Sabtu, Februari 16, 2008

PESAN BUAT YB

25hb Februari 2008

Penamaan calon sudah selesai
Pilihanraya menjelang tiba
YB sibuk ke sana sini
Bertemu pengundi
Menabur janji menagih simpati
Untuk mendapatkan undi
Mungkin selepas pilihanraya
YB sibuk kita susah nak jumpa.

Pesan buat YB
Setelah menang pilihanraya
jangan lupakan janji
Sesekali tengoklah kami
Dengar rintih perih rakyat
Tunai amanah penuh kejujuran
Negeri beradat ini masih hauskan pembangunan

Pesan buat YB
Jangan kerap ke luar Negara
Lebih baik pergi ke tanah suci
Kalau nak berlibur di sini saja
Jimat belanja
Rakyat tak buruk sangka.

Pesan buat YB
Belajar hidup sederhana
Kurangkan lemak dan gula
Belilah hasil tanaman kami
Bebas kimia dan asid
Agar YB hidup sihat
Terhindar sakit jantung dan darah tinggi.

Pesan buat YB
Berpada dengan rumah dan kereta mewah
Agar terhindar rasuah
Jangan makan tanpa batasan
Agar tak tersungkur kekenyangan.

Pesan buat YB
Sesekali datanglah ke surau dan masjid kami
Kita sembahyang berjemaah
Agar bertambah iman dan amalan
Selalulah mengadap cermin
Agar mampu menilai wajah.

Pesan buat YB
Tak lama lagi hari mengundi
Kami akan keluar beramai-ramai
Menunaikan hak kami.

Jelebu 2008.

KARYA AGUNG KLASIK

Gambar di salin dari Universiti Terbuka PTS.

19 hb Februari 2008

Hikayat Amir Hamzah ini pada mulanya ditulis oleh seorang penulis Parsi dengan judul Qissa’i Emir Hamza. Kemudian diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul Sirat Hamzah.

Manuskrip ini dibawa oleh pendakwah dari India ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Ia disalin dengan tulisan tangan oleh penulis istana raja Melaka yang mengambil masa selama 15 tahun bagi menyiapkannya. Selain bahasa Melayu, manuskrip ini juga ditulis dalam bahasa Jawa, Bali, Acheh, Turki dan Hindi.

Hikayat Amir Hamzah diterbitkan dalam tulisan rumi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1987. Penyelenggara naskhah ini A.Samad Ahmad masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama.
Pada tahun 2005 semasa mengikuti bengkel penulisan, Puan Ainon Mohd mengatakan PTS sedang mencari penulis yang sanggup memodenkan bahasa Hikayat Amir Hamzah. Saya terus menyatakan kesanggupan walaupun saya belum pernah membaca naskhah tersebut. Dan pada hari itu juga saya ke kedai buku mencarinya lalu terjumpa Hikayat Amir Hamzah edisi kedua penyelenggara A.Samad Ahmad terbitan DBP 1987.

Pertama kali membacanya memang agak sukar memahaminya kerana naskhah tersebut masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama. Namun saya terus juga berusaha memodenkan bahasanya sehingga selesai. Kerja ini juga dibantu oleh Encik Muhamad Ikhram dari DBP.

Hikayat Amir Hamzah ini diterbitkan dalam tiga jilid. Pembaca boleh membacanya seperti membaca novel kerana bahasanya telah dimodenka.

Hikayat Amir Hamzah ini telah dibaca oleh orang Melayu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Semasa Portugis menyerang Melaka sultan menyuruh dibacakan Hikayat Amir Hamzah bagi menaikkan semangat pahlawan Melaka.

Watak utama dalam cerita ini ialah Saidina Hamzah, pahlawan Islam yang gugur syahid dalam perang Uhud. Sesuai dengan bentuk hikayat ceritanya telah ditokok tambah. Amir Hamzah digambarkan begitu hebat contohnya seperti berikut:

Disebabkan kuatnya tempikan Amir Hamzah boleh kedengaran hingga 18 penjuru bumi jauhnya. Segala harimau yang mendengar tempikan itu terkejut lari. Segala unta dan kuda menjatuhkan diri. Panah yang ada di tangan musuhnya jatuh ke tanah. Kisah Amir Hamzah ini diceritakan bermula sebelum kedatangan Islam sehingga kelahiran Nabi Muhamad saw.

Hikayat Amir Hamzah ini diterbitkan dalam tiga jilid. Pembaca boleh membacanya seperti membaca novel kerana bahasanya telah dimodenkan.

Hikayat Amir Hamzah merupakan karya terbaik dalam khazanah fiksyen Islami Klasik. Membaca karya agung klasik ini dapat mengkaji keluasan dan keluarbiasaan imej-imej imaginasi penulis fiksyen zaman dahulu berbanding dengan imaginasi penulis zaman kontemporari. (Memetik kata-kata Sifu Puan Ainon).

DIULANG CETAK



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt dan terima kasih kepada PTS yang menerbitkannya kerana ke empat novel sejarah pahlawan Islam ini telah diulang cetak. Malah Salahudin Penakluk Jerusalem sedang diulangcetak kali ke 3.







Selain itu novel sejarah Melayu Setelah Roboh Kota Melaka juga mendapat sambutan yang baik daripada pembaca.

InsyaAllah, pada tahun ini akan terbit beberapa buah novel sejarah Islam lagi antaranya Sultan Muhamad al Fateh Penakluk Konstantinopel, Hulagu Khan Runtuhnya Kota Baghdad, Abu Bakar As Siddiq Wira Islam dan Umar al Khattab Singa padang Pasir.

YA ALLAH KUATKAN SEMANGATKU

16hb Februari 2008

Sudah dua kali saya terasa disindir oleh tokoh sastera yang kerap dilantik menjadi hakim sayembara itu. Dia berkata (sambil memandang ke arah saya) antara cirri-ciri novel yang baik ialah penulisannya mempunyai makna yang berlapis-lapis, bukan satu lapis sahaja. Dan katanya lagi, penulisan yang baik bukan menceritakan kisah yang telah berlaku tetapi mencipta kisah-kisah baru.

“Novel beginilah sekarang yang paling disukai ramai,” katanya.

Saya akui tidak pandai menulis novel yang maknanya berlapis-lapis. Novel sejarah yang saya tulis itu cukup mudah difahami kerana maknanya selapis sahaja.

“Jangan tulis apa yang telah berlaku tetapi tulislah kisah yang baru.”

Kata-katanya itu terasa masih berkumandang di pendengaran saya. Memang benar novel sejarah yang saya tulis itu menceritakan apa yang telah berlaku. Bukan kisah baru rekaan sendiri….

Itulah antara ciri-ciri penulisan teknik surah Yusuf yang diajar oleh Puan Ainon Mohd, pengerusi PTS. Ceritanya mudah difahami, mudah dibaca dan tidak terikat dengan teori-teori yang dicipta oleh manusia.

Sesungguhnya karya yang tidak mengikut acuan tradisi atau tidak terikat dengan teknik-teknik ciptaan manusia bukan bermakna karya itu tidak baik. Mungkin tidak baik pada penilaian mereka yang terlalu taksub dengan teori ciptaan penulis barat. Namun tetap disukai pembaca.

Saya teringat satu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah saw. Pada suatu hari orang-orang Quraisy mengadakan pertandingan syair dan pidato. Maka tampillah tokoh-tokoh pidato dari kalangan Bani Tamim yang semenangnya terkenal sebagai ahli bersyair dan berpidato.
Mereka mendapat pujian daripada pengadil.

Kemudian tiba pula giliran penyair dan pemidato dari kalangan orang-orang Islam yang menjadikan ayat-ayat al Quran sebagai sumber rujukannya. Ternyata karya mereka lebih unggul dan diminat oleh orang ramai walaupun tidak memenangi pertandingan itu.

Dan untuk menghiburkan hati mereka Rasulullah saw sendiri yang memberikan hadiahnya.