Selasa, Februari 21, 2006

PERANG BADAR

Pada 17 Ramadan tahun 2 Hijrah Allah mewajibkan berpuasa. Pada tarikh itu juga berlakunya perang Badar antara tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhamad dengan tentera Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal.

Peristiwa bermula apabila Rasulullah saw mendapat berita satu rombongan pedagang yang diketuai oleh Abu Sufian bin Harb sedang dalam perjalanan pulang dari Syam menuju ke Mekah.

Nabi Muhamad berpendapat para pedagang itu perlu disekat kerana mereka membawa peralatan senjata yang banyak untuk digunakan bagi memerangi Islam. Maka Rasulullah saw memimpin seramai 313 orang tentera menuju ke satu tempat bernama Badar. Tujuan asalnya hanya untuk menyekat qafilah pedagang Quraisy dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak menjangka akan berlakunya suatu peperangan yang mencipta sejarah. Kerana itu jumlah tentera Islam Cuma sedikit kerana ramai di kalangan sahabat tidak menyertai operasi tersebut.

Apabila Abu Sufian bin Harb mendapat tahu gerakan tentera Islam itu dia menghantar utusan kepada Abu Jahal di Mekah untuk meminta bantuan tentera bagi melindungi mereka. Di samping itu Abu Sufian bertindak bijak dengan membawa orang-orangnya melalui kawasan pantai sehingga mereka berjaya mengelakkan daripada bertembung dengan tentera Islam.

Apabila telah selamat maka Abu Sufian menghantar satu lagi utusan kepada Abu Jahal melaporkan mereka telah selamat dan tidak memerlukan lagi bantuan tentera.Tetapi Abu Jahal dengan sombongnya berkata,Demi Tuhan Al Latta dan Al Uzza, Kita tidak akan pulang ke Mekah selagi kita belum sampai ke Badar. Apabila sampai di Badar nanti kita akan berpesta selama tiga hari tiga malam. Kita sembelih unta, minum arak sambil menyanyi dan menari supaya Muhamad tahu kedatangan kita. Dengan ini kehebatan kita dapat dilihat oleh mereka.

Melalui pasukan pengintip, Rasulullah s.a.w mendapat laporan rombongan para pedagang Quraisy telah berjaya menyelamatkan diri dan mereka telah sampai ke Mekah. Tetapi Abu Jahal bersama tentera Quraisy seramai 1,300 orang sedang menuju ke Badar. Maka Rasulullah saw pun bermesyuarat dengan para sahabatnya. Mereka berpendapat sekiranya tentera Islam berundur berarti penakut serta memberi kemenangan moral kepada pihak musuh. Dengan ini orang-orang Quraisy akan bertambah kuat dan memungkinkan mereka bermaharajalela terhadap orang-orang Islam. Kerana itu pertembungan dengan tentera musuh tidak dapat dielakan. Walaupun jumlah tentera Islam sedikit dengan kelengkapan senjata yang tidak mencukupi namun semangat jihad untuk mempertahankan Islam membara dalam diri mereka.

Kemudian Nabi Muhamad saw memerintahkan tentera Islam membina markas di satu tempat yang ada punca mata air. Mereka menggali kolam-kolam untuk menampung air minuman.
Kemudian Saad bin Muadz mencadangkan, Wahai Rasulullah! Saya mencadangkan dibina tempat perlindungan buatmu. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan itulah yang sangat kami harapkan. Jika berlaku sebaliknya engkau tetap berada di tempat selamat dan masih boleh meneruskan lagi peperangan bersama mereka yang masih mengasihimu.

Cadangan itu diterima lalu para sahabat membina tempat perlindungan untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak dan keesokan harinya mereka bangun dengan penuh bersemangat untuk bertempur dengan musuh.

Pada pagi Jumaat 17 Ramadan, tentera Islam seramai 313 orang berdepan dengan tentera Quraisy berjumlah 1,300 orang lengkap dengan senjata dan kuda. Selepas menyusun barisan tenteranya maka Nabi Muhamad pun berdoa, Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini.

Sebelum pertempuran dimulakan, Abu Jahal menyuruh tiga pahlawan Quraisy tampil ke depan untuk mencabar tentera Islam berlawan satu dengan satu. Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Saidina Hamzah dan Saidina Ali tampil ke depan menyahut cabaran itu. Ketiga-tiga pahlawan Islam itu berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itu berlaku pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil kedudukan bertahan di mana tentera musuh yang menyerang berjaya dilumpuhkan.

Kemudian giliran tentera Islam pula melakukan serangan. Mereka dibantu oleh para Malaikat yang mana dapat disaksikan bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Diceritakan juga bagaimana Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba kepala musuh itu terputus sedangkan dia belum menghayun pedangnya.

Iblis turut berada di situ dengan menyamar dirinya sebagai Suraqah bin Malik. Iblis berasa gementar apabila melihat Malaikat datang membantu tentera Islam. Ketika melarikan diri maka Iblis terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia melarikan diri maka dengan ketakutan Iblis menyatakan dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh orang lain.

Semasa pertempuran sedang berlansung, seorang pemuda bernama Muadz bin Amru melihat Abu Jahal sedang dikelilingi oleh beberapa orang tentera Quraisy. Dia menerpa ke arah ketua tentera Quraisyu itu lalu melibaskan senjatanya mengenai betis Abu Jahal.
Ikramah anak Abu Jahal yang berada di situ bertindak balas berjaya menetak tangan Muadz hampir putus. Namun Muadz tidak mengalah. Dia terus menyerang Abu Jahal. Apabila Muadz merasa tangannya yang terkulai itu menyusahkan dia menyerang maka dipijak tangannya yang terkulai itu sehingga putus. Kemudian dia terus menyerang Abu Jahal. Abdullah bin Masud yang melihat peristiwa itu datang membantu lalu berjaya memenggal leher Abu Jahal sehingga putus. Apabila Rasulullah saw melihat mayat Abu Jahal maka baginda mengatakan dia Firaun umat ini.

Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala di pihak tentera Islam seramai 14 orang telah syahid.

0 ulasan: