Selasa, Julai 04, 2006

DATO' ABDULLAH HUSSAIN



Saya mula meminati karya Dato Abdullah Hussain setelah membaca sebuah cerpen bertajuk SEBUAH PEKAN BERNAMA SEMPORNA yang disiarkan dalam Dewan Sastera Oktober 1979. Cerpen itu agak panjang tetapi saya seronok membacanya kerana penerangannya begitu jelas. Sejak itu saya terus membaca cerpen-cerpen dan novel-novel beliau.

Kali pertama saya bertemu dengannya pada tahun 1993 dalam satu majlis penyampaian hadiah Sastera Berunsur Islam di Pusat Islam Kuala Lumpur. Kemudian kami bertemu lagi semasa mengikuti rombongan GAPENA melawat Sumatera Barat.

Kebetulan kami duduk satu bangku dalam bas yang bertolak dari Dumai hingga ke Padang dan seterusnya ke Bukit Tinggi. Pada mulanya saya berasa segan kerana beliau penulis terkenal sedangkan saya baru sahaja menghasilkan beberapa buah cerpen. Tambahan pula IMAM novel baru Pak Lah baru saja memenangi Hadiah Novel Nasional.

Tetapi setelah bertegur sapa kami rancak berbual dan beliau terus menceritakan pengalamannya di bidang penulisan termasuk pengalaman menghasilkan novel IMAM.

Semenjak itu kami selalu bertanya khabar. Semasa saya bertugas di Sarawak beliau ada mengirimkan Warta GAPENA yang ada menyiarkan rencana beliau.

Semasa di Sarawak juga saya sempat membaca novel IMAM hingga habis. Kemudian novel itu saya hadiahkan kepada Encik Mohd Nor Yusuf (anak Yusuf Rawa) yang menjadi pengurus ladang PNB.

Khabarnya Dato Abdullah Hussain kini sudah uzur. Beliau tidak dapat menulis lagi. Semasa sihat beliau menulis setiap hari paling kurang lima muka surat.

Khabarnya sebelum jatuh sakit beliau sempat menyiapkan sebuah novel bertajuk DAN APABILA MALAM BERLALU. Novel itu adalah sambungan dari novel IMAM.

Semoga Dato Abdullah Hussain tabah hati dan bersabar dengan apa yang sedang dilaluinya sekarang.

0 ulasan: