan yang sudah kabur...

Nama Si Bongkok Tanjung Puteri selalu disebut apabila lagu Tanjung Puteri berkumandang. Dan nama itu masih diingat orang ramai sampai sekarang. Tetapi ramai yang tidak tahu di mana kuburnya. Malah penduduk Belungkur sendiri ada yang tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah perkuburan pahlawan itu walaupun mereka percaya Si Bongkok Tanjung Puteri itu sememangnya wujud dan kuburnya ada di lereng bukit Tanjung Puteri.

Menurut salah seorang penduduk Belungkur Puan Asmah Ahmad 50 tahun, di situ terdapat dua tanjung iaitu Tanjung Belungkur Dan Tanjung Puteri.

“Di bukit Tanjung Puteri ini ada gua tempat persembunyian Si Bongkok,” kata Encik Ramzdan Sakyun 47 tahun yang membawa saya ke pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Menurut Encik Ramzdan, Moyangnya yang bernama Uteh Jantan (Pak Teh Jantan) orang yang mula-mula menjumpai mayat Si Bongkok Tanjung Puteri di tepi pantai. Kemudian mayat itu dikebumikan oleh penduduk kampung tersebut di lereng bukit Tanjung Puteri.

Di Situ Cuma ada sebuah kubur sahaja dan untuk sampai ke sana bukannya mudah kerana terpaksa meredah semak samun dan denai. Kerana itu tidak hairanlah kubur itu terbiar ditumbuhi pokok-pokok kayu.

Menurut Encik Khalid Saidon 55 tahun, yang dilahirkan di Belungkur, ramai orang luar yang pulang hampa kerana tidak dapat mencari kubur Si Bongkok Tanjung Puteri. Mujur saya dapat memujuk Ramzdan supaya membawa saya ke tempat tersebut.

“Biasanya saya dibayar antara RM 40 ke RM60 kerana susah hendak ke sana,” katanya berterus terang.

Setelah berjalan kaki meredah belukar dan kawasan denai selama kira-kira setengah jam barulah kami sampai ke sebuah kubur lama. Mujur masih ada penanda dua batang kayu yang sudah reput tinggal sejengkal. DI bahagian kepalanya ada tulisan yang mengatakan itulah pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Saya lihat pada tulisan itu ada tercatat tarikh 23.1.1981. Menurut Puan Asmah, ayah mertuanya arwah Pak Saidon Wahab pernah bermimpi Si Bongkok menyuruh dia menandakan kubur itu kerana sebelum itu tidak pernah bertanda.

"Maka pak mertua saya pergilah menandakan kubur itu. Ditanamnya dua batang kayu cengal pada bahagian kaki dan kepala kubur itu. Kemudian ditulisnya pada sekeping kayu sebagai batu nisannya. Itu adalah tarikh ditandakan kubur itu kerana dia pun tidak tahu bila Si Bongkok Tanjung Puteri meninggal dunia ,” katanya.

Dari penemuan kubur tersebut dan dari cerita penduduk Belungkur memang sahlah Si Bongkok Tanjung Puteri sememangnya wujud.

Alangkah baiknya kalau kubur itu dipelihara sebagai peninggalan sejarah.

Rabu, Julai 25, 2007

ZIARAH PUSARA SI BONGKOK TANJUNG PUTERI





PUSARA SI BONGKOK TANJUNG PUTERI TERLETAK DI TANJUNG BELUNGKOR.




NOVEL SI BONGKOK TANJUNG PUTERI BERADA DI PASARAN BERMULA PADA 31 JULAI.

Saya teringin sangat hendak menziarahi pusara Si Bongkok Tanjung Puteri tetapi tidak tahu di mana letaknya Belungkor. Mujur Professor Madya Nurazzah berikan peta jalan ke tempat tersebut.

Kalau tidak ada apa-apa halangan saya akan menziarahinya. InsyaAllah.

Khamis, Julai 05, 2007

LAGU TANJUNG PUTERI

Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Teberau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus ) Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Setulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri