Rabu, November 30, 2005

RANDAU RUAI

Pada tahun 1997 saya bertugas di FELCRA Igan Mukah Sarawak. Saya pergi seorang diri sahaja kerana masa itu anak-anak sedang menghadapi peperiksaan. Kerana tidak mahu terganggu tumpuan mereka terhadap peperiksaan maka saya pergi sendirian sahaja. Itulah pertama kali berjauhan dengan keluarga.

Bila FELCRA di korporatkan maka kakitangan diberi pilihan samaada hendak bersara atau terus berkerja. Saya memilih untuk bersara kerana dibayar pencen dan faedah persaraan. Selain itu saya ada kebun getah yang telahpun mengeluarkan hasil.

Setelah 8 tahun tiba-tiba saya dapat peluang terbang ke Bumi Kenyalang apabila memenangi hadiah sayembara novel dan cerpen Sarawak. Majlis penyampaian hadiah diadakan di Kucing pada 2hb ini.

Insya-Allah, esok (Khamis) saya, isteri dan anak-anak akan ke Kucing. Kami pergi sehari lebih awal kerana ingin menyusuri jejak-jejak yang telah lama ditinggalkan.

Terbayang sungai Sarawak yang arusnya deras tetapi permukaannya nampak tenang. Tidak jauh dari situ terdapat Kubu Margaretha, lambang cinta seorang suami kepada isterinya yang bernama Margaretha. Terbayang suasana di rumah panjang masyarakat Iban. Gunung Santubung yang menyimpan kisah misteri. Terbayang wajah kawan-kawan dari kalangan orang Iban, Melanau dan Bidayuh.

Paling tidak dapat dilupakan pengalaman pertama kali berkunjung ke rumah panjang orang Iban di Sibu. Berkunjung ke rumah orang Melanau di Kampung Igan. Dan perkampungan Bidayuh di Balingan.

Kebanyakan kenangan itu saya rakamkan dalam novel berjudul RANDAU RUAI yang menang sayembara tersebut.

Rabu, November 23, 2005

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN



BERITA GEMBIRA DI BULAN SYAWAL

Saya dimaklumkan oleh Puan Ainon Mohd, 3 buah novel kisah pahlawan Islam yang saya tulis diterbit dan dibuat pelancarannya pada awal tahun 2006. Alhamdulillah. Berita itu amat mengembirakan hati saya.

Kemudian saya dimaklumkan oleh puan Nisah Haron, saya salah seorang pemenang Hadiah Sastera Negeri Sembilan. Majlis tersebut telah diadakan pada 18hb dan saya memenangi hadiah untuk kategori eceran cerpen dan esei.

Berita gembira datang lagi. Kali ini saya menerima panggilan telefon daripada Puan Hajijah, DBP Sarawak, mengatakan saya memenangi sayembara Novel dan Cerpen. Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 2hb Disember 2005 di Kucing. Kerana terlalu gembira saya mengajak isteri dan anak-anak turut serta ke majlis tersebut dan tiket kapal terbang sudah pun ditempah. Hehe

Anak saya yang sulung mengatakan telah bertemu dengan gadis pilihan hatinya dan meminta kami merisik kabar. Petang semalam, dalam hujan lebat kami ke Seri Kembangan berkunjung ke rumah bakal keluarga dan Alhamdulillah kedatangan kami disambut dengan baik.

Inilah berita-berita gembira yang saya terima sepanjang bulan Syawal ini. Apa lagi yang harus saya lakukan selain sujud syukur dan berkongsi kegembiraan ini dengan saudara mara dan sahabat yang jauh dan dekat.

Ahad, November 20, 2005

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN

Majlis telah berjaya disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan. Menteri Besar Negeri Sembilan.

Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana telah memberi anugerah dan pengiktirafan kepada para penulis di Negeri Sembilan.

Seperti yang dijangka Dato’ Dr Kamaruzzaman Abdul Kadir (Dharmawijaya) dipilih untuk menerima anugerah Sastera Negeri Sembilan. Beliau menerima hadiah RM10,000 beserta sijil.

Haji Agus Salim pula menerima Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri dengan hadiah RM3,000.00 berserta sijil.

Seramai 33 penulis lagi menerima hadiah mengikut kategori masing-masing.

Saya juga terpilih untuk memenangi genre cerpen dengan hadiah RM500.00 berserta sijil dan Esei RM500.00 berserta sijil.

Alhamdulillah.

Ahad, November 13, 2005

BERTEMU MAWAR SHAFEI

Petang tadi saya bersama isteri dan anak berhari raya ke rumah Nisah Harun. Tidak sangka pula dapat bertemu dengan Mawar Shafei yang turut datang beraya bersama suaminya.

Saya memang telah lama mengenali nama Mawar Shafei, selalu membaca karya dan melihat gambarnya tetapi inilah pertama kali bertemu dengannya. Tahun lepas kali pertama bertemu Amiza juga semasa berhari raya di rumah Nisah.

Tahun depan bertemu dengan siapa pula agaknya?.

Saya sangka Mawar nama samaran rupanya memang nama yang sebenar. Nisah juga nama sebenar.

Rupanya Nisah dengan Mawar memang berkawan rapat patut wajah keduanya ada iris macam bersaudara. kata isteri saya.

Dalam pertemuan yang singkat itu sempat juga kami bertanya kabar. Tetapi kami tidak sempat bergambar sebab lupa bawa kamera.

Mawar orang Johor, suaminya orang Jempol. Mawar dah masuk suku. Kata suaminya. hehe.

Khamis, November 10, 2005

DUA MAJLIS YANG DINANTIKAN

Pada 18hb November ini bertempat di Hotel Royal Adelphi,Seremban akan berlansung majlis penyampaian Hadiah Sastera Negeri Sembilan.

Khabarnya antara sasterawan Negeri Sembilan disebut-sebut berpeluang memenangi anugerah terbabit ialah Allahyarham Datuk Dr Kamaruzzaman Abdul Kadir atau Dharmawijaya, A Latiff Mohidin, Prof Madya Dr. Zakaria Ali, Dr. Ramli Isin.

Sasterawan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan akan menerima hadiah bernilai RM10,000.

Panel penilai yang dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menilai karya dan ketokohan pengkarya ialah Prof Madya Dr Amida Abdul Hamid, Prof Dr Siti Zainon Ismail, Hamzah Hamdani, Dr Misran Rokimin dan Prof Dr A Wahab Ali.

Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri bernilai RM3,000 akan diberikan kepada institusi atau tokoh yang memberi sumbangan cemerlang dalam menggerakkan sastera secara berterusan di Negeri Sembilan.

Beberapa nama disebut seperti Mohd Nor Ibrahim, Allahyarham Ismail Hadi atau
Salim Haji Taib.

Kategori Tokoh yang menjanjikan hadiah RM2,000 setiap satu, nama seperti Dharmala NS dan Mohd Ali Majod pastinya berada di senarai teratas dalam genre cerpen.

Allahyarham Dharmawijaya, A Latiff Mohidin, Mahaya Mohd Yassin (puisi) manakala Dharmala NS, Dr Zakaria Ali dan Mohd Ghazali Tocheh (novel).

Bagaimanapun bagi genre drama pula Dr Anuar Nor Arai dan Abd Rahman Sidek manakala esei/ kritikan sastera Dr Ramli Isin.

Anugerah dalam genre karya kanak-kanak/ remaja ialah Salim Taib, Mahaya Mohd Yassin dan Mohd Ghazali Tocheh.

Bagaimanapun bagi kategori karya, peluang terbuka kepada semua penulis sama ada mereka anak tempatan, penulis yang lebih lima tahun pernah tinggal di negeri ini atau penulis yang ibu bapanya berasal dan tinggal di Negeri Sembilan ketika karya diterbitkan.

Bagi kategori ini, tidak pelik jika pemenangnya daripada nama yang tidak dikenali kerana panel hanya menilai cerpen, puisi, drama, esei sastera, karya kanak-kanak, remaja atau novel yang dihantar sebelum 15 Julai 2005 meskipun karya yang diterbitkan dari 1990-2004 layak dinilai.

Enam hadiah bernilai RM500 setiap satu disediakan bagi kategori cerpen, puisi dan esei sastera

tiga hadiah bernilai RM500 setiap satu disediakan untuk kategori karya kanak-kanak dan remaja.

Tidak ketinggalan dua hadiah bernilai RM500 setiap satu bagi drama dan dua hadiah bernilai RM1,000 setiap satu turut disediakan untuk genre novel dewasa/remaja bagi anugerah ini.



Dan pada 2hb Disember 2005 berlansung pula majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Sastera Sarawak.

Novel

Pertama: RM15000.00
Kedua: RM7000.00
Ketiga: RM4000.00

Cerpen


Pertama: RM4000.00
Kedua: RM3000.00
KetigaRM2000.00
Sagu Hati (3) : RMRM1000.00 (setiap satu)

PUISI

Pertama: RM4000.00
Kedua: RM3000.00
Ketiga:2000.00
Sagu hati (3) RM1000.00 (setiap satu)





Rabu, November 02, 2005

SELAMAT HARI RAYA

>Saya mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada semua sahabat yang sudi berkunjung ke blog ini. Jika ada salah silap atau terkasar bahasa saya memohon ampun maaf zahir dan batin.