Ahad, Februari 25, 2007

TEMURAMAH, PAYUNG DAN BUKU CATATAN




TEMURAMAH, PAYUNG DAN BUKU CATATAN

Pada hari Selasa yang lalu saya dihubungi melalui telefon oleh Puan Shaidah Shafie wartawan sastera Berita Harian, ingin menemuramah saya untuk ruangan sastera di akhbar tersebut.

Tentulah saya gembira.

Gembira kerana Shaidah yang pernah saya jumpa kira-kira 13 tahun lalu, semasa kami menyertai rombongan GAPENA melawat Sumatera Barat Minangkabau, ketika itu dia masih menuntut di universiti, kini telah menjadi wartawan, sudi menemuramah saya.

Sebagai penulis tentulah gembira malah merasakan satu penghormatan apabila ada wartawan yang sudi menulis tentang kegiatan saya di bidang penulisan.

Kerana itu pada keesokan harinya (Rabu) saya berkunjung ke Berita Harian di Jalan Riong, Bangsar lalu ditemuramah oleh Shaidah.

Menurut Shaidah dia juga masih kenal saya malah selalu juga berkunjung ke blog saya di esasterawan.com dan di blogspot. com. Lalu beliau menyuruh saya menceritakan satu kisah yang tidak dapat dilupakan yang ada kaitannya dengan dunia penulisan. Lalu saya pun menceritakan kisah mencari ayah yang ada kaitannya dengan novel Beraraklah Awan Pilu.

Kerana asyik menceritakan kisah tersebut tidak sedar jam sudah pukul 6.30 petang lalu temuramah terpaksa ditamatkan dan saya tidak sempat bercerita panjang mengenai 4 buah novel sejarah pahlawan Islam yang baru terbit.

Petang itu hujan turun dengan lebat. Saya yang datang dengan menaiki Putera LRT agak resah juga untuk meredah hujan yang lebat. Mujur Shaidah bermurah hati memberikan payungnya. Selain itu dia juga menghadiahkan sebuah buku catatan.

Terima kasih..

SIAPA ITU?


Siapa Itu...: Pengembaraan cari ayah membawa tuah
Oleh Shaidah Shafie

ABD Latip Talib, meskipun sudah lebih separuh abad masih cergas dalam kegiatan berpersatuan khususnya anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan masih mampu menghasilkan karya remaja yang bertenaga.

Kecemerlangannya dalam menangani genre terbabit dibuktikan dengan kekerapan beliau memenangi beberapa hadiah sastera kategori karya remaja dan terkini novelnya, Berarak Awan Pilu (BAP), memenangi hadiah ketiga sastera Utusan pada 2005.

Abd Latip bersyukur dengan kemenangannya itu kerana novel berkenaan meskipun dalam kategori remaja, tetapi mengetengahkan mesej positif dan BAP juga mempunyai nostalgia tersendiri dalam hidupnya.

Novel berkenaan menampilkan Shafik sebagai remaja yang bermusafir mencari bapa kandung dan sayalah remaja berkenaan, tetapi nama dan lokasi ditukar kerana ia karya kreatif,katanya pada pertemuan dengan Sastera di Balai Berita, baru-baru ini.

Abd Latip, 53, membesar sebagai remaja yang banyak menyimpan kisah duka lantaran ketiadaan bapa sehingga pelbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya, memaksanya nekad mencari bapa yang lama menghilangkan diri.

Saya dibesarkan ibu sehingga berusia 12 tahun dan dalam tempoh itu ramai yang mempersoalkan mengapa saya tidak berbapa. Apabila saya bertanya kepada ibu dan nenek, kedua-duanya hanya mendiamkan diri,katanya yang memulakan pencarian pada usia 40 tahun.

Abd Latip berkata, akibat kesulitan hidup, beliau lebih banyak menghabiskan masa di Rumah Anak Yatim Ulu Gadong dan pulang sekali sekala menjenguk ibu dan nenek di kampung.

Selepas bekerja dan berumahtangga, hasrat mencari bapa semakin memuncak dalam diri sehinggalah pada satu hari, beliau mengambil cuti selama seminggu untuk ke Pulau Pinang, negeri kelahiran bapanya.

Sebelum itu, saya memang sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah agar memberi petunjuk mengenai bapa. Nenek ada memberitahu bapa berasal dari Pulau Pinang manakala ibu saya isteri kedua, katanya.

Sebaik tiba di Pulau Pinang, beliau meminta pemandu teksi menghantarnya ke masjid berhampiran Tanjung Bungah memandangkan rumah Allah itu bersedia menerima tetamu tidak diundang pada bila-bila masa.

Di masjid berkenaan, Abd Latib menunaikan solat yang terlepas selain memanjatkan doa kepada Allah agar menemukannya dengan insan yang dirindui sejak bertahun-tahun lamanya.

Saya kemudian bertanya kepada individu yang ditemui di luar masjid dan diberitahu Talib Ghani sudah berpindah ke Singapura dan tiada khabar berita, tetapi anak perempuan dari isteri pertamanya didakwa menetap di kawasan perumahan berdekatan, katanya.

Berbekalkan niat yang tulus, Abd Latip mengunjungi rumah Che Su Talib dan reaksi spontan Che Su ialah sangsi untuk menjemput beliau masuk, memandangkan dirinya tidak dikenali dan dilihat sebagai orang asing.

Abd Latip tidak mendedahkan niat kedatangannya ke rumah Che Su dan hanya memperkenalkan diri sebagai anak Talib Ghani selepas Che Su mengatakan wajah beliau seiras dengan Talib.

Beliau tidak teragak-agak mendapat alamat kediaman bapanya di Singapura daripada Che Su dan menaiki kereta api menuju ke Tanjung Pagar pada hari yang sama kerana desakan rindu.

Di Tanjung Pagar, saya sekali lagi meminta pemandu teksi berbangsa Cina menghantar saya ke masjid berdekatan. Selesai solat Isyak, saya bertanya kepada jemaah di situ mengenai bapa saya, katanya.

Ibarat bulan jatuh ke riba, jemaah masjid itu menghantar beliau ke rumah Talib Ghani yang dicari selama ini dan kehadiran Abd Latip pada larut malam mencetus syahdu tersendiri.

Saya terkejut kerana bapa bersama isteri dan sembilan anaknya sudah bersiap sedia menunggu ketibaan saya. Meskipun suasana sepi seketika ketika ketibaan saya kerana mereka tidak mengetahui niat sebenar kedatangan saya, mereka terharu,katanya.

Bertolak daripada peristiwa itu, Abd Latip menyedari perhubungan antara bapa dan anak tidak akan putus dan keyakinan tinggi menyebabkan beliau tekad bermusafir dalam masa seminggu mencari waris keturunan di Singapura.

Ketika di Pulau Pinang saya mensasarkan masjid sebagai lokasi pertama yang dituju dan di Singapura juga saya berserah kepada Allah dengan menjadikan rumah Allah sebagai destinasi persinggahan pertama.

Saya berdoa tanpa jemu dan yakin ikhtiar terbaik adalah dengan berusaha mencarinya tanpa niat serong. Kerinduan untuk melihat saya mempunyai seorang ayah yang menjadi mainan rakan sebaya menggerakkan saya untuk terus berusaha, katanya yang mengakui kini memiliki keluarga besar dan bersyukur dengan anugerah Allah.

Pengalaman membesar tanpa bapa itu yang merangsang Abd Latip menjadi individu yang kaya dengan perasaan dan idea sehingga gelodak rasanya mampu dicurahkan dalam karya berbentuk novel, cerpen dan skrip drama radio.

PROFIL

Abdul Latip Talib
Tarikh lahir: 1954
Tempat lahir: Rembau, Negeri Sembilan
Pendidikan: Sek (U) Menengah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.
Antologi puisi bersama: Jika Kau Rindu.
Kumpulan cerpen: Kebenaran.
Novel: Antaranya Berarak Awan Pilu, Randau Ruai, Tariq Ziyad, Ikramah Abu Jahal, Salahudin Penakluk Jerusalem dan Khalid Memburu Syahid.
Pencapaian: Anugerah Sastera Negeri Sembilan, Pemenang Ketiga Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Utusan 2005 melalui Berarak Awan Pilu dan pemenang pertama Peraduan Menulis Novel Sastera dan Budaya Sarawak 2005 melalui Randau Ruai.

Selasa, Februari 13, 2007

NOVEL SEJARAH ISLAM



Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah SAW.

Khabarnya jualan novel sejarah Islam KHALID PEMBURU SYAHID dan SALAHUDIN PENAKLUK JERUSALEM pada Karnival Buku di PWTC dari 9hb hingga 12hb yang lalu, macam goreng pisang panas.

Sebagai penulis novel-novel tersebut tentulah saya berasa gembira dan bersyukur dengan limpah kurnia-Nya. Terima kasih juga kepada PTS yang berusaha menerbit dan memasarkannya.

Tidak lama lagi terbit pula kisah Tariq bin Ziyad dan Ikramah bin Abu Jahal. Empat buah novel sejarah Islam itu saya hasilkan serentak dalam tahun 2005.

Ada juga yang bertanya macam mana saya menghasilkan empat buah novel setiap satunya setebal 250 hingga 400 halaman dalam masa tidak sampai setahun?




Semuanya bermula setelah saya mengikuti bengkel penulisan yang dianjurkan oleh PTS dibawah bimbingan Puan Ainon Mohd.

Setelah mengikuti bengkel tersebut saya mendapat kekuatan untuk menulisnya.Walau bagaimanapun penerbitan novel sejarah pahlawan Islam yang ditulis dalam bentuk kreatif itu terlambat beberapa bulan kerana pihak PTS ingin memastikan konsep dan ketepatan faktanya. Mujurlah saya menulisnya berdasarkan rujukan buku-buku sejarah Islam termasuk hadis-hadis nabi. Peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan pahlawan-pahlawan Islam yang terkandung dalam novel itu bukan rekaan saya sendiri.

Novel tersebut sesuai dibaca oleh kanak-kanak, remaja dan dewasa kerana kisahnya berkisar mengenai kehebatan pahlawan-pahlawan Islam yang seharusnya dicontohi terutama oleh anak-anak muda dan pejuang-pejuang Islam.

Harapan saya semoga novel tersebut berjaya menembusi pasaran di negara-negara jiran. Harapan saya juga semoga novel tersebut diterjemahkan ke bahasa lain kerana pahlawan-pahlawan Islam bukan sahaja dikenali oleh orang-orang Melayu malah bangsa-bangsa lain juga terutama yang beragama Islam.

Sabtu, Februari 10, 2007

SUDAH TERBIT





Petang semalam saya ke pameran buku di PWTC yang bermula 9hb hingga 12hb. Saya berasa teruja pergi ke sana apabila dimaklumkan oleh pihak PTS bahawa novel pahlawan Islam Khalid Walid dan Salahudin Ayubi telah terbit dan ada dijual di sana.

Alangkah gembiranya hati saya bila melihat novel tersebut ada di pamerkan di gerai PTS. Saya ambil lalu memegang dan membeleknya seperti menatang cahaya mata yang baru dilahirkan.

Saya amat berpuas hati kerana novel ini hiasan kulitnya menarik disertakan pula gambar dan biodata saya pada kulit belakang. Di permulaan bab ada disertakan dedikasi.

Ketika berada di situ saya nampak beberapa orang pengunjung membelek-belek novel tersebut. Tetapi mereka tidak perasan pengarangnya berada di situ. Sepatutnya saya perkenalkan diri dan promosikan novel tersebut kepada mereka.

Tetapi saya ini jenis penyegan dan tidak ada bakat menjadi jurujual.

Harap-harap PTS tidak rugi dapat penulis macam saya. Harap-harap Sifu Puan Ainon tidak terbaca entri ini...hehe.

Rabu, Februari 07, 2007

MASJID AL AQSA DICEROBOH







Masjid Al Aqsa merupakan masjid yang ketiga terbesar bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid al Aqsa pernah menjadi kiblat yang pertama umat Islam sebelum beralih ke Kaabah.

Menurut sejarahnya Masjid ini pernah dikuasai oleh kerajaan Byzantine (Rome) selama beratus tahun kemudian berjaya dikuasai oleh Islam pada zaman pemerintahan Saidina Omar. Kemudian dikuasai oleh tentera Salib pada tahun 1099 dan berjaya direbut semula oleh Salahudin Al Ayubi pada tahun 1187.

Dan kini masjid tersebut dikuasai oleh Israil. Menurut laporan terbaru rejim ganas Israil telah menggali terowong di bawah Masjid Al Aqsa. Mereka menggunakan jentolak untuk memecahkan dinding masjid tersebut. Mereka juga menutup semua gerbang menuju ke kota Al Quds. Umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa.

Bilakah Masjid Al Aqsa akan dikuasai semula oleh umat Islam?.

Sesungguhnya masjid tersebut hanya dapat dikuasai apabila muncul pemimpin yang ketakwaannya seperti Saidina Omar, keberaniannya seperti Khalid bin Walid dan semangat juangnya seperti Salahudin Al Ayubi.

Untuk mengetahui serta mengenang semula kegigihan dan semangat juang pahlawan Islam Salahudin Al Ayubi dalam usahanya menawan semula Masjid Al Aqsa bacalah novel Pahlawan Islam SALAHUDIN PENAKLUK JERUSALEM yang akan berada di pasaran bermula 15 Februari ini.