Khamis, November 01, 2007

SURAT DARI PEMBACA



Saya seorang guru peminat sejarah Islam begitu tertarik dengan novel-novel sejarah Islam yang Pak Latip tulis. Saya juga sudah baca Tariq Menang Ataupun Syahid. Kisahnya menarik.

Tetapi saya tidak puas hati dengan babak-babak terakhir kisah Tariq. Dia dipanggil pulang ke Damsyik oleh khalifah. Dan khalifah itu telah dirasuah oleh raja-raja Eropah dengan harta dan wanita. (Rujuk m.s 237)

Saya nak penjelasan dari Pak Latip sebagai penulis buku itu. Dan semestinya berani bertanggung jawab. Siapa nama khalifah Umaiyah itu?. Mustahil al Walid sebab dia gembira dengan penaklukan Sepanyol. Mustahil khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah selepas Al Walid kerana beliau seorang yang warak. Mustahil khalifah Umar bin Abdul Aziz sanggup menerima rasuah dari raja-raja Eropah.

Pak Latip kena beri penjelasan atau betulkan fakta tersebut.

Sekian terima kasih. Harap maaf.

Abdul Aziz bin Ahmad.

---------------------------------------------------------

Ini Penjelasan saya,

Dari 6 novel sejarah tersebut, Tariq Menang Ataupun Syahid adalah yang mula-mula saya tulis. Antara masalah yang dihadapi ialah sukarnya mendapatkan bahan-bahan rujukan terutama dalam Bahasa Melayu.

Namun kerana minat yang mendalam ditambah pula dengan tujuan hendak menceritakan kehebatan pahlawan-pahlawan Islam maka saya usahakan juga menulisnya.

Mengenai persoalan yang dikemukakan oleh Cikgu Abdul Aziz ini, kali pertama saya diajukan perkara itu semasa mempromosikan novel-novel sejarah Islam sempena Pesta Buku Antarabangsa 2007 yang lalu. Termasuk juga pertanyaan, benarkah Tariq membakar kapal-kapal perangnya?

Mengenai pertanyaan itu ada jawapanya dalam novel tersebut. Silalah baca.

Mengenai pertanyaan siapakah nama khalifah Bani Umaiyah dan benarkah dia dirasuah oleh raja-raja Eropah?. Ini penjelasan saya. Kalau salah harap sangat dibetulkan.

Setelah Khalifah Abdul Malik bin Marwan meninggal dunia pada tahun 705 M (86 H) diganti oleh anaknya al Walid bin Abdul Malik (705 – 715). Semasa pemerintahan al Walid inilah tentera Islam berjaya menakluk Sepanyol (Al Andalus) pada tahun 711.

Setelah khalifah al Walid meninggal dunia pada tahun 715 diganti oleh adiknya Sulaiman bin Abdul Malik (715 – 717). Dan setelah khalifah Sulaiman meninggal dunia baru diganti oleh Umar bin Abdul Aziz ( 717 – 720)

Dan setelah khalifah Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia diganti oleh Yazid bin Abdul Malik (720 -724)

Panglima Tariq bin Ziyad lahir pada tahun 670 dan meninggal dunia tahun 720 semasa pemerintahan khalifah Yazid bin Abdul Malik.

Di kalangan khalifah Bani Umaiyah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan khalifah yang paling baik dan berlalu adil. Tetapi kelembutan beliau digunakan oleh orang-orang Abbasiyah bagi menyusun gerakan menumbangkan kerajaan Bani Umaiyah.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz Cuma memerintah selama dua tahun setengah sahaja. Dia diracun oleh pembantunya.

Setelah Khalifah Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia maka diganti oleh Yazid bin Abdul Malik. Maka bermulalah berlakunya perebutan kuasa dengan adiknya Hisyam bin Abdul Malik. Ditambah pula dengan huru hara yang dilakukan oleh orang-orang Bani Abbas. (Bani Abbasiyah)

Semasa khalifah Yazid bin Abdul Malik yang memerintah dari tahun 720 – 724 inilah berlakunya peristiwa panglima Tariq yang telah membuat persiapan bagi menakluk Eropah dipanggil pulang ke Damsyik.

Raja-raja Eropah berasa takut apabila mendapat tahu Tariq bin Ziyad telah membuat persiapan bagi menyerang negara mereka. Kerana itu mereka berpakat menghantar utusan bagi menemui Khalifah Yazid bin Abdul Malik meminta perdamaian.

Bagi tujuan itu mereka membawa pelbagai hadiah untuk diberikan kepada khalifah Yazid bin Abdul malik. Kisah ini ada tercatat dalam buku-buku rujukan saya.

Dan Tariq bin Ziyad meninggal dunia tidak lama selepas pulang ke Damsyiq. Namun saya tidak pasti sebab-sebab kematiannya.

Diharap Cikgu Abdul Aziz dan pembaca yang lain berpuas hati dengan penjelasan saya.

Sekian.

Abdul Latip bin Talib

3 ulasan:

Latiptalib berkata...

Cikgu Abdul Aziz,

Terima kasih atas maklum balas. InsyaAllah saya akan menjelaskan perkara ini. Kalau memang berlaku kesilapan masih boleh dibuat pembetulan dalam edisi cetakan kedua nanti.

Tetapi saya yakin fakta itu betul. Tunggu penjelasannya.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Tuan Latip,

Membaca surat-surat seperti ini menyebabkan saya sedar betapa besarnya pengaruh novel sejarah yang ditulis dengan baik ke atas pemikiran dan perasaan pembaca.

Ia menyebabkan pembaca betul-betul mengambil berat aspek-aspek sejarah yang dituliskan dalam novel itu. Nampaknya, inilah cara yang berkesan bagi mencetuskan minat pembaca kita kepada aspek-aspek sejarah.

Tahniah!

Latiptalib berkata...

Sifu Puan Ainon,

Salahudin Penakluk Jerusalem sudah diulangcetak. Khalid Memburu Syahid dan Tariq Menang Ataupun Syahid sedang dalam proses ulangcetak. Harap-harap selepas ini Ikramah Penentang Jadi Pembela pula diulangcetak.

Kalaulah ke empat novel sejarah Islam itu diulangcetak pada tahun ini, alangkah gembiranya saya. Alhamdulillah.

Mengenai maklum balas daripada pembaca itu sememangnya kita alu-alukan kerana pembaca bukan sekadar membaca tetapi menghayatinya.

Semua itu memberi ransangan kepada saya bagi meneruskan usaha menulis novel sejarah untuk PTS.