Isnin, April 30, 2007

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2007

Setiap kali Pesta Buku Antarabangsa diadakan saya tidak pernah ketinggalan. Kali ini terasa lebih bermakna kerana novel sejarah Islam, Khalid Memburu Syahid, Salahudin Penakluk Jerusalem, Tariq Menang Atau Syahid dan Ikramah Penentang Jadi Pembela ada dijual di gerai PTS.

InsyaAllah, pada 2hb Mei saya berada di gerai PTS dari jam 3 hingga 5 ptg.

Khabarnya gerai PTS menjadi tumpuan orang ramai. Buku-buku PTS banyak yang dibeli sampai kehabisan stok.

Khabarnya ada juga yang bertanya novel sejarah Islam itu karya terjemahan atau karya asli?.

Jawapannya sememangnya karya asli ditulis oleh penulis PTS.

Rabu, April 25, 2007

SETELAH ROBOH KOTA MELAKA


Rekabentuk istana Sultan Mansur Shah.


SETELAH ROBOH KOTA MELAKA

Kerajaan Melayu Melaka berkuasa selama 110 tahun. Di jajah oleh Portugis dan Belanda selama 313 tahun.Dijajah oleh Inggeris selama 167 tahun.Dikuasai oleh Jepun selama 3 ½ tahun.Baru mencapai kemerdekaan selama 50 tahun.



Pedagang arab bersembahyang di pelabuhan Melaka.

Sejarah kesultanan Melayu Melaka bermula pada tahun 1400 apabila Parameswara membuka negeri Melaka. Setelah memeluk agama Islam beliau menukar nama kepada Raja Iskandar Shah.

Kerajaan Melayu Melaka mencapai zaman kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah 1456 - 1477. Negeri Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Perak bernaung di bawah kesultanan Melaka. Manakala Jambi, Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan, Kepulauan Bentan dan Lingga menjadi tanah jajahan Melaka.

Ketika itu Tun Perak menjadi Bendahara dan Hang Tuah menjadi Laksamana. Melaka menjadi pelabuhan dan tempat berdagang yang terpenting di Alam Melayu. Pedagang Arab, India dan Cina menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan mereka.
Ketika itu lada hitam dan rempah sangat laris di Eropah mendorong para pelayar dan pedagang Eropah datang ke Alam Melayu. Kerana Melaka kedudukannya strategik maka menjadi rebutan kuasa penjajah dari Eropah.

Pada tahun 1509 buat pertama kalinya orang-orang Portugis yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequiera sampai ke Melaka. Kedatangan Benggali Putih itu tidak dialu-alukan maka terjadi pertempuran dengan pahlawan-pahlawan Melaka menyebabkan 20 orang Portugis menjadi tawanan.




kapal Portugis yang pertama tiba di Melaka.



Ekoran dari kejadian itu pada tahun 1511 orang-orang Portugis datang sekali lagi untuk menakluk Melaka. Maka kerajaan Melayu Melaka yang memerintah selama 110 tahun itu akhirnya tumbang. Berakhirlah zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.

Menurut Sejarah Melayu ketika itu Melaka mempunyai kubu-kubu pertahanan yang kukuh dilengkapi lapan ribu meriam, senapang lantak, panah dan sumpitan beracun, lembing dan tombak. Tetapi dalam masa 10 hari sahaja kerajaan Melayu Melaka dapat ditumbangkan oleh orang-orang Portugis.

Orang yang menjadi tulang belakang penaklukan itu ialah Alfonso d’Albuquerque yang digelar Yang Agung dan Marikh Portugal dia bercita-cita tinggi. Selepas menawan Melaka dia ingin menawan Mesir dan bercadang hendak mengalihkan aliran sungai Nil supaya negeri itu kering kontang. Kemudian dia bercadang hendak menawan Mekah dan Madinah. Tetapi cita-citanya tidak kesampaian.

Setelah Roboh Kota Melaka maka bermulalah perjuangan orang-orang Melayu menentang penjajah.

Sebenarnya Setelah Roboh Kota Melaka adalah judul novel terbaru saya yang sedang dalam proses penulisan.

Seronoknya kerana sudah ada penerbit yang akan menerbitkannya.

Insya-Allah.

Isnin, April 16, 2007

IKRAMAH BIN ABU JAHAL




Harga: RM 22.90 / RM 25.90 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 978-983-192-068-8
Barcode: 978-983-192-068-8
Jumlah Halaman: 240 halaman
Tarikh Terbit: 16 April 2007
Skor : [ dari 5 ]



Novel Ikramah-Penentang Jadi Pembela.

Menceritakan kisah Ikramah, anak kepada Abu Jahal. Beliau lahir daripada keluarga bangsawan Quraisy. Sejak kecil lagi, beliau dididik untuk menjadi seorang pahlawan dan apabila besar Ikramah menjadi panglima muda yang gagah berani, penunggang kuda yang handal dan banyak pengalaman berperang.

Dia bersama ayahnya Abu Jahal sangat benci kepada Islam dan turut menyertai peperangan menentang Nabi Muhammad.

Ikramah termasuk salah seorang panglima perang pasukan Quraisy yang handal dan gagah berani serta banyak pengalaman.

Akhirnya dia menjadi pahlawan Islam yang gagah berani dan gugur syahid dalam Perang Yarmuk.

Khamis, April 05, 2007

DARI UNIKA PTS




Harga: RM 22.90 / RM 25.90 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 978-983-192-068-8
Barcode: 978-983-192-068-8
Jumlah Halaman: 240 halaman
Tarikh Terbit: 10 April 2007
Skor : [ dari 5 ]



Siri novel sejarah Islam ini adalah contoh bagaimana dengan menggunakan teknik-teknik penulisan dalam surah Yusuf seseorang novelis dapat meningkatkan penghasilan kreatifnya berlipat kali ganda.

Bukan hanya penulis itu dapat menulis lebih banyak novel, malah novel-novel itu juga lebih berkualiti penceritaannya.

Dalam bengkel surah Yusuf, saudara akan belajar teknik menuliskan babak-babak sejarah Islam yang selama ini sukar dituliskan dengan menggunakan teknik penulisan konvensional disebabkan babak-babak itu melibatkan Nabi Muhammad dan sabahat-sabahat karib beliau.

Abdul Latip Talib saat ini sedang menuliskan novel Sultan Muhammad al-Fateh, khalifah Utsmaniah di Turki yang berjaya menakluki ibu kota empayar Rom-Timur yang beragama Kristian, Constantinople, lalu mengislamkannya dan menamakannya semula sebagai Istanbul. Constantine adalah maharaja Romawi yang pertama masuk Kristian.

Selesai penulisan novel Sultan Muhamad al-Fateh, ia akan disusuli dengan novel Amru bin Ash, lelaki yang mengislamkan seluruh negeri Mesir, yang rakyatnya pada waktu itu beragama Kristian ataupun agama nenek-moyang.

Teknik surah Yusuf adalah mazhab rasmi penulisan kreatif PTS.

Apakah saudara menulis cerita kanak-kanak, novel-novel remaja, jibunsyi mahupun kisah-kisah agama, gunakan teknik-teknik surah Yusuf. Mudah-mudahan, dengan mencontohi sunnah Quran, karya saudara lebih afdhal.

.

Isnin, April 02, 2007

KATA-KATA SEMANGAT



2 Apr 07, 06:02
SifuPTS: TUAN LATIP TALIB, saya sudah baca sinopsis Sultan Muhammad al-Fateh. Bagus sekali saya sangat suka. Jumlah bab yang banyak itu pun bagus sekali (Quran pun banyak bab - ada panjang ada pendek).

2 Apr 07, 06:03
SifuPTS: Jika ada episod-episod yang menunjukkan ciri luar biasa SM itu, masukkan walaupun mungkin lagenda sahaja....


2 Apr 07, 06:05
SifuPTS: Selepas novel SM al-Fateh, novel Amru Ibnu As?


2 Apr 07, 07:27
abdul latip: Puan Ainon, saya sudah mulakan penulisan Sultan Muhamad al Fateh. Menarik sungguh kisahnya. Memang banyak ciri2 luar biasanya.


2 Apr 07, 07:34
abdul latip: Selepas SM novel Amru Ibnu As? Terima kasih Sifu kerana memberi peluang kepada saya menulis novel pahlawan Islam. Saya suka sangat (senyum ni)


2 Apr 07, 07:37
SifuPTS: Tuan Latip, karya Tuan itu adalah evergreen! 10 tahun, 30 tahun, 50 tahun, akan terus diulangcetak! InsyaAllah...



Kata-kata semangat penting kepada seseorang yang bergiat dalam bidang apa pun. Seorang pelajar menjadi lebih bersemangat belajar setelah mendapat kata-kata semangat daripada gurunya. Seorang ahli sukan tentu lebih giat berlatih setelah mendapat kata-kata semangat daripada jurulatihnya. Begitulah seterusnya.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Puan Ainon Mohd SifuPTS yang memberi kata-kata semangat kepada saya melalui papan nota dalam blognya
http://www.universitipts.com



Jumaat, Mac 30, 2007

MOOD MENULIS

Tidak dapat dinafikan mood atau ransangan menulis itu amat penting bagi seorang pengarang. Tanpa mood atau ransangan itu kita menjadi malas hendak menulis. Saya pernah bertanya kawan-kawan bagaimana hendak mendatangkan mood atau mengekalkannya agar penulisan berjalan lancar.

Ada mengatakan kita jangan menunggu mood baru menulis. Jadikan menulis sebagai tanggung jawab yang mesti dilakukan setiap hari. Mungkin ada kebenarannya namun saya tetap tidak dapat menulis kalau tidak ada mood.

Rumah saya terletak di kawasan perkampungan. Di belakang rumah saya terdapat kawasan kebun getah. Setiap pagi sekitar jam 3 pagi kedengaran bunyi motosikal lalu di depan rumah saya. Dia seorang penoreh bangsa cina yang amat rajin. Setiap hari kalau tidak hujan dia akan mula menoreh pada jam 3 pagi.

Pernah saya bertanya bagaimana dia dapat mengekalkan moodnya. Saya cari makan dengan menoreh getah. Mesti menoreh hari-hari. Kalau tak menoreh mau makan apa? Begitulah lebih kurang jawapannya.

Selasa, Mac 20, 2007

IKRAMAH BIN ABU JAHAL

Sebelum memeluk Islam Ikrimah pernah membantu bapanya Abu Jahal melemparkan najis kepada Nabi Muhamad SAW yang ketika itu sedang sembahyang di depan Kaabah. Pada hari yang lain dia membantu bapanya mencekik leher Rasulullah. Malah dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh pembesar Quraisy, Ikramah mencadangkan supaya Nabi Muhamad SAW dibunuh.

Ikramah turut serta dalam perang Badar dan Perang Uhud dengan tekad hendak membunuh Nabi Muhamad SAW tetapi tidak berjaya. Namun dendamnya kepada utusan Allah itu kian membara. Tambahan pula setelah ayahnya (Abu Jahal) terbunuh dalam perang Badar.

Pada hari Rasulullah SAW memasuki kota Mekah, Ikramah cuba menghalang tetapi berjaya dikalahkan oleh Khalid bin Walid. Ikramah melarikan diri ke Yaman. Tetapi kedatanganya tidak dialu-alukan oleh Raja Yaman menyebabkan Ikramah pergi ke Habsyah. Semasa dalam pelayaran kapal yang tumpanginya dilanda ribut dan hampir karam. Semua penumpang dalam kapal itu berdoa dan Ikramah turut berdoa kalau selamat dari bencana itu dia akan kembali ke Mekah untuk menemui Nabi Muhamad.

Atikah, isteri Ikramah memeluk Islam lalu menemui Nabi Muhamad dan merayu supaya suaminya dimaafkan. Rasulullah menerima permohonan itu. Kemudian Atikah mencari suaminya untuk dibawa pulang ke Mekah.

Kepulangan Ikramah ke Mekah sampai ke pengetahuan Nabi Muhamad SAW. Baginda amat gembira dan menyambut kedatangan Ikramah dengan berkata, SELAMAT DATANG WAHAI PAHLAWAN YANG TELAH BERHIJRAH. Ikramah amat terharu dengan kebaikan yang ditunjukan oleh Rasulullah lalu menyatakan hasratnya ingin menganut agama Islam.

Setelah masuk Islam, Ikramah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Nabi Muhamad. Setelah baginda wafat ramai yang murtad malah ada yang mengaku menjadi nabi. Khalifah Abu Bakar melantik Ikramah memimpin tentera bagi memerangi mereka yang enggan membayar zakat dan mengaku menjadi nabi palsu.

Kemudian Ikramah menyertai tentera Islam ke Yarmuk. Tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang bertempur dengan tentera Rom yang berjumlah 240,000 orang. Setelah berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari belum ada tanda-tanda pasukan mana yang menang. Akhirnya Ikramah mendapat satu idea. Dia membentuk satu pasukan tentera berani mati seramai 400 orang. Kemudian mereka mengempur musuh menyebabkan pertahanan tentera Rom kucar kacir.

Keberanian Ikrtamah dan pasukan tentera berani matinya menaikkan semangat tentera Islam. Mereka turut menyerbu ke arah musuh lalu berjuang bermati-matian sehingga beroleh kemenangan. Ikramah menemui Syahid di Yarmuk.

Kisah Ikramah ini saya jadikan sebuah novel dengan tajuk IKRAMAH Penentang jadi pembela yang diterbitkan oleh PTS Fortune dan akan berada di pasaran beberapa hari lagi.

Selasa, Mac 13, 2007

TARIQ BIN ZIYAD



Sebuah novel sejarah Islam yang dinantikan kemunculannya. Sesuai dibaca oleh anak-anak, remaja dan dewasa. Hayatilah semangat pahlawan yang terbilang ini.

Tariq Bin Ziyad - Menang ataupun Syahid

PTS Fortuna
Harga: RM 23.90 / RM 26.90 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 978-983-192-057-2
Barcode: 978-983-192-057-2
Jumlah Halaman: 256 halaman
Tarikh Terbit: 19 March 2007

Novel Tariq-Menang ataupun Syahid yang ditulis dalam bentuk kreatif ini menceritakan sifat kepahlawanan seorang lagi pahlawan Islam yang pada asalnya hanya seorang hamba. Disebabkan memiliki sifat-sifat yang terpuji,dia dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya dan seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12,000 tentera Islam ke Sepanyol.

Tariq menganggap kedatangan mereka ke Sepanyol hanya untuk syahid ataupun mengalahkan musuh. Disebabkan itulah dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang.

'Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid.' Kata-kata keramat Tariq berjaya meniupkan kembali semangat jihad di kalangan tentera Islam.

Isnin, Mac 05, 2007

SAYA AKAN TERUS MENULIS






Saya akan terus menulis…demikian kata Pak Arenawati, yang kini sudah berusia 82 tahun.

Walaupun kini beliau uzur namun semangat untuk menulis tetap bersemarak dalam jiwanya. Bagaimana pula dengan saya?. Umur baru 53 tahun sepatutnya mencontohi semangat Pak Arenawati. Menulis dan terus menulis.

Menurut Pak Arenawati lagi, Menulis ialah peranan yang saya pilih dalam hidup ini. Dari dulu saya memilihnya dan saya mahu terus memilihnya.

Ye saya juga sepatutnya mencontohi beliau menjadikan menulis sebagai tanggung jawab yang perlu dilakukan setiap hari. Ya Allah berilah saya kekuatan.

Pak Arena mengakui dirinya kurang dikenali tetapi perkara itu tidak sedikitpun memberi kesan kepadanya. Saya tidak peduli itu semua. Bukan tujuan saya untuk menunjuk muka, katanya.

Kata-kata Pak Arenawati itu bersesuaian dengan sebuah senikata lagu, Saya menulis bukan kerana nama.

Kalau ingin glamour atau popular jadilah penyanyi atau pelakun, saya teringat kata-kata arwah Othman Puteh dalam satu bengkel penulisan.


InsyaAllah, saya akan terus menulis.

Ahad, Februari 25, 2007

TEMURAMAH, PAYUNG DAN BUKU CATATAN




TEMURAMAH, PAYUNG DAN BUKU CATATAN

Pada hari Selasa yang lalu saya dihubungi melalui telefon oleh Puan Shaidah Shafie wartawan sastera Berita Harian, ingin menemuramah saya untuk ruangan sastera di akhbar tersebut.

Tentulah saya gembira.

Gembira kerana Shaidah yang pernah saya jumpa kira-kira 13 tahun lalu, semasa kami menyertai rombongan GAPENA melawat Sumatera Barat Minangkabau, ketika itu dia masih menuntut di universiti, kini telah menjadi wartawan, sudi menemuramah saya.

Sebagai penulis tentulah gembira malah merasakan satu penghormatan apabila ada wartawan yang sudi menulis tentang kegiatan saya di bidang penulisan.

Kerana itu pada keesokan harinya (Rabu) saya berkunjung ke Berita Harian di Jalan Riong, Bangsar lalu ditemuramah oleh Shaidah.

Menurut Shaidah dia juga masih kenal saya malah selalu juga berkunjung ke blog saya di esasterawan.com dan di blogspot. com. Lalu beliau menyuruh saya menceritakan satu kisah yang tidak dapat dilupakan yang ada kaitannya dengan dunia penulisan. Lalu saya pun menceritakan kisah mencari ayah yang ada kaitannya dengan novel Beraraklah Awan Pilu.

Kerana asyik menceritakan kisah tersebut tidak sedar jam sudah pukul 6.30 petang lalu temuramah terpaksa ditamatkan dan saya tidak sempat bercerita panjang mengenai 4 buah novel sejarah pahlawan Islam yang baru terbit.

Petang itu hujan turun dengan lebat. Saya yang datang dengan menaiki Putera LRT agak resah juga untuk meredah hujan yang lebat. Mujur Shaidah bermurah hati memberikan payungnya. Selain itu dia juga menghadiahkan sebuah buku catatan.

Terima kasih..

SIAPA ITU?


Siapa Itu...: Pengembaraan cari ayah membawa tuah
Oleh Shaidah Shafie

ABD Latip Talib, meskipun sudah lebih separuh abad masih cergas dalam kegiatan berpersatuan khususnya anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan masih mampu menghasilkan karya remaja yang bertenaga.

Kecemerlangannya dalam menangani genre terbabit dibuktikan dengan kekerapan beliau memenangi beberapa hadiah sastera kategori karya remaja dan terkini novelnya, Berarak Awan Pilu (BAP), memenangi hadiah ketiga sastera Utusan pada 2005.

Abd Latip bersyukur dengan kemenangannya itu kerana novel berkenaan meskipun dalam kategori remaja, tetapi mengetengahkan mesej positif dan BAP juga mempunyai nostalgia tersendiri dalam hidupnya.

Novel berkenaan menampilkan Shafik sebagai remaja yang bermusafir mencari bapa kandung dan sayalah remaja berkenaan, tetapi nama dan lokasi ditukar kerana ia karya kreatif,katanya pada pertemuan dengan Sastera di Balai Berita, baru-baru ini.

Abd Latip, 53, membesar sebagai remaja yang banyak menyimpan kisah duka lantaran ketiadaan bapa sehingga pelbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya, memaksanya nekad mencari bapa yang lama menghilangkan diri.

Saya dibesarkan ibu sehingga berusia 12 tahun dan dalam tempoh itu ramai yang mempersoalkan mengapa saya tidak berbapa. Apabila saya bertanya kepada ibu dan nenek, kedua-duanya hanya mendiamkan diri,katanya yang memulakan pencarian pada usia 40 tahun.

Abd Latip berkata, akibat kesulitan hidup, beliau lebih banyak menghabiskan masa di Rumah Anak Yatim Ulu Gadong dan pulang sekali sekala menjenguk ibu dan nenek di kampung.

Selepas bekerja dan berumahtangga, hasrat mencari bapa semakin memuncak dalam diri sehinggalah pada satu hari, beliau mengambil cuti selama seminggu untuk ke Pulau Pinang, negeri kelahiran bapanya.

Sebelum itu, saya memang sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah agar memberi petunjuk mengenai bapa. Nenek ada memberitahu bapa berasal dari Pulau Pinang manakala ibu saya isteri kedua, katanya.

Sebaik tiba di Pulau Pinang, beliau meminta pemandu teksi menghantarnya ke masjid berhampiran Tanjung Bungah memandangkan rumah Allah itu bersedia menerima tetamu tidak diundang pada bila-bila masa.

Di masjid berkenaan, Abd Latib menunaikan solat yang terlepas selain memanjatkan doa kepada Allah agar menemukannya dengan insan yang dirindui sejak bertahun-tahun lamanya.

Saya kemudian bertanya kepada individu yang ditemui di luar masjid dan diberitahu Talib Ghani sudah berpindah ke Singapura dan tiada khabar berita, tetapi anak perempuan dari isteri pertamanya didakwa menetap di kawasan perumahan berdekatan, katanya.

Berbekalkan niat yang tulus, Abd Latip mengunjungi rumah Che Su Talib dan reaksi spontan Che Su ialah sangsi untuk menjemput beliau masuk, memandangkan dirinya tidak dikenali dan dilihat sebagai orang asing.

Abd Latip tidak mendedahkan niat kedatangannya ke rumah Che Su dan hanya memperkenalkan diri sebagai anak Talib Ghani selepas Che Su mengatakan wajah beliau seiras dengan Talib.

Beliau tidak teragak-agak mendapat alamat kediaman bapanya di Singapura daripada Che Su dan menaiki kereta api menuju ke Tanjung Pagar pada hari yang sama kerana desakan rindu.

Di Tanjung Pagar, saya sekali lagi meminta pemandu teksi berbangsa Cina menghantar saya ke masjid berdekatan. Selesai solat Isyak, saya bertanya kepada jemaah di situ mengenai bapa saya, katanya.

Ibarat bulan jatuh ke riba, jemaah masjid itu menghantar beliau ke rumah Talib Ghani yang dicari selama ini dan kehadiran Abd Latip pada larut malam mencetus syahdu tersendiri.

Saya terkejut kerana bapa bersama isteri dan sembilan anaknya sudah bersiap sedia menunggu ketibaan saya. Meskipun suasana sepi seketika ketika ketibaan saya kerana mereka tidak mengetahui niat sebenar kedatangan saya, mereka terharu,katanya.

Bertolak daripada peristiwa itu, Abd Latip menyedari perhubungan antara bapa dan anak tidak akan putus dan keyakinan tinggi menyebabkan beliau tekad bermusafir dalam masa seminggu mencari waris keturunan di Singapura.

Ketika di Pulau Pinang saya mensasarkan masjid sebagai lokasi pertama yang dituju dan di Singapura juga saya berserah kepada Allah dengan menjadikan rumah Allah sebagai destinasi persinggahan pertama.

Saya berdoa tanpa jemu dan yakin ikhtiar terbaik adalah dengan berusaha mencarinya tanpa niat serong. Kerinduan untuk melihat saya mempunyai seorang ayah yang menjadi mainan rakan sebaya menggerakkan saya untuk terus berusaha, katanya yang mengakui kini memiliki keluarga besar dan bersyukur dengan anugerah Allah.

Pengalaman membesar tanpa bapa itu yang merangsang Abd Latip menjadi individu yang kaya dengan perasaan dan idea sehingga gelodak rasanya mampu dicurahkan dalam karya berbentuk novel, cerpen dan skrip drama radio.

PROFIL

Abdul Latip Talib
Tarikh lahir: 1954
Tempat lahir: Rembau, Negeri Sembilan
Pendidikan: Sek (U) Menengah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.
Antologi puisi bersama: Jika Kau Rindu.
Kumpulan cerpen: Kebenaran.
Novel: Antaranya Berarak Awan Pilu, Randau Ruai, Tariq Ziyad, Ikramah Abu Jahal, Salahudin Penakluk Jerusalem dan Khalid Memburu Syahid.
Pencapaian: Anugerah Sastera Negeri Sembilan, Pemenang Ketiga Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Utusan 2005 melalui Berarak Awan Pilu dan pemenang pertama Peraduan Menulis Novel Sastera dan Budaya Sarawak 2005 melalui Randau Ruai.

Selasa, Februari 13, 2007

NOVEL SEJARAH ISLAM



Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah SAW.

Khabarnya jualan novel sejarah Islam KHALID PEMBURU SYAHID dan SALAHUDIN PENAKLUK JERUSALEM pada Karnival Buku di PWTC dari 9hb hingga 12hb yang lalu, macam goreng pisang panas.

Sebagai penulis novel-novel tersebut tentulah saya berasa gembira dan bersyukur dengan limpah kurnia-Nya. Terima kasih juga kepada PTS yang berusaha menerbit dan memasarkannya.

Tidak lama lagi terbit pula kisah Tariq bin Ziyad dan Ikramah bin Abu Jahal. Empat buah novel sejarah Islam itu saya hasilkan serentak dalam tahun 2005.

Ada juga yang bertanya macam mana saya menghasilkan empat buah novel setiap satunya setebal 250 hingga 400 halaman dalam masa tidak sampai setahun?




Semuanya bermula setelah saya mengikuti bengkel penulisan yang dianjurkan oleh PTS dibawah bimbingan Puan Ainon Mohd.

Setelah mengikuti bengkel tersebut saya mendapat kekuatan untuk menulisnya.Walau bagaimanapun penerbitan novel sejarah pahlawan Islam yang ditulis dalam bentuk kreatif itu terlambat beberapa bulan kerana pihak PTS ingin memastikan konsep dan ketepatan faktanya. Mujurlah saya menulisnya berdasarkan rujukan buku-buku sejarah Islam termasuk hadis-hadis nabi. Peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan pahlawan-pahlawan Islam yang terkandung dalam novel itu bukan rekaan saya sendiri.

Novel tersebut sesuai dibaca oleh kanak-kanak, remaja dan dewasa kerana kisahnya berkisar mengenai kehebatan pahlawan-pahlawan Islam yang seharusnya dicontohi terutama oleh anak-anak muda dan pejuang-pejuang Islam.

Harapan saya semoga novel tersebut berjaya menembusi pasaran di negara-negara jiran. Harapan saya juga semoga novel tersebut diterjemahkan ke bahasa lain kerana pahlawan-pahlawan Islam bukan sahaja dikenali oleh orang-orang Melayu malah bangsa-bangsa lain juga terutama yang beragama Islam.

Sabtu, Februari 10, 2007

SUDAH TERBIT





Petang semalam saya ke pameran buku di PWTC yang bermula 9hb hingga 12hb. Saya berasa teruja pergi ke sana apabila dimaklumkan oleh pihak PTS bahawa novel pahlawan Islam Khalid Walid dan Salahudin Ayubi telah terbit dan ada dijual di sana.

Alangkah gembiranya hati saya bila melihat novel tersebut ada di pamerkan di gerai PTS. Saya ambil lalu memegang dan membeleknya seperti menatang cahaya mata yang baru dilahirkan.

Saya amat berpuas hati kerana novel ini hiasan kulitnya menarik disertakan pula gambar dan biodata saya pada kulit belakang. Di permulaan bab ada disertakan dedikasi.

Ketika berada di situ saya nampak beberapa orang pengunjung membelek-belek novel tersebut. Tetapi mereka tidak perasan pengarangnya berada di situ. Sepatutnya saya perkenalkan diri dan promosikan novel tersebut kepada mereka.

Tetapi saya ini jenis penyegan dan tidak ada bakat menjadi jurujual.

Harap-harap PTS tidak rugi dapat penulis macam saya. Harap-harap Sifu Puan Ainon tidak terbaca entri ini...hehe.

Rabu, Februari 07, 2007

MASJID AL AQSA DICEROBOH







Masjid Al Aqsa merupakan masjid yang ketiga terbesar bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid al Aqsa pernah menjadi kiblat yang pertama umat Islam sebelum beralih ke Kaabah.

Menurut sejarahnya Masjid ini pernah dikuasai oleh kerajaan Byzantine (Rome) selama beratus tahun kemudian berjaya dikuasai oleh Islam pada zaman pemerintahan Saidina Omar. Kemudian dikuasai oleh tentera Salib pada tahun 1099 dan berjaya direbut semula oleh Salahudin Al Ayubi pada tahun 1187.

Dan kini masjid tersebut dikuasai oleh Israil. Menurut laporan terbaru rejim ganas Israil telah menggali terowong di bawah Masjid Al Aqsa. Mereka menggunakan jentolak untuk memecahkan dinding masjid tersebut. Mereka juga menutup semua gerbang menuju ke kota Al Quds. Umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa.

Bilakah Masjid Al Aqsa akan dikuasai semula oleh umat Islam?.

Sesungguhnya masjid tersebut hanya dapat dikuasai apabila muncul pemimpin yang ketakwaannya seperti Saidina Omar, keberaniannya seperti Khalid bin Walid dan semangat juangnya seperti Salahudin Al Ayubi.

Untuk mengetahui serta mengenang semula kegigihan dan semangat juang pahlawan Islam Salahudin Al Ayubi dalam usahanya menawan semula Masjid Al Aqsa bacalah novel Pahlawan Islam SALAHUDIN PENAKLUK JERUSALEM yang akan berada di pasaran bermula 15 Februari ini.

Rabu, Januari 24, 2007

SELAMAT PENGANTIN BARU





Selamat pengantin baru diucapkan kepada anakanda Muhamad Shukri 27 tahun dengan gadis pilihannya Nor Liyana 22 tahun. Semoga berkekalan jodoh mereka hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

Isnin, Januari 22, 2007

SELAMAT TAHUN BARU

Tahun 2007 / 1428 Hijrah baru sahaja menjelang tiba. Semoga tahun ini lebih menarik dari tahun-tahun sebelumnya. Semoga tahun ini bertambah iman dan kebajikan. Bertambah rezeki, sihat tubuh badan dan akal fikiran. Semoga tahun ini bertambah aktif dalam bidang penulisan. Semoga bertambah novel yang diterbitkan. Amin.

Kesibukan saya tahun ini bermula dengan persiapan mengadakan majlis perkahwinan anak yang sulung. Benarlah kata kawan-kawan, pengalaman pertama kali menikahkan anak membuat tidur rasa tak lena, makan rasa tak kenyang. Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran. Bagaimana kalau pada hari itu hujan lebat?. Saya memilih bulan Januari kerana menjangka telah berakhir musim tengkujuh. Namun cuaca sekarang sukar di jangka. Timbul lagi persoalan, bagaimana kalau tak ramai tetamu yang datang?. Kuatir juga kalau 2 ekor lembu yang ditumbangkan tak habis dimakan.

Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana pada hari tersebut walau cuaca mendung tetapi tidak hujan. Tetamu pula ramai yang datang. Penduduk kampung datang bergotong royong memasak makanan. 2 ekor lembu yang disembelih pada sebelah pagi dapat dimakan pada jam 12 tengah hari.

Antara tetamu yang datang selain penduduk kampung, saudara sebelah saya dan saudara sebelah isteri saya, ialah Wakil Rakyat DUN Pertang juga ahli Exco kerajaan Negeri Sembilan YB Dato’ Razak Mansur dan Datin, Profesor Dr Irwan Abu Bakar dan Cikgu Hasimah, Pengasas Esastera.com, Ketua Satu PEN Puan Mahaya Yasin, Puan Nisah Haron, Zulkifli Abu, A. Rahim Ismail, Datuk Penghulu Shah, sahabat esastera antaranya Ilhami, Mohd Zakir, Salha dan EP. Sahabat bloger Zino dan isterinya.

Terima kasih kepada semua yang sudi datang. Betapa gembiranya hati saya menerima kedatangan tetamu pada hari yang sememangnya saya nantikan kehadiran mereka.

Jumaat, Disember 22, 2006

WALIMATUL URUS



Jika tidak ada apa-apa halangan pada 14hb Januari 2007 (ahad) anak saya yang sulung Muhamad Shukri akan melansungkan pernikahan dengan gadis pilihannya Nor Liyana Abdullah. Sebagai seorang bapa inilah pengalaman pertama mengadakan majlis perkahwinan anak yang sulung.

Kesibukan sudah terasa. Maklum sajalah hendak menerima menantu dan menjemput orang ramai datang menjamu selera serta meraikan majlis perkahwinan.

Mujurlah saya duduk di kawasan perkampungan maka kerja memasak akan dijalankan secara bergotong royong. Tambahan pula di tempat saya tradisi bergotong royong masih diamalkan. Namun persiapan lain seperti membeli perkakas dan barang-barang keperluan perlu diuruskan sendiri.

Walaupun majlis diadakan secara sederhana sahaja, namun semua saudara mara, sahabat, rakan dan kenalan dijemput hadir.

Selasa, Disember 05, 2006

PELANGI



Novel terbaru Ida Munira Abu Bakar. Diterbitkan oleh PTS.

Novel ini mengisahkan dua orang kanak-kanak yang berkawan baik iaitu Farra dan Sarah. Walaupun Farra disahkan menghidap penyakit kronik, SLE (Systemic Lupus) namun Sarah tetap setia berkawan dengannya dan sanggup berpindah sekolah semata-mata untuk menemani Farra yang berperang dengan maut untuk terus hidup. Novel ini menampilkan pengalaman Farra sebagai pesakit kronik yang menyedihkan dan Sarah sebagai kawan baik yang jujur.

Novel ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri bersama Farra (bukan nama sebenar). 80 % true story.

Novel ini juga menampilkan ketabahan pesakit kronik yang tiada ubatnya itu, sehingga masih mampu bertahan dan dilaporkan stabil sehingga kini .

Novel ini 'contoh persahabatan yang baik jujur dan setia, bukan kawan makan kawan'.

Ahad, Disember 03, 2006

BERKHATAN

Hari ini saya menemani dua anak sedara berkhatan di klinik swasta. Seperti biasa saya akan melihat proses berkhatan itu dari mula sampai selesai. Dalam hati berdoa agar tidak terpotong isinya seperti yang dilaporkan dalam surat khabar hari ini.

Saya pernah melihat berkhatan cara tradisional yang dilakukan oleh Tuk Mudim dan cara moden yang dilakukan oleh doktor atau pembantu perubatan. Risiko terpotong kepala kemaluan adalah satu dalam sejuta kalau dilakukan oleh mereka yang mahir.

berkhatan secara tradisional disuruh mandi atau berendam dalam sungai supaya sejuk bila dikhatankan oleh Tuk Mudim kurang rasa sakitnya. Tetapi sekarang sudah ada ubat pelali.

Tuk Mudim menggunakan penyepit sebesar jari kelingking yang dibuat daripada buluh untuk memisahkan antara kulit dengan isi dan dipotong menggunakan pisau cukur. Doktor pula menggunakan gunting. Kerana itu hanya mereka yang mahir sahaja boleh melakukannya.

Nampaknya cara berkhatan semakin lama semakin mudah, cepat dan tidak menyakitkan. Cara terbaru berkhatan menggunakan leser.

Namun masih ada penduduk kampung yang lebih suka anaknya dikhatan secara tradisional. Kononnya mereka yang dikhatan oleh Tuk Mudim kemampuan seknya lebih hebat. Sejauh manakah kebenarannya tidak dapat dipastikan.

Namun sejak akhir-akhir ini ramai lelaki berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah mati pucuk atau kemampuan seknya lemah. Tetapi ada yang menafikan puncanya dari cara berkhatan. Ia terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya penyakit, tekanan di tempat kerja, keletihan dan sebagainya.

Apa yang pasti, Tuk Mudim yang ada sudah tua. Orang muda tidak berminat lagi mewarisi kerja tersebut. Maka mahu tidak mahu terpaksa juga berkhatan di hospital atau klinik swasta.

Kepada kaum lelaki terutama yang berusia 40 tahun ke atas, eloklah jaga makanan disamping mengamalkan petua-petua agar hidup sihat.

Selasa, November 28, 2006

MENUNGGU KELAHIRAN RANDAU RUAI

Bergambar kenangan dengan penulis2 Sarawak Jong Chin Lai, Abang Median, Dahiri Saini



KADANGKALA dalam kehidupan ini, ada perkara yang kita tidak suka pada mulanya tetapi akhirnya membawa kepada kebaikan.

Pada tahun 1997, saya diarahkan bertukar tempat bertugas di Sarawak Bumi Kenyalang. Suatu tempat yang kurang disenangi oleh kebanyakan kakitangan dari Semenanjung. Walaupun pertukaran itu ada kaitannya dengan kenaikan pangkat namun tidak mengembirakan hati saya kerana terpaksa pergi sendirian. Isteri tidak ikut sama kerana anak-anak akan menduduki peperiksaan. Maka dengan hati yang berat saya patuhi juga arahan tersebut.

Di sarawak saya seperti mengalami kejutan budaya. Mengemas rumah, membasuh pakaian dan makanan sendiri yang uruskan. Di Bumi Kenyalang itu juga saya berkawan rapat dengan rakan-rakan sekerja yang terdiri daripada orang Melayu Sarawak, orang Iban, Melanau dan Bidayuh.

Pernah berkunjung ke perkampungan orang Melanau di Igan, Bidayuh di Balingan dan rumah panjang kaum Iban di Sekuau, Sibu. Saya tertarik dengan budaya kaum Iban. Namun saya tidak lama bertugas di Sarawak, apabila Felcra di korporatkan maka kakitangan diberi pilihan samaada hendak bersara atau terus bekerja dengan korporat. Saya memilih untuk bersara.

Pengalaman bertugas di Sarawak itu menjadi kenangan manis setelah saya balik ke Semenanjung. Ketika berada di sana saya memang tidak merasakannya. Pengalaman semasa berada di Sarawak telah memberi idea kepada saya untuk menulis novel RANDAU RUAI.

Ketika berada di Sarawak juga saya sempat menulis dua buah cerpen berjudul Sebuah Kampung Bernama Igan dan Cinta Gadis Melanau tersiar dalam akhbar Sarawak.

Apabila Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan kerjasama GAPENA menganjurkan Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak maka saya pun menyertainya. Maka lahirlah sebuah novel yang berjudul Randau Ruai.

Alhamdulillah, novel itu memenangi tempat pertama.

Setelah setahun majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diadakan di Kucing, saya dimaklumkan novel tersebut akan diterbitkan pada awal tahun 2007.

Insya-Allah.