Selasa, November 28, 2006

MENUNGGU KELAHIRAN RANDAU RUAI

Bergambar kenangan dengan penulis2 Sarawak Jong Chin Lai, Abang Median, Dahiri Saini



KADANGKALA dalam kehidupan ini, ada perkara yang kita tidak suka pada mulanya tetapi akhirnya membawa kepada kebaikan.

Pada tahun 1997, saya diarahkan bertukar tempat bertugas di Sarawak Bumi Kenyalang. Suatu tempat yang kurang disenangi oleh kebanyakan kakitangan dari Semenanjung. Walaupun pertukaran itu ada kaitannya dengan kenaikan pangkat namun tidak mengembirakan hati saya kerana terpaksa pergi sendirian. Isteri tidak ikut sama kerana anak-anak akan menduduki peperiksaan. Maka dengan hati yang berat saya patuhi juga arahan tersebut.

Di sarawak saya seperti mengalami kejutan budaya. Mengemas rumah, membasuh pakaian dan makanan sendiri yang uruskan. Di Bumi Kenyalang itu juga saya berkawan rapat dengan rakan-rakan sekerja yang terdiri daripada orang Melayu Sarawak, orang Iban, Melanau dan Bidayuh.

Pernah berkunjung ke perkampungan orang Melanau di Igan, Bidayuh di Balingan dan rumah panjang kaum Iban di Sekuau, Sibu. Saya tertarik dengan budaya kaum Iban. Namun saya tidak lama bertugas di Sarawak, apabila Felcra di korporatkan maka kakitangan diberi pilihan samaada hendak bersara atau terus bekerja dengan korporat. Saya memilih untuk bersara.

Pengalaman bertugas di Sarawak itu menjadi kenangan manis setelah saya balik ke Semenanjung. Ketika berada di sana saya memang tidak merasakannya. Pengalaman semasa berada di Sarawak telah memberi idea kepada saya untuk menulis novel RANDAU RUAI.

Ketika berada di Sarawak juga saya sempat menulis dua buah cerpen berjudul Sebuah Kampung Bernama Igan dan Cinta Gadis Melanau tersiar dalam akhbar Sarawak.

Apabila Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan kerjasama GAPENA menganjurkan Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak maka saya pun menyertainya. Maka lahirlah sebuah novel yang berjudul Randau Ruai.

Alhamdulillah, novel itu memenangi tempat pertama.

Setelah setahun majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diadakan di Kucing, saya dimaklumkan novel tersebut akan diterbitkan pada awal tahun 2007.

Insya-Allah.

0 ulasan: