Jumaat, Julai 04, 2008

NOVEL SEJARAH ISLAM DIMINATI RAMAI

Sebagai penulis novel sejarah Islam tentulah saya berasa gembira apabila novel itu turut dibaca oleh mereka yang bukan Islam. Tambahan pula pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menarik minat mereka yang bukan Melayu membaca novel-novel Melayu.

Saya yakin untuk menarik minat mereka membacanya maka mestilah menggunakan bahasa Melayu yang tinggi serta mudah difahami pembaca dan kisah yang diceritakan tidak menyentuh senstiviti agama lain.

Semasa mempromosi dan menjual novel Sejarah Islam di PWTC sempena Pesta Membaca 2008, Wendy Lim (gambar) memegang novel Salahudin Penakluk Jerusalem lalu bertanya, “Adakah novel ini menyentuh perkara sensitif mengenai agama lain?”

“Oh tidak,” jawab saya.

Lalu saya terangkan novel pahlawan Islam itu menceritakan kehebatan, ketokohan serta kebaikan pahlawan Islam yang sebenarnya. Mereka adalah pahlawan sejati. Mereka tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan orang tua. Mereka juga tidak membunuh atau menyiksa tawanan perang malah melayan mereka dengan baik.

Semasa berada di Mahkota Parade bulan Jun lalu, seorang wanita cina berkata kawan dia sudah membaca novel pahlawan Islam. Kerana itu dia juga ingin membacanya.

Kerana itu saya berasa gembira apabila novel Sejarah Islam turut dibaca oleh mereka yang bukan Islam.

Saya yakin antara sebab mereka meminatinya kerana bahasanya mudah difahami. Novel pahlawan Islam juga menceritakan kebaikan pahlawan Islam sehingga menarik mereka membacanya.

Sesungguhnya novel sejarah Islam diminati ramai bukan kerana pengarangnya tetapi kerana "BERKAT" nama pahlawan tersebut.








0 ulasan: