Isnin, November 19, 2007

PERTANYAAN PEMBACA


Assalamualaikum, Pak Latip,
Semoga sentiasa berada dalam rahmat Tuhan, hendaknya.

Sebenarnya selain persoalan tentang identiti Hang Nadim, masih ada lagi persoalan lain yang berlegar dalam fikiran saya ketika membaca novel ini. Iaitu tentang sejarah bagaimana Parameswara boleh sampai ke Melaka.

Dalam halaman iii, Pak Latip menyenaraikan nama-nama sultan yang pernah memerintah Melaka. Di situ, pada senarai pertama, Pak Latip meletakkan nama Sultan Iskandar Shah, dan kemudian dalam kurungan Parameswara. Bererti Sultan Iskandar Shah dan Parameswara adalah orang yang sama.

Kemudian dalam halaman 13, melalui dialog Diego Lopez De Squerea pula, ada menceritakan bahawa Parameswara datang ke Melaka, kerana dia terpaksa lari apabila diserang dan dihalau oleh tentera Siam, setelah Parameswara membunuh Temagi. Dan memang pun inilah sejarah yang umum mengetahui.

Namun demikian, saya keliru apabila di halaman 74 pula, melalui dialog Bendahara Tun Mutahir, diperincikan bahawa Raja Iskandar Shah terpaksa lari dari Singapura apabila Sang Rajuna Tapa berlaku belot lalu meminta bantuan Betara Majapahit bagi menyerang Singapura.

Raja Iskandar Shah lari ke Kaula Sungai Muar, kemudian ke Kota Buruk dan akhirnya tiba di suatu tempat yang kemudian dinamakan Melaka bersempena pohon Melaka tempat baginda berehat.

Mungkinkah sememangnya terdapat dua versi sejarah yang berlainan tentang hal ini- seperti mana terdapat versi yang berlainan dalam kisah Hang Tuah dan Jebat/Kasturi?

Atau saya yang tersalah faham?

Salam hormat,
Aidil Khalid
------------------------------------------------------

Saudara Aidil Khalid, semoga sentiasa berada dalam rahmat Allah swt.

Terima kasih kerana berminat membaca novel sejarah. Semoga tercapai tujuan PTS Fortuna menerbitkan novel ini bagi menimbulkan minat membaca terutama di kalangan anak-anak muda seperti Aidil Khalid terhadap sejarah tanah air.

Mengenai pertanyaan siapa yang membuka Melaka?. Parameswara atau Iskandar Shah?. Bagaimana Parameswara sampai ke Melaka?. Adakah dia diserang oleh askar Siam atau Majapahit?.

Ahli-ahli sejarah sependapat mengatakan orang yang membuka Melaka ialah Parameswara.

Pendapat ini disokong oleh D.G.E Hall dalam bukunya “ A History of South-East Asia “ yang mengatakan Parameswara ialah pengasas kerajaan Melayu Melaka.

Timbul pula pertanyaan, Siapa pula Raja Iskandar Shah?. Ada yang mengatakan setelah Parameswara memeluk agama Islam beliau menukar nama kepada Raja Iskandar Shah.

Mengikut sejarah lisan Sumatera, Parameswara ialah putera Raja Sailendra dari Palembang. Beliau melarikan diri ke Temasik (Singapura) lalu membunuh Temagi, wakil kerajaan Siam yang memerintah Temasik, akibatnya tentera siam menyerang lalu beliau melarikan diri hingga sampai ke Melaka.

Dalam Sejarah Melayu pula dinyatakan Temasik (Singapura) dibuka Sang Nila Utama.

Keturunan Sang Nila Utama inilah yang memerintah Singapura sehingga digantikan oleh Paduka Sari Pikrama Wira, Seri Wira Kerma, Paduka Seri Maharaja dan yang terakhir Raja Iskandar Shah. Raja Iskandar Shah inilah yang berundur ke Muar lalu sampai ke Melaka.

Peristiwa Sang Rajuna Tapa jadi pembelot berlaku semasa pemerintahan Raja Iskandar Shah.

Mengikut Prof. Dr. Abdullah Zakaria bin Ghazali, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, dalam kertas kerjanya bertajuk, MALAYSIA – INDONESIA DALAM SEJARAH: LIKU-LIKU HUBUNGAN SERUMPUN SEHINGGA KURUN KE-19 mengatakan bahawa Kerajaan Melaka diasaskan oleh Raja Iskandar (ada juga sumber mencatatkan Parameswara), keturunan Raja Iskandar Zulkarnain.

Raja Iskandar Shah ini adalah keturunan Sang Nila Utama yang meninggalkan kerajaan Palembang lalu sampai ke Temasik (Singapura)..

Menurut beliau lagi, Sultan pertama memerintah Melaka adalah Raja Iskandar Shah/Parameswara, 1390–1414.

Sebelum buku ini diterbitkan perkara ini pernah ditanyakan oleh Cik Norashikin Editor Pengurusan PTS Fortune kepada saya. Soalannya sama seperti yang ditanya oleh Aidil Khalid. Lalu saya memberi jawapan memang terdapat dua versi mengenai sejarah pembukaan Melaka iaitu dari Sejarah Melayu dan kajian ahli sejarah.

Versi pertama mengatakan Parameswara berasal dari Palembang lalu membuka Temasik (Singapura). Kemudian diserang oleh askar Siam lalu melarikan diri ke Muar dan terus sampai ke Melaka.

Sejarah Melayu pula menceritakan Raja Iskandar Shah yang memerintah Singapura melarikan diri apabila diserang oleh tentera Majapahit akibat pembelotan oleh Sang Rajuna Tapa.

Saya sengaja memasukan kedua-dua versi itu supaya pembaca dapat mengetahui kedua sumbernya. Kalau saya masukan sumber dari sejarah Melayu saja mungkin ada pula yang mempertikaikannya berdasarkan kajian dari pihak lain. Kerana itu saya masukan keduanya supaya pembaca tahu kedua versi tersebut.

Semoga cara ini menepati kata-kata Puan Ainon Mohd bahawa perjuangan PTS untuk memandaikan bangsa.

Sekian

Abdul Latip bin Talib

1 ulasan:

Puan Ainon Mohd. berkata...

Dalam Kongres Sebudaya Serumpun 2 hari lalu di DBP, Dr. Arbaiyah dari Jabatan Sejarah Universiti Malaysia menyebutkan bahawa sumber-sumber sejarah daripada rekod-rekod di negara Cina, semua nama-nama Sultan negeri Melaka ada dicatatkan, termasuk nama Parameswara, kecuali nama Sultan Alauddin Riaayat Shah.