Ahad, September 30, 2007

ULASAN PEMBACA


Salinan dari:
http://dingin.blogspot.com/

Ketika saya disekolah rendah, saya sering diberitahu oleh cikgu, Bugis itu Lanun. Kawan2 juga memberitahu begitu. Cuma cikgu mengalas kritikan itu dengan mengatakan Bugis bangsa pelayaran yang bijak.Tiba di sekolah menengah itu juga yang saya dengar.

Saya waktu itu sebetulnya cukup hairan, bagaimana label 'lanun' itu melekat pada bangsa Bugis. Saya cuba mencari faktanya dan terjumpa hanya satu ayat di dalam buku teks sejarah, satu ayat yang mengatakan lanun Bugis aktif di sekitar Johor. Lanun2 daripada bangsa lain juga aktif, tetapi mengapa Bugis juga yang terus di label lanun.

Keadaan keliru itu terus saja berlangsung lama. Saya keliru kerana saya ini Bugis. :-p. Pasti sesuatu yang berkaitan bangsa kita itu akan sedikit mencubit rasa ingin tahu, mengapa? Mujur saya menjumpai salasilah keturunan saya yang panjangnya satu setengah meter.

Selepas mengkaji sehingga kelapisan 13, datuk saya. Tidak ada tanda-tanda yang mengarah kepada aktiviti perlanunan. Semuanya terlihat berkecuali. :-p. Saya merasa sedikit lega. hehehe

Namun persoalan tu tetap berlegar sehinga saya membaca novel 'Si Bongkok Tanjung Puteri'. Novel ini dilabel sebagai novel sejarah. Biarpun ada pertikaian berkenaan kewujudan si Bongkok. Saya difahmakan kubur si Bongkok ini benar2 wujud. Malah penulis buku ini sudah pergi menziarahinya.

Pada mula cerita, penulis bagi saya berjaya membawa saya kembali ke zaman si bongkok. Secara peribadi, saya cukup gemar dengan ayat 'pohon-pohon kelapa yang mencuar tinggi...." Mengapa? Saya sendiri tidak pasti. Tetapi ia memberi saya rasa mudah untuk menghayati dan menghidupkan suasana itu di minda saya. Mungkin sebab saya suka minum air kelapa :-P.

Selepas itu cerita mula bergerak dalam kadar yang saya selesa. Tidak terlalu laju dan tidak pula perlahan. Sederhana. Ayat-ayatnya mudah biarpun pada mulanya saya menjangkakan ia sebuah novel yang sarat dengan bahasa berbunga sastera. bunga sasteranya tetap ada, cuma tdak merimbun. Ini mungkin kerana, saya difahamkan penulis pernah diminta menulis skrip drama bagi kisah 'si bongkok tanjung Puteri' jadi saya fikir novel ini olahan terus daripada skrip itu.

Dialog dalam novel ini merangkumi 70% keseluruhan novel. Namun itu yang membuat novel ini lebih hidup, bagi saya sekurang-kurangnya. :)Kisahnya, kisah klasik, berkenaan seorang anak bangsa yang yang tidak mahu tanah airnya di jajah. Biarpun dia tidak sempurna kerana dia bongkok dan terus digelar Si Bongkok, tetapi Si Bongkok mempunyai ilmu persilatan yang tinggi.

Si Bongkok bersama adiknya Puteh berusaha membantu Sultan Ali dalam menuntut tahktanya daripada Temenggung (Pemerintah yang di sokong Inggeris). Dalam usahanya itu, beliau perlu menghadapi dua rintangan utama iaitu penjajah Inggeris dan Temenggung sendiri. Temenggung membariskan pendekar-pendekar yang handal bagi membantunya mengekalkan kuasa di samping mendapat bantuan penjajah.

Dalam pada masa yang sama dia bersama rakan-rakannya juga cuba menjejaki lawannya yang ketiga, iaitu lanun yang membunuh tok guru dan ibubapanya. Bagi seorang pahlawan seperti si Bongkok, itu perkara enteng, sehingga pada satu hari, dia menghadapi lawannya yang keempat, lawan yang paling cuba dielakkan. Dan inilah sebenarnya lawan yang sulit untuk ditentang.

Siapa lawan keempat Si Bongkok ini? Baca sendiri. :-p Bagaimana kesudahannya? Lagi sekali, Baca sendiri :-P. Baru enak. Hehehhe.

Apa yang saya tuliskan di atas hanya intipati utama yang ringkas, dalam novel ini juga ada di selitkan unsur-unsur telenovela seperti cinta yang tidak kalah romantikya, kekeluargaan yang menyentuh jiwa dan saspen yang timbul daripada kelicikan pihak musuh dalam merancana jerat.

Usai membaca buku ini, saya mengerti satu perkara berkenaan label lanun pada bangsa Bugis. Buku ini memberi saya satu pengalaman linguistik. Kerana, nama-nama seperti Daeng Alik dan Daeng Patani terus berlegar-legar di otak. Ia terlalu 'menegas' dalam novel ini. Kontras kerana ia nama yang berbeza sekali daripada nama-nama yang pernah kita dengar. Sehingga personaliti mereka juga ujud dalam otak saya.

Jadi itu saya membuat kesimpulan, kerana nama itu kontras, maka ia mudah diingati. Bukan sahaja nama itu mudah diingati malah, peranan wataknya juga mudah dikenang2. Watak lanun, dan seterusnya bangsa Bugis itu terus dilabel lanun.

Saya difahamkan, drama 'si bongkok tanjung Puteri' sudah di tayangkan di televsyen lama dahulu (Saya belum menonton dramanya dan ini agak malang) . Malah lagu 'Si Bongkok tanjung Puteri' juga amat terkenal. Melaluai hal itu, saya fikir imej lanun Bugis kemudian tertanam di minda kebnyakkan mereka yang menonton ataupun melalui cerita lisan. Kerana hanya sebab kecil tadi.

Nama-nama itu memberi pengalaman linguistik yang sukar dilupakan. Ia menjawab persoalan saya bagaimana Bugis menjadi bangsa lanun. Tidak setuju dengan saya? Baca sendiri bagi merasainya . :-)Ini blog penulisnya, beliau merupakan penulis yang tersohor. Siapa? Klik sendiri. Hehehe

KAD HARI RAYA




Inilah kad ucap selamat hari raya yang pertama saya terima.

Terima kasih PTS Fortuna.

Khamis, September 27, 2007

PENULIS DAN EDITOR

Tugas penulis menghasilkan karya. Editor pula diberi tanggung jawab bagi mencantikkan lagi karya. Kalau manuskrip sudah cantik maka dicantikkan lagi oleh editor. Kalau ada yang kurang diperbetulkan.

Kerana itu hubungan baik antara penulis dengan editor itu amat penting. Hubungan baik yang saya maksudkan ialah sering mengadakan perbincangan mengenai karya yang hendak diterbitkan. Jika ada sebarang perubahan pada manuskrip penulis telah dimaklumkan dengan ini tidak timbul rasa tidak puas hati.

Penulis mempunyai ego tersendiri, editor juga ada egonya. Kerana itu kalau masing-masing saling hormat menghormati, bekerjasama dan bersikap terbuka pasti tidak timbul masalah.

Sesungguhnya, Penulis memerlukan editor bagi membaca dan mengedit karyanya. Editor pula perlukan penulis bagi mendapatkan manuskrip untuk majikannya.

Penulis mempunyai bakat menulis editor pula mempunyai kemahiran dalam bidangnya.

Kerana itu antara penulis dengan editor ibarat aur dengan tebing. Mestilah wujud kerjasama, persefahaman dan saling bantu membantu bagi mencantikkan lagi karya.

Rabu, September 26, 2007

MACAM-MACAM RAGAM



Arab News melaporkan saf hadapan Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi disewakan antara 1,000 hingga 1,500 rial kepada para jemaah yang datang sepanjang Ramadan.

Jual beli itu dilakukan dengan cara penjaga saf datang lebih awal lalu menduduki saf-saf paling di hadapan kemudian tempat duduknya diberikan kepada pelanggan yang telah membuat tempahan awal.
Di masjidil Nabawi Madinah pula tempat yang menjadi rebutan di kawasan Raudhah. Peniaga Saf hadapan itu berlumba-lumba datang awal bagi menduduki saf-saf tersebut lalu kemudiannya diserahkan kepada pembelinya.

Urusan jual beli saf itu kadangkala dilakukan secara terang-terang tetapi pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan kerana dilakukan secara suka sama suka.

Bersembahyang di Masjidil Haram 100.000 kali lebih baik dari bersembahyang di tempat lain. Mungkin kerana itu masing-masing berebut hendak duduk di saf paling hadapan.

Syekh Ahmad bin Qasim al-Ghamdi, Presiden Kebajikan Makkah mengatakan, menyewakan tempat di dalam Masjidil Haram adalah pelanggaran syariah yang serius.

"Shaf terdepan bukanlah untuk diperjualbelikan, tapi untuk diperjuangkan. Menjadi shaf terdepan haruslah dengan niat ibadah dan menjadi jamaah yang lebih awal, bukan untuk disewakan, " ujarnya.

Menurut Syekh Ahmad, hal ini telah merusak ibadah Ramadan dan mengotori kesucian Masjidil Haram.

Isnin, September 24, 2007

PERTANYAAN PEMBACA


Pertanyaan pertama:

Pak Latip

Dalam buku "Salahudin Penakluk Jerusalem", kenapa guna nama "Salahuddin bin Ayubi" sedangkan nama ayah Salahuddin bukannya Ayubi. Setahu saya, nama beliau yang sebenar ialah yusuf (seperti yang ditulis dalam buku pak latip) kemudian gelaran beliau ialah Salahuddin Al-Ayyubi.

Setakat yang saya pernah tahu - nama ayahnya Najmuddin Ayyub. Jadi, kurang tepat kalau kita terus namakan beliau 'salahuddin bin ayubi'. Pendapat pak latip bagaimana? Saya harap perkara asas ini dapat dibaiki. Rujuk kepada mereka yang mahir bahasa arab. Ini boleh mengelirukan.

Maaf, atas teguran ini. Sekadar mohon penjelasan.

Dari

Nisah Haji Haron.




Pertanyaan kedua:

Pak Latip

Aku terbaca dalam blog Faisal Tehrani begini

"Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Salahuddin al Ayyubi terhadap sisa umat Islam dinasti Fatimiyyah. Gambaran-gambaran keadilan Salahuddin inilah yang tiba ke tangan kita hari ini, satu akaun bersifat sastera yang telah disensasikan dengan melupakan sifat bengis Salahuddin dan tiadanya belas kasihan terhadap umat Islam dinasti Fatimiyyah yang beliau kalahkan."

Pertanyaan saya benarkah Salahudin itu kejam?. Kenapa Pak Latip tidak masukkan kisah itu dalam novel Pak Latip?.

Peminat Faisal.

Ahad, September 23, 2007

SAYANGI KANAK-KANAK


Mengikut yang direkodkan dalam statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini seramai 319 kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun yang dilaporkan hilang dan nasib mereka masih belum diketahui.

Kita percaya tujuan melarikan kanak-kanak itu untuk tujuan seksual melepaskan nafsu kebinatangnnya kepada kanak-kanak yang masih lemah dan tidak mampu mempertahankan diri.

Kita berharap selepas ini tidak ada yang senasib dengan adik Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, yang dilaporkan hilang kira-kira dua minggu yang lalu. Setelah berita kehilangannya tersebar dan setelah orang ramai berusaha menecarinya, tiba-tiba mayatnya ditemui dalam beg pakaian…

Siapakah yang melakukannya?. Adakah penduduk tempatan atau pendatang asing yang jumlahnya beratus ribu di Negara kita?.

Walau siapapun yang melakukannya kita berharap pembunuh itu dapat ditangkap untuk dihadapkan ke muka pengadilan dan hukuman yang setimpal mestilah dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

Usaha pihak polis menubuhkan unit yang dikenali sebagai D11 bagi mengendalikan kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga terutama kes-kes seksual dan penderaan memang tepat pada masanya. Namun kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan terutama bagi menjejaki kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu.

Ibu bapa yang sepatutnya lebih berwaspada jangan biarkan anak-anak berjalan bersendirian walaupun untuk pergi ke pasar malam yang berdekatan dengan rumah kerana manusia “binatang’ itu masih berkeliaran di mana-mana.

Kita yakin kanak-kanak yang hilang itu masih disembunyikan di kawasan perumahan. Kerana itu menjadi tanggung jawab anggota masyarakat melaporkan kepada pihak polis apabila ternampak atau terdengar sesuatu yang mencurigakan.

Sabtu, September 22, 2007

SEMBAHYANG TARAWIH


Salam Pak Latip,

Pertanyaan saya bukan pasal novel tapi mengenai solat tarawih. Ada yang melakukannya 23 rakaat tapi ada pula 11 rakaat. Mana satu yang benar?. Pak Latip buat berapa rakaat?
-----------------------------------------------------------

Pada masa sekarang di kebanyakan masjid dan surau sembahyang sunat tarawih 11 rakaat (8 tarawih + 3 witir) namun masih ada yang 23 rakaat (20 tarawih + 3 witir).

Di kampung saya sembahyang tarawih 11 rakaat sahaja. Tetapi di kampung sebelah mereka buat 23 rakaat.

Tidak kisahlah berapa rakaat asalkan kita buat kerana sembahyang tarawih Cuma ada pada bulan Ramadan sahaja.

Adapun perbezaan pendapat mengenai jumlah rakaat tarawih itu sudah ada sejak dahulu lagi. Perbezaan pendapat ini dibolehkan Cuma yang tidak boleh kita mencela pendapat orang lain. Apatahlagi menuduhnya bidaah.

Terjadinya perbezaan pendapat ini kerana tidak ada hadis yang menetapkan berapa jumlah rakaat sembahyang tarawih. Kalau adapun dalilnya diragui kesahihannya.

Apa yang pasti sembahyang tarawih itu sememangnya pernah dilakukan oleh Nabi Muhamad saw tetapi baginda tidak melakukannya pada setiap malam kerana dikuatiri diwajibkan ke atas umatnya.

Namun tidak ada hadis yang menerangkan berapa rakaat baginda melakukan sembahyang tarawih pada masa itu.

Tetapi pada masa Saidina Umar al Khattab, sembahyang sunat tarawih dilakukan 20 rakaat. Kalaulah tidak betul pasti para sahabat yang masih hidup ketika itu akan mencelanya.

Namun ada yang mengatakan sebahagian para sahabat nabi sembahyang 11 rakaat sahaja apabila diimamkan oleh Ubay bin Kaab.
Apa yang penting mari kita lakukannya kerana peluang ini cuma ada pada bulan Ramadan sahaja.

Selasa, September 18, 2007

TERKENANG MASA LALU


Setiap kali menjelang Ramadan aku selalu terkenang masa lalu di mana aku pernah tinggal di rumah anak-anak Yatim Ulu Gadung, Negeri Sembilan.

Dahulu keadaan di rumah anak-anak yatim itu tidak mewah seperti sekarang. Pada waktu malam kami membaca buku atau mengulangkaji pelajaran di bawah lampu gasolin. Kami mandi masih menggunakan air perigi.

Setiap kali menjelang Ramadan aku dan rakan-rakan sebaya berbuka puasa dengan nasi berlaukkan ikan atau sayuran sahaja. Juadah berbuka puasa sama seperti juadah pada hari-hari biasa. Namun kami tetap gembira menjalani ibadah puasa.

Pada malamnya kami bersembahyang Terawih diimamkan oleh Tuan Haji Mohd Yatim yang mengelolakan rumah anak-anak yatim itu. Dia yang menanggung makan minum kami disamping derma dari penduduk kampung.

Aku selalu terkenang masa lalu. Banyak kenangan indah semasa berada di rumah anak-anak yatim.

Paling indah, syahdu dan rindu pada saat kami hendak berbuka puasa. Aku dan rakan-rakan duduk bersila di depan kami ada sepinggan nasi bersekali dengan lauknya dan secawan air. Apabila masuk waktu berbuka kami menadah tangan beramai-ramai membaca doa berbuka puasa lalu kami menikmati makanan yang ada dengan begitu berselira sekali.

Apabila menjelang syawal, bukan pakaian baru atau duit raya yang mengembirakan kami, tetapi berharap ada penduduk kampong atau sesiapa yang sudi datang mengambil kami berhari raya di rumah mereka.

Untuk apa aku kenangkan masa lalu?. Untuk apa aku ceritakan kisah silamku?. Memalukan?.

Oh tidak. Semoga kenangan masa lalu itu membuat aku bersyukur dengan apa yang ada. Semoga dengan mengingati masa lalu itu membuat aku tidak alpa. Semoga Kenangan masa lalu itu menyubur imaginasiku...

Khamis, September 13, 2007

KHALID MEMBURU SYAHID


Assalamualaikum,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan taniah kepada En. Abdul Latip
Bin Talib kerana berjaya menghasilkan novel novel sejarah Islam yang
Menarik dan mudah dibaca. Diharap usaha ini diteruskan lagi kerana banyak kisah tokoh tokoh Islam lain yang patut ditulis.

Gaya penyampaian En Abdul Latip amat berkesan, anak-anak saya dah mula gemar membaca, Alhamdulillah.

Walau bagaimana pun, terdapat beberapa fakta yang bercanggah yang saya temui. Saya tak pasti pihak mana yang betul atau pun salah. Mungkin kedua-duanya betul? Hanya tuhan yang mengetahuinya.

Dalam novel "Khalid Memburu Syahid" m.s 38 - 41, dinyatakan bahawa
Harith bin Umair merupakan utusan Nabi. Beliau dibunuh oleh Syurahbil bin Amru, penguasa Basrah yang dilantik oleh Maharaja Rom.

Tetapi merujuk kepada buku yang ditulis oleh Dr. Mustafa as-Syibaie,
berjudul "Sirah Nabi Muhammad S.A.W., Pengajaran dan Pedoman (Pustaka Salam), m.s. 183, beliau menyatakan bahawa al-Harith bin Abi Syamir al-Ghassani, merupakan raja Ghassan yang membunuh Syuja' bin Wahb al-Asadi, utusan Nabi s.a.w. Menurut Dr. Mustafa lagi, tiada utusan Nabi s.a.w. yang dibunuh selain Syuja'.

Sekian.

Hani Fuziah Abdul Rahman
FTMSK, UiTM Shah Alam
40450 Shah Alam, Selangor.



Puan Hani,

Berikut adalah buku-buku rujukan saya semasa menulis Khalid Memburu Syahid

1. 28 Tokoh Islam yang terkemuka – Oleh Haji Mohd Said al Hadi- Penerbit Jabatan Agama Johor 1977.

2. Kehidupan Nabi Muhamad saw – Abu Hasan An Nadawi alih bahasa oleh Yunus Al Muhdhor- Penerbit Asy Syifa Darul Fikir Kuala Lumpur 1992

3. Fiqhus Sirah – Muhamad al Ghazali alih bahasa oleh Abu Laila Mudamad Tohor - penerbit Klang Book Center Klang 1977.

4. Kehandalan Para Panglima Perang Islam- Ibnu Shafa- Penerbit Pustaka Syuhada Kuala Lumpur 2002.

Kalau saya terjumpa buku “Sirah Nabi Muhamad SAW oleh Dr. Mustafa as-Syibaie pasti saya jadikan rujukan.

Perkara yang kita bincangkan ini ada kaitannya dengan perang Mu’tah yang berlaku pada tahun 8 hijrah antara tentera Islam dengan tentera Rom

Kisah bermula apabila Nabi Muhamad saw menghantar utusan kepada Maharaja Rom tetapi apabila sampai di Mu’tah utusan itu disekat oleh penguasa Basrah yang dilantik oleh maharaja Rom, lalu utusan itu dibunuh.

Persoalannya ialah siapakah nama utusan itu dan nama penguasa Rome yang membunuhnya?.

Dalam buku rujukan pertama saya “28 Tokoh Islam Yang Terkemuka” -Pada muka surat 164 ada tercatat “ Rasulullah SAW mengutus utusannya Al Harith bin Umair Al Azdi, sampai di Bandar Muktah utusan itu bertemu dengan Syurahbil bin Amru al Ghasani lalu ditangkap dan dibunuhnya al Harith.

Dalam buku Fiquh Sirah pula pada muka surat 611 ada tercatat “Kaum muslimin marah apabila mendengar berita tentang terbunuhnya utusan rasulullah saw Ibnu Umair. (Al Harith bin Umair).

Dalam buku Kehidupan Nabi Muhamad SAW pula pada muka surat 289 tercatat “ Ada seorang utusan nabi yang bernama Harith bin Umair al Azdi dia diutus kepada Syurahbil bin Amru Al Ghasani.”

Dalam buku Kehandalan Para Panglima Perang Islam pula pada muka surat 4 “Sebab utama Rasulullah saw menghantar pasukan tentera ke Mu’tah kerana menuntut bela atas kematian Al Harith bin Umair yang dibunuh oleh Syurahbil bin Amru.”

Kesimpulannya, sememangnya ada seorang utusan Nabi Muhamad SAW yang dibunuh oleh wakil maharaja Rom di Mu’tah. Dan peristiwa itu membawa kepada berlakunya perang Mu’tah.

Dalam buku yang ditulis oleh Dr. Mustafa as-Syibaie, berjudul "Sirah Nabi Muhammad S.A.W., Pengajaran dan Pedoman (Pustaka Salam), m.s. 183, beliau menyatakan bahawa al-Harith bin Abi Syamir al-Ghassani, merupakan raja Ghassan yang membunuh Syuja' bin Wahb al-Asadi, utusan Nabi s.a.w. Menurut Dr. Mustafa lagi, tiada utusan Nabi s.a.w. yang dibunuh selain Syuja'.

Memang terdapat percanggahan fakta antara buku yang ditulis oleh Dr Mustafa as Syibaie dengan buku-buku rujukan saya.

Bagi menjawab persoalan ini kita merujuk kepada hadis kerana semua peristiwa itu berlaku semasa Nabi Muhamad saw masih hidup.

Menurut sejarah, ada dua utusan Nabi Muhamad saw yang dibunuh iaitu Al Harith bin Umair dan Ka’ab bin Amir al Ghafari.

Nama Al Harith bin Umair terdapat dalam 4 buah buku rujukan saya iaitu “28 Tokoh Islam Yang Terkemuka” “Kehidupan Nabi Muhamad SAW” dan “Kehandalan Para Panglima Perang Islam” dan "Fiqus Sirah" .

Nama Syurahbil bin Amru juga terdapat dalam keempat buku tersebut.

Fakta dalam buku “28 Tokoh Islam Yang Terkemuka” lebih diyakini kerana disokong dengan hadis-hadis.

Kerana itu saya yakin fakta dalam novel Khalid Memburu Syahid adalah benar.

Sekian terima kasih

Isnin, September 10, 2007

BENARKAH HANG TUAH WUJUD


Puan Siti Rafidah Hassan (seorang penulis PTS) bertanya melalui emelnya kepada saya, “Benarkah Hang Tuah itu wujud?”

Dalam novel Setelah Roboh Kota Melaka memang ada diceritakan Sultan Mahmud Shah memerintahkan Hang Tuah menyerang kapal-kapal Portugis di perairan Selat Melaka. Laksamana Hang Tuah bersama hulubalang Melaka menaiki perahu perang lalu menyerang kapal-kapal perang Portugis itu. Maka berlaku pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Dalam pertempuran itu Hang Tuah terkena tembakan peluru meriam lalu jatuh terpelanting ke dalam laut.

Saya yakin Hang Tuah itu memang wujud. Selain dalam Hikayat Hang Tuah nama pahlawan itu juga disebut dalam sejarah Melayu. Malah dalam hikayat Raja-Raja Pasai juga ada tercatat nama Hang Tuah.

Dalam Hikayat Hang Tuah pahlawan itu dikatakan ghaib atau menghilanhgkan diri. Tetapi dalam sejarah Melayu Hang Tuah dikatakan terkena peluru Meriam Portugis lalu tercampak ke dalam laut.
Saya yakin pahlawan Melayu itu wujud. Kerana itu dirakamkan watak Hang Tuah dalam novel sejarah Setelah Roboh Kota Melaka..

Khamis, September 06, 2007

TERIMA KASIH






Professor Madya Nurazzah sedang meneliti novel-novel yang saya bawa.

Professor Madya Nurazzah berminat membeli dan membaca novel-novel sejarah pahlawan Islam setelah pulang dari menziarahi makam-makam pahlawan itu di Jordan dan Syria. Kerana begitu tertarik dengan kisah yang dipaparkan dalam novel itu maka dia mempromosikan novel-novel itu kepada kawan-kawannya di UiTM dan jiran-jiran di kawasan kediamannya. Dia melakukannya dengan sukarela.

Hari ini kali ketiga saya membawa novel-novel sejarah itu ke UiTM Shah Alam. Si Bongkok Tanjung Puteri dan Setelah Roboh Kota Melaka yang baru saja terbit turut mendapat pesanan.

Sebagai penulis novel-novel tersebut saya amat menghargai usaha yang dilakukannya.

Terima kasih Professor Nurazzah. Semoga Allah SWT membalas budi yang baik itu dengan pahala, rahmat dan keampunan-Nya. Amin.

TERBITAN KEDUA

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana Novel Sejarah Islam Salahudin Penakluk Jerusalem "laku keras" dan sudah diulang cetak kali kedua

Kulit luarnya nampak lebih menarik kerana kelihatan lebih berkilat dan tulisannya timbul.

Untuk cetakan kedua ini tidak ada apa-apa penambahan atau pembetulan isinya.

Khabarnya selepas ini Khalid Memburu Syahid pula akan diulang cetak.

Terima kasih kepada anda yang telah sudi membeli dan membacanya. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya.

Rabu, September 05, 2007

NEGERI BERTUAH INI



NEGERI BERTUAH INI

Negeri bertuah ini
Tanah air tercinta
Di sini kita dilahirkan
Di sini kita dibesarkan
Di sini taat setia dicurahkan.

Negeri bertuah ini
Warisan nenek moyang
Kaya dengan budaya
Kaya dengan adat dan suku
Air setitik menjadi tasik
Tanah sekepal menjadi gunung
Rakyat dididik hidup muafakat
Bijak dijadikan panglima
Alim dijadikan imam.

Negeri bertuah ini
Pernah terjajah dan dijajah
Demi maruah bangsa dan tanah air tercinta
Rakyat bangun menentang
Darah tumpah merata.

Negeri bertuah ini
Sudah merdeka
Yang gagah tidak lagi mengunus senjata
Yang berani tidak lagi bermaharajalela
Rakyat bangun berjuang
Melawan kemiskinan
Membasmi kejahilan.

Negeri bertuah ini
Rakyat belajar berdikari
Hutan diteroka menjadi ladang
Desa dibangunkan
Bandar dimodenkan
Rakyat bersama mengecap pembangunan

Negeri bertuah ini
Tanah air tercinta
Pesan nenek moyang
Di mana bumi dipijak
Di situ jejak bertapak
Di mana tempat bernaung
Di situ taat dijunjung
Di mana darah tumpah
Di situ kasih dicurah.

Negeri bertuah ini
Negeri kita
Mari kita bangunkan
Mari kita makmurkan
Mari kita pertahankan.

A. Latip Talib
Negeri Sembilan.

Terima kasih Dewan Sastera Ogos 2007 kerana menyiarkan puisi ini.
Cek bernilai RM200 sudah diterima.

Terima kasih.

Selasa, September 04, 2007

KELAHIRAN YANG DINANTIKAN




Setelah tarikh kelahirannya tertunda beberapa kali, akhirnya Si Bongkok Tanjung Puteri dan Setelah Roboh Kota Melaka berada di pasaran.

Novel berkembar ini lahir serentak sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan Negara yang ke 50.

Kedua novel ini akan menyertai barisan novel-novel sejarah Islam di rangkaian kedai-kedai yang menjual buku-buku PTS antaranya MPH dan Popular.

Atau boleh juga membelinya secara online dengan PTS atau Ujana Ilmu.

Sudi-sudilah membeli dan membacanya.






Isnin, September 03, 2007

OH CAMERON HIGHLAND

Pekan Brincang pada waktu pagi. Hujan turun lebat kabus tidak kelihatan tetapi jalan mula sesak dengan kenderaan yang hendak naik ke puncak.

Sayur-sayuran dan buah-buahan segar antara daya tarikan Cameron Highland.

Bergambar kenangan di ladang teh.


Latar Iskandar. Airnya masih sejuk dan jernih.

Ramai yang pergi ke Cameron Highland untuk berehat sambil menikmati keindahan alam dan cuacanya yang sejuk. Kalau hendak selesa jangan pergi pada hari cuti kerana orang terlalu ramai menyebabkan jalan sesak dan tempat penginapan penuh.

15 tahun dahulu saya pernah ke sana dan baru-baru ini berpeluang ke sana sekali lagi. Keindahan alamnya memang cantik dan memukau, namun cuacanya tidak sesejuk 15 tahun lalu. Waktu malam tidak lagi menggigil kesejukan.

Sekarang semakin banyak tempat menarik di Cameron Highland untuk dilawati. Hotel-hotel atau tempat penginapan semakin banyak dengan harga antara RM88.00 hingga RM500.00. Sebaiknya buat tempahan dahulu kerana penuh terutama pada hari cuti..

Walaupun tujuan utama pergi melancung tetapi apabila sampai ke sana mata menjadi rambang kerana begitu kuatnya daya tarikan sayur sayuran,buah-buahan segar, bunga-bunga yang cantik, kraf tangan dan sebagainya.

Cameron Highland
Semakin banyak bangunan dibina
bertambah luas tanah diteroka
siapakah yang punya bangunan itu?
milik siapakah ladang yang luas itu?
jangan salahkan sesiapa
kerana kita Cuma jadi pelancung
orang lain yang mengaut laba.