Isnin, Ogos 28, 2006

KISAH PARA SAHABAT

UMAR AL KHATTAB

SAIDINA Umar tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, apa lagi merantau ke pelosok negeri untuk menuntut ilmu atau hidup di kalangan ahli pemikir. Tetapi dia berjaya memberi contoh kepada kaumnya dalam mengurus pemerintahan dan kekuasaan yang penuh dengan keadilan, kebijaksanaan, keutamaan dan berlandaskan fiqh (hukum) Islam.
Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya.

Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq Umar Ibnul Khattab.

Selepas memeluk Islam, Umat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: ?Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama kita, pada hal kita berada di atas kebenaran dan mereka (kaum kafir) kebatilan. Rasulullah SAW menjawab: Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu kita alami.

Umar berkata lagi: Demi yang mengutus engkau dengan hak, akan berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan.

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama kaumnya menuju Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah dan kedua dipimpin oleh Umar. Ketika melihat barisan yang dipimpin oleh Hamzah dan Umar, kaum kafir tampak muram dan kecut hatinya. Maka, sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran Al-faruq bererti pembeza di antara hak dengan batil kepada Umar.

Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka seluruhnya meninggalkan kota Makkah secara sembunyi-sembunyi kecuali Umar. Hanya Umar yang hijrah secara terang-terangan.
Dia sengaja pergi pada siang hari dan melalui gerombolan Quraisy. Ketika melalui mereka, Umar berkata: Aku akan meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!

Mendengar perkataan Umar yang gagah itu, tidak seorang pun yang berani mengekori apa lagi mencegah Umar. Itulah kekuatan yang dimiliki Umar sejak awal keimanannya hingga dalam mengharungi seluruh kehidupannya.

Pada zaman seperti ini, alangkah perlunya kita memiliki orang seperti Umar. Kuat jiwa raganya dan kukuh keperibadiannya. Kerana Allah senang kepada orang yang berjiwa kuat dan benci kepada orang berjiwa lemah.Apa yang dapat membangkitkan kejayaan Islam adalah apa dan bagaimana yang pernah dikerjakan kaum Muslimin terdahulu.

Ketokohan Umar turut terserlah ketika peristiwa Siti Aisyah difitnah. Rasulullah SAW bermusyawarah dengan beberapa tokoh sahabat untuk meminta pandangan mereka.
Ketika Baginda berbicara dengan Umar, dia berkata Ya, Rasulullah, siapakah yang mengahwinkan Rasulullah dengan Aisyah? Nabi SAW menjawab: Allah.Umar bertanya lagi: Apakah Allah menipu anda?. Maha suci, Engkau, ya, Allah, sesungguhnya ini berita bohong yang besar,ucap Rasulullah SAW.

Selepas Baginda mengucapkan itu, turunlah firman Allah bermaksud: Dan mengapa kamu tidak berkata, waktu mendengar berita bohong itu: Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maka Suci Engkau (Ya Rabb kami), ini adalah dusta yang besar. (Surah an-Nuur, ayat 16).

SAIDINA Umar yang terkenal dengan sifat kekerasan dan keganasan berubah menjadi manusia lain selepas dilantik sebagai khalifah. Sikap itu digambarkan dalam ucapannya:

“Janganlah kamu mengira sifat kerasku tetap bersarang. Sejak awal ketika aku bersama Rasulullah SAW, aku selalu menjadi penjaga keamanan dan ketenteraman negeri (menteri) dalam setelah urusan diserahkan kepadaku, akulah orang yang paling lemah di hadapan yang hak.”

Diriwayatkan pada suatu hari, seorang utusan Kaisar menemuinya dengan dihantar oleh beberapa pengawal. Pada waktu itu Amirul Mukminin sedang tidur di kebun dengan berbantalkan batu bata. Melihat hal itu, utusan Kaisar berkata kepadanya: “Wahai Umar, sungguh anda berlaku adil. Oleh kerana itu anda dapat tidur dengan nyenyak dan aman.”

Dalam riwayat lain, dikisahkan selepas negeri Syam dapat ditakluk dan direbut daripada penjajah Romawi, Umar mengunjungi Palestin. Dalam kunjungannya itu, dia diminta memakai pakaian kebesaran dalam suatu upacara yang meriah. Tetapi, kerana keteguhan dan kesedaran pada keimanannya, dia menolak semua itu dan tetap memakai pakaian sehari-hari.

Begitulah, Rasulullah SAW mampu membangun suatu umat dan mendidik mereka menjadi pemimpin salih, berkeperibadian mulia dan mampu menjalankan tugas di bidangnya masing-masing, seperti Umar dan Abu Bakar.

Umar adalah pemimpin umat dan dunia yang berhasil dibina, ditempat dan dipersiapkan Rasulullah SAW untuk memangku jawatan, tanggungjawab dan mengurus segala persoalan dan peristiwa besar. Nama, Umar terpadu dengan daulah Islam, empayer Parsi dan Romawi, serta semua kerajaan yang tercatat dalam sejarah.Tanpa Islam dan tanpa kenabian Muhammad SAW, orang tidak akan mendengar dan tidak akan mengetahui siapa itu Umar.

Abu Bakar As-Siddiq memiliki sifat yang lemah lembut dan tenang, sedangkan Umar bersifat keras, tegas, dan tegar. Itulah dua sifat dipadukan oleh Nabi SAW.
Ketika menghadapi Perang Badar, Umar bersifat keras supaya semua tawanan dibunuh, sedangkan Abu Bakar mengusulkan agar mereka dibebaskan. Sebaliknya, ketika menghadapi kaum pembangkang (murtad), Umar bersikap lunak, sedangkan Abu Bakar bersikap keras menentang mereka dengan perang.

Dalam urusan ini, Umar mempunyai alasan, iaitu: Rasulullah SAW memerangi orang Arab dengan wahyu Allah dan malaikat membantu dengan pertolongannya, tetapi kini wahyu Allah sudah putus. Oleh kerana itu tetaplah di rumah dan masjidmu hai Abu Bakar. Kita tidak usah memerangi mereka.

Abu Bakar menjawab: Apabila musuh kita banyak, sedangkan jumlah kita sedikit maka syaitan akan menyuruh (mengendali) kita seperti itu. Demi Allah, aku harus meninggikan agama ini atas semua agama walaupun orang Musyrikin tidak menyukainya.

Seorang, sahabat Abdullah Ibnu Mas’ud berkata: KeIslaman Umar adalah perintis jalan. Hijrahnya adalah kemenangan, sedangkan kepemimpinannya (khilafahnya) adalah rahmat (ilahiyah).

Keislaman Umar adalah perintis, pembuka jalan, dan pendorong kaum Muslimin dalam menyatakan keIslaman mereka secara terbuka. Dengan adanya Umar, mereka berani melakukan solat secara terang-terangan di hadapan masyarakat Quraisy tanpa takut diganggu.

Hijrahnya Umar adalah kemenangan, sebab dialah yang paling bersikap tegas terhadap kaum Yahudi dan munafik di Madinah. Kepemimpinannya adalah rahmat, kerana pada waktu itu kaum Muslim benar-benar dapat menghayati kehidupannya.Justeru, tidak hairan apabila Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya hak adalah pada lidah dan dalam hati Umar.

Dalam riwayat lain, diceritakan setelah Palestin dikuasai kaum Muslimin, Umar ke Baitulmaqdis untuk menerima kunci kota daripada penguasa lama.Pada waktu itu, Umar hanya mengenakan pakaian biasa dan berjalan kaki sambil menuntun sendiri kudanya.
Penduduk Baitulmaqdis termasuk rahib dan pendeta berdiri berderet di sepanjang jalan untuk menyaksikan Khalifah Amirul Mukminin.

Tetapi alangkah terkejut dan hairannya mereka menyaksikan Umar dalam keadaan amat bersahaja. Mereka sama sekali tidak menyangka orang yang sedang mereka lihat itu adalah Amirul Mukminin. Pada kebiasaannya pembesar yang selama ini mereka saksikan berpenampilan megah dan mewah.

SEMUA orang membicarakan keadilan dan keteguhan hati Saidina Umar terhadap perjuangannya yang semata-mata kerana Allah. Umar berhasil meletakkan dasar dan pedoman yang berisi prinsip risalah Islam. Pedoman dasar itu menjadi pelita hakim dalam melaksanakan hukum sehingga hari ini.

Inilah surat Umar yang ditujukan kepada Abu Musa Al-asy’ari. Amma ba’du.
Pengadilan adalah suatu kewajipan yang kukuh dan nyata, dan suatu sunnah yang berkesinambungan. Fahamilah apa yang disampaikan kepadamu, kerana tidak ada gunanya ucapan yang hak apabila tidak dilaksanakan.

Dalam majlis perlakukan semua orang dengan sama baiknya supaya orang yang berkedudukan tidak mengharapkan kezalimanmu, dan orang yang lemah tidak takut kepada kezalimanmu.

Bukti harus dikemukakan oleh orang yang menuduh dan sumpah harus dikeluarkan oleh orang yang mungkir. Perdamaian sesama Muslim diperkenankan, tetapi berdamai untuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal jangan dilakukan.
Keputusan perkara yang kelmarin boleh dibatalkan apabila kamu sudah mempertimbangkan kembali dan memperoleh petunjuk yang benar. Sesungguhnya kebenaran adalah suatu hal yang tetap dan mengulang untuk memperoleh yang hak lebih baik daripada tetap dan terus-menerus dalam kebatilan.

Ingat! Gunakan pertimbangan akal sihat dan renungan hati nuranimu terhadap apa yang belum sampai kepadamu dari ajaran al-Quran dan sunnah Nabi SAW.Pelajari contoh dan perumpamaan yang mirip dan jadikan itu sebagai bahan pertimbangan dan ukuran. Lalu pilihlah apa yang lebih disenangi oleh Allah dan yang menurut pertimbanganmu lebih mendekati yang hak.

Berikan hak yang mengandung ketidakpastian kepada orang yang menuntut atau tangguhkan sampai dia dapat membuktikannya dengan jelas. Kalau dia mampu membuktikannya maka kembalikanhaknya kepadanya. Kalau tidak, maka arahkan tuntutan balik terhadapnya, kerana hal itu akan menghilangkan keraguan dan lebih jelas daripada kekaburan dan juga untuk mengukuhkan alasan.

Kaum Muslimin harus menjadi saksi yang adil bagi yang lain, kecuali terhadap orang yang pernah didera kerana melakukan pelanggaran atau diketahui pernah menjadi saksi palsu, atau diketahui tidak setia dan tidak bertanggung jawab terhadap keluarga. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala rahsia.

Dia membiarkan kamu berbuat dalam hal yang syubhat (tidak pasti hukumnya).
Berhati-hatilah terhadap kegelisahan, keluhan, sifat mengganggu (merugikan) orang lain, dan mengingkari hak lawan yang benar.

Barang siapa yang mengikhlaskan niatnya di antara dirinya dengan Allah, Tabaroka wata’ala, walaupun itu merugikan dirimu sendiri maka Allah akan menjadi pelindungmu antara kamu dengan manusia.

Barang siapa yang berpura-pura memperindah peri laku di hadapan manusia, pada hal Allah mengetahui apa yang ada di balik hatinya, maka Allah akan membongkar apa yang disembunyikannya dan Allah akan menampakkan amal perbuatannya.

Umar adalah orang yang rendah hati kerana Allah. Makanan dan pakaiannya sangat sederhana. Dia tidak segan-segan membawa tempat air di pondoknya. Dia juga menunggang keldai tanpa pelana dan menunggang unta dengan berpelana daun.
Tertawanya sedikit sekali dan jarang bergurau, selalu nampak serius dan berwibawa.
Dia memakai cincin bertatah tulisan bermaksud: Cukup kematian sebagai pelajaran, hai Umar.

PUJIAN dan cinta Nabi Muhammad SAW terhadap Saidina Umar begitu besarnya sehingga Baginda bersabda: Yang paling kukuh dalam agama Allah daripada umatku ialah Umar.”
Sahabat Abbas berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku memiliki dua penasihat (menteri) dari ahli langit dan dua penasihat (menteri) dari ahli bumi. Yang dari ahli langit ialah Jibril dan Mikail, sedangkan dari ahli bumi adalah Abu Bakar dan Umar. Merekalah pendengaran dan penglihatanku. (Hadis riwayat Alhaakin, Ibau Asaakir dan Au Na’im dalam Fadhailus Sohabah)

Daripada Saidatina Aisyah, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya syaitan menyingkir (menghindar) apabila berjumpa dengan Umar. (Hadis riwayat Ibnu Asaakir)
Rasulullah SAW pun bersabda: Paling kasih sayang daripada umatku adalah Abu Bakar dan paling keras dalam agama Allah adalah Umar. (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim dan At-Tirmizi)

Pada suatu hari, Hafsah Ummul Mukminin berkata kepada Umar: Apabila datang utusan dari negeri lain hendaknya anda mengenakan pakaian yang lebih (indah) elok dan suruhlah dibuatkan makanan mewah untuk dihidangkan kepada anda dan hadirin.
Mendengar perkataan anaknya, Umar menjawab: Hai Hafsah, tidakkah kamu tahu yang paling mengetahui mengenai seseorang adalah isterinya?
Hafsah menjawab: Ya, benar.

Umar berkata lagi: Tahukah kamu sesudah Rasulullah SAW menjadi nabi beberapa tahun lamanya, Baginda dan keluarganya tidak pernah kenyang makan kurma, kecuali sesudah Allah menguasakan khaibar baginya?

Tahukah kamu ketika pada suatu hari Rasulullah SAW disedari hidangan makanan mewah lalu beliau berasa tidak senang sehingga air mukanya berubah, lalu Baginda menyingkirkan hidangan itu?

Tahukah kamu Rasulullah SAW biasa tidur beralaskan kain berlipat dua. Tetapi pada suatu malam alas kain itu dilipat empat. Ketika bangun Baginda SAW bersabda: Kalian mencegahku bangun (solat) malam dengan alas kain yang tebal ini. Lipat dua saja seperti biasanya.

Baginda tertidur nyenyak kerana beralaskan kain tebal, sehingga tidak terbangun untuk solat malam. Tahukah kamu ketika Bilal azan untuk solat, Rasulullah SAW tidak segera keluar kerana menunggu pakaiannya yang dicuci belum kering?

Hai, Hafsah, dua kawanku terdahulu menempuh jalan itu dan apabila aku menempuh jalan yang berbeza tentu aku akan terbawa kepada jalan yang bukan jalan mereka.
Aku akan bersabar meniru kehidupan mereka yang keras. Semoga aku dapat menikmati kehidupan mereka yang penuh kebahagiaan.

Itulah kecintaan Umar kepada kedua-dua sahabatnya, Rasulullah SAW dan Abu Bakar.
Umar selalu mendekatkan diri kepada Allah. Di tengah malam dan penghujung siang, dia berzikir. Selepas diangkat menjadi khalifah, dia selalu berdoa: Ya, Allah, seperti Engkau tahu, aku ini berwatak keras. Oleh kerana itu lunakkanlah aku. Aku ini lemah, ya Allah, maka kuatkanlah aku. Aku ini kikir, maka jadikanlah aku hamba-Mu yang pengasih, pemurah dan dermawan.

Ketika terjadi kelaparan pada tahun kemarau panjang Umar berdoa: Ya, Allah? janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.
Ketika dia akan melepas pasukan untuk penyebaran agama, Umar berdoa: Ya, Allah, anugerahkan bagiku rezeki gugur di jalanmu atau wafat di kota nabi-Mu.

Selepas usiaku makin tua, dia berdoa: Ya Allah, usiaku makin tua, kekuatanku makin surut (lemah), rakyatku makin menyebar luas, maka wafatkanlah aku tanpa mensia-siakan dan melalaikan tanggungjawabku.

SABDA RASULULLAH
Yang paling kukuh dalam agama Allah daripada umatku ialah Umar
(Riwayat Alhaakin, Ibau Asaakir dan Au Na’im dalam Fadhailus Sohabah)

Petikan dari Berita Harian.

0 ulasan: