Sabtu, September 22, 2007

SEMBAHYANG TARAWIH


Salam Pak Latip,

Pertanyaan saya bukan pasal novel tapi mengenai solat tarawih. Ada yang melakukannya 23 rakaat tapi ada pula 11 rakaat. Mana satu yang benar?. Pak Latip buat berapa rakaat?
-----------------------------------------------------------

Pada masa sekarang di kebanyakan masjid dan surau sembahyang sunat tarawih 11 rakaat (8 tarawih + 3 witir) namun masih ada yang 23 rakaat (20 tarawih + 3 witir).

Di kampung saya sembahyang tarawih 11 rakaat sahaja. Tetapi di kampung sebelah mereka buat 23 rakaat.

Tidak kisahlah berapa rakaat asalkan kita buat kerana sembahyang tarawih Cuma ada pada bulan Ramadan sahaja.

Adapun perbezaan pendapat mengenai jumlah rakaat tarawih itu sudah ada sejak dahulu lagi. Perbezaan pendapat ini dibolehkan Cuma yang tidak boleh kita mencela pendapat orang lain. Apatahlagi menuduhnya bidaah.

Terjadinya perbezaan pendapat ini kerana tidak ada hadis yang menetapkan berapa jumlah rakaat sembahyang tarawih. Kalau adapun dalilnya diragui kesahihannya.

Apa yang pasti sembahyang tarawih itu sememangnya pernah dilakukan oleh Nabi Muhamad saw tetapi baginda tidak melakukannya pada setiap malam kerana dikuatiri diwajibkan ke atas umatnya.

Namun tidak ada hadis yang menerangkan berapa rakaat baginda melakukan sembahyang tarawih pada masa itu.

Tetapi pada masa Saidina Umar al Khattab, sembahyang sunat tarawih dilakukan 20 rakaat. Kalaulah tidak betul pasti para sahabat yang masih hidup ketika itu akan mencelanya.

Namun ada yang mengatakan sebahagian para sahabat nabi sembahyang 11 rakaat sahaja apabila diimamkan oleh Ubay bin Kaab.
Apa yang penting mari kita lakukannya kerana peluang ini cuma ada pada bulan Ramadan sahaja.

0 ulasan: