Sabtu, Mac 25, 2006

JOM KE PESTA BUKU

Pesta buku antarabangsa ke 25 sedang berlangsung di PWTC dari 24 Mac -02 April ini. Kali ini saya berkesempatan mengunjunginya pada hari pertama (pembukaan). Kerana jatuh pada hari Jumaat maka terpaksalah saya bertolak dari Jelebu selepas solat Jumaat dan sampai pada jam 6 petang. Kerana hari sudah petang ( ditutup jam 9 malam) maka ramai pengunjung yang telah pulang. Dalam perjalanan ke tapak pameran (agak jauh juga berjalan kaki) saya berselisih dengan ramai pengunjung yang baru keluar.Saya lihat pengunjung perempuan lebih ramai menjinjing beg plastik berisi buku atau majalah. Memang benarlah kaum wanita lebih ramai membelinya daripada kaum lelaki. Kenapa ye?.

Semasa singgah di gerai PTS saya sempat membeli beberapa buah buku. Menurut Puan Ainon Mohd dalam blognya, bila sampai di gerai PTS perkenalkan diri kepada pegawai yang bertugas sambil menunjukkan buku yang dipamerkan. Kerana buku saya belum ada dipamerkan maka rasa malu pulak nak memperkenalklan diri :)

Nasib baik saya disapa oleh Ida Munira (sekarang menjadi editor di PTS) saya hampir tidak cam wajahnya kerana sekarang dia semakin kiut dan comel :) Selain membeli buku saya juga bercadang hendak berjumpa dengan Asyikin Wahid, editor PTS yang mengedit novel pahlawan-pahlawan Islam yang saya tulis. Tetapi kerana dia sedang sibuk maka terpaksa ditangguhkan. Rasa terkilan juga kerana sudah janji nak belanja makan kalau jumpa :)

Alhamdulillah, sempat juga berbual dengan Encik Faris dan Nor Hazizam.

Semasa di gerai Karangkraf sempat membeli novel terbaru Sarina Mohd Som berjudul KERANAMU SOFEA. Menurut Sarina kalau datang ke pesta buku beritahu dia dulu, tetapi setelah 2 kali saya sms tidak berjawab maka saya beranggapan dia juga sibuk. Nak jumpa Sri Diah tetapi dia juga tidak ada mungkin sudah balik.

Semasa di gerai DAWAMA saya terjumpa buku saya MERENTAS RANJAU yang diterbitkan oleh DBP cetakan pertama tahun 1993 dan cetakan kedua tahun 1995 dijual dengan harga RM1.00 senaskhah. Di gerai Utusan pula saya terjumpa PENDEKAR SIAMANG GAGAP yang terbit tahun 1998 kemudian diterjemahkan dalam bahasa English pada tahun 2000 dijual dengan harga RM2.00 senaskhah. Agaknya kalau saya memohon untuk menerbitkan semula buku itu apakah dibenarkan?

Jom ke pesta buku. Nasihat saya jangan datang hampir senja.

0 ulasan: