Khamis, Oktober 25, 2007

SUDAHKAH ANDA MENGELUARKAN ZAKAT?

“Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa dari perbuatan yang tidak ada manfaatnya dan perkataan yang sia-sia, serta untuk memberi makanan kepada orang miskin.” (Riwayat Ibnu Abbas.)

Tahun ini sudah tiga tahun berturut saya dilantik menjadi amil mengutip zakat fitrah bagi penduduk kariyah masjid kampung saya. Satu tugas yang agak mencabar juga kerana masih ada yang enggan membayar zakat fitrah kepada amil sebaliknya membayar sendiri kepada sesiapa yang difikirkan layak menerimanya.

Memang benar mereka yang layak menerima zakat fitrah itu terdiri dari fakir, miskin, amil yang dilantik, orang yang berhutang, musafir, mereka yang baru memeluk Islam dan mereka yang menuntut ilmu.

Kerana itu barangkali ada yang berpendapat, lebih baik mereka sendiri yang memberikannya kepada orang-orang yang difikirkan layak menerimanya.

Ternyata pendapat itu adalah silap. Maksud asnaf-asnaf itu bukan bermakna kita boleh membayar zakat fitrah kepada salah satu daripada mereka. Kesemua mereka berhak menerimanya. Kalau kita bayar zakat fitrah kepada orang miskin, bagaimana pula dengan mereka yang musafir, mereka yang menuntut ilmu?. Mualaf, Amil dan orang yang berhutang?. Mereka juga berhak menerima zakat fitrah dari kita.

Sebagai contoh, di Negeri Sembilan bayaran zakat fitrah tahun ini seorang RM5.00. Sanggupkah kita membahagikannya kepada kesemua mereka yang berhak menerimanya?. Tentulah tidak sanggup.

Kerana itu lebih mudah membayarnya kepada amil-amil yang telah dilantik dan pihak yang berkuasa akan memberikannya kepada mereka yang berhak menerimanya.

Malah bagi mereka yang duduk di negara yang bukan Islam juga wajib membayar zakat fitrah kepada amil-amil yang dilantik oleh pemerintah negara tersebut.

Mungkin timbul persoalan kemanakah wang zakat fitrah itu disalurkan?. Apakah zakat fitrah itu sampai kepada mereka yang berhak menerimanya?.

Sememangnya wang zakat fitrah itu diberikan kepada mereka yang berhak menerimanya termasuk fakir, miskin, pelajar, mualaf, musafir, orang yang berhutang dan sebagainya.

Namun ada cadangan supaya wang zakat fitrah itu diurus dengan lebih sempurna bagi mengatasi masalah miskin tegar di negara kita.

Contohnya, kalaulah setiap negeri dapat mengumpulkan satu juta setahun duit zakat maka diberikan RM10,000 seorang kepada mereka bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan atau dibelikan tanah untuk bercucuk tanam maka 100 keluarga miskin tegar dapat dibantu pada setiap tahun di setiap negeri.

Tetapi kalaulah bantuan itu sekadar RM50 atau RM100 seorang boleh habis dalam sekelip mata.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Askum Pak Latip

Selamat Hari Raya maaf dipinta.
Saya berikan duit FITRAH kepada anak yatim. Apa pandangan Pak Latip?.

Bujang Senang.

Latiptalib berkata...

Saudara Bujang Senang

Bayarlah zakat fitrah kepada amil-amil yang bertauliah kerana ada akta yang boleh mendakwa mereka yang tidak membayar zakat fitrah.

Anak yatim tidak termasuk dalam senarai mereka yang menerima zakat fitrah. u.

Membantu anak-anak yatim adalah tanggung jawab bersama dan membantu mereka bukan setahun sekali sahaja.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Urmm... sebahagian zakat saya, saya hantar ke penduduk Melayu di Laos dan di Kamboja, yang amat dhaif... setahun sekali pun payah dapat merasa makan ayam ataupun daging, ataupun minum susu dalam tin... sudah tua-tua pun banyak yang belum berkhatan...