Jumaat, Julai 21, 2006

HADIAH SASTERA UTUSAN 2005


Pada malam 19hb Julai 2006 telah berlansung penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan -ExxonMobil 2005 (HSKU), Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyampaikan hadiah kepada para pemenang HSKU. Saya pemenang tempat ketiga kategori novel remaja. Alhamdulillah.

Kali pertama hadiah saguhati cerpen remaja pada tahun 2001 di tempat yang sama iaitu di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur dengan cerpen yang bertajuk Jaguh Kampung. Dan kali ini dengan novel remaja berjudul Beraraklah Awan Pilu.

Seperti biasa apabila memenangi satu-satu hadiah sayembara hati berasa seronok dan gembira. Walaupun memenanginya bukan matlamat utama saya menulis tetapi memberi keyakinan serta ransangan untuk terus menghasilkan karya..

Pada bulan Disember 2005 yang lalu saya ke Kucing menerima hadiah peraduan menulis novel sastera dan budaya sarawak.

Seperti penulis-penulis lain bukan kejayaan itu yang hendak dibangga-banggakan. Cuma sekadar rakaman kegembiraan sebagai seorang penulis.

Pada malam itu saya duduk satu meja dengan pemenang kategori Novel Remaja Bahasa Inggeris Ti Chin Han pemenang tempat pertama, Lee Su Ann pemenang tempat kedua dan Teoh Choon Ean pemenang di tempat ketiga.

Sempat juga saya bertanya pengalaman Ti Chin Han yang menghasilkan novel berjudul Frigge Horror yang meraih hadiah wang tunai RM6,000. Menurutnya mengambil masa 6 bulan menyiapkannya. Dia juga bertanya pengalaman saya menulis Beraraklah Awan Pilu.

Sempat juga bersalaman dengan Ghazali Lateh pemenang hadiah Utama kategori Cerpen Hikayat Naga Gunung Cimayu. Kemudian bertemu pula Ahmad Fadhil Mohamad Pakarul Razy atau Fahd Razy pemenang hadiah utama kategori Puisi Al-Andalus Menangis.

Sempat juga berbual dengan cerpenis muda berbakat Ummu Hani Abu Hassan pemenang kategori Cerpen Remaja, meraih Hadiah Utama dengan cerpen Kampung Hati Ayah, selain mendapat hadiah penghargaan bagi kategori Cerpen dengan cerpen Cerita-Cerita Akhir. Beliau meraih hadiah wang tunai berjumlah RM3,300. Tahniah Ummu Hani.

Selesai majlis sempat juga berbual-bual dengan Nor Azah Aziz dan Amir Hmzah L. Kadir dari Kedah pemenang hadiah pertama novel Kembara Amira. Siti Jasmina Ibrahim pemenang tempat kedua dengan novel 6.20. Sedang kami berbual tiba-tiba muncul Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Semasa kami bersalaman dia bertanya kepada Nor Azah, inikah dia orangnya?
Saya bertanya kepada Nor Azah apa maksud pertanyaan Datuk Dr Anwar Ridhwan itu?. Jawab Nor Azah, beliau pernah bertanya yang mana satu penulis bernama abd latip talib?.

Pada malam itu saya bersyukur kerana mendapat hadiah dan gembira bertemu dengan ramai penulis hebat walaupun kebanyakan mereka memang tidak mengenali saya.

0 ulasan: