Sabtu, Jun 30, 2007

ALHAMDULILLAH

Terharu saya membaca entri dan doa-doa dari Puteri Ezza dan Abang LOng. Alhamdulillah.


Salinan dari blog Puteri Ezza


http://puteriezza.blogspot.com/


Pada kali ini aku ingin berbicara tentang Abah dan Ayah. Walaupun maksudnya sama, tetapi Abah dan Ayah adalah dua insan yang berbeza dalam hidup aku. Tetapi, kedua-duanya sungguh bermakna. Kehadiran mereka mewarnai kehidupanku dengan warna-warna ceria dan terpalit jua warna-warna hiba.

Abah – merupakan bapa kandung aku. Namun, beliau telah lama kembali ke pangkuan Pencipta. 19 Oktober 1994 tarikhnya, iaitu ketika berusia 39 tahun. Nama allahyarham, Jamlidi bin Haji Oli @ Welly. Punca utamanya adalah ‘ajal’. Tetapi penyebab kepada ajalnya itu adalah ‘khianat manusia’. Aku berbangga dengan abah, kerana arwah merupakan pejuang yang sejati. Bakatnya juga pelbagai. Namun, lebih terserlah dalam bidang kepimpinan. Arwah sangat petah berkata-kata (sesuai dengan posisinya sebagai ahli politik ketika hayatnya), malah disayangi ramai orang kerana arwah juga seorang yang penyayang. Arwah adalah idola aku dalam lapangan ‘Pengucapan Umum’, selain kepimpinan dan sifat-sifat halusnya yang menjadikan dirinya mempunyai ‘aura’. Malah, banyak bakat, sifat serta minatnya yang aku warisi. Arwah sederhana sahaja orangnya. Kehidupannya juga sederhana ketika hayatnya.

Ayah pula merupakan ayah kedua aku. Yang baru aku kenali melalui ruang maya dan belum pernah bersua muka, tetapi ikatan kekeluargaan itu telah mula berkembang. Terasa kasih sayangnya di setiap denyut nadi dan hembusan nafasku. Ayahanda Abdul Latip bin Talib namanya. Dilahirkan pada 2 Jun 1954. Bagaimana kasih sayang kami sebagai ayah dan anak menyatu? Segalanya bermula apabila hati aku tergerak memanggil beliau dengan panggilan ‘ayahanda’ ketika julung kali mengunjungi blog beliau. Ya, di situlah bermulanya kisah aku dan ayah. Aku juga berbangga dengan ayah. Siapa yang tidak berbangga jika ayahnya itu seorang PENULIS / NOVELIS atau lebih tepat lagi dipanggil SASTERAWAN. Ya, ayah aku seorang sasterawan tersohor. (Gambar di atas yang bersebelahan dengan gambar aku tu adalah sebahagian daripada karya ayah. Salah-satu daripadanya bakal difilemkan, insyaAllah). Bakatnya juga pelbagai sama seperti arwah abah. Sifat penyayang dan kesederhanaannya juga sama. Malah, aku juga mempunyai banyak persamaan dengan ayah. Aku minat menulis seperti ayah dan ada beberapa sikapku sama seperti sikap ayah. Agaknya disebabkan persamaan yang ada, aku ditemukan dengan ayah. Ada ‘chemistry’.

Aku berbangga dengan kedua-duanya dan aku menyayangi kedua-duanya. Meskipun abah telah lama pergi, kenangan bersamanya masih segar dalam ingatan. Kasih sayangnya masih hidup walaupun jasadnya telah lama bersemadi. Kepada ayah, anakanda menyayangi ayah seperti anakanda menyayangi abah. Terima kasih ayah, kerana hadir dalam hidup anakanda.



Ya, Allah! Aku bersyukur kepadaMu atas kurniaan ini. Lindungilah abah dan ayahku. Tempatkanlah abahku di kalangan orang-orang beriman. Peliharalah ayahku dari sebarang kejahatan di dunia, berikanlah kesihatan yang berpanjangan kepadanya, murahkanlah rezekinya dan lindungilah setiap perjalanan hidupnya.


Salinan dari blog Abang Long.


http://www.novelman.blogspot.com/


TERIMA KASIH BUAT PAK LATIP

Syukur Alhamdulillah, setelah agak lama novel ini berada dipasaran, akhirnya aku berjaya juga mendapatkannya.
Sewaktu Pesta Buku tempohari, aku tidak dapat membelinya. Maklumlah wang yang aku kumpul selama setahun (untuk memborong buku dengan harga diskaun), telahpun habis. Diwaktu itu aku hanya berjalan – jalan diruang niaga (booth) PTS. Hajat dihati hanya untuk bertemu dengan Puan Zalisa (yang aku kenali di alam blogger).

Namun kuasa tuhan, aku diperkenalkan pula dengan Puan Ez, Puan Saridah dan Pak Latip Talib. Diwaktu itulah aku ditunjukkan dengan buku atau novel pejuang Islam, hasil karya Pak Latip. Namun diwaktu itu, aku tidak mampu memilikinya atau membelinya, kerana poket aku telah kempis (yang betulnya kosong). Wang yang ada hanyalah cukup untuk tambang aku dan keluarga untuk pulang ke rumah.

Aku begitu tertarik dengan novel tersebut, tapi apakan daya, hanya tuhan yang maha mengetahui. Namun aku tetap menyimpan hasrat untuk mendapatkannya. Aku pula bukanlah terdiri dari golongan orang yang berada, pendapatan aku sememangnya “cukup – cukup makan” . Namun, aku tetap berusaha untuk memberikan ilmu dan segala yang termampu untuk keluargaku, khususnya buat anak –anak.

Walaupun gaji aku tidak banyak, dan hanya cukup – cukup makan, namun aku tetap, membelanjakan sebanyak RM 30, sebulan untuk membeli buku, khususnya untuk anak – anak, kerana aku yakin itulah pelaburan jangka panjang yang menguntungkan. Namun dalam masa yang sama aku terpaksa berdikit – dikit dalam berbelanja.
Yang pasti, sering sahaja aku perlu berpuasa, demi untuk mencukupkan keperluan anak – anak.

Usai pertemuan di Pesta Buku, aku sering mengirimkan emel kepada novelis yang aku kenali, dan tidak lupa juga bertanya khabar kepada Pak Latip. Dari sehari – ke sehari perhubungan kami semakin akrab, hinggalah kami membahasakan diri dengan panggilan – Adinda dan Kekanda.



Hinggalah satu hari, anak ku yang sulung – Muhammad Fakhrurrazi, yang belajar di sekolah menengah, bertanyakan “abah dah dapat gaji ke belum ?” (ini adalah soalan lumrah, apabila mereka mahu membeli sesuatu, kerana mereka faham ayah mereka bukan orang kaya dan sentiasa berduit), lalu aku bertanya “kenapa ?”.

Lalu dia menjawab “kawan abang (dia membahasakan dirinya begitu), dah baca novel, Khalid – Pejuang Islam, diaorang kata best, abang pun dah baca sikit, abang ingat nak suruh abah belikan”, Aku terkesima sebentar, maklumlah soalan itu diajukan dihujung bulan.

“Nanti bila abah dapat gaji, abah belikan ya ?” aku memujuk anak ku, dan dia hanya mengangguk sahaja.

Lalu, dalam beberapa kali aku ke Kuala Lumpur atas urusan kerja, aku telah pergi ke Kinokuniya, MPH dan beberapa lagi kedai buku, namun aku hampa. Semuanya kata “tiada dalam stok” ataupun “sudah habis”. Apa lagi cara dan upaya aku, untuk memenuhi permintaan anak ku itu.

Akhirnya, aku mendapat ilham. Dimana aku mengirimkan emel kepada Kekanda Abdul Latip, bertanyakan sama ada, beliau ada menyimpan novel tersebut. Seandainya ada, maka aku akan membeli terus darinya. Itupun kalau ada stok yang berbaki.

Akhirnya aku mendapat jawapan dari Kekanda Abdul Latip, menyatakan bahawa beliau masih ada menyimpan novel tersebut. Setelah berutus emel, akhirnya, atas daya usaha Kekanda Abdul Latip, aku berjaya juga mendapatkannya.

Sewaktu aku memesan novel tersebut. Perkara ini tidak dimaklumkan kepada sesiapapun, hatta kepada isteriku sendiri (sengaja nak buat kejutan). Selepas aku makan tengahari, dipejabat, aku mendapat panggilan dari isteriku. “Abang ada beli novel ke?” soal isteriku, Dalam nada kegembiraan. “Ya”, jawabku ringkas.

Terdengar keriuhan didalam telefon bimbit, rupa – rupanya, anak – anakku begitu gembira dan teruja dengan novel yang baru diterima melalui pos. Dan paling menggembirakan, apabila setiap novel ada tandatangan dari penulis novel itu dan titipan kata – kata buat isteri dan anak – anakku, dan setiap novel ada nama mereka.

Buat Kekanda Abdul Latip.
Adinda, isteri dan anak – anak mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga, atas segala – galanya. HANYA ALLAH SAHAJA yang mengetahuinya.

Disertai do'a kehadrat Illahi "Ya Allah, yang Maha Memperkenankan Do'a, aku memohon kepada MU ya Allah, supaya, DIKAU pajangkan usia, murahkan rezeki, sihatkan lah tubuh badan, jauhkan dari sebarang musibah, kukuhkanlahiman, buat insan yang amat kami hormati dan sayangi, seorang insan yang telah memberikan ilmunya dan yang telah mencurahkan baktinya kepada kami sekeluarga, sesungguhnya ya Allah, kami tidak akan mampu membalas jasa baik yang telah beliau berikan kepada kami sekeluarga, dan hanya kepada MU, ya Allah yang kami sembah, kami bermohon supaya hanya ENGKAU sahaja yang mampu membalasnya, AMIN".

Sabtu, Jun 23, 2007

SULTAN MUHAMAD AL FATEH




Sultan Muhamad al Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 M dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481.

Ketika berumur 19 tahun beliau menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad dan ketika berusia 21 tahun Sultan Muhamad al Fateh berjaya menakluk kota Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah.

Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul (Islam keseluruhannya), terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus.

Sebelum itu Kota Konstantinopel pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria dan Rusia tetapi tidak berjaya. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud.

Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tentera yang berada di bawahya adalah sebaik-baik pasukan. [H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335]

Setelah lebih 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan. Usaha pertama menakluk kota Konstantinopel dilakukan oleh Saidina Ali pada tahun 34 hijrah tetapi tidak berjaya. Kemudian oleh Muawiyah bin Abu Sufyan pada tahun 84 hijrah atau 668 M, tetapi gagal juga.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub Al-Anshari r.a gugur syahid lalu dikebumikan di sisi benteng Konstantinopel. Kemudian usaha itu diteruskan oleh khalifah Harun al Rasyid pada tahun 165 hijrah, Sultan Beyazid dan Sultan Murad tetapi semuanya menemui kegagalan.

Sultan Muhammad Al-Fateh sejak dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad ( ayah kepada Muhammad Al Fateh):

Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu, sambil menunjuk Muhammad Al Fateh yang masih di dalam buaian.

Sejak itu Muhammad Al Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, tetapi beliau menolaknya lalu menyuruh guru-guru tersebut pulang.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Melihatkan usaha Sultan Muhammad Al Fateh itu, gementarlah hati Constantine, Maharaja Rom. Benteng tersebut siap dalam masa tiga bulan. Dari benteng itu, tentera Islam dapat mengawal dengan rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Dan dari situ juga beliau mempersiapkan tenteranya bagi membebaskan kota Konstantinopel.

Akhirnya pada 29 Mei 1453, Sultan Muhamad al Fateh berjaya menawan kota Konstantinopel. Beliau telah membuktikan kebenaran hadis Nabi Muhamad itu.

Menurut cacatan sejarah peperangan menakluk kota Konstantinopel ini lebih sengit dan hebat dari peperangan menakluk Jerusalem oleh Sultan Salahudin Al Ayubi. Diceritakan Sultan Muhamad Al Fateh berjaya memindahkan kapal-kapal perangnya melalui jalan darat. Atau lebih tepat, kapal belayar di atas daratan. Usaha terakhir itu dilakukannya setelah usaha yang lain menemui kegagalan.

Pada kali pertama hendak mendirikan sembahyang Jumaat, timbul pertanyaan siapakah yang paling layak menjadi imam. Sultan Muhammad Al Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lalu baginda berkata. Siapa di antara kalian pernah meninggalkan sembahyang? fardhu sila duduk!

Tidak ada seorang pun yang duduk, maknanya tidak seorang pun di antara tenteranya yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu. Kemudian Sultan Muhammad Al Fateh berkata lagi, Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib? sila duduk!

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Sultan Muhammad Al Fateh meneruskan pertanyaannya lagi, Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan sembahyang tahajjud? sila duduk!

Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Sultan Muhammad Al Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan sembahyang fardhu, sembahyang sunat rawatib dan sembahyang sunat tahajjud.

Dialah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW, sebaik-baik pemimpin, mempunyai tentera dan rakyat yang baik. Kerana itu berjaya menakluk kota Konstantinopel.

Kisah perjuangan Sultan Muhamad al Fateh menakluk kota Konstantinopel ini akan dijadikan novel.

Insya-Allah.

Rabu, Jun 20, 2007

DARI BLOG NURAZZAH8

GAMBAR-GAMBAR INI DIAMBIL DARI BLOG NURAZZAH8.

http://nurazzah8.blogspot.com/



Nurazzah telah menziarahi makam pahlawan-pahlawan Islam di bumi ambiyak (Damsyik)kerana itu berasa teruja hendak membaca novel-novel pahlawan Islam terutama Salahudin Penakluk Jerusalem dan Khalid Memburu Syahid. Dia membeli novel-novel tersebut melalui online.



Anas anak lelakinya begitu tekun membaca kisah Salahudin Penakluk Jerusalem. Menurut Nurazzah dia dan Anas berebut hendak membaca novel Salahudin. Si ibu terpaksa mengalah...



Anas sedang menekuni novel Salahudin Penakluk Jerusalem. Tangan kanan memegang novel, tangan kiri menepuk dahinya. Dia berasa amat kagum dengan kisah idolanya Salahudin Al Ayubi.

Alhamdulillah.

Isnin, Jun 18, 2007

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI: REAL ATAU TIDAK?

Nama Si Bongkok Tanjung Puteri mula diperkenalkan oleh Shaharom Husain melalui pementasan teaternya. Menurut Shaharom Si Bongkok Tanjung Puteri watak yang benar wujud dan kuburnya ada di Belungkur.

Tetapi semasa bengkel penulisan novel sejarah Johor di Air Keroh tahun lalu saya bertanya kepada Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, salah seorang penceramah dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya, adakah Si Bongkok Tanjung Puteri wujud?.

Beliau menafikan kewujudannya kerana nama Si Bongkok Tanjung Puteri tidak pernah tercatat dalam sejarah Johor.

Lebih baik u tulis kisah pahlawan yang memang wujud seperti Panglima Besar Layot, Panglima Besar Salim,Panglima Besar Kadir,Panglima Besar Tok Siban, Panglima Besar Sancu. Atau Raja Berambut panjang yang nama-nama mereka memang tercatat dalam sejarah Perang Jementah, katanya.

Tetapi saya tetap tertarik kepada kisah Si Bongkok Tanjung Puteri. Walaupun namanya tidak tercatat dalam sejarah Johor tetapi dia pernah popular di kalangan rakyat Johor terutama di kalangan penduduk Selat Tebrau, Mersing, kukub, pontian kerana kisah itu berlaku di tempat tersebut.

Saya sudah selesai membaca dan menyemak pruf novel Si Bongkok Tanjung Puteri dan jika tidak ada apa-apa halangannya novel sejarah pahlawan Melayu (bukan pahlawan Malaysia) setebal lebih 500 halaman itu akan diterbitkan oleh PTS Fortune tidak lama lagi.

Saya yakin Si Bongkok Tanjung Puteri memang wujud tetapi kerana perjuangannya menentang arus maka dia dianggap penderhaka dan namanya disembunyikan dari lipatan sejarah.

Rabu, Jun 13, 2007

NOVEL SALAHUDIN DIFILEMKAN?




Petang semalam ada seseorang menghubungi saya mengatakan ada sebuah syarikat penerbitan bukan Melayu sedang merancang hendak menerbitkan sebuah drama bersiri untuk tv bertajuk SALAHUDIN. Tetapi tidak diluluskan kerana kisahnya menyimpang dari fakta yang sebenar.

Kononnya Salahudin digambarkan seperti Robin Hood yang kerjanya merompak harta orang kaya lalu diberikan kepada fakir miskin. Nauzubillah. Nasib baik pihak berkenaan tidak meluluskan cerita tersebut.

Menurut ceritanya lagi, dia telah membaca novel Salahudin Penakluk Jerusalem dan mendapati itu adalah kisah sebenar Salahudin yang menepati faktanya. Ada kemungkinan syarikatnya akan diberikan slot tersebut. Dengan itu novel Salahudin Penakluk Jerusalem akan dijadikan filem.

Sebagai penulisnya tentulah saya gembira dengan perkhabaran tersebut. Tetapi dengan syarat mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada PTS kerana dalam dokumen perjanjian penerbitan, ada klausa di mana saya melantik PTS menjadi agen pemerdagangan harta intelek itu.

Saya juga masih teringat pesanan Sifu Puan Ainon semasa berkursus, jika ada mana-mana pihak hendak menjadikan novel kita filem maka maklumkan terlebih dahulu kepada PTS supaya harta intelek itu dapat diuruskan dengan baik.

Dipendekkan cerita, saya menyuruh syarikat tersebut berhubung terus dengan PTS jika ingin memfilemkan novel Salahudin Penakluk Jerusalem.

Ahad, Jun 10, 2007

TERIMA KASIH RADIO ASYIK

Seperti yang telah dijanjikan, saya masuk ke bilik penyiaran radio Asyik tepat jam 10 pagi. Di sana telah menunggu Puan Mariama, bos radio Asyik dengan pembantunya.

Encik Mahat bercuti sebab itu saya berada di sini, kata Puan Mariama (Bukan Mariamah Tijo)

Kerana Puan Mariama kelihatan peramah membuat debaran saya beransur hilang. Mana tidak berdebarnya, pertama kali bersiaran di radio Asyik.

Usaha radio Asyik mengadakan rancangan BICARA BUKU pada setiap hari Ahad jam 10 hingga 11 pagi memang patut dipuji. Dengan ini dapatlah para penulis memperkatakan buku-buku mereka. Pendengar pula dapat mengetahui buku-buku yang baru terbit disamping dapat berkenalan dengan penulisnya.

Walaupun siaran radio Asyik fm hanya dapat didengar di kawasan tertentu sahaja namun dengan adanya rancangan BICARA BUKU itu dapat mendekatkan penulis dengan pendengarnya.

Pada suatu masa dahulu (Radio 3 Seremban) juga pernah mengadakan rancangan seperti ini. Tetapi entah kenapa sekarang tiada lagi. Kerana itu apabila Encik Mahat menjemput saya bersiaran di radio Asyik untuk memperkatakan mengenai buku-buku saya maka saya terus menyetujuinya. Malah merasakan ianya satu penghormatan.

Menurut Puan Mariama, penyampai radio Asyik biasanya menggunakan empat bahasa kaum asli dan rancangan ini amat popular di kalangan mereka.

Menurut Puan Mariama lagi, ramai juga di kalangan anak-anak muda mereka yang suka membaca novel dan meminati bidang penulisan. Malah Encik Mahat sendiri seorang penulis.

Lalu saya mencadangkan mereka menjadi ahli persatuan penulis di kawasan masing-masing. Kalau di Negeri Sembilan mereka boleh menjadi ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Dengan menjadi ahli persatuan mereka boleh mengikuti kursus atau bengkel penulisan.

Selama kira-kira satu jam bersiaran dapatlah saya memperkatakan mengenai novel-novel saya terutama novel sejarah Islam yang diterbitkan oleh PTS. Sempat juga saya menceritakan secara ringkas teknik surah Yusof yang menjadi mazhab novel-novel yang diterbitkan oleh PTS.

Menurut Puan Mariamah, dia telah masuk ke blog saya dan membaca entri-entri di dalamnya termasuk ruangan wawancara. Dengan itu lebih mudah dia mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan penulisan saya.

Terima kasih Puan Mariama yang sudi menemuramah saya.

Terima kasih kepada Encik Mahat yang sudi menjemput saya untuk bersiaran.

Terima kasih Puan Ez yang mencadangkan nama saya kepada Encik Mahat

Terima kasih kepada radio Asyik fm yang boleh diikuti siaranya di frekuensi 102.5 di kawasan Barat.

Boleh juga diikuti melalui internet


www.asyikfm.com

Sabtu, Jun 09, 2007

Radio Asyik Fm

Jika tidak ada apa-apa halangannya

esok Ahad 10/6

saya bersiaran di radio Asyik fm

pada jam 10 hingga 11 pagi.

PEMBAKAR SEMANGAT






Petikan daripada blog Puan Ainon Mohd.

http://www.universitipts.com/

Kita menerima laporan daripada seorang ibu yang menghadiahkan novel ini kepada anak remaja lelaki yang berusia 19 tahun, bahawa sang anak itu 3 kali khatam membaca novel ini dalam masa 1 minggu.

Kes ini membuktikan bahawa sejarah yang ditulis semula secara kreatif dapat membangkitkan minat generasi muda membacanya dengan sepenuh hati.

Kita juga menerima laporan seorang ayah bahawa anak lelakinya yang berusia 10 tahun selesai membaca novel ini dalam masa 2 hari.

Saya pinjamkan naskhah saya kepada tukang kebun Indon yang menjaga taman seorang jutawan di Janda Baik. Isteri Pak Indon itu membantu menjaga rumah saya.

Saya pinjamkan novel itu kepadanya pagi, petang dia sudah datang dan bersungguh-sungguh dia menceritakan kehebatan sifat-sifat mulia Sultan Salahuddin kepada saya… (Apa dia fikir saya belum baca)

Demikianlah kehebatan karya Abdul Latip Talib ini.

Komen pembaca

1. ibnurabi Says
June 8th, 2007 at 11:49 am

Sudah membaca keempat-empat siri sejarah Islam ini. Sangat menarik. Menghabiskan keempat-empat buku dalam masa satu hari, daripada pagi hingga malam. Antara 4 buku ini yang menarik perhatian ialah Ikramah


2. mas Says
June 8th, 2007 at 3:29 pm

Assalamualaikum wbt

Terima kasih Puan Ainon
Terima kasih Saudara Abdul Latip

Sejarah yang ditulis dalam bentuk kreatif ini memang memikat hati. Dakwah secara begini menusuk sanubari.

2. Riduan Khairi Says
June 8th, 2007 at 4:48 pm

Saya baru sempat membaca Ikramah Penentang Jadi Pembela.

Hmmm. Terharu. Tahniah.

PILIHAN HATIKU

Alhamdulillah, setelah berkampung di Sweet Beach Resort Pasir Puteh Kelantan selama 3 hari bagi menghadiri program Gandingan Gemilang Titian Kasih, saya selamat pulang.

Program tersebut bertujuan menghimpunkan aktivis-aktivis PAS dari seluruh negara yang telah menyertai UMNO.

Aturcara majlis padat dengan ceramah dari bekas aktivis PAS yang kini menjadi penyokong kuat UMNO.

Antaranya Ustazah Norhayati Yaakob, Datuk Ghazali Ahmad, Ustaz Umar Khalid, Datuk Hj Mustafa Taib yang kesemuanya bekas orang kuat PAS suatu ketika dahulu.

Antara penceramah jemputan untuk sesi Munaqasyah pula ialah Sdr Ruslan Kasim, Ustaz Taharudin Yaakob, Ustaz Mohd Afendi Yusof dan YB Senator Tan Sri Muhamad Hj Muhd Taib.

Majlis penutup dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abdul Razak diiringi oleh YB Datuk Seri Zainudin Maidin dan YB Datuk Seri Panglima Hj Annuar Hj Musa.

Komen saya

Apa sahaja bidang yang kita ceburi banyak cabarannya. Di bidang perniagaan ada cabarannya, di bidang penulisan juga ada cabarannya tetapi pada pendapat saya bidang politik yang paling banyak cabarannya.

Kerana itu setelah berfikir dan berfikir biarlah saya menceburi bidang penulisan sahaja kerana yakin bakat saya ada di sana.

Walaupun bidang penulisan juga banyak cabarannya namun inilah bidang yang paling serasi dengan jiwa saya.

Selasa, Jun 05, 2007

GANDINGAN GEMILANG TITIAN KASIH

Malam ini jam 11 saya berangkat ke Kelantan
dijangka sampai pagi esok 6hb Rabu.

Program berakhir pada hari Jumaat 8hb jam 5 petang.

Majlis perasmian oleh

Y.A.B Dato' Seri Mohd Najid bin Tun Abdul Razak
Timbalan Perdana Menteri.

Semoga selamat perjalanan pergi dan balik.

InsyaAllah.

Ahad, Jun 03, 2007

GANDINGAN GEMILANG TITIAN KASIH

Ia bukan tajuk sebuah novel tetapi satu program yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas.

Saya tidak tahu wujudnya Jabatan Hal Ehwal Khas itu dan terkejut juga apabila menerima surat jemputan yang dihantar sendiri oleh pegawai jabatan tersebut ke rumah saya.

Program itu diadakan di sebuah negeri di pantai Timor selama tiga hari dan perasmiannya oleh seorang menteri kanan.

Walaupun saya masih tertanya-tanya kenapa nama saya terpilih? dan siapa yang mencadangkannya? namun teringin juga hendak menghadirinya kerana mungkin ada pengalaman menarik yang boleh ditimba dari program tersebut. Tambahan pula surat itu berbunyi, jabatan berbesar hati menjemput tuan ke program tersebut. Pengangkutan, penginapan, makan dan minum disediakan.

Namun jauh di sudut hati ada bisikan, jika menghadiri program itu akan tertangguh selama beberapa hari penulisan SULTAN MUHAMAD AL FATEH.

Hati saya mula berbelah bahagi. Pergi atau tidak...

Sabtu, Jun 02, 2007

PADA USIA 53 INI

Setiap kali menjelang 2hb June umur saya pun bertambah dan kini menjangkau ke usia 53 tahun.

Sesungguhnya kurniaan yang paling berharga dalam hidup kita ialah iman dan kesihatan.

Pada usia 53 ini saya telah bersara dari kerja makan gaji dan kini bekerja sendiri disamping menjadi penulis sepenuh masa.

Di bidang penulisan, pada usia 53 ini saya berazam untuk terus menulis dan pada tahun 2007 ini impian saya melihat paling kurang 6 buah novel saya diterbitkan. Insya-Allah.

Ya Allah, kurniakan hamba-MU ini iman yang teguh, rezeki yang halal, kesihatan yang baik dan jiwa yang tenteram. Amin.

Khamis, Mei 31, 2007

NOVEL TERBARU

Dua buah lagi novel sejarah yang saya tulis akan diterbitkan oleh PTS Fortune sempena bulan kemerdekaan ini. Sebuah mengisahkan sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka pada sekitar tahun 1511, judul asalnya Setelah Roboh Kota Melaka dan sebuah lagi kisah seorang pahlawan Melayu yang dinamakan Si Bongkok Tanjung Puteri.

Si Bongkok Tanjung Puteri akan dijadikan drama bersiri tv dan sudah ada penerbit yang berminat melamarnya.

Selama hampir 20 tahun saya melibatkan diri dalam dunia penulisan tahun 2007 adalah tahun yang paling mengembirakan.

Semoga kegembiraan ini akan berterusan pada tahun-tahun berikutnya.

Insya-Allah.

AIR SUAM 40 SEN SEGELAS DI JELEBU??

Petikan dari Utusan Malaysia hari ini.

Air suam 40 sen segelas di Jelebu, Negeri Sembilan
Oleh: SAIFUL HAIZAN HASAM

SEREMBAN 30 Mei – Percaya atau tidak, air suam yang dijual di sebuah kedai makan di Kuala Klawang, Jelebu berharga 40 sen segelas?

Tetapi begitulah dakwaan Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunos yang mendedahkan perkara itu selepas mendakwa memperoleh maklumat daripada seorang pemanggil yang membuat aduan kepada pihaknya.

“Pemanggil itu baru menghubungi saya pagi ini, saya pun terkejut dengan harga itu kerana Kuala Klawang merupakan kawasan pinggir bandar, tidak sepatutnya sebegitu tinggi harga segelas air suam.

“Dia juga memberitahu air limau nipis panas di kedai sama yang hanya berharga 80 sen, sekarang sudah melonjak kepada RM1.40 segelas,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, beliau juga pelik dengan kenaikan harga minuman yang amat berleluasa sedangkan bahan yang digunakan hanya air masak, gula dan susu.

--------------------------------------------

Sebagai orang Jelebu saya juga terkejut dengan berita ini kerana setahu saya tidak ada restoran di Kuala Klawang yang mengenakan bayaran 40 sen segelas air suam. Namun elok juga pihak yang berkuasa menjalankan siasatan dan kalau terbukti kebenarannya maka sewajarnya diambil tindakan.

Isnin, Mei 28, 2007

GAMBAR KENANG-KENANGAN



Baru-baru ini YTM Dato' Undang Luak Jelebu telah berkenan menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembikan Kawasan Jelebu. Selepas majlis ramah mesra kami sempat bergambar kenang-kenangan.




YTM Dato' Undang Luak Jelebu berkenan menerima cenderamata daripada saya berupa 4 buah novel Pahlawan Islam. . Di sebelah kami ialah YB Datuk Razak bin Mansur, Pengerusi PSMCNSKJ yang juga EXCO kerajaan Negeri Sembilan.

YB Datuk Razak juga turut menerima novel-novel tersebut.

Ahad, Mei 27, 2007

JADI TERORIS?




Petikan dari blog WEB SUTERA:

http://pasalbuku.blogspot.com/




Baca buku sejarah Islam jadi teroris?

Ada orang kata membaca buku-buku seperti di atas akan mengakibatkan anak menjadi teroris. Pendapat saya, orang yang berkata begitu sama ada jahil mengenai sejarah Islam atau terpengaruh dengan dakyah Yahudi dan Amerika.

Buku-buku di atas merupakan novel sejarah pahlawan-pahlawan Islam pada era keagungan Islam di masa hidup Muhammad bin Abdullah dan para sahabat. Ini adalah kisah sejarah yang terakam dalam terlalu banyak buku sejarah yang merata di pelusuk dunia. Semua orang tahu bahawa Islam tidak disebarkan dengan mata pedang; hanya Yahudi yang membuat propaganda buruk mengenai Islam, dulu, kini dan selamanya.

Novel-novel yang dihasilkan oleh Abdul Latip Talib, diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, ini elok dijadikan hadiah untuk anak-anak remaja kita kerana bahasa yang digunakan mudah. Siri novel sejarah pahlawan Islam ini ditulis dengan teknik Surah Yusuf yang dipelopori oleh PTS.

Kata saya seterusnya, Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Teringat kata Yusuf Qardawi, begini:

Jika menyokong perjuangan Islam itu dikatakan teroris, biarkan saya jadi teroris.

Rabu, Mei 23, 2007

DIARI SEORANG PENULIS

Dalam kesibukan menyiapkan novel sejarah Melaka yang berjudul SETELAH ROBOH KOTA MELAKA yang mesti dihantar ke PTS Fortune hujung bulan ini, sempat juga bertemu dengan Wartawan Sastera Berita Harian Shaidah Shafie untuk ruangan Jejak Kretif yang disiarkan setiap hari Selasa di Berita Harian. Mungkin Selasa depan giliran saya. InsyaAllah.

Semalam (selasa 22hb) menghadiri majlis kunjungan hormat ke Balai YTM Dato Undang Luak Jelebu bersama Ahli Jawatan Kuasa Induk Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Kawasan Jelebu.

Dalam majlis itu sempat juga saya menghadiahkan 4 buah novel Sejarah Islam Salahudin Penakluk Jerusalem, Khalid Memburu Syahid, Ikramah Penentang Jadi Pembela dan Tariq Menang Atau Syahid.

YTM Dato Undang kelihatan suka dengan hadiah tersebut. Katanya,belajar di Universiti ambil bidang sejarah. Bekas guru sejarah. Kerana itu memang suka membaca kisah sejarah.

Hari ini pula (Rabu 23 Mei) ke Bangsar Village 11 MPH untuk sesi Photo Shoot Slots. Ada 3 penulis Cina, 2 India dan 3 penulis Melayu. Hanya saya dengan Ahadiat Akashah sahaja penulis novel melayu yang lain penulis buku-buku Inggeris.

Awak tulis novel Melayu banyak orang beli? tanya salah seorang daripada mereka.

Banyak juga. Sebab itu saya dijemput datang, jawab saya.

Awak tulis novel apa? tanya seorang lagi.

Empat buah novel sejarah pahlawan Islam, jawab saya.

Barulah mereka kagum. Hehe

Saya sempat juga berbual dengan Ahadiat Akashah.

Khabarnya Ahadiat terbit novel sendiri? tanya saya.

Iya, jawab Ahadiat.

Dulu novel Ahadiat diterbitkan oleh orang lain. Sekarang sendiri yang terbitkan. Mana lebih bagus? tanya saya.

Dua-dua bagus. Cuma kalau terbitkan novel sendiri kena keluar duit sendiri, jawab Ahadiat.

Katanya lagi, dia telah terbitkan sendiri 8 buah novelnya dan telah mengeluarkan perbelanjaan RM300 ribu.

Fuyoo..kayanya Ahadiat. Bisik hati saya.

Tetapi ada risikonya, kata Ahadiat.

Lalu dia menceritakan beberapa masalah yang terpaksa dihadapinya. Kerana perkara itu bersifat peribadi saya tidak mahu menuliskannya di sini.

Namun yang pasti Ahadiat seorang penulis yang sudah kaya.

Selesai sesi ambil gambar, saya sempat hantar SMS kepada Sifu Puan Ainon.

Assalamualaikum, Saya di MPH Bangsar sesi ambil gambar.

Alaikumsalam. Bagusnya!. Senyum manis2 supaya jeles sesiapa yang belum ada buku dengan PTS.

Saya sudah senyum sokmo. Siap pakai baju melayu dan bersamping.

Ewah! Mesti hensem tu.

Sejak jadi penulis PTS baru saya terasa hensem hehe

Mana ada penulis lain ada 4 novel tahun 2007. Novel pahlawan Islam pulak tu. Tak pernah di buat orang.

Ada lagi beberapa SMS sifu yang buat saya tersenyum-senyum tetapi kerana masih rahsia saya tidak mahu menulisnya di sini. Jika sudah menjadi kenyataan baru saya hebahkan. hehe

Terima kasih Sifu kerana berdoa yang baik-baik untuk saya. Amin.

Ahad, Mei 20, 2007

LAGI REAKSI PEMBACA

Tujuan memaparkan reaksi pembaca ini untuk memberi semangat kepada diri saya sendiri.

ez: Tengah hari tadi baru khatam novel Salahudin al Ayubi. Menangis saya baca waktu Salahudin nazak...Tahniah Pak Latip penulisan dari hati akan jatuh ke hati.

Ez antara pembaca yang mula-mula mengirim emel kepada saya mengatakan beliau membeli novel Salahuddin Penakluk Jerusalem untuk dihadiahkan kepada anak lelakinya yang berusia 19 tahun. Kata beliau dalam emelnya, anak saya kata novel itu Best dia sanggup berjaga sampai pagi untuk menghabiskan pembacaannya.

Katanya lagi, anak lelakinya itu tiga kali khatam membaca novel Salahudin Al Ayubi.

Semoga semangat pahlawan Islam yang terbilang itu dijadikan iktibar oleh anaknya untuk berjaya dalam kehidupannya.

Kata EZ, penulisan dari hati akan jatuh ke hati.

Saya pun tidak tahu macam mana hendak mempraktikkan teori itu. Tetapi semasa menulis bab terkhir novel Salahudin Penakluk Jerusalem itu saya sendiri berasa sedih kerana setelah meninggal dunia beliau tidak meninggalkan harta kecuali wang berjumlah empat dinar sahaja walaupun ketika itu beliau menjadi sultan yang memerintah dari Mesir hingga ke Yaman.

Itulah Salahudin Al Ayubi pahlawan besar Islam yang Agung yang pernah dilahirkan.

Khamis, Mei 17, 2007

REAKSI PEMBACA 2





Soalan

Tikrit:

sstgh buku (krngn Abd Nasih Ulwan) ckp Syawur yg sebenarnya ctc Sultan Nuruddin minta bantuan.. novel Pak Latip Khalifah Al-Adid yang minta bantuan dr Sultan Nuruddin..bole combine x 2 cerita tu..

Jawapan

Walaupun saya tidak kenal siapa orangnya yang bernama Tikrit, tetapi saya tetap akan menjawab pertanyaannya kerana dia memang telah membaca novel Salahudin Penakluk Jerusalem.

Ketika itu Mesir di perintah oleh Daulah Fatimiyah. yang menisbahkan diri mereka sebagai keturunan Siti Fatimah iaitu anak Rasulullah S.A.W yang menjadi isteri Saidina Ali. Mereka berfahaman Syiah dan menjadi saingan kepada Daulah Abbasiyah di Baghdad dan Daulah Umaiyah di Andalusia. Mereka tidak sefahaman terutama dalam politik.

Namun Sultan Salahudin menumbangkan Daulah Fatimiyah di Mesir yang telah memerintah selama beratus tahun bukan dia benci fahaman Syiah (walau ada yang kata Salahudin anti Syiah tetapi saya menafikannya) ketika itu Daulah Fatimiyah berada di ambang kejatuhan kerana ketika itu di perintah oleh Khalifah Al Adid, yang melantik Syawur sebagai perdana menterinya.

Elok juga saya nyatakan Salahudin pergi ke Mesir bukan untuk menumbangkan kerajaan Fatimiyah tetapi menghalau tentera salib yang menyerang Mesir. Dia dilantik menjadi sultan setelah khalifah Al Adid meninggal dunia. Bukan rampasan kuasa.

Adapun Syawur ini bukan orang Arab tetapi orang Sudan tetapi ada pula mengatakan dia orang Habsyah. Khalifah Al Adid berbaik dengan orang-orang Sudan dan Habsyah kerana ingin mengimbangi kuasa Daulah Abasiyah dan Umaiyah.

Pada masa itu ramai orang-orang Sudan dan Habsyah dilantik menjadi pembantu Khalifah Al Adid sehingga mereka bebas keluar masuk ke Mesir. Malah Syawur banyak mempengaruhi keputusan khalifah sehingga dia bercita-cita menjadi raja Mesir.

Pada suatu ketika Syawur dipecat oleh Khalifah Al Adid kerana cuba merampas kuasa. Kemudian Syawur pergi ke Aleppo meminta bantuan Sultan Nuruddin untuk menumbangkan Khalifah Al Adid.. Dan Sultan Nuruddin menghantar panglima Assadudin Syirkuwah dan pasukan tenteranya ke Mesir.

Kerana panglima Asadudin Syirkuwah (guru yang mendidik Salahudin ilmu peperangan) seorang yang bijak dan berpandangan jauh, dia tidak menumbangkan Khalifah Al Adid sebaliknya menyuruh baginda berbaik semula dengan Syawur dan melantik semula sebagai perdana Menteri Mesir.

Namun Syawur masih tidak berpuas hati dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan khalifah Al Adid. Peluang itu muncul apabila dia bersubahat dengan tentera salib yang menyerang Mesir bertujuan menjatuhkan Khalifah Al Adid dengan harapan dia akan menjadi raja Mesir.

Ketika itulah Khalifah Al Adid meminta bantuan Sultan Nuruddin untuk menghalau tentera salib dari Mesir dan menggagalkan niat jahat Syawur.

Kerana itu novel saya tidak bercanggah dengan buku karangan Abd Nasih Ulwan seperti yang dikatakan oleh Tikrit.

Cuma novel Salahudin Penakluk Jerusalem yang saya tulis itu kisah bermula semasa tentera salib sudah mengepung Iskandariyah. Kerana itu ia bermula dengan Khalifah Al Adid yang meminta bantuan Sultan Nuruddin.

Beberapa tahun sebelum itu memang benar Syawur yang meminta bantuan Sultan Nuruddin.

Di harap saudara Titrit dan pembaca yang lain berpuas hati dengan jawapan saya.

Namun hanya Allah sahaja yang lebih mengetahuinya.

Ahad, Mei 13, 2007

REAKSI PEMBACA 1

Soalan

A.M Jarni

Salam,

Saya belum habis lagi baca karya ini. Tapi saya ada satu soalan untuk En. Abdul Latip, adakah Barnis dalam buku (Salahudin: Penakluk Jerusalem) ini Reynald de Chatillon ? Jika ya, kenapa nama dia jadi Barnis?

Jawapan

Semasa menulis novel Salahudin saya merujuk kepada beberapa buah buku dalam bahasa Melayu asli dan terjemahan dari bahasa Arab. Nama-nama buku itu ada dicatatkan pada bahagian terakhir novel tersebut.

Dalam buku berjudul Salahudin Al Ayubi yang ditulis oleh Dr Mahmud Syalabi (terjemahan) ada disebut Raja Raymond berasal dari raja Eropah yang menjadi Raja Tripoli kemudian berkahwin dengan Ratu Tibriah lalu dilantik menjadi Raja Jerusalem.

Manakala Birnis Arnat pula ialah penguasa Wilayah Kark.

Dalam buku Perang Salib yang ditulis oleh Mustafa Suhaimi terdapat juga nama Raja Raymond ialah pemimpin tentera salib yang menawan Jerusalem daripada orang Islam.

Ketika itu Salahudin belum lahir.

Dalam buku Sejarah Keagungan Kerajaan Islam oleh Mohd Mokhtar Shafie juga terdapat nama Raja Jerusalem bernama Raymond.

Kerana itu saya yakin Raymond atau Reynald adalah gelaran bagi Raja Jerusalem
Untuk mengatasi kecelaruan itu maka nama-nama pahlawan salib saya ambil dari buku Salahudin Al Ayubi yang ditulis oleh Dr Mahmud Syalabi.

Dalam buku itu terdapat nama Raja Raymond muka surat 75 dan Birnis Arnat muka surat 98.

Dalam satu peristiwa keduanya berjaya ditawan oleh Sultan Salahudin Al Ayubi. Raja Raymond dilepaskan tetapi Birnis dibunuh sendiri oleh Salahudin kerana dia terlalu kejam telah berkali-kali menyerang jemaah haji dan pernah dua kali hendak menawan Mekah sehingga Sultan Salahudin bernazar hendak membunuhnya dengan tangannya sendiri.

Dengan ini jelaslah Raja Raymond (Reynald) dan Birnis itu bukan orang yang sama.

Sebelum manuskrip diterbitkan saya telah berbincang dengan Editor PTS Fortuna Cik Norasyikin apakah mahu dinamakan watak itu Reynald ataupun Raymond. Saya cadangkan Raymond sahaja.

Namun apa yang penting dalam novel ini ialah perjuangan Salahudin Al Ayubi menakluk Jerusalem dari tentera Salib. Nama pahlawan-pahlawan salib itu kalau tidak wujud ataupun tidak tepat pun rasanya tidak mencatatkan ceritanya.

Seperti juga dalam filem Kingdom Of Heaven, hanya nama Saladin dan Raja England sahaja yang wujud. Nama-nama pemimpin tentera Salib yang lain tidak ada wataknya dalam filem itu.

Wallahuaklam.