Rabu, Oktober 12, 2005

OH MALAYSIAKU

100,000 murid tahun 2 hingga 6 tidak tahu membaca

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Ketika negara memasuki fasa kedua menuju Wawasan 2020, terdapat lebih 100,000 murid tahun dua hingga enam sekolah rendah di seluruh negara didapati tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

Datuk Mohd. Sarit Yusoh (BN-Temerloh) semasa mendedahkan angka itu berkata:
``Tidak guna kita laungkan ingin menjadi negara maju ke hulu ke hilir, untuk melaungkan Wawasan 2020 tetapi terdapat tiga peratus murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

``Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Kementerian Pelajaran perlu mempunyai program jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi murid-murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira.''

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Bajet 2006 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.Bagi sebuah negara seperti Malaysia, kata Mohd. Sarit lagi, keadaan itu tidak seharusnya berlaku.

Beliau merasakan Kementerian Pelajaran tidak melakukan pemantauan sewajarnya terhadap murid-murid sekolah rendah sehingga timbul masalah itu.

Sehubungan itu ahli Parlimen tersebut menggesa agar dilaksanakan program bagi mengatasi masalah berkenaan yang dianggapnya sebagai defisit pendidikan.

Mohd. Sarit juga membangkitkan mengenai infrastruktur pendidikan yang tidak selari di seluruh negara kerana ada sekolah-sekolah yang tidak ada bekalan air, elektrik dan kemudahan lain.

``Apa yang menjadi persoalannya ialah bukan kita tidak mampu, kalau tidak mampu lain cerita. Ini kita mampu, bagaimana keadaan ini boleh berlaku,'' ujarnya.

Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Pelajaran menyelesaikan masalah itu dengan segera dengan harapan ia tidak lagi timbul tahun depan.

(UTUSAN MALAYSIA HARI INI)

0 ulasan: