Selasa, Februari 15, 2005

HALELA WANITA MELAYU OKINAWA


1. Mohon izin dari Halela dan suami untuk wawancara ini kerana ramai yang ingin mengenali sdr dengan lebih dekat. Dan saya terus kepada soalan berikut;

Assalamualaikum Pak Latip,
Memandangkan kebanyakkan soalan2 yang ditujukan hanya untuk saya sahaja, maka suami saya (seorang yang low profil) mengatakan elok dirinya tidak dilibatkan.

(a) Apa kabar saudara dan keluarga di Okinawa?

Alhamdulillah, kami disini sihat dan berbahagia dengan kehidupan kami yang sederhana.

(b) Bagaiamana cuaca di Jepun sekarang?

Hari ini, 2 Muharram 1426 bersamaan tahun masihi 2005, Febuari 12, masuk awal musim bunga. Disana-sini terdapat bunga sakura mula menggembang. Cuaca masih sujuk dengan suhu antara 15c-20c dan mendung selalu.

2. Apa perasaan sdr apabila mendapat tahu saya hendak mewawancara? Kenapa sdr berpeluh dingin?

Saya telah diwawancarakan beberapa kali di Jepun mengenai kehidupan orang asing bermastautin di negara ini (malangnya dikeluarkan di media Jepun dalam bahasa Jepun!). Inilah pertama kali saya diwawancarakan dari Malaysia dan saya rasa tidak layak untuk diwawancarakan di laman esastera.
Saya berpeluh dingin sebab sebelum soalan wawancara dikemukakan, sdr telah memberi tahu yang sdr pulun 44 soalan untuk saya!


3. Siapa nama sebenar sdr?

Halela binti Abdul Razak dan panggilan orang Jepun untuk saya Kudaka Harera.

(b) Apakah nama suami dan anak-anak?

Suami saya bernama Tomohiro Kudaka Abdullah (53).
Anak sulung (p) bernama Minako Kudaka (21).
Anak kedua (p) bernama Ayumi Kudaka (19).
Anak ketiga (l) bernama Mohd. Tomohiro Kudaka (16).

(c) Apa pula panggilan jiran-jiran?

Jiran sebelah kiri keluarga Kamiya dan jiran sebelah kanan keluarga Kohagura.

(d) Dari mana datangnya nama Tomohiko dan Lelahiro?

Asalnya saya gunakan username Tomohiko (nama anak bongsu saya) di laman Community Zero/Haiku. Apabila anak saya mendapat tahu perkara ini, dia syorkan saya tukar kepada nama lain. Username baru saya Lelahiro ialah dari gabungan nama saya, Halela dan suami-Tomohiro (ini cadangan CikGu Hasimah).

(e) Adakah sdr ada nama selain dari itu?

Lelahiro nama rasmi saya di esastera.

4. Boleh ceritakan latar belakang saudara?
(a) Lahir dimana

Walaupun ayah saya dari Madras, India dan ibu saya dari Alor Gajah, Melaka, saya dan adik beradik dilahirkan di Singapura.

(b) Bersekolah di mana dan pencapaiannya.

Pengajian rendah saya di kampung Padang Sebang dan disambung di Singapura sampai ke kolej.

(c) Nama ayah dan ibu serta adik beradik.

Ayah saya Abdul Razak Marican (73) dan ibu bernama Jaharah (73).
Adik2 saya Halija, Habeeb Mohd. dan Hametha.

(d) Adakah mereka masih hidup?

Mereka masih sihat tetapi ibu saya mendapat penyakit yang tidak dapat diubati lagi sejak 8 tahun.

5.Boleh ceritakan sedikit mengenai kehidupan saudara pada zaman kanak-kanak? Apa kenangan bersama keluarga yang tak dapat dilupakan?


Saya dibesarkan oleh nenek di Padang Sebang, Alor Gajah masa kecil. Saya sebenarnya anak kampung, terjun mandi sungei, berdiri atas belakang kerbau musim membajak sawah, berpayung daun keladi dalam hujan, mandi hama padi masa menuai dan makan panggang belalang padi. Loghat negeri masih pekat dalam percakapan saya.
Saya dipindahkan ke Singapura untuk menyambung pelajaran tingkatan. Walaupun ayah saya selalu tidak bersama kami, tetapi waktu dia bersama kami, beliau selalu bawa kami berjalan2 di kebun bunga dan makan di kedai.


6. Boleh ceritakan kenapa saudara menetap di Jepun?

Suami saya rakyat Jepun, saya sebagai isteri setia harus bersamanya.

(a) Apakah saudara telah mendapat kerakyatan sebagai warga negara Jepun?

Taraf saya di Jepun hanya sebagai pemastautin tetap, tidak mungkin saya buangkan kerakyatan asli saya.

(b) Apakah saudara tidak bercadang menetap semula
ke Malaysia?

Ada kemungkinan saya bercuti panjang di Malaysia tetapi saya tidak bercadang untuk menetap di Malaysia lagi.


7. Boleh perkenalkan siapa suami saudara?
(a) Nama dan usianya.

Namanya Tomohiro Kudaka Abdullah , 53 tahun.

(b) Perkerjaannya.

Sekarang dia berkerja dengan kerajaan Jepun di bahagian persaraan.

(c) Keluarganya?

Ayahnya Yukichi berumur 93 tahun masih sihat, ibunya meninggalkan dunia 14 tahun lepas, adik beradiknya 7 orang kesumuanya .

(d) Hobinya?

Dia selalu main golf, suka bercucuk tanam bunga dan sayur2an dan suka menjaga kucing.

(e) betulkah dia garang?.

Dia mendapat darah garang ini dari moyangnya yang bertaraf "samurai" masa pulau ini mempunyai Raja bertitah 600 tahun dahulu.

8. Boleh ceritakan bagaimana pertemuan pertama kali dengan suami saudara,

Saya berkerja sebagai kerani penjualan di syarikat swasta Jepun di Singapura. Dia dihantar ke syarikat ini sebagai jurutera.

perkenalan,

Kami berkenalan sebagai perkerja kaki-tangan syarikat ini.

percintaan

Dia mengenali semua ahli keluarga saya dan mesra dengan ibu saya. Dia selalu mengunjungi rumah saya tanpa dipelawa dan dari sini kami merasa mesra.

dan akhirnya membawa ke jinjang pelamin?

Kami tidak naik pelamin hanya bernikah di masjid sahaja.

9. Bagaimana penerimaan keluarga saudara terhadap suami?

Ibu saya sememangnya sudah mesra dengan dia. Tetapi ibu saya memberi syarat yang kami tidak boleh berpindah ke Jepun sesudah berumah tangga. Itulah dilemma kami.


Dan bagaimana pula penerimaan keluarga suami terhadap saudara?

Suami saya anak harapan keluarganya. Pada mulanya, suami saya bersuarakan pada ibunya untuk menikah dengan saya, seorang bukan berdarah Jepun dan Islam. Ibunya membantah perkahwinan kami. Itu juga menjadi dilemma kami. Tetapi kali kedua, suami saya bermohon dan berjaya mendapat keizinan ibunya.

10. Boleh ceritakan bagaimana saudara menyesuaikan diri di negeri orang?

Bersabar dengan segala undang2 ketat di negara ini.

(a)Apakah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan?

Apabila saya diberitahu mengandung selepas bernikah 2 tahun.

(b) Ceritakan juga kenangan pahit jika ada.

Masa di Tokyo tahun 1983, jiran saya seorang surirumah, yang menuduh tapak kaki saya bising berlalu depan pintunya. Dia mengetuk pintu dan apabila saya buka, tiba2 dia hentam kepala saya dengan penyapu, saya dapat menggelak dari pukulan ini.

11. Berapa orang anak saudara? Boleh beritahu nama mereka pendidikan serta kerjaya mereka?

Anak sulung, Minako Kudaka (21) berkursus dalam bidang undang2 dan bahasa Inggeris di universiti kerajaan.

Anak kedua, Ayumi Kudaka (19) juga berkursus dibidang yang sama dan di universiti yang sama.

Anak bongsu, Tomohiko Kudaka (16) yang sekarang di tahun terakhir sekolah menengah.

12. Apakah bahasa harian sdr?

Saya lebih berbahasa Inggeris di rumah dan suami berbahasa Jepun dengan anak2.

Apakah suami dan anak-anak pandai bercakap bahasa Melayu?

Masa anak2 saya masih kecil lagi, suami pindah berkerja di Singapura dan Johore. Dalam 7 tahun ini, anak2 saya selalu bersama ibu dan keluarga adik2 saya. Mereka boleh bercakap perkataan yang senang2. Dalam masa ini juga suami saya didedahkan dengan masyarakat melayu dari pergaulannya dengan perkerja melayu.

13. Selalukah saudara pulang ke Malaysia?

Saya jarang pulang ke Malaysia dan Singapura. Tetapi kebelangan ini saya balik setahun sekali untuk menziarah ibu saya yang sakitnya bertambah berat.

Apabila pulang kenapa sdr menetap di kampung Kancong, Seremban, Negeri Sembilan, kenapa tidak di Melaka?

Saya rasa lebih sesuai tinggal dengan kakak sepupu saya di Kampung Kancong, jadi saya lebih lama di sana. Kalau di Padang Sebang, Melaka, saya tinggal di rumah ibu saya. Rumah itu berbentuk rumah Melaka, besar dan menakutkan sebab sudah berapa lama ibu saya tidak dudukan lagi.

14. Rumahku Syurgaku. Apa pendapat saudara?

Tiap2 isteri harus merasa apa yang saya rasakan, Rumahku Syurgaku.

Apakah sdr bahagia dengan kehidupan sekarang?

Saya pindah ke pulau ini selama 8 tahun dan rasa sesuai dengan keamanan dan harmoni sini.

15. Saudara minat bercucuk tanam. Selain untuk makanan keluarga sayuran itu juga untuk dijual. Boleh kongsi pengalaman saudara?

Suami saya yang minat bercucuk tanam, bukan saya. Dia menanam berbagai sayur yang bermusim dan apabila berlebihan, kami berikan pada kawan2. Kami tidak menjual sayur2 itu.

16. Apa hobi saudara?

Saya mempunyai banyak hobi, tak terkira banyaknya.

(a) Makanan kegemaran?

Saya tidak ada makanan kegemaran, asalkan halal, tolak batu dan kayu, semua saya makan.

(b) Adakah saudara ada pantang larang?

Saya tidak percaya dengan pantang larang tok-nenek moyang melayu.

16. Boleh ceritakan bagaimana saudara terlibat dengan esastera.com.

Saya dikenalkan dengan esastera oleh sdr Damahum atau yang lebih terkenal dengan panggilan MBA. Beliau rekemen supaya saya mendaftar ke laman esastera/haiku sebab beliau pentadbirnya masa itu dan baru merasmikan pembukaan laman itu.

(a) Apa perasaan saudara setelah menyertainya?

Baru2 menjadi ahli, saya rasa kaku dan tidak dapat menyusuaikan diri.

(b) Apa faedah yang sdr dapat setelah menyertainya?

Sekarang hampir 2 tahun, saya rasa taraf bahasa melayu saya bertambah bagus, dapat kenalan baru dan terhibur hati dengan lawak ahli2.

17. Sewaktu pulang ke Malaysia baru-baru ini saudara bertemu dengan beberapa orang kenalan di esastera. Antaranya Sri Diah, Hasimah dan Drirwan. Bagaimana perasaan sdr bila bertemu mereka? Boleh kongsi pengalaman tersebut?

Inilah rezeki yang Allah berkatkan saya, itu perasaan saya. Betapa gembiranya dan tidak boleh saya lupakan sehingga akhir hayat.
Saya tidak banyak berbual sebab sudah cukup kenal dengan mereka. Tetapi dalam diam saya cuba membuat "scanning" wajah mereka.

18. Saudara dilantik menjadi Administrator Haiku menggantikan saudara Damahum. Apakah saudara yang memohon atau Damahum yang mencadangkan atau tiba-tiba saudara mendapat perlantikan dari Drirwan?.

Sehari selepas Malam Hescom 2004, sdr Damahum membuat perbualan "chatting" di YM dengan saya. Kami berchatting agak lama dan saya dipersoalkan berbagai perkara darihal perhakiman haiku Hescom 2004. Akhir perbualan, sdr damahum menawarkan pentadbiran haiku pada saya dengan mengatakan beliau tidak boleh menumpukan sepenuh masa lagi untuk pentadbiran haiku dengan sebab kesibukan kerja dan tanggung-jawab lain.
Dengan niat untuk menolong beliau, saya menerima tawaran ini. Soal pertukaran pentadbiran haiku tidak melibatkan founder kita.

19. Apa perancangan saudara untuk memeriahkan lagi komuniti Haiku?

Komuniti Haiku masih baru lagi dan penulis haiku di komuniti ini belum banyak pendedahan dengan haiku2 peringkat antara bangsa dan haiku2 dari Jepun.
Penulis haiku tidak boleh memaksa ilham untuk berhaiku. Ilham menulis haiku datang secara spontan dengan pemandangan sekeliling. Dengan cara menawarkan hadiah, ilham haiku tidak menjadi spontan lagi dan kurang berkualiti.

(a) Apa kata pemenang haiku 2005 ditawarkan tiket percuma ke Jepun?

Bagus cadangan ini dan kalau founder setuju terpaksalah mencari sponsor untuk mendapatkan tiket percuma.

20. Apa pandangan saudara mengenai haiku yang ditulis oleh ahli-ahli esastera. (a) Boleh saudara sebutkan nama-nama mereka yang berpotenti sebagai hanjin?.

Memandangkan sajak Jepun, tanka dan haiku masih belum terkenal di Malaysia, saya rasa ahli2 esastera perlu diberi pendedahan pada bacaan sajak2 Jepun. Selagi pendedahan pada sajak2 Jepun tidak mencukupi, saya rasa susah bagi penulis2 melayu untuk memahami "Zat" sajak Jepun mahupun tanka atau haiku.
Saya rasa potensi pada penulisan haiku terdapat dari gulongan orang2 yang pernah berpengalaman rapat dengan orang2 Jepun dan pernah tinggal lama di tanah Jepun. Kenapa saya kata begini? Orang2 seperti ini mengenal adat dan budaya Jepun secara spontan. Dengan cara ini mereka dapat merasai perasaan dan pemikiran orang Jepun.
Tidak perlulah saya menyebut nama mereka disini.

21. Saudara dilantik menjadi pengadil haiku untuk hescom 2004. Bagaimana cara pengadilan saudara? Mungkin boleh dijadikan panduan oleh kami. Apa nasihat saudara kepada penulis haiku?

Saya amat berbangga apabila founder kita memilih saya sebagai hakim anugerah Hescom 2004. Pengadilan Haiku Hescom 2004 tidak susah sebab saya diberi 5 orang finalis untuk dihakimkan dalam kesemua penulis2 haiku. Antara 5 finalis itu, saya pilih 3 haiku yang baik dan dari pemilihan ini saya ambil 5 haiku yang terbaik sahaja.
Nasihat saya untuk penulis haiku ialah tulislah apa yang terpandang, perkara dari hal hari2an, memuji alam sekitar, jangan jadikan haiku sama seperti pantun dan puisi melayu.
Haiku ada peribadi tersendiri. Senryu atau sajak 5-7-5 juga seperti haiku tetapi boleh diisikan dengan nasihat, politik dan subjek lain.

22. Kabarnya saudara penggiat haiku di Jepun. Boleh ceritakan bagaimana timbulnya minat kepada haiku?. Apakah saudara minat menulis selain haiku?.

Saya selalu terbaca sajak2 Jepun di media. Saya mengenal haiku di buku2 sekolah anak saya. Anak2 saya mengulas haiku yang mereka belajar di sekolah. Saya memberi tumpuan punuh pada haiku apabila saya menjadi ahli CZ/haiku. Walaupun sudah mengenal haiku tetapi saya rasa amat susah untuk mengarang haiku dalam bahasa Melayu. Ini disebabkan keadaan saya yang bermastautin selama lebih 20 tahun di luar masyarakat melayu.
Saya menggambil cuti panjang dari menulis haiku tahun 2004 sebab berkursus gempak bahasa melayu semula.
Minat menulis memang ada pada diri saya sejak kecil lagi tetapi setakat ini saya masih belum bertaraf untuk menulis dalam bahasa melayu.

23. Kabarnya Haiku mendapat tempat yang baik di kalangan rakyat Jepun. Setakat yang saudara tahu apakah langkah-langkah yang mereka ambil untuk memelihara dan mempopularkan puisi tradisional ini?.

Haiku agak baru di dunia sajak Jepun, dikenalkan oleh Basho 600 tahun dahulu.
Tanka, juga sejenis sajak Jepun, lebih bersejarah dari haiku. Banyak kelab haiku ditubuhkan di merata tempat di Jepun, di balai raya, sekolah, dan kelab2 hobi.
Setahun sekali, media seperti televisyen, radio, akhbar, majalah membuat pertandingan haiku. Haiku yang ditandingkan dikenakan bayaran setiap satu. Duit bayaran ini digunakan untuk hadiah pemenang pertandingan.
Haiku juga diajar kepada murid sekolah rendah dan mereka digalakkan mengarang haiku.
Ternampak juga di depan sekolah atau bangunan2, haiku yang terkenal atau yang memberi semangat di ukir di batu atau papan tanda.
Pendik kata, di Jepun, haiku sememangnya disemaikan dalam kehidupan orang Jepun.


24. Di Komuniti Haiku ramai penulis yang aktif menyiarkan karya antaranya Dipinggiran, Haimarea, arisel, ep dan beberapa orang lagi. Apakah usaha sdr untuk meramaikan lagi penyumbang haiku?

Saya menambah ahli haiku di esastera dengan cara low profil. Saya bercerita tentang haiku pada peserta dari Malaysia yang berkursus di sini. Kalau terpandang pada papan haiku atau batu ukiran haiku, saya bacakan dan ulaskan haiku itu.
Saya dapat kenalan baru di blog saya dan selalu menceritakan tentang haiku. Mereka buat cubaan berhaiku dan mana yang bagus, saya minta mereka mendaftarkan diri dan masukan haiku mereka ke laman esastera.
Sudah ada beberapa ahli baru yang berjaya membuat haiku yang baik.

25. Selain esastera.com, apakah saudara juga menyertai laman web yang lain?

Tidak, saya setia pada satu sahaja.

Apa perbezaannya?

Saya tidak menjadi ahli haiku di laman web lain dan tidak tahu perbezaannya.

Apa cadangan sdr untuk memeriahkan lagi esastera?

Mendapat sumbangan yang baik dan karya yang bagus, sudah cukup memeriahkan laman haiku. Tidak perlu kemeriahan yang lain lagi.

25. Apakah ciri-ciri haiku yang baik menurut pandangan saudara?

Haiku yang baik perlu mengikut undang2 yang telah ditetapkan.
Haiku mempunyai 3 baris. Baris pertama=5 sukukata/ baris dua=7 sukukata/baris tiga=5 sukukata. Lebih dikenali sebagai haiku 5-7-5.
Perlu dimasukkan kata kigo atau kata musim, menceritakan pandangan penulis dan baris 3 memberi bayangan pada baris 1 dan 2. Baris 1 dan baris 2 tidak dipuisikan dan harus memberi gambar pandangan penulis.
Senryu juga sama seperti haiku tetapi lebih dikenal sebagai sajak 5-7-5. Senryu tidak perlu mengikut undang2 haiku, lebih bebas dari segi topik seperti politik, lawak, kehidupan dan ugama.

Boleh sertakan contoh?

Ini petikan dari buku "Haiku by children".
Pemenang anugerah JAL Foundation.

Watching the sunset/sitting on a grassy cliff/after father's death.
Penulis Ainslie Colless (12-p) dari Australia.

Pantai memanjang/alam sekitar tenang/penyu bertelur.
Penulis Moo Ying Xin (12-p) dari Malaysia.

Moon in the water/broken and broken again/but it is still there.
Penulis Gerald Chee (11-l) dari Singapore.

Autumn leaves falling/trees looking very empty/more raking for me.
Penulis Michael McKeown (12-l) dari Australia.

26. Adakah penulis haiku di Jepun mendapat penghormatan dari masyarakatnya?

Haiku mereka diulas oleh beberapa guru haiku dan dibukukan. Buku2 mereka dibuat promosi dan nama mereka dikenalkan bersama haiku yang ditulis. Penulis haiku dikenal sebagai orang elite, orang yang bersifat lembut dan orang yang memegang pada keamanan.

27. Adakah suami dan anak-anak mengetahui penglibatan saudara dengan esastera.com?

Anak2 saya membantu saya dengan ulasan haiku dan mencarikan buku2 haiku.

Apa pandangan mereka?.

Suami saya berpendapat haiku dari penulis melayu tidak setaraf dengan haiku dari penulis Jepun.

28. Boleh saudara buat ulasan mengenai sebuah haiku yang menang hescom 2004?. Mengapa saudara tertarik dengan haiku tersebut?.

"Gunung dan pohon" dari sdr Arisel BA mendapat anugerah pertama Hescom 2004.
Gunung dan pohon/padang hilang pintunya/ratap belalang.
"Gunung dan pohon" menjadi kata musim. "Padang hilang pintunya" ialah pandangan penulis. Pintu disini menandakan kelapangan antara dua bukit yang hilang disebabkan pertumbuhan yang lebat di musim panas. Dan baris tiga, "ratap belalang" menunjukkan kesusahan bagi binatang2 kecil untuk hidup di hutan selebat ini.
Haiku ini menarik perhatian saya sebab baris satu dan dua menunjukkan kata musim dan pandangan penulisnya dan baris tiga pula berputar pada emosi penulis.
Ciri2 haiku yang baik ada dalam haiku ini.

29. Beberapa soalan peribadi.

(a) Berapakah ketinggian sdr dan berapakah berat badan saudara.

Saya berdiri 1.66m dan berat badan saya mengikut musim. Musim panas 70kg dan musim sejuk 74kg.

(b) Berapa kali sehari sdr mandi?

Musim panas saya mandi sehari 3 kali dan musim sejuk saya mandi seminggu 3 kali!

(c) berapa kali seminggu sdr bersukan/bersenam?

Senaman berat seminggu sekali seperti mengangkat berat dan berenang, senaman ringan seberapa yang boleh.

(d) apakah buah-buahan yang sdr suka makan?

Angur hitam dari Jepun dan epal madu lebah Fuji.

(e) Para doktor menasihatkan kita supaya banyak minum air demi menjaga kesihatan sistem badan. Berapa gelas air sdr minum setiap hari?

8 gelas air masak. Saya tidak minum air manis dan tidak minum kopi. Saya lebih minum susu tairu.

30. Saya ada melihat beberapa keping gambar saudara. Tetapi gambar saudara yang memakai tudung dan baju kurung paling menarik. Adakah saudara memakai pakaian seperti itu apabila keluar rumah?

Baju kurung hanya untuk hari raya dan perkumpulan orang melayu. Lain dari ini saya memakai seluar jeans dan kain panjang.

Bagaimana pandangan masyarakat jepun bila saudara berpakaian sebegitu?

Saya selalu keluar seorang diri ke kedai. Orang Jepun selalu merenung saya, ada yang buat tenung sembunyi, tenung tajam, tenung miang dan tenung bingung. Tetapi mereka memberi kehormatan pada saya.

31. Sdr agak mesra dengan Saleha, Tintasukma, Alaieffa, Sri Diah, Hasimah dan ramai lagi.

(a) Apa pendapat saudara tentang mereka.

Semuanya peramah, dari segi peribadi sdr Saleha agak sensitif sedikit, sdr Tintasukma suka bermanja, sdr Alaieffa suka mengeratkan siratulrahim, sdr Sri Diah cekap dan amanah dan CikGu Hasimah selalu mengambil berat tentang ahli2 lain.

(b) Saya pernah mengusik sdr. Apakah sdr pernah kecil hati?

Setakat ini belum pernah lagi. Tetapi saya tabik hormat dengan sdr. Tidak mungkin sdr berkebolehan untuk memperkecilkan hati saya.

32. Kata orang, "tabiat" (habits) membentuk keperibadian seseorang.
(a) Apakah tabiat baik yang sedang sdr amalkan demi menjaga peribadi.

Percakapan dan perbuatan mesti iklas dari hati, jangan berjanji kalau tidak boleh ditepati, hormati orang lain kalau mahu diri dihormati dan menangkap mata pendengar apabila bercakap.

(b) Apakah tabiat baik yang hendak saudara amalkan tetapi belum berjaya lagi.

Bersabar dengan suami dan anak2.

(c) Apakah tabiat buruk yang sdr sedang amalkan yang sdr berasa perlu sdr dihentikan?

Mengadap pc ini berjam2!

33. Ramai ahli esastera masih solo. Contohnya sdr Saleha dan Nilamsuri. Ada pula yang masih bujang terlajak seperti Muhammad Zakir, sdr tak cuba rekemenkan teruna dan gadis jepun?

Saya boleh rekemenkan tetapi mereka belum Islam lagi. Kalau ingin mengajar Islam dan buat kerja dakwah dengan niat untuk berumah tangga, ini satu cabaran yang berpahala.

34. Apakah sdr mempunyai sebarang falsafah hidup tertentu yang sdr jadikan pegangan dalam melayari kehidupan sehari-hari?

Hidup sederhana, ikhlas dalam pergaulan, kesyukuran dan memberi bantuan seberapa yang terdaya.

35. Sdr nampaknya begitu minat dengan haiku.
(a) Tidakkah sdr berasa bahawa kegiatan itu menghabiskan masa dan wang sahaja?

Saya rasa bertanggung jawab untuk menyenangkan sesiapa yang berminat pada haiku, tanka dan lain2 sajak Jepun dengan cara membuat terjemahan atau penjelasan. Makanya ini satu usaha yang murni dan tidak sia2. Berkenaan dengan wang, tali internet di Jepun murah, buku2 untuk rujukan dan segala bacaan untuk haiku dan tanka boleh dipinjam di pepustakaan. Tidak ada masalah kewangan untk bersajak di Jepun.

(b) Apa faedah yang sdr harapkan daripada kegiatan itu.?

Sebenarnya menulis haiku yang baik, penulis perlu menikmati alam sekitar, rasa bersyukur dengan alam semula jadi, inilah yang saya suka tentang berhaiku. Saya lebih menghargai dan menikmati segala yang ada di alam ini.

36. Saya sendiri mengorbankan masa dan wang setiap bulan kerana melayari internet. Apakah nasihat sdr kepada saya dan teman-teman yang lain?.

Teruskan, apalah duit kalau tidak digunakan untuk kesenangan sendiri.
Lagi berusia, lagilah harus menaikkan taraf hidup setampil dengan teknologi baru. Jangan ketinggalan zaman dan harus menajamkan pemikiran.

37. Dari tulisan saudara pada papan nota esastera dan blog saya, termasuk emel yang sdr hantar, saya beranggapan sdr seorang yang agak tegas tetapi agak cerewet. Mungkinkah kerana budaya orang Jepun telah membentuk sikap sdr?

Saya tegas dari segi perbuatan dan kata. Tetapi jangan disalahkan ketegasan sebagai biadap. Tegas dan biadap sangat berlainan makna. Saya cerewet pada orang2 yang melanggar undang2, yang tidak mengambil berat pada kerja yang diamanahkan dan yang membuat kerja sambil leka.
Betul, budaya orang Jepun membentuk sikap diri ini.

38. Selain haiku apakah sdr minat melayari komuniti yang lain.

Komuniti lain juga menghiburkan saya.

(a) Apa pandangan sdr tentang cerpenis, novelis, mapan, sajak dan sajen?

Banyak penulis yang berbakat dan berpontensi di komuniti lain.

(b) Kenapa sdr tidak menulis genre tersebut?

Saya takut terpengaruh oleh puisi dan sajak melayu apabila menulis haiku.

39. Ini soalan umum: Jika sdr diberi RM1 juta apa yang akan sdr buat dengan wang itu?

Saya masukkan ke akaun mudarabah dan jika sudah bertambah, ingin membeli tanah dan bena sebuah masjid di pulau ini.

40. Ini satu lagi soalan umum:


(a) Pernahkan sdr ke luar negara? Jika pernah, bolehkah sdr ceritakan sedikit pengalaman.

Selama 20 tahun lebih saya tinggalkan kampung halaman, keluarga dan sahabat handai untuk merantau, mengikut rentak perkerjaan suami. Cerita pengalaman 20 tahun merantau tidak boleh dimasukkan dalam 2 baris sahaja.

(b) Jika sdr ditawarkan hadiah percutian percuma ke luar negara untuk dua orang, ke negara mana sdr hendak pergi dan mengapa. Siapa yang akan sdr bawa bersama?

Saya ingin ke New Zealand sebab jiran baik di Wales, U.K telah berpindah ke sana. Anak daranya sama sebaya dengan anak sulung saya dan mereka sangat rapat berkawan masa kecil.

41. Binatang apa yang paling sdr (a) suka, (b) benci, dan (c) takut.

Kucing paling saya suka. cacing menjijikkan. Ular paling saya takut.

42. Kalau sdr diberi peluang untk meminta sesuatu dari Esastera Enterprise, apa yang sdr hendak minta?. Dan kalau saya beri peluang sdr minta sesuatu dari saya apakah yang sdr minta?.

Saya mahukan esastera membukukan haiku2 yang ada. Juga saya ingin terjemahkan karangan2 tanka dan haiku dalam bhs melayu supaya penulis2 yang berminat dapat pendedahan yang cukup. Saya rasa sajak2 dari Jepun belum banyak diterjemahkan dalam bhs melayu lagi.
Saya ingin bantuan sdr untuk menterjemahkan sajak2 Jepun. Harapnya sdr sudi memberi bantuan.


43. Apakah nasihat sdr kepada saya dan warga esastera.com?.

Saya harap jangan ada perselisehan faham antara warga esastera dan jika ada yang tidak memuaskan hati, harap berbincang dengan iklas bukan dengan sindiran, kata sinis dan tuduhan kasar.

44. Bagaimana sebutan dalam bahasa Jepun ayat berikut?

(a) Terima kasih.
Domo arigatou/domo/arigatou.

(b) Jumpa lagi
Sore dewa mata/sore ja mata/ja mata/ja ne.

(c) Aku sayang padamu.
Ai shimasu/ai shitte iru/ai shitte imasu.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan wawancara ini dengan jujur dan berterus terang.

Abdul Latip Talib.
10. Februari. 2005.

Terima kasih kerana sudi mewawancara saya yang tidak layak ini.

Halela Abdul Razak.
12 Feb. 2005.

Isnin, Februari 14, 2005

HALELA MELAYU OKINAWA


HALEHA WANITA MELAYU PERTAMA MENETAP DI PULAU OKINAWA JEPUN. KITA IKUTI PENGALAMAN SUKA DUKANYA.

Ahad, Februari 13, 2005

MENYAMBUT SATU MUHARAM

Kita baru saja menyambut kedatangan tahun baru hijrah atau tahun baru Islam. Di namakan tahun baru hijrah kerana tarikh bermula perkiraannya sempena tahun berhijrah Rasullulah SAW dari kota Mekah ke Madinah.

Agak hairan juga kenapa ketibaan tahun baru masehi umat islam ramai yang menyambutnya dengan pelbagai acara tetapi menjelang tahun baru Islam ramai yang memandang sepi?.

Pada hari itu kita digalakkan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Doanya cukup menarik kalau kita hayati maknanya.

MAKSUD DOA AKHIR TAHUN HIJRAH

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala pujian hanya bagi Allah pemilik sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad ahli keluarganya dan para sahabatnya sekelian.
Ya Allah, apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini sedangkan Engkau menegah kami daripada melakukannya dan kami tidak sempat bertaubat darinya dan Engkau pula tidak meredainya dan tidak pula Engkau melupakannya dan Engkau berlemah lembut ke atas kami walaupun Engkau berkuasa menyiksakan kami. Malah Engkau memberi peluang kepada kami supaya bertaubat setelah kami melakukan maksiat.
Maka sesunguhnya kami memohon keampunan Engkau maka ampunilah bagi kami dan apa yang telah kami lakukan. Dari apa yang Engkau redhai dan Engkau telah menjanjikan kepada kami ganjaran pahala. Maka kami memohon kepada dikau wahai Tuhan yang Mulia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan semoga Engkau menerima taubat daripada kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami kepada Engkau wahai Tuhan yang Maha Mulia.

MAKSUD DOA AWAL TAHUN HIJRAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji hanya bagi Allah pentadbir sekelian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul, penghulu kami Muhammad s.a.w dan keluarganya dan para sahabatnya sekalian.
Ya Allah engkaulah yang kekal, Qadim lagi azali dan pada kelebihan Engkau yang besar dan kemurahan Engkau yang melimpah ruah. Ini adalah tahun baru yang telah mendatangi kami. kami memohon pemeliharaan Engkau daripad syaitan yang direjam, pembantu pembantunya dan tentera tenteranya.
Kami memohon pertolongan Engkau atas nafsu yang banyak mendorong kami kepada kejahatan dan kami memohon kepada Engkau untuk melakukan sebarang perkerjaan yang boleh mendekatkan kami kepada Engkau.
Ya Allah Tuhan yang mengubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan Engkau wahai Tuhan yang berkuasa lagi maha tinggi.

Wahai tuhan kami, kurniakan kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka. Amin.

Sabtu, Februari 05, 2005

KONGSI PENGALAMAN MENULIS DENGAN PAK LAH

SASTERAWAN NEGARA DATO' ABDULLAH HUSSAIN

Kali pertama saya bertemu Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain pada majlis penyampaian " Hadiah Sastera Berunsur Islam 1V " dalam tahun 1992 di Pusat Islam Kuala Lumpur. Beliau hadir bukan sebagai pemenang tetapi untuk meraikan para pemenang. Pak Lah berdiri di pintu masuk dan saya sempat bersalaman dengannya.

Kali kedua kami bertemu serta dapat berkenalan dengan lebih rapat ketika kami sam-sama menyertai rombongan GAPENA ke Sumatera Barat Minangkabau dalam tahun 1994.

Kebetulan dalam perjalanan dari Dumai ke Bukit Tinggi kami duduk satu bangku dalam bas. Ini memberi kesempatan kepada kami untuk berbual panjang. Dan saya berasa bertuah kerana pengarang yang saya kagumi sejak di alam persekolahan itu seorang yang tidak kedekut mencurah ilmu serta pengalaman di bidang penulisan.

Perkara utama yang menjadi topik perbualan kami pada masa itu mengenai novel " Imam " yang memenangi tempat pertama hadiah Nasional Novel Sako 1 yang dianjurkan oleh Utusan Melayu- Publik Bank.

Menurut SN Dato’ Abdullah, beliau mengambil masa lebih 3 tahun untuk menyiapkan novel setebal 900 halaman itu. Walaupun tujuan beliau menulis novel itu bukan untuk sayembara tetapi penyertaannya untuk hadiah novel nasional itu cuma di saat akhir dengan tujuan supaya manuskrip tersebut dibaca dan dinilai oleh penel sayembara dengan andaian jika menang manuskrip tersebut mudah diterbitkan. Beliau menjangka tidak ada penerbit yang sanggup menerbitkan manuskrip yang begitu panjang kecuali jika memenangi sayembara.

Bila ditanya bagaimana perasaannya setelah memenangi hadiah novel yang begitu besar di negara kita?. “ Penghargaan itulah saja yang bernilai sementara pendapatannya tidaklah selumayan mana kerana setelah bekerja keras selama lebih tiga tahun pendapatan yang diperolihi cuma RM30,000.00 atau RM700.00 sebulan,” katanya sambil tersenyum.

Namun kabarnya, SN Dato’ Abdullah Hussain antara penulis yang paling banyak mendapat bayaran royalti dari novel tersebut.

" Tujuan saya menulis bukan untuk mengumpul harta atau ingin menjadi kaya raya," katanya.

Menurutnya, beliau pernah bekerja di negara Brunei, Singapura dan Indonesia, ketika itu banyak peluang jika ingin menjadi kaya raya tetapi beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya untuk mengaut harta kekayaan.

Menurut Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain, apa yang paling menggembirakan hatinya ialah setiap kali melahirkan karya beliau merasa bahagia seperti bahagia seorang ayah menerima kelahiran cahaya mata.

"Kerana itu pengarang nampak awet muda kerana selalu merasa bahagia setiap kali melahirkan karya," katanya.

Ketika ditanya bagaimana proses melahirkan karya, beliau menyatakan kebiasaannya sebelum memulakan kerja penulisan beliau akan memeram dulu bahan-bahan penulisannya dalam kepala kemudian barulah dicurahklan di atas kertas.

Beliau mengambil contoh bagaimana kelahiran seorang bayi yang mana melalui beberapa tahap sebelum dilahirkan. Jika belum cukup bulan bayi yang dilahirkan itu dianggap " premature".

Sebelum bayi dilahirkan, si ibu kena buat persiapan seperti penjagaannya, kesihatannya, memakan makan yang berzat,menyediakan kain lampin, tempat tidur bayi dan sebagainya. Jika kelahirannya tidak dengan persediaaan sudah tentu bayi itu akan terencat mental dan fizikalnya, begitu kata SN Dato’ Abdullah Hussain.

Saya merasa kagum dengan semangat Dato’ Abdullah Hussain. Walaupun usainya sudah menjangkau lebih 70 tahun tetapi semangatnya masih kental dan tenaganya masih kuat.

Beliau sanggup menyertai 49 penulis kerabat GAPENA mengembara ke Sumatera Barat melalui jalan darat yang banyak cabaran dan berliku-liku itu. Di Kota Padang beliau turut hadir di hari "Sumpah Pemuda" bertemu dan berdialog dengan tokoh budaya dan sastera Sumatera Barat dan tidak pernah ketinggalan dalam lawatan ke tempat- tempat bersejarah.

Menurut SN Dato’ Abdullah, beliau sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Beliau tidak merokok, selalu bersikap sederhana dalam semua perkara, waktu tidur yang cukup dan mengambil sedikit sahaja makanan setiap kali makan.

"Penyakit berpunca dari perut. Jika membatasi kemahuan perut pasti sihatlah badan kita,” begitu petua SN Dato’ Abdullah.

Ketika kami berada di Bukit Tinggi yang pemandangannya amat indah dan udaranya sejuk itu, sekali lagu saya mendampingi Dato’ Abdullah untuk bertanyakan pengalamannya di bidang penulisan.

Menurut SN Dato’ Abdullah, beliau mula menulis ketika berusia 18 tahun dan kini sudah lebih 50 tahun beliau menjadi penulis.Beliau telah membuktikan ketokohannya di bidang sastera, bila Novel yang berjudul "Imam" telah berjaya memenangi hadiah bernilai RM30.000.00. Kemudian beliau di anugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

Mengenai nama-nama watak dalam novel "Imam", menurut Pak Lah , beliau sengaja memilih judul Imam Mihat kerana dalam masyarakat Melayu dan Islam, imam merupakan orang yang paling berpengaruh malah sangat dihormati. Imam boleh memimpin masyarakat manakala Mihat pula nama orang melayu tulin.

Imam Mihat cuba menyedarkan masyarakat supaya menghargai diri sendiri kerana di sisi Allah swt mereka yang mulia ialah yang lebih takwanya. Sebaliknya mereka yang menderhaka kepada Allah akan menerima balasan.

Kerana imam Mihat di lahirkan oleh pengarangnya melalui pengalaman peribadi dan citarasa yang telah dicanai begitu lama maka tidak hairanlah nivel tersebut dianggapa antara novel melayu yang terbaik.

Beliau juga menasihatkan penulis-penulis muda jangan terlalu ghairah untuk menjadi terkenal dengan mengambil jalan pintas seperti menciplak karya orang lain dan jangan cepat lupa diri bila dipuji kerana itu boleh merugikan masa depan penulis itu sendiri.

Selepas balik dari lawatan ke Sumatera kami pernah berutus surat bertanya kabar. Dan saya masih menyimpan surat beliau yang bertulisan tangan. Dan semasa saya bertugas di Serawak, Pak Lah pernah juga mengirimkan Warta Gapena.

Tetapi kini kami jarang bertemu. Semoga Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain sihat dan bahagia di samping keluarga.

Jumaat, Februari 04, 2005

EMEL DARI NOR AINI

A'kum sdr......
1.Membaca pengalaman sdr membuatkan mata saya berkaca, hanya tunggu untuk menitis sahaja. Terharu dan berkobar-kobar semangat saya untuk turut menjejaki langkah sdr dalam bidang penulisan ini.
Kata pepatah melayu "Hanya Jauhari Saja mengenal manikamnya." Kini saya sedar akan pepatah tersebut. pembaca kini mempunyai selera tersendiri, seumpama selera makan.
Sebetulnya; penulisan saya baru berakar dan pucuknya juga baru sahaja bertunas. Ilmu penulisan saya hanyalah senipis kulit bawang. bolehkah sdr menjadi guru saya dalam ruangan ini?
seandainya sdr sudi, saya teramat girang dan bersyukur.....'seperti itik mendapat air' . Ah...., perlukah saya nyatakan ucapan ini? Maaf kerana keterlaluan dan beremosi sejenak.


JAWAPAN SAYA

Alhamdulillah, sekiranya tulisan saya memberi manfaat kepada sdr Noraini. Saya bersetuju dengan pendapat sdr bahawa setiap pembaca mempunyai citarasa yang tersendiri apabila menghayati sesebuah karya. Penulis juga mempunyai cara yang tersendiri. Inilah uniknya dunia penulisan.

Saya berasa satu penghormatan sekiranya sdr sudi menjadikan saya sebagai rakan tempat berbincang di bidang penulisan. Saya takut nak gunakan perkataan guru kerana ilmu saya tak seberapa.

Semasa mula-mula menceburkan diri di bidang penulisan, saya juga mendapat rakan dan guru yang sanggup memberi sokongan moral. Mereka memberikan bimbingan secara lansung dan secara tidak lansung. Nama nama mereka saya tidak lupakan sampai sekarang. Semoga nama saya juga tidak sdr lupakan…haha.

2. Penulis novel sekarang kebanyakannya hanya tahu menulis novel berunsur cinta dan adat/ nilai kebaratan. hanya segelintir kecil sahaja penulis novel yang menulis unsur kemasyakatan budaya di perkampungan, orang-orang kurang berkemampuan dan pengajaran ke arah ugama islam. Sebagai orang lama dalam dunia penulisan ini, apa komen dan pendapat sdr? Boleh sdr kongsikan pandangan sdr itu dengan saya?

JAWAPAN SAYA


Dalam bidang penulisan novel di negara kita ada dua istilah yang sering digunakan iaitu novel popular dan novel sastera. Maksud novel popular itu, kandungannya lebih kepada hiburan semata-mata. Manakala novel sastera pula sebaliknya.

Dalam hal ini terserah kepada pilihan masing-masing. Kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut acuan pemikiran kita. Namun saya setuju kalau sdr menumpukan penulisan novel ke arah mendidik masyarakat dengan nilai keagamaan. Tugas penulis juga sebagai pendakwah.

3. Ketika sdr menulis, apakah bahan-bahan rujukan untuk sdr menghasilkan sesebuah novel? Adakah ianya berdasarkan pengalaman semata-mata atau pun sdr ada idola tersendiri. Kalau ada, bolehkah sdr sebut siapakah idola ataupun role model sdr itu sehingga sdr boleh menjadi seorang penulis dikalangan penulis ternama.

JAWAPAN SAYA
Bahan-bahan rujukan adalah penting ketika menulis. Dengan adanya bahan rujukan seseorang penulis itu lebih mudah menjalankan kerjanya.

kalau menulis cerpen berunsur Islam biasanya saya merujuk kepada kitab hadis atau tafsir al quran. Tetapi kalau cerpen biasa saya hanya berdasarkan kepada pemikiran serta pengalaman sendiri sahaja.

Saya sebenarnya tidak ada idola tertentu dalam bidang penulisan. Cuma semasa remaja saya suka membaca novel Hamka. Saya juga suka membaca karya-karya yang ditulis oleh penulis-penulis di negara kita. Tetapi sejak saya berkenalan dengan SN Dato’ Abdullah Hussain saya lebih berminat membaca hasil karyanya. Termasuk karya terjemahan. Biasanya apabila kita kenal penulis itu baru kita lebih berminat membaca karyanya. .hahaha

4. Saya begitu bangga kerana dapat berbicara dgn sdr meskipun menerusi e-mail. Masa menjaga anak yang berusia 10 bulan di rumah dan menguruskan rumah tangga menambahkan lagi cabaran saya untuk terus mara dalam menghasilkan sebuah novel. kerana minat yang mendalam dalam penulisan saya cuba bangkit meskipun sesekali saya tersungkur di dada waktu. Alhamdulillah tanpa sokongan dari suami saya sudah pasti impian tinggal impian semata-mata. Kini saya semakin bersemangat setelah e-mail saya kepada sdr tempoh hari sudah terbalas.Terima kasih sdr.
JAWAPAN SAYA

Saya mengucapkan syabas kepada sdr Nor Aini kerana punya semangat sdr yang begitu tinggi untuk menjadi seorang penulis. Dan saya yakin cita-cita sdr itu akan berjaya dengan syarat ada kesungguhan

Saya yakin sdr ada bakat, minat damn kesungguhan. Dalam bidang penulisan 3 perkara ini penting. Kalau ada bakat tetapi tidak ada minat maka tidak menjadi. Ada bakat dan minat tetapi tidak ada kesungguhan juga tidak menjadi..

Sdr juga bertuah kerana mempunyai seorang suami yang memahami minat sdr di bidang penulisan. Sokongan dari suami/isteri amat penting. Saya sendiri mendapoat sokongan dari isteri. Dia memberi masa kepada saya untuk menulis.

Ada penulis wanita sebelum berkahwin aktif menulis tetapi bila sudah punya suami dan anak karyanya semakin berkurangan. Dan akhirnya bersara dari bidang penulisan. Tetapi sdr lebih hebat. Walau sudah punya suami dan anak namun tidak menghalang untuk menulis.

Sekian terima kasih.

Khamis, Februari 03, 2005

NOVEL KE DUA


Pengalaman pahit manis menghasilkan novel ke dua.

EMAIL DARI PEMBACA

A'kum sdr Latip......

1. sekarang saingan keterlaluan banyaknya. dan saya bakal menjadi seorang penulis. Sebagai orang lama tentu sdr mempunyai banyak pengalaman. boleh sdr kogsikan dengan saya?

2. saya betul-betul berminat dalam penulisan, ianya sudah lama bersemi dalam diri iaitu sejak di bangku sekolah lagi. dan ini pertama kalinya saya cuba memajukan diri dalam bidang ini. Apatah lagi novel saya pertama baru sahaja di hantar dan kini dalam proses pembikinan edit oleh penerbit salah sebuah syarikat @#$%&*+?.


Dalam pada itu komennya amat memuaskan cuma menunggu masa sahaja untuk mereka hubungi saya.

Persoalannya....sebagai seorang penulis apa perlu saya hadapi dengan kritikan dan cabaran pada masa ini. Saya amat dan terlalu takut untuk menghadapinya....namun dalam masa yang sama saya bangga tulisan saya serba sedikit pertama kalinya berjaya dihantar ke syarikat penerbitan tertabit.

Untuk itu....saya mahu menimba pengalaman dari sdr...harap kita boleh berkongsi pandangan dalam bidang penulisan. terima kasih.

Jawapan saya

Terima kasih kerana sudi mengirim email dan sudi berkongsi pengalaman dalam bidang penulisan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara yang telah pun menjadi seorang penulis kerana novel sulung saudara akan terbit tidak lama lagi. saudara pasti berasa amat bahagia bila melihat novel sulung itu nanti. Kegembiraannya bagaikan menerima kelahiran cahaya mata.

Sebagai penulis kita jangan takut dengan persaingan dan seeloknyas kita anggap saingan itu sebagai penggalak untuk menghasilkan lebih banyak lagi karya. Seperti yang kita maklum, pada zaman sekarang walau dalam bidang apapun yang kita ceburi pasti banyak persaingannya. Di bidang perniagaan banyak persaingan malah di bidang politik juga banyak persaingannya.

Begitu juga dengan bidang penulisan persaingannya tetap ada. Namun usahlah saudara bimbang kerana yang penting keyakinan dan usaha kita yang berterusan menghasilkan karya.

2. saya yakin saudara memang ada bakat dan memang berminat dalam bidang penulisan buktinya novel sulung saudara sedang di cetak dan akan berada di pasaran tidak lama lagi. ia sesuatu yang membanggakan kerana saudara memperkayakan lagi khazanah kesusasteraan tanah air kita.

Mengenai kritikan saudara janganlah bimbang. Apabila kita telah menghasilkan karya atau apabila novel telah diterbitkan terserah kepada pembaca untuk menilainya. Kita terpaksa menerima apa sahaja kritikan dari pembaca.

Namun setahu saya semua kritikan sastera untuk membina serta membaiki bukan kritikan yang meruntuhkan. Kalau ada yang memuji karya kita ucapan alhamdulillah dan terima kasih. Kalau ada kritikan yang agak pedas kita ucapkan juga terima kasih. Kerana setiap pembaca berhak membuat kritikan.

Satu lagi, dalam bidang penulisan ini kita harus bersedia menerima 10 kali kegagalan sebelum mencapai satu kejayaan.

Selasa, Februari 01, 2005

KONGSI PENGALAMAN MENULIS



Saya mula menulis secara aktif pada tahun 1990. Cerpen pertama berjudul TUK NGAH tersiar di ruangan sastera Utusan Zaman (Sekarang Mingguan Jawi) pada 11 November 1990. Punyalah bahagianya hati saya pada hari itu sehingga akhbar tersebut saya beli sebanyak 5 naskah.

Setelah cerpen saya berjaya menembusi ruangan sastera akhbar tersebut saya semakin yakin dan aktif menulis dan selalu juga mendapat tempat di akhbar jawi itu. Setahun kemudian iaitu pada tahun 1991 novel pertama saya berjaya diterbitkan.

Pengalaman pertama kali melihat cerpen tersiar di ruangan sastera akhbar Utusan Jawi dan pengalaman melihat novel sulung diterbitkan itulah yang paling tidak dapat dilupakan.

Begitulah pengalaman saya sejak bergiat di bidang penulisan yang penuh dengan dugaan dan memerlukan banyak kesabaran ini. Seperti penulis yang lain, ada detik-detik yang melukakan perasaan dan ada pula detik-detik yang amat membahagiakan. Kesemua pengalaman suka duka tersebut akan saya simpan dalam diari ingatan semoga ada manfaatnya dalam mengharungi dunia penulisan yang saya minati ini.

Sebenarnya saya telah lama menyimpan cita-cita untuk menulis novel. Kalau tidak mampu menulis novel yang berat dan tebal, dapat menghasilkan novel kanak-kanak pun jadilah. Begitu hasrat hati saya. dan hasrat tersebut tersimpan beberapa lama sehingga menjelang tahun 1991.

Pada tahun itu juga berlaku satu lagi detik yang paling membahagiakan hati saya apabila cerpen “ BEGITU KEHENDAK TUHAN” memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Yayasan Pelajaran Islam. Itulah sayembara kali pertama saya menangi.

Kerana itu tahun 1990 dan 1991 merupakan detik yang memberansangkan saya untuk terus menghasilkan karya dengan bersungguh-sungguh. Antara mereka yang telah memberi bimbingan serta galakan kepada saya diperingkat awal menulis ialah Pak Matlob, guru pertama saya di bidang penulisan, dan Ghazali Ngah Azia penulis yang mula-mula saya kenali ketika mula menceburkian diri di bidang penulisan.

Saya mengenali Pak Matlob ketika beliau memimpin ruangan taman sains di Utusan Pelajar. Kerana minat membaca karya ahli kelab sains ruangan tersebut saya mengenali beberapa nama antaranya Ghazali Ngah Azia, Ismail Sarbini, Shaidan Mohd Noh (sekadar menyebut beberapa nama).

Walaupun minat menulis bermula di alam persekolahan namun menulis secara aktif hanya pada pada tahun 1990.Minat menulis itu timbul semula di dada saya bila Prof. Rahman Shaari menyelenggarakan antologi puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertajuk “ JIKA KAU RINDU”. Pihak DBP mengubungi saya supaya memberi kebenaran memuatkan tiga buah sajak hasil karya saya dalam antologi tersebut.

Kemudian saudara Ghazali Ngah Azia pula menghubungi saya melalui surat meminta persetujuan untuk memuatkan beberapa buah cerita sains yang pernah tersiar dalam Utusan Pelajar yang saya tulis ketika berada dalam tingkatan lima, untuk dimuatkan dalam antologi cerpen bersama yang beliau selengarakan. Reaksi saya kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan. Tambahan pula memang saya berasa satu penghormatan bila ada pihak lain yang sudi membukukan karya saya. Maka timbul semangat untuk menulis secara aktif. Lalu saya beranikan diri mengirimkan karya ke surat kabar.

Seperti yang saya katakan di awal tadi saya telah lama ingin menghasilkan novel, peluang itu terbuka bila sdr Ghazali Ngah Azia menghubungi saya melalui surat menyuruh saya menulis cerita kanak-kanak setebal kira-kira 100 halaman. Tetapi kata saya, tidak tahu bagaimana hendak memulakan menulis novel.

“ Saudara pernah menulis cerita kanak-kanak. Contohnya cerita terbang bersama kawan yang mengesahkan rintihan seekor burung yang terkurung dalam sangkar. Cuba panjangkan cerita itu hingga jadi sebuah novel,” Kata Ghazali Ngah Azia dalam suratnya.

Atas cadangan serta galakan itu maka saya pun memulakan penulisan novel yang pertama. Tetapi timbul beberapa masalah mengenai watak dan cara hendak memanjangkan cerita.

Ghazali Ngah Azia mencadangkan supaya saya menulis watak mereka yang paling rapat dalam kehidupan saya. Lalu saya jadikan anak-anak saya sebagai watak dalam cerita. Nama-nama watak dalam novel pertama saya seperti Nor Faizin, Shukri dan Shakirin adalah nama anak-anak saya.


Untuk memanjangkan cerita dari satu bab ke satu bab saya mendapat tunjuk ajar dari Saudara Mokhtar Haji Razali bekas Editor Utusan Publications.

Menurut saudara Mokhtar menulis buku cerita kanak-kanak tidak seperti menulis novel bacaan orang dewasa. Ayatnya mesti rengkas padat dan mudah difahami oleh kanak-kanak yang membacanya. Beliau memberikan saya beberapa buah buku untuk dijadikan contoh.

“ Lijat buku ini,” kata beliau sambil membuKa bab pertama buku cerita kanak-kanak itu. “ Bab pertamna merupa daya tarikan kepada kanak-kanak untuk terus membacanya. Jika kita berjaya menarik perhatian maka mereka akan terus membaca bab berikutnya. Oleh kerana itu bab pertama cukup kalau kita ceritaKan latar belakang, watak watak dan persoalan cerita sahaja. Tidak perlu panjang panjang. dua ataU tiga muka surat pun sudah memadai,”

“ Sebelum penutup bab pertama kita tuliskan persoalan pokok ceritanya bertujuan menimbulkan perasaan ingin tahu kepada kanak-kanak yang membacanya. Di akhir bab kedua pula kita timbulkan lagi persoalan yang boleh menimbulkan persoalan yang baru. Kemudian di bab ketiga pula baru ditemukan jawapan kepada persoalan cerita di bab kedua tadi. Tetapi persoalan pokok cerita masih belum selesai. Begitulah pada bab seterusnya…”

Saya mendengar tunjuk ajarnya itu dengan penuh minat. Tambahan pula sebelum itu saya tidak pernah menghadiri mana-mana bengkel atau kursus penulisan. Bila ada orang yang sudi beri tunjuk ajar sudah tentu peluang itu tidak saya lepaskan. Sekarang sdr Mokhtar tidak ada lagi di Utusan. Tempatnya diganti oleh Puan Nor Azaz Aziz.

Di Dewan Bahasa dan Pustaka pula dapat tunjuk ajar dari Encik Ali Majod dan Talib Samad yang ketika itu masih bertugas dengan DBP. Bila ada kursus atau bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) atau Dewan Bahasa Dan Pustaka atau sebagainya saya menghadirinya.

Pernah hadir dalam bengkel yang dibimbing oleh arwah Dr Othman Puteh, SN Dato’ Abdullah Hussain, SN Othman Kelantan, Mohd Salleh Rahamad, Puan Nor Azaz Aziz, Puan Sri Diah, Prof Wan Abu Bakar, Puan Mahaya Yassin, Puan Nisah Haron dan Cik Siti Jasmina Ibrahim.

Ya , saya akan terus belajar serta menimba pengalaman dari “guru-guru” sepanjang hayat….

BUKU PERTAMA

Inilah buku pertama

Atas cadangan Wattan, Ain dan beberapa kenalan blog ingin saya berkongsi pengalaman menulis buku. bukan nak mengajar cuma berkongsi pengalaman.

Ahad, Januari 30, 2005

BETAPA BERAT BAHU MEMIKUL

Ramai penonton yang sebak dan mengalirkan air mata semasa menonton satu rancangan astro yang dihoskan oleh anita.

Dalam rancangan tersebut beberapa keluarga yang kurang bernasib baik atau berada di bawah paras kemiskinan dibawa ke stadio untuk menceritakan keperitan hidup yang mereka alami supaya dapat berkongsi kesedihan dengan penonton.

Ada sebuah keluarga yang mempunyai 8 orang anak, tiga di antaranya cacat tulang belakang terpaksa hidup dalam serba kepayahan kerana si ayah yang berkerja sebagai pembantu mekanik Cuma mendapat upah RM 100.00 satu minggu atau RM 400.00 satu bulan.

Dengan pendapatan sebanyak itulah digunakan untuk membeli makanan serta perbelanjaan anak-anak ke sekolah yang tambang bas sahaja RM 30.00 seorang sebulan.
Akibat kesusahan hidup yang mereka alami ada diantara anak yang tidak dapat bersekolah.

Ramai yang memuji rancangan tersebut kerana mengajar masyarakat menjadi penyayang. Dan tidak dapat dinafikan di luar sana masih ramai yang senasib atau mungkin lebih susah dari mereka.

Di akhir rancangan pihak penaja menghulurkan bantuan berupa wang tunai RM5,000.00 termasuk peralatan elektrik bernilai RM 2,000.00 kepada setiap keluarga. Kita percaya bantuan tersebut dapat juga merengankan kesusahan hidup yang dialamai oleh keluarga yang malang itu.

Timbul persoalan, selepas ini apa akan jadi kepada keluarga tersebut?. Mungkin wang sebanyak lima ribu itu boleh habis dalam masa beberapa bulan sahaja. Dan selepas itu apakah keluarga tersebut akan terus dihimpit kesusahan semula?. Bagaimana pula dengan anak-anak mereka yang cacat tulang belakang. Kata si ayah, pihak hospital menganggarkan perbelanjaan pembedahan berjumlah RM30,000.00 seorang. Apakah kanak-kanak itu akan terus dibiarkan cacat seumur hidup?.

Timbul persoalan lagi, apa tindakan pihak yayasan basmi kemiskian yang pegawainya turut berada di stadio ketika rancangan tersebut berlansung. Semasa ditemuramah ramai yang mengharapkan pegawai itu akan memberitahu penonton usaha yang akan mereka ambil untuk membantu keluarga yang malang itu.

Bagaimana pula dengan kutipan wang zakat yang jumlahnya puluhan juta ringgit setiap tahun. Apakah wang itu tidak boleh disalurkan kepada insan yang malang itu?.

Baru-baru ini rakyat negara kita yang prihatin menghulurkan derma untuk mangsa tsunami yang jumlahnya mencecah puluhan juta ringgit. Alangkah baiknya jika derma itu juga disalurkan kepada rakyat negara kita yang perlukan bantuan.

Pepatah ada mengatakan, lebih baik memberi sebatang pancing dari memberi seekor ikan. Dengan adanya pancing membolehkan seseorang itu mendapatkan ikan.

Alangkah baiknya kalau si ayah yang ada kemahiran dalam bidang makanik itu diberikan modal untuk membuka bengkel sendiri. Si ibu tunggal yang pandai menjahit diberikan modal untuk membuka kedai jahitan. Atau paling tidak diberikan modal untuk membuka warung untuk menjual nasi lemak.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bilakah agaknya kemiskinan akan berakhir?

Jumaat, Januari 28, 2005

Rasullullah dengan pelawak.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW ada seorang pelawak bernama Nuaiman Al- Ansary. Nabi sangat sayang kepadanya kerana telatahnya yang lucu serta menghiburkan. Selain dari berbakat sebagai pelawak, Nuaiman juga seorang pahlawan yang pernah ikut serta dalam Peperangan Badar.

Pada suatu hari datang seorang lelaki menunggang seekor unta hendak berjumpa dengan Rasullullah SAW. Unta itu ditambatkannya di luar masjid. Sedang lelaki itu asyik berbual dengan Rasullullah SAW maka pelawak Nuaiman pun datang. Dan seperti biasa Nuaiman sentiasa menjadi perhatian orang ramai kerana telatahnya yang melucukan.
Nuaiman tertarik melihat unta itu lalu orang ramai yang berada di luar masjid mengapi-apikannya.

“ Wahai Nuaiman, engkau adalah pelawak kesayangan Rasullullah saw. Cuba engkau sembelih unta itu dan nabi pasti akan membayar ganti ruginya,” kata orang ramai.
Maka dengan segala kelucuannya Nuaiman menyahut cabaran itu lalu menyembelih unta tersebut. Dagingnya dibahagikannya kepada orang ramai yang berada di sekitar masjid.
Tiba-tiba lelaki tuan punya unta keluar dari masjid lalu menjerit marah kerana unta kesayangannya sudah disembelih. Nuaiman berasa takut lalu lari menyembunyikan diri dalam sebuah kebun.

Nabi SAW menyuruh orang ramai mencari Nuaiman dan dibawa ke hadapan baginda.
“ Kenapa kamu sembelih unta itu?” tanya Nabi Muhammad SAW.

Dengan gaya yang melucukan Nuaiman pun menjawab,” Wahai Rasullullah SAW. Orang ramai yang menyuruh saya menyembelih unta itu. Mereka kata Nabi akan membayar ganti ruginya.”

Nabi Muhammad tersenyum melihat telatah Nuaiman. Baginda tidak marah sebaliknya membayar ganti rugi kepada tuan punya unta itu.
Pada suatu hari yang lain, sedang Nuaiman berjalan di sebuah pasar, dia tertarik bila melihat sejenis makanan lalu Nuaiman berfikir alangkah baiknya kalau makanan itu diberikan kepada Rasullullah SAW. Tetapi ketika itu dia tidak mempunyai duit untuk membelinya.

“ Boleh saya bawakan makanan ini kepada rasullullah saw dan saya akan bayar kemudian,” kata Nuaiman dan penjual makanan itu setuju.
Nuaiman menghadiahkan makanan itu kepada Rasullullah SAW. Sedang baginda menikmati makanan itu tiba-tiba penjual makanan datang menuntut bayarannya..
“ Wahai Nuaiman, bukankah kamu yang hadiahkan makanan ini?” tanya Rasullullah SAW.

“ Semasa berada di pasar tadi saya nampak lelaki ini menjual makanan yang sedap lalu saya bercadang hendak menghadiahkannya kepadamu. Tetapi duit saya tidak ada untuk membelinya. Lalu saya berjanji akan membayarnya kemudian,” jawab Nuaiman masih dengan gayanya yang melucukan.
Sekali lagi Nabi Muhammad SAW tersenyum lalu membayar harga makanan tersebut kepada lelaki itu.

Isnin, Januari 24, 2005

WAWANCARA (1)

Sepertimana yang telah dijanjikan pada jam 11 pagi tadi satu temuramah antara saya dengan tiga pelajar UPM telah diadakan di sebuah restoran di Seremban. Saya sengaja memilih tempat tersebut kerana lebih sesuai untuk berbual panjang sambil menikmati makanan. Namun tiga pelajar Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM itu lebih berminat menemuramah saya dari menikmati makanan yang dihidangkan. Saya juga tertarik dengan minat serta kesungguhan mereka terhadap kajian ilmiah yang sedang mereka jalankan.

Tiga pelajar tersebut memperkenalkan namanya sebagai Siti Rashidah Mandayar berasal dari Batu Pahat, Noraini Hassim dari Banting Selangor dan Siti Aishah Abd Rahim dari Batu Pahat. Siti Rashidah Mandayar dan Norani Hassim mengambil kursus B.A (Kesusasteraan Melayu) manakala Siti Aishah B.A (Bahasa & Linguistik Melayu).

Siti Rasidah Mandayar menumpukan kajian terhadap kumpulan Cerpen Kebenaran, Noraini pula banyak bertanya mengenai sebuah cerpen saya berjudul Tanah Adat yang terkumpul dalam antologi bersama Calar Mimpi manakala Siti Aishah banyak bertanya mengenai penglibatan saya dengan majalah internet Esastera.com.

Menurut Siti Rashidah Mandayar, dia memilih Kumpulan Cerpen Kebenaran kerana banyak menyentuh isu agama dan masyarakat.

“ Kalau kami kritik secara positif dan negatif Pak Latip tak marah?” tanya mereka.
“ Mana boleh marah sebab itu hak pembaca,” jawab saya.
Sebagai penulis saya menghargai setiap kritikan yang diberikan oleh pembaca. .

Malam tadi saya menerima berita dari seorang kawan dari Sabah mengatakan dalam satu bengkel penulisan yang dihadirinya buku saya Kumpulan Cerpen Kebenaran juga telah dijadikan bahan rujukan kepada peserta kursus tersebut. Kabarnya ada ura-ura hendak menjemput saya ke Sabah. Alhamdulillah

Khamis, Januari 20, 2005

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA KORBAN KEPADA SEMUA YANG SUDI BERKUNJUNG KE BLOG INI. JIKA ADA SALAH DAN SILAP HARAP MAAFKAN.

Khamis, Januari 13, 2005

PENGHARGAAN

Sebagai seorang penulis saat paling bahagia bila melihat karya diterbitkan atau dibukukan. Saat paling menyukakan hati bila mendapat royalti atau menang sayembara walau sekadar hadiah saguhati. Rupanya ada lagi saat paling membahagiakan dari itu semua bila karya dibuat kajian oleh pelajar universiti bagi memenuhi syarat graduat mereka.
Itulah perasaan saya hari ini setelah menerima kiriman pos laju dari seorang pelajar universiti yang tidak saya kenali menyatakan hasratnya memilih kumpulan Cerpen Kebenaran karya saya yang diterbitkan pada tahun 2001 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai kajian projek ilmiah kesusasteraan Melayu bagi memenuhi syaratnya bergraduat.
Bersama surat itu juga disertakan beberapa soalan bertulis mengenai biodata, penglibatan menulis cerpen khususnya isu-isu atau persoalan yang diterapkan dalam kumpulan cerpen kebenaran.
Mungkin bagi penulis yang lain perkara itu sudah biasa kerana sudah kerap kali dilakukan tetapi pada diri saya inilah pertama kali buku saya dibuat kajian oleh pelajar universiti dan saya anggap ini sebagai satu penghargaan di atas usaha saya menghasilkan kumpulan cerpen itu.
Lalu saya pun berjanji akan memberikan kerjasama dan berharap semoga pelajar itu akan mendapat kejayaan yang cemerlang. InsyaAllah.

Rabu, Januari 05, 2005

AZAM TAHUN BARU

AZAM
Tahun 2004 telah berlalu. Tahun 2005 sudah menjelma. Semoga tahun 2005 lebih baik dari tahun sebelumnya.

Mengimbas kembali sepanjang tahun 2004 memang banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan. Ada yang sedih dan ada yang gembira. Yang sedih itu semoga tidak berulang lagi kesedihannya manakala yang gembira itu biarlah berterusan kegembiraannya.

Dan biasanya setiap kali menyambut tahun baru, kita ada azam dan impian masing-masing. Tentulah yang elok-elok sahaja. Saya juga ada azam dan cita-cita untuk tahun 2005. Semoga dapat dilaksanakan.

Sebagai orang Islam saya berazam untuk membanyakkan amal ibadat. Sebagai seorang suami ingin terus hidup bahagia disamping isteri. Sebagai seorang ayah ingin melihat kejayaan anak-anak di bidang pelajaran dan kerjaya masing-masing. Dan sebagai seorang penulis saya berazam untuk terus menghasilkan karya.

Kejayaan paling mengembirakan hati saya pada tahun 2004 berjaya menulis dua buah novel
semoga kedua novel itu akan dapat diterbitkan pada tahun 2005 ini. InsyaAllah.

Lalu bagaimana pula dengan tahun 2005?. Saya berazam untuk mengulangi lagi kejayaan itu. InsyaAllah.

Sabtu, Januari 01, 2005

SELAMAT TAHUN BARU

UCAP SELAMAT

SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT TAHUN BARU KEPADA SEMUA PENGUNJUNG LAMAN WEB INI. KALAU ADA SALAH DAN SILAP HARAP MAAFKAN. SEMOGA TAHUN 2005 LEBIH MENGERATKAN LAGI PERSAHABATAN YANG TERJALIN ANTARA KITA.

Jumaat, Disember 31, 2004

HAIKU

TSUNAMI

Taufan menderu
Lenyap sekelip mata
Pantai berubah

Ombak bergulung
Paksi bumi bergegar
Kampung tenggelam

Bangunan runtuh
Mayat bergelimpangan

Tsunami dahsyat

abdullatip
30.12.2004.

Rabu, Disember 29, 2004

TSUNAMI YANG DAHSYAT

TSUNAMI berupa gempa bumi yang terkuat dalam tempoh 40 tahun. Gegarannya 9.0 pada skala Richter berlaku di kawasan seluas 250 kilometer ke barat daya Sumatera mencetuskan ombak setinggi 10 meter, menyebabkan bumi bergegar pada paksinya dan peta kawasan tersebut berubah.
Akibat bencana alam yang paling dahsyat itu lebih 8,523 orang dilaporkan maut di India termasuk kira-kira 4,000 orang di Pulau-Pulau andaman.Sekitar 4,500 orang terbunuh di negeri Tamil Nadu. Di Indonesia pula, sebanyak 27,174 orang disahkan maut akibat gempa bumi tersebut di mana ombak-ombak besar telah `menelan' kampung-kampung yang berada tepi pantai. Di Thailand lebih 700 pelancong asing dipercayai terkorban. Di negara kita sekurang-kurangnya 43 orang terkorban di Pulau Pinang. Dan berita terbaru mengatakan jumlah yang maut akibat TSUNAMI lebih 55,000 orang sebahagian besarnya kanak-kanak, wanita dan orang tua
Bencana itu berlaku pada pagi hari Ahad 26.12.2004. Gegarannya sampai ke negara kita termasuk di sekitar Lembah Kelang. Kebetulan pagi itu saya, isteri, anak dan anak sedara menginap di Hotel Singgahsana Petaling Jaya kerana pada 25 haribulan menghadiri majlis penyampaian hadiah eSastera.com atau HESCOM2004. Pada malamnya kami menginap di hotel tersebut.
Selepas bersarapan pagi kami masuk ke bilik hotel. Saya dan isteri berdiri di tepi tingkap melihat panorama waktu pagi. Tiba-tiba saya merasakan bilik itu bergoyang seolah dibuai. Isteri saya turut berasa hairan kerana gegaran itu menyebabkan dia berasa pening kepala. Saya mengajak isteri keluar dan pergi ke bilik sebelah di mana anak kami menginap. Mereka juga berasa hairan kerana bilik mereka juga bergoyang sehingga cermin muka yang tersangkut pada dinding bilik itu terbuai.
Apabila gegaran itu berhenti kami berasa tenang dan menganggap itu Cuma sesuatu fenomena yang pelik sahaja. Kami hanya mengetahui berlakunya gempa bumi apabila sampai di rumah pada sebelah malamnya apabila mendengar berita di tv.
Dari pengalaman tersebut tidak hairanlah apabila berlakunya gempa bumi ramai yang menjadi mangsa. Ia berlaku secara tiba-tiba dan dalam masa 1 hingga 2 minit tidak ada yang sempat dilakukan untuk menyelamatkan diri tambahan pula tidak ada amaran awal.
Cubalah bayangkan kita berada dalam rumah, tiba-tiba rumah itu bergegar dan runtuh. Dalam masa 2 minit tentulah tidak sempat menyelamatkan diri tambahan pula kalau berada dalam bangunan yang bertingkat.
Sesungguhnya pengalaman merasai gegaran gempa bumi TSUNAMI di Hotel Singgahsana itu pasti tidak akan saya lupakan.

Ahad, Disember 26, 2004

KEPUTUSAN HESCOM2004

PUTUSAN HADIAH eSASTERA.COM 2004(Penaja Utama : Talam Corporation)

Di sini disenaraikan nama-mana pemenang empat hadiah* yang disampaikan di malam Hes.com 2003:

1. Anugerah Penyair Alam Siber 2004 (Apas 2004)

Penyandang Gelaran "Penyair Alam Siber 2004" Hadiah Wang Tunai RM2003.00, Sijil, dan Cenderamata*
Nimoiz T.Y.

Tempat Kedua Hadiah Wang Tunai RM100.00, Sijil dan Cenderamata*
Abdullah Jones (Sajak "Kembara Diri")

Tempat Ketiga Hadiah Wang Tunai RM50.00, Sijil dan Cenderamata*
Anbakri

7 Hadiah Sagu Hati Hadiah Wang Tunai RM50.00, Sijil dan Cenderamata setiap satu*


1. Dahrie
2. Fahd Razy
3. Saleha 4. Rudy Blueikari
5. Raja Rajeswari
6. Elmi Zulkarnain
7. Ghazali Lateh

2. Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2003 (Asjas 2004)

Hadiah Wang Tunai RM1000.00, Sijil, dan Cenderamata
Arisel BA

Tempat Kedua Hadiah Wang Tunai RM300.00, Sijil, dan Cenderamata
Alaieffa

Tempat Ketiga Hadiah Wang Tunai RM200.00, Sijil, dan Cenderamata*
Ahkarim)

3. Anugerah Cereka Alam Siber 2004 (Asjas 2004)

Hadiah Wang Tunai RM1000.00, Sijil, dan Cenderamata
Arisel BA

Tempat Kedua Hadiah Wang Tunai RM300.00, Sijil, dan Cenderamata
Ghafirah Idris

Tempat Ketiga Hadiah Wang Tunai RM50.00, Sijil, dan Cenderamata*
Fahd Razy)

4. Anugerah Novelis Alam Siber 2004 (Asjas 2004)

Hadiah Wang Tunai RM1000.00, Sijil, dan Cenderamata
Nimoiz T.Y

Tempat Kedua Hadiah Wang Tunai RM100.00, Sijil, dan Cenderamata
Muhammad Zakir (RM100)

Tempat Ketiga Hadiah Wang Tunai RM50.00, Sijil, dan Cenderamata*
Abdullatip

5. Anugerah Haiku Melayu (2004)

Hadiah Wang Tunai YN 2000 yen Sijil, dan Cenderamata
Arisel BA

Tempat Kedua Hadiah Wang Tunai YN1,000.00 Sijil, dan Cenderamata
Rudy Bluehikari

Tempat Ketiga Hadiah Wang Tunai YN 1,000.00, Sijil, dan Cenderamata*
Abdullatip

2 Hadiah Sagu Hati

Airmas
Penggiran

6. Anugerah Sajak Multimedia/Interaktif (2004)

Hadiah Wang Tunai RM600.00, Sijil, dan Cenderamata

Airmas

Hadiah Wang Tunai RM400.00, Sijil, dan Cenderamata

Dipinggiran

3. Sayembara "Pada Talian" 2003/04Hadiah Wang Tunai RM100.00, Sijil dan Cenderamata

Di sepanjang tahun 2003 dan 2004, esastera.com telah mengadakan empat sayembara khas untuk sambutan tertentu. Pemenang-pemenangnya adalah seperti yang berikut:

(a) Sayembara Menulis Sajak Puasa & Raya 2003
1. Airmas ("Selamat Hari Raya Abah")

2. Dahri Zakaria ("Dan Pohon-pohon Pun Sujud")
3. Abdullatip ("Menuai Pahala Ramadhan")
4. Ummu Hani ("Kg. Ramadhan")
5. Mosna ("Memasuki Sekolah Ramadhan")

(b) Sayembara Menulis Sajak Ramadhan 2004
1. Raja Rajeswari ("Bulan Barakah")

2. Zainallasim ("Jurang")
3. Rudy Bluehikari ("Penghujung Ramadhan")

(c) Sayembara Menulis Puisi Pilihan Raya
1. AbdullahJones ("Kronologi Pengundi")

2. Nilamsuri ("Di Medan Pertembungan Ini, Watanku Bersama Kita Saksikan")
3. Tintasukma ("Lelaki Berbaju Biru")

(d) Sayembara Menulis Pantun Merdeka
1. Ramy

2. Abdullatip
3. Dipinggiran
---------------------------------------------*Hadiah hanya diberi kepada mereka yang menghadiri majlis penyampaian hadiah pada 25.12.2004.

Sabtu, Disember 25, 2004

PENYAMPAIAN HADIAH ESASTERA.COM2004


Hari ini (25.12.2004) pada jam 8.00 malam bertempat di Hotel Singgahsana Petaling Jaya akan berlansung Majlis Penyampaian Hadiah eSastera.com 2004 atau HESCOM2004. Majlis akan dirasmikan oleh Puan Zurinah Hassan Pemenang S.E.A Write Awards 2004.
Insya-Allah, saya bersama isteri dan anak-anak akan hadir. Kami menaiki kereta dari Jelebu agak awal kerana takut tersesat jalan tambahan pula saya belum pernah sampai ke hotel tersebut.
Pada saya paling menariknya majlis ini kerana dapat bertemu dengan mereka yang selama ini Cuma bertegur sapa di alam maya sahaja. Ramai di antara kami yang belum pernah bertemu di alam nyata.

Seramai Kira-kira 66 orang ahli esastera yang datang dari jauh dan dekat akan hadir. Ada yang datang dari negara Brunei Darussalam, Amerika Syarikat dan Singapura.

Sebelum penyampaian hadiah akan diadakan deklamasi puisi oleh ahli-ahli esastera.com.

Antara tokoh Sasterawan tempatan yang dijemput hadir selain Puan Zurina Hasan ialah Sutung Umar dan Dinsman.

Mereka yang berminat untuk hadir bolehlah menghubungi Profesr Dr Ir Wan Abu Bakar (Drirwan) no telefon 019 2680086.

Selasa, Disember 21, 2004

HESCOM2004

loop=infinitePENDAHULUAN

Hadiah esastera.com (Hescom) pertama kali diadakan pada tahun 2003 berdasarkan karya yang diterbitkan di majalah elektronik sastera "esastera.com" sepanjang tahun 2002.

Hescom 2003 itu telah menawarkan dua anugerah utama, iaitu Anugerah Penyair Alam Siber (Hadiah utama RM2003.00) dan Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (Hadiah utama RM1000). Hescom 2003 ditaja oleh Tan Sri Dato' Dr. Chan Ah Chye dari Talam Corporation.

A : Hadiah eSastera.com 2004 (Hescom 2004) -- Butir-butir Augerah

Hadiah eSastera.com 2004 (Hescom 2004) adalah untuk menghargai karya yang diterbitkan di majalah esastera.com sepanjang tahun 2003. Hadiah ini mengandungi 7 kategori yang berikut:

1. Anugerah Penyair Alam Siber 2004 (Apas 2004)
2. Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2004 (Asjas 2004)
3. Anugerah Cerpenis Alam Siber 2004 (Acas 2004) - Ditukar kepada Anugerah Cereka (Cerpen/Skrip Drama) Alam Siber
4. Anugerah Novelis Alam Siber 2004 (Anas 2004)
5. Anugerah Sajak Multimedia/Interaktif Alam Siber 2004 (Asmi 2004**)
6. Anugerah Haiku Melayu Alam Siber 2004 (Ahmas 2004)
7. Anugerah Haiku Jenaka Alam Siber 2004 (Ahjas 2004) (Dibatalkan)

Pemilihan Pemenang Pemenang bagi setiap kategori akan dipilih berasaskan tiga (3) karya pilihannya yang disiarkan di majalah e-sastera sepanjang tahun 2003.

Hadiah 1. Untuk Apas 2004: hadiah utama ialah wang RM2004.00, cenderamata, dan sijil. Hadiah lain akan ditentukan kemudian.

2. Untuk Asjas 2004, Acas 2004, Anas 2004, dan Asmi 2004: hadiah utama ialah wang RM1000.00, cenderamata, dan sijil. Hadiah lain akan ditentukan kemudian.

3. Untuk Ahmas 2004 dan Ahjas 2004: hadiah utama ialah wang Yen2004, cenderamata, dan sijil. Hadiah ke-2: wang Yen1000, cenderamata, dan sijil. Hadiah Ke-3: wang Yen500, cenderamata, dan sijil. 5 Hadiah Sagu Hati, setiap satu: Yen100, cenderamata, dan sijil. (Penganjur sedang mencari tajaan hadiah sampingan untuk mengiringi hadiah wang Yen.)

Syarat Penting Penulis perlu menyiarkan biodata lengkap masing-masing untuk melayakkan karya mereka dipertimbangkan. Hanya penulis yang masih aktif di esastera.com pada masa penilian dilakukan yang layak dipertimbangkan untuk menerima mana-mana anugerah.

Majlis Penyampaian Anugerah
: ASMI - RM600, RM400
: AHMAS - Yen2000, Yen1000, Yen1000
: ANAS RM1000
: ACAS RM1000
: ASJAS RM1000
: APAS RM2004 dan 5 saguhati

ASMI = Anugerah Sajak Multimedia/Interaktif
AHMAS = Anugerah Haiku Melayu Alam Siber
ANAS = Anugerah Novelis ALam Siber
ACAS = Anugerah Cereka Alam SiberASJAS = Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (sumbangan United Akrab Sdn Bhd)
APAS = Anugerah Penyair Alam Siber



Jumaat, Disember 17, 2004

ASSALAMUALAIKUM

Assalamualaikum dan selamat pagi hari Jumaat. semoga semua sihat dan gembira. hari ini bermula Hari Puisi Nasional di Shah Alam. malam ini ada persembahan puisi oleh ahli-ahli esastera di muzium negara. siapa yang ada kelapangan elok hadir.

Isnin, Disember 13, 2004

DULU DAN SEKARANG



Musim cuti sekolah ramai kanak-kanak berkhatan atau masuk jawi.
Dulu di zaman saya dikhatankan oleh Tok Mudim secara tradisional. Di sepit dengan dua bilah buluh atau kayu kecil kemudian dipotong dengan pisau pencukur.Tetapi sekarang dikhatankan oleh Doktor atau Pembantu Perubatan. Mereka gunakan peralatan moden.

Dulu sebelum kena "sunat" terpaksa mandi atau berendam dalam sungai sehingga sejuk menggigil dan kecut untuk mengurangkan rasa sakit dan mengurangkan darah keluar banyak. Sekarang tak perlu berendam lagi sebab dah ada ubat pelali.

Dulu selepas dipotong tempat luka dibubuh serbuk kopi untuk mengeringkan darahnya. Akibatnya bila darah kering serbuk kopi itu melekat pada tempat luka dan bila nak ditanggalkan punyalah seksanya.
Tetapi sekarang tempat luka dijahit dan yang terbaru digunakan leser menyebabkan luka cepat sembuh dan darah tidak banyak keluar.Dulu berkhatan sesuatu yang amat menyakitkan tetapi sekarang kanak-kanak boleh membaca komik semasa berkhatan.

Dalam satu majlis berkhatan, saya sempat berbual dengan Tok Mudim moden (dia seorang doktor swasta) Katanya sekarang ramai di kalangan mereka yang bukan islam minta dikhatankan kerana menyedari berkhatan baik untuk kesihatan dan kepuasan sex.
Mereka yang tak berkhatan dikatakan "kulup" dan kotoran melekat pada lapisan kulup itu. Katanya lagi, ada pula yang tak berkhatan kepalanya tak lepas keluar tertutup oleh kulup, keadaannya betul-betul macam kepala labi-labi. (kata doktor itu).

Sebenarnya kaum lelaki dilahirkan dengan keistimewaan dan kekurangan masing-masing. Semasa dikhatankan Tok Mudim sudah tahu kejantanan seseorang. Ada yang nampak garang tetapi ada juga yang macam itik pulang petang.
Ada pula mengatakan lelaki yang bersunat cara tradisional itu ayamnya lebih gagah dari yang bersunat cara moden. Itu saya tak pasti sebab tak pernah buat perbandingan. Tapi kalau saya masih ada anak lelaki yang belum bersunat, saya pilih cara moden sebab itu lebih selamat. kasihan tengok kena potong tanpa ubat pelali dan tanpa dijahit lukanya.

Kaum lelaki beruntung kerana merasa sakit bersunat cuma sekali saja berbanding kaum wanita yang terpaksa bersalin nyawa setiap kali melahirkan.Kalau ditanya pada lelaki sanggup di sunat sekali lagi?. Tentu jawapannya tak sanggup. Tapi kalau ditanya pada kaum ibu apakah sanggup melahirkan anak lagi?. Mereka akan menjawab sanggup.

Itulah salah satu kelebihan dan keistimewaan kaum wanita. Saya turut mengaguminya.

Khamis, Disember 09, 2004

TAHNIAH

Tahniah diucapkan kepada Pemenang Anugerah Sasterawan Negeri Sembilan 2004.

1. Mohd Ghazali bin Tocheh

2. Nisah Haron

3. Siti Jasmina Ibrahim

4. Haniza binti Hashim

5. Zaid bin Haji Md Saman.

ANUGERAH SASTERAWAN NEGERI 2004

ANUGERAH SASTERAWAN NEGERI 2004

Malam ini 9hb Disember 2004, bertempat di Hotel Royal Adelphi, Seremban, pada jam 8.00 malam akan berlansung Majlis Anugerah Ilmuan dan Sasterawan Negeri Sembilan 2004. Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Selain penyampaian Hadiah Anugerah Penulis Remaja 2004 akan disampaikan juga Hadiah Pertandingan Perpustakaan Keluarga, Hadiah Anugerah Pusat Sumber Cemerlang dan Hadiah Anugerah NILAM 2004.

Majlis ini besar artinya bagi para penulis Negeri Sembilan kerana inilah pertama kali majlis seperti itu diadakan. Menurut Puan Mahaya Yassin, Setiausaha Persatuan Penulis Negeri Sembilan, PEN telah lama memperjuangkan anugerah seperti itu kepada para penulis.

Menurut Puan Mahaya lagi, seramai 50 orang penulis di Negeri Sembilan telah dikenal pasti. Dari jumlah tersebut 10 nama-nama mereka telah dicalunkan untuk menerima anugerah tersebut. Dari jumlah itu hanya 5 orang sahaja yang terpilih untuk menerimanya.

Nama-nama mereka hanya akan diumumkan pada malam ini. Orang ramai dijemput hadir.

..

Rabu, Disember 08, 2004

TAHNIAH BUAT SARINA

LOOP=INFINITE>

UCAPAN TAHNIAH

MALAN tadi saya sempat mengikuti wawancara Linda Onn dengan dua orang tetamu mengenai percintaan gadis Melayu dengan lelaki Mat Saleh.

Topik yang dibincangkan itu memang menarik kerana perkara itu telah sedang dan akan terus berlaku malah ramai gadis Melayu bercinta dan berkahwin dengan lelaki Mat Saleh. Namun ada juga diantara mereka sekadar untuk bersuka-suka atau beralih rasa?. Benarkah bercinta dengan lelaki Mat Saleh itu membanggakan. Setelah berlansungnya percintaan itu apakah nasib si gadis. Ditakdirkan tiada jodoh dengan lelaki Mat Saleh, apakah gadis itu boleh berubah seleranya kepada lelaki Melayu?. hehe.

Semasa mengikuti wawancara itu saya teringat satu ketika saya menyertai rombongan ke Sumatera Barat, Minangkabau, saya juga melihat ada gadis-gadis tempatan di sana yang menemani lelaki Mat Saleh. Seperti di Malaysia , mereka kelihatan bangga.

Saya juga seperti Sarina Mohd Som, bersangka baik bila melihat gadis Melayu berjalan sambil berpegangan tangan dengan lelaki Mat Saleh. Moga niat mereka baik. Tetapi...alangkah kasihannya gadis itu kalau sekadar satu permainan.

Berbalik kepada wawancara di Astro Ria malam tadi, Saya tidak menyangka salah seorang tetamu Linda Onn ialah SARINA MOHD SOM, orang Kuala Klawang, Wartawan Karangkraf dan pernah berkunjung ke bloger ini.

Kerana tidak sempat mengikuti wawancara itu dari awal saya tertanya-tanya pada mulanya siapakah wanita bertudung, berkulit cerah dan berwajah ceria bersama Linda On itu?. Saya tertarik dengan cara dia menjawab. Nampak tenang dan meyakinkan. (Mungkin itulah kelebihan seorang wartawan).

Apabila nama SARINA MOHD SOM muncul di bawah gambarnya ,Lalu saya teringat nama itu pernah muncul di bloger ini. SARINA memperkenalkan dirinya, mengaku pernah menjadi anak didik Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Pernah mendapat bimbingan penulisan dari Nisah, Ghazali dan Zaid. Saya turut berasa bangga dengan minatnya di bidang kewartawanan.

Melalui entri ini saya ingin mengucapkan tahniah buat SARINA MOHD SOM yang muncul dalam Astro Ria malam tadi. Mungkin orang Kuala Klawang yang ada Astro juga turut mengikuti wawancara tersebut.
Mereka pasti turut berasa bangga.

Semoga SARINA MOHD SOM terus maju jaya dalam kerjayanya. Tahniah.

Sabtu, Disember 04, 2004

NIKMAT SIHAT

Bila sakit barulah tahu betapa nikmatnya sihat. Semasa sihat makan berselera, tidur nyenyak. Fikiran tenang. Tetapi bila sakit, makan tidak berselera. Tidur tidak nyenyak dan fikiran tidak tenang. Alangkah nikmatnya sihat…
Kerana itu barangkali manusia diuji dengan sakit supaya sedar nikmat sihat yang dikurniakan oleh Allah swt.
Itulah yang saya rasakan. Sehari dua ini badan tidak sihat. Tekak sakit, kepala sakit dan makan tidak berselera. Mungkin salah saya juga. Selepas sebulan berpuasa, bila hari raya makan lemang, rendang, kuih-kuih dan minum air batu tanpa berkira.
Kata isteri saya, saya jarang demam tapi bila kena demam macam budak-budak..hehe.
Lalu saya teringat kira-kira setahun lalu saya kena demam panas. Ketika itu saya berada di rumah seseorang. Semalaman saya tidak boleh tidur. Hendak kejutkan tuan rumah tak sampai hati takut mengganggu tidur mereka. Akhirnya saya berpangku di katil sampai pagi.
Hari ini masih demam. Tekak masih sakit. Kepala sakit. Badan panas. Walaupun sudah telan panadol tapi kebah sekejap saja selepas itu demam semula.
Saya teringat kata seorang kawan kalau setakat makan panadol saja demam tak sembuh. Kena makan anti biotik untuk membunuh kuman yang menyebabkan demam.
Nampaknya saya akan ke klinik untuk mendapat rawatan.
Macam tahun lepas bila kena sekali suntikan dan telan beberapa biji ubat yan dibekalkan oleh doktor maka demam pun kebah dan sihat. insyaAllah.

Isnin, November 29, 2004

TRAGEDI


Semasa kita memandu pada tangan kita terletaknya keselamatan diri sendiri dan mereka yang berada dalam kenderaan tersebut. Jika berlaku kecuaian, kesilapan walau sekejap boleh meragut nyawa.
Di Kuala Klawang, keluarga mangsa kemalangan maut dI Kilometer 59, Jalan Lipis masih meratapi kematian mereka yang disayangi. Kegembiraan yang diharapkan berakhir dengan tragedi apabila rombongan menghantar pengantin terlibat dengan kemalangan di jalan raya yang meragut 4 nyawa, 30 orang lagi cedera, 17 daripadanya parah.
Mungkin ada yang mengatakan itu adalah takdir, tetapi apakah keluarga mangsa dapat memaafkan pemandu bas tersebut yang dikatakan cuai ketika memandu?
Menurut ceritanya, bas yang mereka naiki cuba memotong sebuah treler tetapi tidak lepas kerana ada sebuah kereta datang dari arah hadapan. Pemandu cuba mengelakkan bas bertembung dengan kereta itu tetapi merempuh belakangf treler tersebut.
Akibatnya dinding sebelah kiri bas terkopak, ada penumpang yang tersepit dan terkena besi menyebabkan ada yang terbunuh dan cedera parah.
Kalaulah pemandu bas tersebut dapat menahan diri dari memotong treler tersebut mungkin kemalangan itu tidak berlaku. Itulah akibat kesilapan yang dilakukan hanya dalam beberapa detik berakhir dengan tragedi berdarah.
Semalam orang ramai di jelebu berebut membeli surat kabar hendak membaca berita tersebut. walau nahas itu telah diketahui lebih awal namun orang ramai tetap ingin menatap beritanya dalam surat kabar.
Ada yg hantar sms pada saya bertanya adakah saudara atau kenalan yg terlibat. saya jawab tak ada. Tetapi turut berasa sedih dan simpati. Semua jenazah selamat disemadikan pada malam kelmarin. Majlis pengantin bertukar tahlil dan doa arwah. al fatihah.

Khamis, November 25, 2004

DARI JENDELA BLOGER

DARI JENDELA BLOGER

Sri Diah: delete? mesti ada alasan tu... badan pak agus nampak susut. tak sihatkah dia? boleh saya dpt no tel mereka?

Sdr Sri Diah,
Bloger ini turut membantu menyemarakkan semangat saya untuk menulis. Kerana itu barangkali Hadiah Paling Berharga dapat saya siapkan dalam masa 55 hari bermula pada dan siap pada hari ini 25.11.2004. Novel itu menandungi 237 muka surat. Kerana manuskrip HPB akan dicetak dan diterbitkan maka saya terpaksa delete novel bersiri itu atas nasihat kawan-kawan. InsyaAllah, saya akan tulis lagi novel bersiri di sini..

Pak Agus Salim Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) memang tidak berapa sihat sejak akhir-akhir ini. Beliau pernah dimasukkan ke hospital beberapa bulan. Memang benar badan beliau nampak susut. Namun semangat menulis masih kuat. Pak Agus berjaya juga menyiapkan KARISMA PEN yang mengandungi biodata penulis-penulis Negeri Sembilan. Dan akan terbit tidak lama lagi. Isteri Pak Agus Salim Puan Mahaya Yassin baru-baru ini telah bersara dan kini menumpukan sepenuh masa menjaga suami, menulis dan berpersatuan. Kita doakan kesihatan mereka..

mely: meh arrr dtg Port klg ayhda... meh arrrr
mely: ceh.. ner plak ly lupakn ayahda nie... cuma 2-3 ari nie mood raya msh menebal.. tgh bermalas2an nyiapkn keje kt opis nie.. yelah lamer bercuti.. hehhe
mely: der buat open house ker.. open reban ker... open air ker?? huhuh
mely: askum n camat ptg ayahda .. cehat dak?? msh mood raya ker?

Anakda Mely,
Nak jemput ayahda datang Port Klang?. Boleh saja. Nantilah bila ada masa dan kelapangan ayahda datang dengan syarat anakda belanja makan..hehe.

Ayahda pun masih ada mood raya. Tambahan pula masih ada kengkawan yang datang beraya. Ayahda duduk di kampung tak payah buat open house. Sesiapa yang hendak datang boleh datang pada bila-bila masa. Kalau kuih raya sudah habis kuih biskut kering masih ada. Hehe.

sofia: selamat petang en. latip..

Sdr Sofia,
Selamat malam Jumaat hehe.
Saya masih saspen dan tertanya-tanya siapa SOFIA ni. Lebih saspen bila sdr kata nak datang ke rumah bersama keluarga. Saya dan isteri mengalukan kedatangan sdr. Bila agaknya?. Kalau beritahu awal boleh saya bakar “lomang” atau kacau “dodol” hehe.

SARINA MOHD SOM: saya teringin untuk aktif kembali bersama PEN Jelebu. jika ada kesempatan emaillah kepada saya
SARINA MOHD SOM: dan tak lupa juga buat kak Anisah yang banyak membantu. tak lupa jua buat cikgu Zahid Mat Saman dan Pakcik Ghazali Tocheh
SARINA MOHD SOM: atas didikan dan kursus demi kursus yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Penulis Jelebu akhirnya kini saya bergelar Wartawan.
SARINA MOHD SOM: sebenarnya saya merupakan anak didik persatuan penulis Jelebu yang sama-sama berkursus di Jelebu.
SARINA MOHD SOM: Assalamualaikum pakcik Latib Talib. Mungkin pakcik tidak beberapa mengenali atau mengingati saya.

Sdr Sarina Mohd Som,
Saya berasa sukahati bila mengetahui Sarina anak didik Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) cawangan Jelebu. Sememangnya PEN sudah beberapa kali mengadakan bengkel penulisan di Jelebu. Yang terbaru sebelum bulan Ramadan yang lalu. Syabas kerana Sarina sudah menjadi Wartawan Karangkraf. Tekunlah berkerja. Kreatif dan jaga hati bos (Sri Diah)hehe.
Saya memang tak berapa kenal Sarina tapi kalau jumpa Pak Cik kat pekan Kuala Klawang harap tegur nanti Pak Cik belanja makan roti canai kat kedai nombor 8..hehe.
Untuk makluman sarina, Zahid Mat Saman sudah berpindah ke Melaka. Pak Cik Ghazali Tocheh sudah bersara dan jadi penulis sepenuh masa. Nisah pula sambung belajar tak lama lagi dia akan jadi hakim mahkamah Syariah kot. InsyaAllah.
Pak Cik harap Sarina aktif dengan PEN. Kalau lom jadi ahli kena jadi ahli. Kalau lom bayar yuran kena jelaskan. Hehe. Untuk makluiman Sarina, Mesyuarat Agung PEN akan diadakan pada 12 Disember 2004 jam 2.00 petang bertempat di Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan di jalan Sungai Ujung, Seremban. Sarina di jemput hadir.

Rabu, November 24, 2004

SELAMAT HARI RAYA

http://srv.fotopages.com/2/3151795.jpg

Hajat untuk bertemu dengan Amiza Khusyri Yusof, seorang anak muda lepasan ijazah dari Timor Tengah (Mesir) yang berbakat di bidang penulisan akhirnya tercapai apabila kami berkunjung sempena hari raya di rumah Nisah Haron di Seremban.
Sebelum ini kami hanya berkenalan dan bertegur sapa di alam maya sahaja. Dia selalu menyiarkan cerpen di esastera.com/cerpenis dan saya suka dengan gaya bahasa dan latar belakang sejarah islam yang digarap melalui karyanya.
Semasa berhari raya di rumah Nisah Haron dia sempat membeli beberapa buah novel yang harganya lebih seratus ringgit sebagai bukti betapa minatnya beliau membaca.
Sewaktu berhari raya di rumah Agus Salim/Mahaya Yasin, Amiza Khusyri menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).
Di harap beliau akan terus aktif menulis dan berpersatuan.

Isnin, November 22, 2004

SELAMAT HARI RAYA

Walaupun sudah satu minggu Hari Raya berlalu namun kemeriahannya masih terasa. Kunjung mengunjungi masih berterusan. Setiap hari ada saja jemputan ke rumah terbuka. Yang tidak mengadakan rumah terbuka pula masih bersedia menerima kunjungan tetamu untuk berhari raya.
Warga kota yang pulang ke kampung untuk berhari raya telah pun kembali ke kota. Mereka yang bercuti telah pun berkerja semula. Yang belum sempat berkunjung ke rumah saudara mara atau kenalan masih berkesempatan untuk melakukannya.
Sejak hari raya pertama saya juga “ Beraya Sakan”. Setiap hari ada saja tetamu yang datang ke rumah untuk berhari raya, atau giliran saya pula yang pergi berhari raya. Selain saudara mara dan kenalan ialah kawan-kawan anak-anak saya.
Kelmarin menghadiri rumah terbuka YB Dato’ Razak Mansur ADUN Pertang. Puas makan lemang, satey dan rendang. Semalam sambil hantar anak yang bongsu ke UKM sempat singgah berhari raya di tiga buah rumah saudara di Bangi. Jam 2 pagi baru pulang ke Jelebu.
Hari ini sebelah siang ada jemputan kenduri “ berkhatan atau masuk jawi”. Pada sebelah malam ada pula jemputan kenduri tahlil.
Esok hari selasa cadang nak berehat saja di rumah sebab berasa penat beraya sakan.
Hari Rabu sudah berjanji dengan Amiza Khusyri yang baru balik dari Mesir hendak berhari raya di rumah Nisah Harun di Seremban. Dan selepas itu mungkin ke rumah Mahaya Yassin. InsyaAllah.

Jumaat, November 12, 2004

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA

AIDILFITRI
Selamat hari raya di ucapkan kepada semua yang sudi mengunjungi laman web saya. terutama sdr Ain dari negeri di bawah bayu yang sudi membaca dan memberi komen terhadap tulisan saya, Nisah Harun seorang penulis dan Peguam dari Negeri Sembilan, Sri Diah yang banyak membantu saya membina bloger ini, anakda Mely yang nakal manis bergaya dan suka bergurau dengan ayahda, anakda Arulkhan seorang pengarang dari seberang, Amiza Khusry yang menuntut di Mesir, White dari kedutaan Malaysia di USA, Sofia yang masih misteri dan selalu buat saya suspen, Peminat yang pernah ucap I love u, Manja yang muncul sekali sekala, MBA pakar haiku, Graves atau pennggali kubur, mal, abu zar, Tok Rimau, Pak Watan, Seriadriani,rakan-rakan dari esastera Fahd Radzy, Airmas_sz, Nimoisty, Usop2000, Dahrie dan mereka yang pernah berkunjung ke sini tapi tidak menuliskan namanya..
Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua. Selamat hari raya maaf zahir dan batin. Jika ada salah silap harap dimaafkan. Semoga hari raya kali ini lebih meriah dan mengembirakan. Semoga persahabatan yang terjalin akan berkekalan. insyaAllah.

Rabu, November 10, 2004

Dia Pergi Menjelang Raya


HARI ini 27 Ramadan. Suasana hari raya telah mula dirasakan. Radio dan tv sering menyiarkan lagu hari raya. Suri rumah mula sebuk membuat persiapan. Ada yang menjahit pakaian untuk dipakai pada hari raya. Mereka yang sebuk bekerja pula sudah membeli atau membuat tempahan baju raya masing-masing. Ramai pula yang sebuk membuat kuih muih untuk dihidangkan kepada para tetamu. Tetapi ramai juga yang membeli kuih raya atau lebih popular “kuih tunjuk’ sahaja.
Pagi semalam ketika isteri dan anak perempuan saya (dia sedang bercuti) sedang sebuk menjahit pakaian kami dan saya pula baru selesai mengelap cermin tingkap rumah kami mendapat berita sedih kerana kakak ipar (kakak isteri) saya meninggal dunia. Innalillahi wainna ilaihirajiun.
Dia berusia 60 tahun. Suaminya telah lama meninggal dunia tetapi anak-anaknya sudah besar dan ramai yang sudah berumah tangga. Kakak ipar saya itu sudah lama mengidap penyakit asma. Pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali tetapi akhirnya dia berasa serik lalu enggan ke hospital kerajaan dan lebih suka ke klinik swasta sahaja.
Kakak ipar ini agak peramah dengan saya. Semasa dia sihat selalu datang ke rumah dan saya suka mengusiknya dengan kata-kata. Semalam isteri mengajak saya menziarahinya kerana sudah agak lama juga kami tidak berjumpa. Pertemuan kali terakhir sebelum puasa dan dia nampak uzur kerana penyakit asma yang dideritanya sekian lama. Dan kami bercadang ingin menziarahinya hari ini. Rupanya kami Cuma dapat melihat jenazahnya sahaja. Kerana itu isteri saya berasa agak terkilan kerana kalau kami tidak tangguhkan pasti sempat bertemu sebelum dia meninggal dunia.
Menurut anak perempuannya, pagi tadi dia nampak lebih sehat dari biasa. Dia telah bercadang hendak membuat kenduri tahlil untuk arwah suaminya. Tetapi selepas dia mandi keadaannya berubah. Dia kelihatan lemah lalu dibaringkan dan sebelum meninggal dunia sempat mengucap dua kalimah syahadah.
Jenazahnya selamat dikembumikan selepas solat asyar. Isteri saya turut memandikan kakaknya dan saya pula turut menyembahyangkan jenazahnya. Semoga dia mendapat rahmatNYA. Al Fatihah.

Jumaat, Oktober 15, 2004

RAMADAN DATANG LAGI...

RAMADAN DATANG LAGI…

Hari ini 15. 10. 2004 bersamaan hari Jumaat 1 Ramadan 1425 Hijrah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut kedatangan Ramadan. Bagi diri saya ini Ramadan kali yang ke 50 dengan harapan semoga dipanjangkan umur, disihatkan tubuh badan dan akal fikiran, banyak amal ibadat dan mendapat rezeki yang berkat.

Saya teringat zaman kanak-kanak dulu, di tempat kelahiran saya di Rembau hari terakhir bulan Sya’ban dinamakan “ Hari Mogang”, iaitu hari untuk menyambut kedatangan Ramadan. Pada hari itu semua penduduk kampung membakar lemang dan memasak rendang daging. Kemudian kami berkumpul satu keluarga untuk menikmati lemang panas di cicah dengan rendang. Oh alangkah berseleranya. Betapa manisnya kenangan itu.

Tetapi hari ini “ Hari Mogang” tidak lagi meriah seperti dulu. Walaupun masih ada yang membakar lemang dan memasak rendang namun suasananya jauh berubah. Mungkin ada kaitannya dengan peredaran zaman. Dulu lemang dan rendang hanya dapat dimakan pada “Hari Mogang” dan hari-hari raya sahaja. Tetapi hari ini lemang dan rendang boleh dimakan pada bila-bila masa. Di pasar tani lemang dan rendang banyak dijual. Malah di tepi jalan raya juga ada yang menjual lemang. Kerana itu barangkali lemang dan renbang bukan lagi makanan istimewa. Tidak hairanlah pada “Hari Mogang” dan menyambut hari raya ramai yang tidak lagi membakar lemang sebaliknya diganti dengan ketupat sahaja.

Saya sendiri hari Mogang kali ini tidak membakar lemang. Sebabnya hanya saya dan isteri sahaja yang ada di rumah anak-anak tidak pulang kerana sebuk dengan pelajaran dan pekerjaan mereka. Kebetulan pula semalam (khamis) ada pasar tani di tempat saya maka saya berpendapat lebih mudah membeli lemang dan rendang sahaja.

Membakar lemang bukan kerja yang mudah. Kita kena sediakan buluh (sekarang buluh semakin sukar didapati), daun pisang, kelapa masak dan beras pulut. Proses membakar lemang pula mengambil masa antara 4 ke 6 jam. Kalau bara api terlampau marak lemang menjadi hangus. Kalau api terlalu kurang lemang akan jadi mentah.

Selepas makan lemang dan rendang saya dan isteri ke masjid untuk solat berjemaah. Kemudian kami solat Tarawih. Sabda Rasullulh saw yang bermaksud,, barangsiapa solat terawih pada malam pertama di bulan Ramadan Allah swt akan menampunkan segala dosanya seolah dia baru dilahirkan oleh ibunya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mengasihani terhadap hambaNYA. Amin.