Khamis, April 13, 2006

BUDAK COMEL MASJID DI RAJA

Semalam saya ke rumah saudara yang mengadakan majlis kenduri. Kerja memasak dilakukan secara bergotong royong. Seekor lembu yang disembelih pada pada jam 8 pagi siap di makan pada jam 1 tengahhari.

Selesai majlis kenduri saya pergi ke MASJID DI RAJA TENGKU MUNAWIR Seri Menanti untuk solat Zohor. Di masjid itu tidak ada bilik mandi. Yang ada Cuma tandas dan tempat berwuduk sahaja. Tiba-tiba muncul seorang budak lelaki comel.

Di mana saya boleh mandi? tanya saya.

Di tempat wuduk pun boleh, jawab budak comel itu.

Tak ada gayung macam mana nak mandi? tanya saya lagi.

Nanti saya ambilkan, jawan budak comel itu.

Dia kelihatan terkedek-kedek berlari. Tetapi saya tidak pasti sama ada dia berlari ke rumah atau di kawasan masjid. Beberapa minit kemudian dia datang sambil menghulurkan gayung plastik.

saya tak bawa kain basahan. Macam mana nak mandi di sini? saya rasa mengelabah.

Sekali lagi buidak comel itu berlari meninggalkan saya. Sebentar kemudian dia datang membawa sehelai kain pelikat untuk dijadikan kain basahan mandi.

Kain siapa ni? tanya saya.

Kain sarung saya, jawab budak comel itu.

Tanpa berlengah lagi saya pun mandi. Air dalam kolah yang jernih itu sungguh menyegarkan tubuh saya. Rasanya itulah mandi yang paling seronok sekali.

Tiba-tiba saya terfikir. Siapakah budak comel yang budiman itu?. Umurnya dalam lingkungan 6 tahun, berkulit putih bersih dan lembut.

Selesai solat zuhur saya mencari budak comel itu. Tujuan saya untuk mengucapkan terima kasih untuk kali kedua serta memulangkan gayung dan kain pelikat yang dipinjamkannya. Tetapi, setelah puas saya mencari budak itu tidak ada lagi. Masjid lengang kerana hanya saya sahaja yang berada di situ.

Saya masih tertanya-tanya. Anak siapakah yang comel dan sungguh baik hati itu?. mukanya comel, kulitnya putih lembut bagaikan kapas.

Saya masih terbayang-bayang wajahnya.

0 ulasan: